CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, July 29, 2007

OHH..TIANGGA LAMPUSTA!


Hari ini saya agak kepeningan menyiapkan tugasan Islamic Legal System yang diberikan oleh pensyarah. Apatahlagi ia perlu disiapkan dalam Bahasa Arab kerana jurusan saya bukanlah major dalam bahasa tersebut seperti mereka yang sememangnya mengambil jurusan Bahasa Arab. Walaubagaimanapun, saya akan berusaha untuk menyiapkannya sebaik mungkin. Mujurlah ketika ini saya berada di rumah, maka dapatlah merehatkan minda dengan mengusik adik saya yang bongsu.

Cuma rasa pening saya agak terubat apabila ayah saya menghulurkan sehelai keratan akhbar untuk menghiburkan waktu studi saya.

“akak, cuba baca yang ni, bolehla hilang sikit rasa tension tu”. Ayah saya sudah tersenyum-senyum

Terus saya kerutkan dahi. Baca akhbar boleh hilangkan tension? Selepas habis membaca, hampir ketawa saya dibuatnya. Mari! Saya ingin berkongsi dengan anda ceritanya. Mungkin ada yang sudah terbaca.

Begini.

Ini satu kisah seorang mahasiswa UPM, yang mengambil jurusan agrikultur( tekaan saya melalui apa yang diceritanya). Sewaktu menuntut dahulu, sekumpulan pelajar dibawa bersiar-siar di sekitar kawasan UPM untuk mengenali lebih dekat akan tumbuh-tumbuhan ornamental (tumbuhan perhiasan). Daripada acacia mengium hinggalah livistonia chinensis. Mereka ini dibimbing oleh seorang pegawai pertanian di situ dan diterangkan nama-nama saintifik untuk setiap tumbuh- tumbuhan.

Oleh kerana mereka harus mengingat kesemua nama jenis tumbuhan itu, masing-masing khusyuk menyalin setiap apa yang disebut pegawai tersebut. Sehinggakan kebanyakan mereka hanya main ‘taram’ sahaja mengeja nama-nama tumbuhan tersebut. Yang penting ada bunyinya.

“ini namanya casuarinas equisetifolia atau pokok Rhu. Yang di sebelah sana pula TIANGGA LAMPUSTA.” Kata pegawai berkenaan.

Kelihatan semua pelajar dari tadi asyik menunduk mencatat nama-nama tumbuhan yang disebutkan sehingga tidak sempat menoleh melihat fizikal tumbuh-tumbuhan tersebut. Mengangguk-angguk pula tanda buat-buat faham. Maklumlah takut terlepas pula menulisnya.

“tiangga lampusta? Pokok apa tu?” Tanya seorang rakan mereka.

“TINGGA LAMPUSTA tu adalah tiang lampu. Bukannya pokok. Itulah,kamu pun main tulis sahaja”. Dengan selamba pegawai itu menjawab.

Sekumpulan mereka terus sahaja ketawa tak henti-henti apabila mendengar jawapan pegawai berkenaan.

PENGAJARAN

1) Jangan main tulis sahaja nota, perlu lihat dan faham apa yang ingin anda tulis.
2) Jangan mudah percaya pada orang! Perlu bertanya apabila anda rasakan maklumat yang anda terima itu adalah pelik. Apatahlagi terma-terma yang anda tidak biasa dengar.

p/s: tulisan kali ini sekadar untuk merehatkan minda. insyaaLLAH, saya akan siapkan entri seterusnya mengenai 'public speaking' dalam masa terdekat ini.=)

Sunday, July 22, 2007

JOM BELAJAR DARIPADA AL-QUR’AN!


FIKIRKAN SITUASI INI


“ Amin, Amin dah 10 tahun, jadi Amin dah kena sembahyang, tak boleh tinggal-tinggal lagi tau. Kalau Amin sembahyang, nanti boleh masuk syurga”

Atau

“Amin, Amin dah 10tahun, jadi Amin kena sembahyang , tak boleh tinggal-tinggal lagi tau. Kalau Amin tak sembahyang, nanti masuk neraka, kena bakar dengan api panas”

Ini adalah contoh ayat saranan yang juga boleh dikatakan arahan yang diberikan oleh seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Cuba anda fikirkan, ayat yang mana yang akan memberikan kesan kepada anaknya untuk menunaikan sembahyang?

TAKUT ITU SIFAT MANUSIA

Secara fitrahnya, manusia biasanya takut jika dirinya diancam dengan bermacam-macam kesusahan dan kemalangan. Lantas perasaan takut itu akan mendorong mereka untuk lebih berwaspada agar tidak ditimpa bahaya atau kecelakaan yang dimaksudkan. Berbanding dengan jika diingatkan dengan nikmat-nikmat serta ganjaran yang dijanjikan, manusia selalunya agak kurang terdorong untuk melakukannya kerana bagi mereka, mereka masih punya pilihan untuk tidak melakukannya.

Apa yang ingin saya kaitkan adalah bagaimana Al-Quran mengajar kita untuk menjadi seorang pendidik. Jadi, kita perlu melihat bagaimana cara Allah mendidik kita melalui Al-Quran. Jika anda perhatikan setelitinya susunan ayat-ayat Al-Quran dalam setiap surah, anda akan dapati ayat-ayat yang berupa ancaman kepada manusia didahulukan daripada ayat-ayat yang berupa nikmat Allah kepada hambanya yang taat. Hal ini kerana, Allah mengetahui bahawa manusia biasanya lebih sensitive apabila menerima ancaman dengan hadirnya perasaan takut akan azab dan siksanya.

CONTOH 1: SURAH AN-NABA’

“sesungguhnya, neraka Jahanam itu dijadikan tempat mengintai bagi penjaga neraka. Menjadi tempat kembali bagi orang yang melampaui batas.mereka tinggal dalam masa yang lama.Mereka tidak merasa kesejukan di dalamnya dan tidak pula mendapat minuman selain air yang mendidih dan bernanah”(21-25)

Kemudian diikuti:
"sungguh, orang yang bertakwa mendapat kemenangan.Iaitu kebun-kebun dan buah anggur.Dan gadis-gadis yang sedap sebaya.Dan gelas-gelas yang penuh berisi minuman.Di sana mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun dusta”(31-35)

CONTOH 2: SURAH AZ-ZUMAR

“Dikatakan kepada mereka: Masuklah pintu-pintu neraka Jahanam, kamu kekal di dalamnya.maka neraka jahanam itulah seburuk-buruk tempat kembali bagi orang-orang yang menyombongkan diri.”-72-

Kemudian diikuti:

“Dan orang-orang yang bertakwa pada Tuhannya,dihantar ke dalam syurga berombongan. Sehingga apabila mereka sampai ke syurga dan pintu-pintunya telah dibukakan,penjaga-penjaganya berkata kepada mereka: kesejahteraan keatasmu, berbahagialah kamu!masuklah kamu dan kekallah di dalamnya” -73-

Begitulah juga apa yang terdapat dalam surah At-Tatfif, surah At-Takwir, surah An-Nazi’at, dan beberapa surah yang lain yang menggunakan kaedah yang sama. Saya mencadangkan, apabila anda membaca Al-Qur’an ,bacalah bersama tafsirnya. Di situ anda akan dapat melihat hikmah cara ayat-ayat Al-Qur’an diturunkan. Kesimpulannya, untuk situasi yang saya letakkan di atas, biasanya seorang anak akan menunaikan sembahyang apabila diingatkan dengan ancaman yang menakutkan berbanding diingatkan dengan nikmat syurga itu.Cubalah lakukan!

Maka,pada pendapat saya, ikutilah cara Allah mendidik kita melalui Al-Qur’an untuk kita mengamalkannya ketika mendidik orang lain. InsyaAllah. Semoga Berjaya!-
P/S: Mungkin perkataan mendidik yang saya gunakan lebih bermaksud kepada memberi peringatan atau pun tazkirah kepada orang lain.

Sunday, July 15, 2007


Salam bertemu kembali untuk sahabat semua! (",)

Jutaan kemaafan kerana agak lama membiarkan laman ini ketandusan bahan-bahan ilmiah untuk dikongsikan. Alhamdulillah setelah 2 minggu saya mampu mencari ruang walaupun sebenarnya agak sibuk dengan kuliah dan program luar. Cuma di sini ada sedikit cerita mungkin untuk dikongsi bersama anda semua.

Ketika mengikuti Qiamullail Jamae’i bersama sahabat-sahabat di Masjid UIA pada malam sabtu yang lalu, saya dipertemukan dengan seorang sahabat yang duduk keseorangan di suatu sudut. Sahabat yang memang saya telah kenali. Kelihatan dirinya agak kemurungan mungkin mengenangkan sesuatu.Sebagai seorang sahabat, saya cuba menghampirinya dan memulakan perbualan. Pada Mulanya, dia hanya menyepi namun tiba-tiba air matanya mengalir perlahan. Saya cuba bertanya dan apa yang keluar dari bibirnya adalah :

“hurm, hidup ini kena kuatkan, saya ni orangnya lembut, atau mungkin saya ni memang lemah..”

Setelah lama berbincang akhirnya saya mengetahui apa masalahnya cuma biarlah ia menjadi rahsia antara saya, dia dan Allah. Namun, satu kesimpulan yang saya dapat buat daripada ceritanya adalah pentingnya seseorang itu bertegas dengan prinsip diri . Ya! Terlalu penting!

ADAKAN PRINSIP

Soalan yang ringkas apabila ditanya kepada semua orang. Apakah prinsip hidup anda? Mungkin ramai yang diam tanpa jawapan atau mungkin ada yang menjawab tetapi seperti kurang yakin dengan jawapan sendiri. Menjalani kehidupan yang dikelilingi dengan bermacam-macam jenis manusia serta suasana sekeliling yang penuh warna warni sangat menuntut kita untuk berprinsip.
Untuk apa? Supaya kita tidak jadi seperti lalang yang mudah meliang-liuk mengikut arah angin apabila ditiup. Tetapi, untuk kita menjadi seperti ikan di air masin, walaupun hidup di dalam air yang masin namun rasanya tetap tawar. Begitulah jua kita, walau apa pun cabaran yang datang untuk menguji diri kita, jangan mudah mengalah dan jangan mudah tunduk dengan kehendak suasana. Jadilah diri anda sendiri dengan berpegang dengan prinsip anda
Jika ditanya saya, ini adalah prinsip saya.

“apabila saya berurusan dengan Allah, maka saya tidak perlu takut dengan manusia, tetapi andai saya berurusan dengan manusia maka saya harus takut dengan Allah”

Saya memilih prinsip ini kerana kadangkala saya cepat memikirkan tentang apa persepsi orang pada saya. Sehingga kadang-kadang saya tidak meneruskan niat saya kerana takut pandangan orang pada setiap tindakan saya. Apa yang sepatutnya adalah jika kita memikirkan hal yang ingin kita lakukan itu adalah baik, maka mengapa perlu takut dengan manusia. Yang layak menilai serta menghukum hanya Allah. Jadi kata-kata ini saya jadikan sangga agar saya tidak mudah mengalah dengan kehendak manusia dan apa cabaran yang datang selepas itu.

LEMBUT TIDAK MENGAPA TETAPI BUKAN LEMAH!

Rasulullah juga seorang yang lembut hatinya. Lembut bererti yang mudah untuk dibawa berbincang , yang mudah untuk didekati kerana sifatnya yang tidak keras atau sombong. Namun,ini tidak bereti anda perlu jadi lemah.Jadilah tegas apabila berurusan dengan manusia jika ia memberi kebaikan kepada anda dan orang lain. Jangan mudah mengikut telunjuk dan permintaan orang lain sedangkan anda punya komitmen atau perancangan sendiri ketika itu. Apatahlagi hal yang yang anda rancangkan itu adalah penting untuk diri anda. Ingat! Ada perkara yang kita tidak boleh bertolak ansur terutama dalam hal yang anda rasakan tidak memberi manfaat pada anda.

p/s: saya percaya banyak antara kita yang mengalami konflik ketika kita diberi pilihan untuk membuat keputusan. Maka ketika itulah kita harus memandang semula prinsip kita dan ambillah tindakan.