CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, July 15, 2007


Salam bertemu kembali untuk sahabat semua! (",)

Jutaan kemaafan kerana agak lama membiarkan laman ini ketandusan bahan-bahan ilmiah untuk dikongsikan. Alhamdulillah setelah 2 minggu saya mampu mencari ruang walaupun sebenarnya agak sibuk dengan kuliah dan program luar. Cuma di sini ada sedikit cerita mungkin untuk dikongsi bersama anda semua.

Ketika mengikuti Qiamullail Jamae’i bersama sahabat-sahabat di Masjid UIA pada malam sabtu yang lalu, saya dipertemukan dengan seorang sahabat yang duduk keseorangan di suatu sudut. Sahabat yang memang saya telah kenali. Kelihatan dirinya agak kemurungan mungkin mengenangkan sesuatu.Sebagai seorang sahabat, saya cuba menghampirinya dan memulakan perbualan. Pada Mulanya, dia hanya menyepi namun tiba-tiba air matanya mengalir perlahan. Saya cuba bertanya dan apa yang keluar dari bibirnya adalah :

“hurm, hidup ini kena kuatkan, saya ni orangnya lembut, atau mungkin saya ni memang lemah..”

Setelah lama berbincang akhirnya saya mengetahui apa masalahnya cuma biarlah ia menjadi rahsia antara saya, dia dan Allah. Namun, satu kesimpulan yang saya dapat buat daripada ceritanya adalah pentingnya seseorang itu bertegas dengan prinsip diri . Ya! Terlalu penting!

ADAKAN PRINSIP

Soalan yang ringkas apabila ditanya kepada semua orang. Apakah prinsip hidup anda? Mungkin ramai yang diam tanpa jawapan atau mungkin ada yang menjawab tetapi seperti kurang yakin dengan jawapan sendiri. Menjalani kehidupan yang dikelilingi dengan bermacam-macam jenis manusia serta suasana sekeliling yang penuh warna warni sangat menuntut kita untuk berprinsip.
Untuk apa? Supaya kita tidak jadi seperti lalang yang mudah meliang-liuk mengikut arah angin apabila ditiup. Tetapi, untuk kita menjadi seperti ikan di air masin, walaupun hidup di dalam air yang masin namun rasanya tetap tawar. Begitulah jua kita, walau apa pun cabaran yang datang untuk menguji diri kita, jangan mudah mengalah dan jangan mudah tunduk dengan kehendak suasana. Jadilah diri anda sendiri dengan berpegang dengan prinsip anda
Jika ditanya saya, ini adalah prinsip saya.

“apabila saya berurusan dengan Allah, maka saya tidak perlu takut dengan manusia, tetapi andai saya berurusan dengan manusia maka saya harus takut dengan Allah”

Saya memilih prinsip ini kerana kadangkala saya cepat memikirkan tentang apa persepsi orang pada saya. Sehingga kadang-kadang saya tidak meneruskan niat saya kerana takut pandangan orang pada setiap tindakan saya. Apa yang sepatutnya adalah jika kita memikirkan hal yang ingin kita lakukan itu adalah baik, maka mengapa perlu takut dengan manusia. Yang layak menilai serta menghukum hanya Allah. Jadi kata-kata ini saya jadikan sangga agar saya tidak mudah mengalah dengan kehendak manusia dan apa cabaran yang datang selepas itu.

LEMBUT TIDAK MENGAPA TETAPI BUKAN LEMAH!

Rasulullah juga seorang yang lembut hatinya. Lembut bererti yang mudah untuk dibawa berbincang , yang mudah untuk didekati kerana sifatnya yang tidak keras atau sombong. Namun,ini tidak bereti anda perlu jadi lemah.Jadilah tegas apabila berurusan dengan manusia jika ia memberi kebaikan kepada anda dan orang lain. Jangan mudah mengikut telunjuk dan permintaan orang lain sedangkan anda punya komitmen atau perancangan sendiri ketika itu. Apatahlagi hal yang yang anda rancangkan itu adalah penting untuk diri anda. Ingat! Ada perkara yang kita tidak boleh bertolak ansur terutama dalam hal yang anda rasakan tidak memberi manfaat pada anda.

p/s: saya percaya banyak antara kita yang mengalami konflik ketika kita diberi pilihan untuk membuat keputusan. Maka ketika itulah kita harus memandang semula prinsip kita dan ambillah tindakan.

2 Pendapat:

Azree MH said...

Alhamdulillah, prinsip yang baik harus dikekalkan. Hidup tanpa prinsip(tujuan, matlamat atau ketegasan) seperti orang yang tiada kemampuan untuk hidup.

Kekalkan cara penulisan begini. Az suka. :D

NuRizZ said...

syukran.
ini pun iz belajar banyak daripada gaya penulisan az,dan buku-buku yang iz baca.
doakan iz untuk terus istiqamah. =)