CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, August 31, 2007

KALAU BUKAN KITA, SIAPA?


Sedari tadi saya seakan lekas gelisah melihat jarum minit seperti cepat bergerak. Barangkali tidak sabar untuk bersatu bersama jarum jam lantas membawa satu signifikasi agung pada tanah ini. Ya, kita semua tahu dan kita semua maklum bahawa tanah ini sudah setengah abad mengemudi bahtera merdeka tanpa sebarang penjajahan fizikal. Sengaja saya masukkan perkataan ‘fizikal’ ini. Mahu sahaja saya katakan ramai, dan amat bersepah penghuni tanah ini yang hilang faham akan erti sebenar kebebasan dan kemerdekaan yang mereka banggakan. (sekadar apa yang saya lihat dan tahu)

50 tahun merdeka! Kerana itu saya buncah, kerana itu hati saya merusuh. Oh Tuhan, moga detik ini saya tidak akan lupa bersyukur,bersyukur dan terus bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang menjadi hadiah terunggul untuk seorang yang punya sifat kemanusiaan. Jika malam ini adalah saat bebas untuk ‘islamic couple’ yang asyik bertukar-tukar sms konon-konon berbaur nasihat kemerdekaan diselit-selit sedikit bunyi-bunyi Islam, sedang yang terangsang adalah maksiat hati, mujurlah saya akhirnya merdeka daripada semua helah syaitan itu. Lantas, terima kasih kepada dirinya yang membawa saya ke arah ini.jujur.

Jika malam ini adalah saat bebas bagi pasangan kekasih berlingkar tangan memeluk pinggang sambil tersengih-sengih melihat percikan bunga api di langit , bangga teramat saya rasakan kerana hingga sekarang saya merdeka jauh daripada serangan iblis itu. Jika malam ini adalah saat bebas untuk anak-anak muda berpeleseran di sekitar Kuala Lumpur, menjerit-jerit konon inilah semangat kebangsaan mereka, sungguh! Saya amat katarsis kerana sekali lagi Tuhan merdekakan saya daripada menjadi hantu di jalanan sedangkan yang wajib adalah bermunajat mengirim rasa keterharuan pada Tuhan kerana menghadiahkan kita kemerdekaan.

Bukan saya tidak gembira, namun untuk apa saya gembira melihat semua itu di mata saya? Sedang saya sendiri berasa malu untuk gembira kerana tidak mampu memikul tugas daripada Tuhan. Bukan juga saya mementingkan diri sendiri kerana ingin merdeka seorang diri, namun berapa ramai yang MAHU faham erti dan maksud sebenar kemerdekaan? Yang mereka tahu, “ merdekalah tu kalau si British dan Jepun dah xde lagi”.

Oh, atau saya yang terlupa, merdeka itu maksudnya bebas berpakaian, hingga singkat biar nampak pusat berkulat. Atau mungkin saya terlupa lagi merdeka itu maksudnya bebas berhibur, hingga khusyuk terlompat-lompat meraikan rentak Barat. Oh ya, merdeka itu ertinya bebas memilih cara hidup, cukuplah Islam pada nama. Paling-paling, lepas kena siksa dalam neraka itu, akhirnya ke syurga juga. Apa mereka fikir, api neraka macam api pemetik api untuk cucuh daun rokok? Sedangkan andai sebesar lubang jarum serpihan api neraka jatuh ke bumi, bisa merentungkan seisi alam yang ada.

Inilah merdeka dalam penjajahan. Inilah merdeka dalam penaklukan. Yang merdeka adalah diri bukan hati dan akal. Sedang fikiran sudah lama dijajah Barat. Sedang hati sudah ditakluk penjahat. Kata mereka, orang melayu Islam ini mudah lupa, atau senang leka. Suguh sahaja pakaian berlubang-lubang sana-sini ini, hidang sahaja muzik-muzik syaitan ini. Media mereka itu, jangan lupa tayang yang ‘pelik-pelik’ biar terjuling mata mereka. Lambakkan dengan aksi-aksi ghairah biar otak mereka jadi dungu macam lembu. Sedang lembu pun tahu untuk tidak terjun lumpur.

Oh Tuhan, saya bukan ingin mengutuk atau menghina, tapi darah ini sudah bergelegak ingin meletus ketika melihat kerenah orang Islam sendiri. Ingin memaki hamun, bukan itu ajaran Rasulullah. Hikmah dan teladan itu rahsia keberkesanan dakwah Baginda. Andai Rasulullah ada, pasti sudah menangis Baginda melihat umatnya apatahlagi jika pelaku itu adalah seorang ‘ustaz’ dan ‘ustazah’. Aduhai, inilah kesannya apabila nikmat hidayah yang telah ditarik Allah. Naudzubillah, merdekakan saya, bebaskan saya daripada kemungkinan yang mengerikan ini.

Justeru, saya bukanlah seorang yang warak, jauh sekali yang tinggi imannya, dan saya bukan juga yang begudang-gudang ilmunya. Sekadar rasa manusiawi yang diberi Tuhan, saya hamparkan luahan rasa saya di laman ini. Andai ada ibrah yang dapat diambil, itu adalah ilham Tuhan. Namun andai ada keterlanjuran kata, itulah kekurangan seorang manusia selemah saya. Teguran sahabat-sahabat adalah pengingat kepada saya. Mudah-mudahan Allah mengampunkan saya.

P/S : bagi anda yang sudah ada pada jalanNya, peliharalah hidayah Allah ini kerana sudah ramai sahabat kita yang telah karam. Inilah tugas kita, menjadi pengingat kepada mereka sekadar kemampuan.Kalau tidak kita, siapa?

3 Pendapat:

Raihan Mustafa KamaL said...

Tak kita, siapa?
Tak di sini, di mana?
Tak begini, bagaimana caranya?

Kesimpulan:
Tepuk dada, tanya Iman.
Hanya Hati tahu jawapannya.

NuRizZ said...

benar. salah sesama muslim juga. salah kita juga dan salah saya juga.tidak memikul tugas dakwah sebetulnya. saling mengingati itu bukan lagi jadi budaya antara kita.

sekelip terleka,macam-macam boleh berlaku.bagi sahabat yang hidup dalam masa silam saya, doakan saya terus ditanggam dengan HidayahNya. sunnguh,ini sahaja perisai untuk hari akhir kita bila saat kematian menjemput.husnilkhaatimah.

Husaini said...

moga hati masih kuat untuk bermujahadah,
moga lidah masih bisa mengeluar kata-kata Cinta padaNya,
moga tangan masih ringan untuk bertindak benar,

agar jiwa-jiwa yang merdeka merasai nikmat merdeka yang sebenar-benar merdeka.