CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, September 29, 2007

DI MALAM RAMADHAN



Satu malam saya rasakan yang saya sedikit jauh. Seakan ditinggalkan. Atau saya yang meninggalkan. Rasa resah mula menjenguk kerana saya tidak kembali pada tempat yang sepatutnya malam itu. Saya tahu, ini tandanya, tanda ada yang sedang merindu dan menanti dari satu daerah. Saya harus pulang!

Saya mengirim mesej kepada seseorang yang amat baru saya kenali. Entah mengapa perlu saya mencari dia untuk dijiruskan ketenangan. Hanya perkenalan yang tidak sampai setengah jam pada hari yang lalu, saya sudah jatuh cinta dengan hikmahnya berkata-kata. Penuh dengan ingatan. Fazakkir Innafa’ata zikra. Berilah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat.

Dia ada berpesan. Dalam beramal kita kena harus berkira. Jangan cepat cukup dan puas. Benar. Terasa saya belum cukup memberi makan pada hati. Saya cuba mencari sumber yang lain. Alhamdulilah, saya berpeluang menghadiri halaqah ilmi dan satu ceramah yang sangat menarik selepas tarawikh pada khamis yang lalu. Elok rasanya untuk saya berkongsi bersama.

KEMBALI PADA RUH

Dari mana kita datang, di situ juga kita dikembalikan. Mudah sahaja analogi yang diberikan. Bayangkan satu hari anda baru sampai di new york dan dalam keadaan terasing dan keseorangan ,anda tiba-tiba berkenalan dengan seseorang. Setelah berkenalan, rupa-rupanya anda dan dia berasal dan tinggal satu kampung. Bayangkan, dalam keadaan anda di kejauhan, anda menjadi kembali girang kerana bertemu dengan seseorang yang berasal seperti anda.
Begitu juga diri kita, jika kita sudah berasal dari Allah, jiwa kita akan hanya berasa tenang dan senang apabila kita kembali ke tempat asalnya semula. Lantas, sekiranya dirasakan jiwa terasa jauh melayang, bawalah ia kembali pulang ke tempat asalnya. Hanya dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang.Begitu pesan Allah pada orang mukmin.Begitu juga saya mengingatkan diri. Moga resah tadi berganti tenteram.

MATA ALLAH : MANA LETAKNYA?

sebaik-baik pakaian adalah pakaian dalam solat”

Sebaik mana diri kita di pandangan manusia, belum tentu kita cukup baik di pandangan Allah jika kita terlalu menjaga kemuliaan diri di pandangan orang, sedang kemuliaan diri di pandangan Allah terabai. Adakah yang menilai amalan kita adalah manusia? Yang menentukan layaknya syurga dan neraka bukannya Allah?

Kerana itu juga saya sering mengingatkan diri, agar berhati-hati ketika beramal kerana takut amalan yang disangka pahala, layaknya menjadi dosa yang menggemuk. Begitu juga supaya jangan mudah terpengaruh dengan penampilan luaran seseorang. Boleh dikatakan, ketika di umur awal 20-an begini, kita kerap dirisik cinta lelaki. Ada yang membawa imej sebagai pendakwah. Ber ‘ana enti’ ketika berhubung dan kerap pula memberi tazkirah pada mulanya. Namun, tidak lekang pula untuk berhubung suara melalui telefon?

Tegas saya mengingatkan,

“ jika ingin memilih, bukan memilih pada pakaian berkopiah, berserban dan berjubah, bukan juga memilih pada kerapnya dia ke masjid, bukan pada akrabnya dengan Al-Qur’an, kalau kredit asyik kena top up kerana letih bergayut dan ber’sms’.

Tuhan, memang ada yang saya jumpa begitu. Tidak kurang juga bagi yang perempuan.Bahkan penting sekali untuk lihat pada muamalahnya dengan perempuan. Apabila dalam hal ini dia boleh membelakangkan Allah dengan memilih untuk berhubung dengan perempuan dengan imejnya sebagai seorang ustaz, saya boleh katakan, bersihkanlah hubungan atau untuk lebih selamat, berhenti sahajalah berhubung. Kerana Di mana letaknya pandangan Allah pada diri kita? Bukanlah saya ingin menghukum seseorang tetapi kita juga hak untuk menilai untuk kebaikan kita.

Apa yang saya boleh simpulkan untuk ingatan diri saya juga, agar berlaku ikhlas dengan Allah, dan pelihara hubungan dengan Allah dahulu kerana ia sekaligus menjadi manifestasi kepada hubungan sesama manusia. Suka saya analogikan, andai anda sudah banyak memberi pada seseorang lantas diri anda tidak lebih dicintainya, adakah adil namanya? Begitu juga Allah, berapa banyak pemberian yang diberikanNnya? Cukup sahaja kalau kita bayangkan sekiranya kita hilang hanya satu ibu jari. Boleh kita bekerja menggunakan tangan? Walau ingin memegang sebuah buku kita tidak mampu.

Jadi, kenapa perlu berpaling tadah mencintai yang lain?

BIARLAH DALAM MEMBERI

Seorang ustaz mengarahkan kami agar menyenaraikan 10 faedah yang kami dapat daripada pokok kelapa. Boleh dikatakan hampir kesemua yang hadir mampu menyenaraikan bahkan ada yang memberikannya lebih. Kemudian diarahkannya pula untuk menyeneraikan 10 faedah yang dapat diperoleh daripada diri kami untuk orang lain. Sungguh, paling banyak yang dapat ditulis adalah 2 sahaja. Maka, lebih baik membesarkan pokok kelapa daripada membesarkan seorang manusia yang berakal tetapi tidak dapat menyumbang apa-apa. Begitu katanya. Tersentak juga saya.

Lantas, saya mula berfikir-fikir, andai ditakdirkan saya meninggal dunia sebentar lagi, adakah saya punya saham di dunia untuk meringankan azab saya di kubur nanti. Adakah pemergian saya akan tidak dikisahkan orang kerana hidupnya saya tanpa memberi kesan kepada orang lain. Lantas sia-sia sahajalah menjadi manusia. Saya harus memberi pada orang. bukan untuk puji-pujian tetapi kubur saya nanti, siapa yang akan kisah, saya, saya yang harus menghadapinya. Bagaimana pula, di masyhar nanti,amal apa yang saya dapat persembahkan untuk membeli syurga Allah? anda juga tidak akan kisahkan saya andai saya tergulut-gulut mendengar penghakiman dari Allah.

Jadi, pilihlah cara bagaimana anda dapat memberi kepada orang. Menulis adalah suatu medan yang saya rasakan cukup baik untuk menjadi saham kita di akhirat nanti. Sekurang-kurangnya, ini satu cara kita untuk memberi kepada masyarakat dengan ilmu-ilmu yang ada. Selagi mana ilmu kita dibaca, selagi itu Allah mengambil kira sumbangan kita pada orang lain. Namun, jika anda seorang yang lebih berkemampuan, tidak kira dari segi wang, bakat, dan kedudukan, kesemua itu adalah kelebihan yang Allah kurniakan sebagai tanggungjawab. Bukan kemuliaan untuk bermegah-megah.

p/s : jangan mengharap kita sempurna segala, berilah ruang untuk terima kesalahan dan belajar daripada kesalahan kerana ia lebih membentuk peribadi. Ramadhan Kareem.

5 Pendapat:

Anonymous said...

Syukran atas entri ini. Macam bersambung dengan entri di StudioMuslim pula, 'Ibadah Itu Cinta'.

NuRizZ said...

afwan,
inspirasi daripada StudioMuslim mungkin.(",)

Raihan Mustafa KamaL said...

Iman kita seperti air yang panas yang menggelegak.

Kekdang naik dan kekadang turun.

Moga ditingkatkan iman dengan amalan.

Raihan Mustafa KamaL said...

Izzah, lain macam je bunyi..

hehee

NuRizZ said...

raihan,
hehe..lebih kurangla..
senang cerita iman ni macam graf. kadang naik kadang turun. sebab tu kita perlu tajdidkan niat.

Ramadhan kan datang bawa rahmat.=)