CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, December 29, 2008

.....LEBIH DARI DADAH!




Cinta itu macam dadah.

Saya ketap-ketap bibir. Sebulan lebih saya membiarkan weblog saya ketandusan. Setiap kali saya ingin mula menaip, hati saya jadi tepu. Tidak tahu mahu mula dari mana. Sebulan lebih saya rasakan seperti beraksi dalam sebuah teater. Atau seperti watak novel yang diadaptasikan ke dalam filem.

Cinta itu macam dadah.
Sekali ambil rasa macam ketagih sangat.
Sekali hilang rasa macam nak mati.

“ ukhti, ibunya minta aku nikahi dia. Mana mungkin ukhti, aku baru saja menikah sebulan yang lepas.”

Mata saya membesar. Apa sekarang saya sedang berhadapan dengan seorang Fahri? Saya minta diulangi kata. Mohonnya saya tersilap dengar.

“ benar ukhti, dia sudah tiga hari tidak makan, tidak minum, hatta tidak solat. Hanya dia menyebut-nyebut nama saya dan terus-terusan menangis.”

Khali. Saya sepi. Udara tiba-tiba vakum. Kalau boleh saya tidak mahu terlibat. Tetapi kerana kisah mereka ini hanya saya ketahuinya, apakah saya perlu mengendahkan. Saya mahu kepastian. Tidak lama, saya menghubungi ibu teman saya. Suaranya lemah dalam getar yang sangat saya mengerti. Dihulurkan telefon kepada teman saya yang terlantar.

Benar! Hanya dengar suara sendu mengulang-ulang nama akh tersebut. Saya jadi bingung. Sampai beginikah! Ibunya berbicara telus dengan saya. Satu permintaan yang maha berat yang pernah saya terima. Bahkan lebih berat dari meratakan gunung!

“ nak, pujuklah dia supaya menikahi anak saya. Makcik sudah cuba tenangkannya, tetapi masih juga begini. Sampai makcik juga berendam air mata dan tidak lalu makan. Tolong nak, makcik mohon.”

Mata saya basah. Sepertinya suara ibu saya yang merayu-rayu begini. Saya angguk. Memberi harapan semampu kudrat saya. Cuma, saya tetap mengingatkan makcik bahawa jodoh segalanya di tangan Tuhan. Kalau kita usaha macam mana pun, tetapi sekiranya telah Allah berikan jodoh yang lain, apalah daya saya menghalangnya.

Setelah itu jari saya hampir mendail nombor akh tersebut. Pantaskah untuk saya memujuknya sebagai memenuhi permintaan si ibu? Ini penyakit cinta! Apakah ubatnya juga hanya cinta? Bukan saya mengelak pernikahan ini berlaku. Ini soal hati. Hati seorang wanita yang baru benar dinikahi, tetapi harus berkongsi kasih saat mula menyemai cinta buat si suami. Saya pejam-pejam mata. Andailah itu saya. Saya terduduk. Jiwa saya bagaikan meluruh.

'izzah, mungkin punya cara yang lain. Bertafakkurlah dahulu.

Saya melangkah ke biliknya. Hanya kelihatan susuk tubuh yang kelayuan. Mata yang kehitaman sembap bekas rendaman air mata. Seluruh tubuhnya kelihatan tidak terurus. Ukhti, hanya kerana cintakah kau jadi begini ukhti. Bukan lagi sedih yang meraja di hati, tetapi rasa kesal dan marah mula menusuk-nusuk menghindar simpati. Saya kenalinya sebagai seorang pengamal agama. Yang sangat menjaga keterampilan seorang muslimah. Kadang-kadang bicara agamanya berbekas di hati. Tetapi, beginikah cinta menghumban ‘penganutnya’ sehingga hilang kewarasan?

Cinta benar-benar dadah. Ia membunuh!

“ Awak siapa…”

Berkerut kening saya. Saya kan temannya yang akrab. Apa sudah jadi ini. Suatu perkembangan yang amat memilukan. Hilang ingatankah?

“ Saya nak abang…nak abang….tolong, nak abang..” Seiring air mata membasahi bantal yang mengalasi kepalanya.

Saya memberikan taujih. Ukhti, bangunlah ukhti. Kepada siapakah ukhti berkorban sehingga ukhti gadaikan prinsip ukhti. Hanya kepada manusia. Kepada seorang lelaki yang tidak memberi apa-apa pada ukhti. Apa ukhti tidak redha dengan Allah? Allah telah tentukan dia dengan orang lain. Dengan orang lain ukhti. Dia dengan bahagianya meneruskan hidupnya dengan isterinya. Dan ukhti? Apa yang ukhti dapat? Membunuh diri kerana cinta yang paling rendah nilainya. Apalagi yang ukhti ingin korbankan? Cukuplah ukhti. Ukhti masih punya hidup yang menanti. Memusnahkan diri kerana cinta seperti menghumban diri ke dalam minyak panas yang mendidih lalu menghaguskan seluruh jasad ukhti.

Sakit ukhti. Terlalu perit.

Matanya terkebil-kebil. Kadang-kadang hanya memandang lama ke satu sudut. Linangan air mata kembali mengalir. Lebat dan lebih lebat.

“ nak abang..nak abang…”

Seakan suara rengekan anak kecil yang meminta-minta. Ini bukan dirinya lagi. Saya capai al-qur’an ke halaman surah Thaha. Kepalanya saya riba dan ubunnya diusap lembut. Ya, Allah, andai Umar telah kau lunakkan dengan ayat-ayat ini, apalah kiranya, lunakkanlah hatinya untuk menerima segala takdir hidupnya.

saya pimpinnya untuk berwudhu’. Segalanya saya harus ajarkan semula. Mengimamkannya solat seperti memandu anak yang belum baligh mendirikan solat. Sebaknya hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tuhan, apakah ini cinta ajarkan manusia? Sehingga rukun utama seorang islam itu langsung tergadaikan?

Cinta macam dadah. Menghancurkan! Meranapkan!

Hanya sesuap dua, saya hentikan suapan. Nasi berterabur di atas katil. Air matanya terus menjujuh turun.Nafas saya berat.

Saya capai handphone.

“ akhi, fikirkanlah untuk nikahi dia.”

Sunday, November 23, 2008

MALU UNTUK SEKEPING GAMBAR




# mungkin fokus tulisan kali ini adalah kepada wanita, tetapi saya sangat mengalukan pembaca muslimin yang mungkin dapat berperanan#


Hati saya tidak senang. Saya membuka beberapa frenster para sahabat untuk melihat perkhabaran sahabat-sahabat yang merantau jauh dari tanah air. Cumanya ada beberapa frenster yang membuatkan muka saya ketat lagi kelat. Ketat kerana melihat gambar-gambar mereka yang suka-suka ditayang-tayang tanpa rasa malu atau bersalah. Saya tidaklah kisah sangat andai yang membuat tayangan itu mereka yang tidak bertudung. Mungkin belum terlintas di fikiran mereka bahawa gambar seorang wanita itu terlalulah peribadi untuk ditonton umum.apatahlgi kalau orang boleh ‘grab’ tanpa izin.

Saya menjadi kesal dan terlalu ghirah kerana ia turut mendapat sambutan wanita bertudung litup dan lebih-lebih saya kesalkan mereka yang berniqab juga turut berjinak-jinak dalam kegiatan ini. Tujuan saya menulis entri tentang ini bukan kerana ingin memalukan mereka, tetapi saya sungguh-sungguh mahu memberi kesedaran kepada mereka, (jika bukan kalian yang terlibat, berpesan-pesanlah kepada ‘golongan’ ini.) tentang rasional dan logiknya menayang gambar sendiri di website atau di internet.

Pertama, tolong tanya hati, waktu anda dengan semangatnya mencari-cari gambar sendiri dengan pose yang menggiurkan, atau pose yang memfokuskan pada bahagian muka atau mata( bagi yang berniqab) untuk diletakkan di internet, untuk apa semua itu anda lakukan? Saya pasti jawapan hanya satu. Tentunya anda mahu dilihat orang. Inilah diri anda. Yang lebih bahaya lagi, anda pasti suka dikomentar :

“ comelnya awak”

“ geramnye..cantik”

“ aduhai, lawanya mata”


Setelah dikomentar begini hati berbunga-bunga riang. Kalau boleh dilihat bentuk hati, pasti sudah mengembang macam belon. Bagi kalian yang wanita, uhh, jangan dinafikan persaan ini. Saya juga wanita seperti anda. Siapa yang tidak suka dipuji? Rasa terlambung-lambung di awan bukan? Tapi awas, jika ini adalah tujuannya, ia melambangkan satu pemikiran mentah dan kurang matang anak-anak remaja yang baru hendak kenal dunia. Sedangkan umur kalian sudah di paras dewasa, bahkan dengan nilai agama yang ada, sepatutnya sudah cukup membentuk rasa malu dalam diri. Biar hanya malu untuk sekeping gambar.

Kedua, tolong tanya hati, di mana nilai diri anda? Kenapa begitu mudah menyepahkan gambar di internet untuk tatapan mata-mata yang tidak selayaknya melihat anda? Bagi yang berniqab,( maaf kerana hati saya jadi berang melihat kalian suka-suka hati pose dengan niqab yang dipakai dan difokuskan bahagian mata dengan pandangan yang menggoda), untuk apa kalian menutup muka jika asalnya ingin mengelakkan fitnah, tetapi akhirnya sampai jadi begini. Bukan setakat memberi fitnah pada diri sendiri, bahkan telah memburukkan imej wanita lain yang berniqab yang tidak terlibat dengan kegiatan kalian. Astaghfirullah. Maafkan saya jika ingin saya katakan, jika kalian masih terus begini, dipersilakan untuk tanggalkan niqab kerana fungsi niqab telah terhapus sepenuhnya!


Wanita Muslimah..Diri anda, telah Allah muliakan dan sucikan bahkan diberi darjat yang tinggi dalam Islam. Tetapi apa yang kalian telah lakukan? Memurahkan diri untuk berkongsi diri dengan mereka yang bukan muhrim walau hanya dengan gambar. Jujurnya, saya merasa ‘pelik’ dan terpaksa saya beristighfar apabila melihat gambar-gambar kalian kerana rasa ‘jelek’ telah mengotorkan hati. Tetapi apa saya boleh buat, kalian telah menjemput saya untuk berasa demikian. Logiknya memang begitu. Saya memohon, hadirkanlah walau sekelumit rasa malu untuk hal ini. Jika hati belum terasa apa-apa, timbangkanlah dengan logik, apakah harga diri yang telah kalian letakkan? Itu sahaja.

Akhir, maafkan saya. Seribu maaf andai teguran ini agak keterlaluan. Apa yang saya harapkan ada jiwa yang masih lembut untuk menilai inti tulisan saya kali ini. Wanita muslimah, saya merayu sekali lagi, sayangilah diri, cintailah diri, jangan dibiarkan diri kita menjadi bahan untuk dimaksiatkan. Lindungilah diri, jagalah diri. Diri kalian adalah milik diri sepenuhnya dan nanti akan menjadi hak seorang suami apabila disempurnakan akad. Segala kecantikan itu biarlah dijaga untuk lelaki yang nanti bergelar suami. Yang berhak segalanya atas diri kalian.

Sunday, November 16, 2008

MELANGKAHLAH WAHAI AT-TAAIBUUN!


“ Jika hambaKu ini datang menemuiKu dengan dosa sepenuh bumi, maka aku akan datang menemuinya dengan keampunan sepenuh bumi pula”

Bukan sengaja saya quote firman ini. Inilah sebuah catatan peristiwa yang ingin saya bawakan sepanjang 3 minggu saya membiarkan laman blog saya tidak terisi. Walaupun peperiksaan duniawi menuntut komitmen saya, tetapi suatu ujian telah datang meraih perhatian saya untuk mereguk hikmah yang sengaja Allah aturkan.

Ketika inilah saya dipertemukan dengan mereka yang telah jatuh tersungkur dihempap dosa besar, kemudian dengan sisa iman yang masih kasihkan Tuhan, merangkak bangkit menuju illahi. Biar seribu payah bertarung nafsu, biar luluh sumsum mendepani pamitan dunia, mereka dengan jerih menghulur tangan agar disambut cinta Sang Kekasih.

“ ukhti, Allah benar-benar sedang mengujimu. Allah sedang mula mencintaimu, Dia sedang mengambilmu kembali dari rangkul seorang manusia. Sekarang matanya sedang akrab melihat hatimu, adakah kau akan menolak cintaNya hanya kerana mahu mengejar cinta manusia yang kadang mengecewakan. Ukhti, kau harus buktikan pada Tuhan, yang kau sambut cintaNya dengan penuh rindu& syukur. Letakkan tanganmu di dadamu, kemudian bawalah ia ke urat lehermu.Sungguh, Dia telah hampir dalam jiwamu, bahkan lebih dekat dari urat lehermu.”

Mesej sent.

Seusai solat saya melirik mesej yang belum dibaca. Hati saya lalu dihambat debar yang menggila. Melihat namanya sahaja telah mengundang kegundahan yang makin merasuk jiwa. Apa khabar imannya? Apa khabar akhlaknya? Uhh, apa khabar aqidahnya? Hati saya makin runtuh membaca mesejnya. Rintih-rintih suaranya seakan menggamit-gamit telinga. Katanya dirinya amat lemah, dia tidak kuat untuk bertaubat. Bahkan hatinya seakan memanggil-memanggil menyerah pada dosa lalu. Kakinya seakan mahu menapak menurut nafsu agar hati puas menyantap dosa.

Apa yang harus saya lakukan? Andailah waktu itu saya di sisinya, sesaat pun tidak akan saya biarkan dirinya keseorangan. Akan saya hiburkan dengan janji Tuhan yang sentiasa menjanjikan keampunan bagi mereka yang inginkan cintaNya. Akan saya hembuskan kekuatan agar dia bisa teguh mengharungi jerat-jerat iblis agar tidak tewas. Ya Allah, aku sangat mencintainya, payungila dirinya dengan teduh kasihMu. Kerana itu, saya mengirim mesej ini. Ukhti, moga dirimu tahu, Tuhan lebih-lebih lagi menanti cintamu yang telah lama kau khianati untuk seorang Adam.

Oleh itu,

Duhai jiwa-jiwa yang bersih yang telah Allah anugerahkan taubat untuk kalian…kutitipkan kisah ini sebagai sumbu untuk kalian nyalakan sinar seorang muslim yang muttaqin lantas diangkat darjat yang paling tinggi sebagai seorang muhsin di sisi Allah.

Sahabat, kau pernah mendengar kisah seorang hamba Allah bernama Tsa’labah? Subhanallah, kisahnya telah kutemui dalam sebuah buku kecil ‘ kisah orang-orang yang bertaubat’ yang kubawa kemana-mana. pertemuan demi pertemuan dengan mereka yang pernah berbuat dosa besar telah menuntunku untuk lebih menyelami jiwa-jiwa mereka yang mahu bertaubat. Buku ini terlalu banyak mengilhamkanku untukku lebih memahamimu.

Tsa’labah itu adalah seorang pelayan Rasulullah. Suatu hari sahabat, Rasulullah telah menghantarnya ke suatu tempat untuk menyempurnakan sebuah tugasan. Ketika dalam perjalanannya dia telah melintasi sebuah rumah lelaki Ansar. Pada ketika itu, dia terpandangkan aurat seorang wanita Ansar yang berada di dalam rumah tersebut. Maka seketika, rasa takut dan gerun mula menyerbu hatinya. Tsa’labah khuatir jangan-jangan Allah menurunkan wahyu kepada NabiNya atas sesuatu yang dia tidak sengajakan. Justeru, sambil memegang wajahnya, Tsa’labah berlari menuju ke sebuah gua antara Mekah dan Madinah dan masuk ke perut gunung tersebut.

Rasulullah tiba-tiba kehilangan Tsa’labah selama 40 hari. Setelah itu, Jibril telah datang menemui Rasulullah dan memberitahunya bahwa Allah berkirim salam kepadanya dan mengkhabarkan bahawa salah seorang pemuda dari umatmu sedang berada di sebuah perut gunung, memohon keampunanKu. Tanpa menunggu lagi, Rasulullah telah menghantar Umar dan Sulaiman ke gunung tersebut dan membawa Tsa’labah kembali kepada Rasulullah.

Kedua-duanya pergi mencarinya dan terjumpa seorang pengembala bernama Dzuhafah. Lalu ia bertanya,:

“ Adakah kamu melihat seorang pemuda yang bernama Tsa’labah di sekitar gunung ini?

“ Mungkin kamu sedang mencari seseorang yang lari dari azab neraka?

“ Bagaimana kamu mengetahui tentang itu?”

“ Kerana jika malam tiba, ia akan keluar dari tempat persembunyiannya sambil meletakkan tangan di kepalanya dan berseru:

“ Wahai, mengapa tidak Engkau cabut sahaja rohku, dan cabut sahaja jasadku dari kumpulan roh dan jasadku. Mengapa Engkau biarkan aku sendiri?’”

Lalu pada malam itu mereka pergi menanti di pintu gua tempat Tsa’labah berdiam. Apabila tibanya malam mereka melihat sepertimana yang diceritakan Dzuhafah. Umar segera mendatangi dan memeluknya. Seiring itu, Tsa’labah dengan sendu bertanya:

“ Apakah Rasulullah telah mengetahui dosaku?”

“ Aku tidak tahu. Tetapi semalam Rasulullah menyebut-nyebut namamu dan meminta kami mencarimu.”

“ Hai Umar, janganlah kamu membawaku menemui Rasulullah kecuali dia sedang solat.” Pinta Tsa’labah sesunguh-sungguhnya.

Mereka sampai ke masjid ketika subuh berkumandang. Umar dan Sulaiman terus memasuki saf solat sementara Tsa’labah tiba-tiba pengsan apabila mendengarkan ayat-ayat yang dibacakan Rasulullah. Setelah Rasulullah memberi salam, baginda terus menggerakkan Tsa’labah dan dia tersedar.

Mengapa kamu menghilang wahai Tsa’labah?”Tanya Rasulullah dengan penuh kasih.

“ Kerana dosaku wahai Rasulullah.”

“ Mahukah kamu jika aku tunjukkan satu ayat yang apabila kamu baca akan menghapuskan seluruh dosamu?”

“bacalah!”

“ Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.!”

“ Dosaku lebih besar ya Rasulullah.” Lirih suara Tsa’labah apabila mendengar ayat yang dibacakan Rasulullah.

“Tidak Tsa’labah. Kalam Allah lebih besar”.

Kemudian Rasulullah memerintahkannya untuk pulang ke rumah dan diberitakan bahawa Tsa’labah telah menderita sakit selama 8hari. Dia hampir saja mati atas dosa yang dilakukan. Dengan segala sifat kasih-sayang beginda, Rasulullah pergi menziarahinya dan baginda mengangkat kepala Tsa’labah dan meletakkan di pangkuannya. Setelah itu, Tsa'labah menarik kembali kepalanya dari pangkuan Rasulullah.

“Mengapa kamu menarik kepalamu dari pangkuanku hai Tsa’labah?” Tanya Rasulullah bingung.

“ Wahai hati dan diri yang bersih, kepalaku penuh dosa-dosa”

“ Tsa’labah, apa yang kamu keluhkan?” Soal Rasulullah melihat tindakannya begitu.

“ Seakan seekor semut berjalan di antara tulang, daging dn kulitku.”

“ Apa yang kamu ingin minta wahai Tsa’labah?”

“keampunan dari Tuhanku” Suaranya telah hampir tidak kedengaran.

Maka setelah itu, Jibril pun turun dan mengatakan :

“Ya, Muhammad, Tuhanmu berkirim salam untukmu, dan ia berfirman : Jika hambaKu datang menemuiKu dengan dosa sepenuh bumi, maka katakanlah, Aku akan datang menemuinya dengan keampunan sepenuh bumi pula”

Maka setelah dibacakan kepada Tsa’labah, dia terus berteriak kuat dan meninggal ketika itu juga.

Setelah kejadian itu, Rasulullah memerintahkan untuk memandikannya dan mengkafankannya. Setelah baginda selesai mensolatkannya, Rasulullah pergi berjalan dengan berjinjit di atas jari-jari kakinya menghantarkan jenazah Tsa’labah ke perkuburan. Setelah Rasulullah mahu pulang, orang-orang bertanyakan akan perbuatannya berjalan berjinjit.

Maka sabda Rasulullah :

“Demi Dzat yang mengutusku sebagai Nabi! Aku tidak mampu berjalan di bumi secara sempurna kerana banyaknya malaikat yang datang untuk mengiringi jenazah Tsa’labah.”

Lihatlah sahabat! Inilah sebuah kisah seorang yang begitu menyesali dosa yang dilakukannya dan telah Allah muliakan jasadnya dengan mengirim selautan malaikat untuk mengiringi jenazahnya. Lihatlah juga bagaimana kasihnya Allah kepada hambaNya dengan membersihkan seluruh jasad dan hati seorang hamba yang berdosa dengan siraman keampunanNya. Kalian tidak terkecuali untuk menjadi sesuci Tsa’labah. Hanyalah kalian perlu bertaubat! Dia tidak minta lebih daripada itu. Selangkah kalian mendekatiNya, seribu langkah Allah berjalan mendekatimu! Itulah tanda cinta Allah kepadamu.

Tuesday, October 28, 2008

MAAFKAN AKU TUHAN - Siri akhir



“Tahniah Ell, kan sudah saya katakan , kamulah pemuda harapan Jesus, darjatmu pasti diangkat di sisi Jesus.” Pope Olmert tersenyum melihat borang-borang permohonan tukar agama di tangan Ellyeash. Tidak rugi dia mencetak beratus-ratus Bible untuk merasuk penduduk kampung seterusnya memisahkan mereka daripada Islam. Kericuhan mereka dalam menyuntik fahaman-fahaman Kristian sudah nampak hasilnya dan esok hari yang dinantikan untuk membaptis kambing-kambing Islam yang kini tidak lagi elergi lagi dengan air dosa.

“ Perempuan yang kau ceritakan tempoh hari bagaimana?” Kesabaran Pope Olmert seakan runtuh. Akan digandakan habuan Ellyeash andai perempuan itu berjaya dimurtadkan.

“Siapa? Naurah?” Pope Olmert mengangguk.

“ Hmm, perempuan-perempuan lain sudah berjaya saya murtadkan hanya dengan satu ciuman, tapi perempuan ini sumbunya tak mudah terpadam, namun apa yang saya nampak sekarang, nyalaan cinta saya sudah menjadi minyak sumbunya.” Ellyeash berkias. Bukan sekadar kiasan kosong. Naurah kelihatan semakin lekas percaya pada setiap kata-katanya. Cinta omongannnya hampir bersambut!

“ Bagus, pastikan esok dia bersama kita di gereja.” Pope Olmert membisik sepantas itu tangannya dihulur. Sampul biru berpindah tangan. Naurah betul-betul rezekinya.Pasti.

* * *

“ Naurah, kau sudah fikir sehabis baik?” Aku memecahkan kesepian. Naurah sedari tadi bungkam. Bisu. Dia tiba di rumah Naurah sejurus menerima panggilan Naurah yang terlalu muhim baginya. Akidah yang membezakan kafirnya seseorang.

“ Ellyeash ingin memeluk Islam andai aku menerimanya”

“ Kau yakin? Orang Kristian ni terutama yang menjadi aktivis gereja, ada agenda sendiri, Al-Qur’an ada mengkhabarkan :

“…. mereka ini ingin kamu menjadi kafir sebagaimana mereka menjadi kafir, sehingga kamu menjadi sama seperti mareka, janganlah kamu jadikan antara mereka sebagai teman-temanmu, sebelum mereka berpindah ke jalan Allah…” (An-Nisa’:89)

“ Entahla, kalau ini adalah peluang aku untuk membina sebuah mahligai di syurga, aku tak mahu menyesal nanti.” Naurah cuba mencari alasan supaya aku memihaknya.

“ Hmm, atau sebenarnya cinta Ellyeash sudah menebak hati kau sehingga kau becus mencari alasan untuk membelakangi mafhum ayat ini?” Sungguh, aku agak kecewa dengan sikap Naurah sekarang.

“ Mungkin juga, tapi itu bukan bererti aku beralasan Rif..”

“ Naurah, aku nak kau menimbang dengan akal bukannya hati, aku mau kau ingat kembali bagaimana kau selamatkan sahabat-sahabat kita yang hampir sama dilemmanya seperti kau.” Aku menamatkan kata. Getar suaraku kerana sebaknya hati. Tubir mata Naurah mula berkaca. Menangislah andai ia satu penyesalan.

* * *

Pope Olmert sudah menanti di gerbang gereja. Sebuah bas disewa khas untuk meraikan upacara pembaptisan memakir . Naurah diburu debar yang menggila. Dilihatnya daripada jendela bas, sekumpulan paderi sedang berbaris menyanyi untuk menyambut mereka. Ellyeash setia di sisi Naurah meredakan resah yang yang bertamu sejak tadi. Dalam hati Ellyeash, ini adalah kemenangan yang terhebat baginya. Meleburkan pegangan seorang wanita seperti Naurah bukanlah mudah.

Tetapi memang benar apa yang dicanangkan manusia, cinta dapat mengubah segalanya. Naurah menapak melangkah ,angin pagi yang menyerbu di setiap penjuru gereja bagai menghambat kekacauan yang menyerang perasaannya. Ellyeash tanpa segan memimpin tangan Naurah menuju ke anjung gereja. Kelihatan replika Jesus terkulai di tiang salib megah di hadapannya.

“ Jangan risau,hanya untuk sementara. Selepas ini, kita akan daftarkan perkahwinan. Ikut cara Kristian mudah. Kemudian kita akan sama-sama menjadi Islam.Senyumlah sedikit. Inikan impian kita.” Ellyeash cuba menghembus keyakinan dengan nada yang memujuk. Secangkir senyuman terhias di wajahnya. Suara Ellyeash bagaikan penawar gundahnya. Naurah melangkah menghadap Pope Olmert.

“ Naurah!” sekuat mungkin aku melaung. Air mata yang menjujuh turun sedikit tak kuhiraukan. Pegawai Agama kerajaan negeri tangkas mengepung seluruh kawasan gereja. Kesemua paderi diawasi pergerakan mereka dan ditahan. Aku melihat Naurah masih kaku. Matanya basah melihat Ellyeash dibawa pergi. Kemudian Naurah jatuh melutut. Tangisnya bergema mengegarkan gereja.

Rif, maafkan aku…”

“ Bukan aku, Allah..” pelukannya semakin erat dalam sendu yang tak tertahan. Katarsis ini yang paling aku dambakan. Syukur.

- end-

Monday, October 20, 2008

MAAFKAN AKU TUHAN : Siri 2


gambar hiasan

“ Kamu berpegang dengan konsep the atonment?” Naurah sengaja menangkis dengan soalan. Ellyeash kelihatan tersentak dengan pertanyaan yang padu dari Naurah.

“ Bagaimana kamu tahu akan konsep itu. Itu adalah salah satu prinsip penganut agama Kristian?” Naurah sedikit tertawa. Sungguh dia nampak Ellyeash seakan tergulut-gulut dalam berkata.

Ada kamu beriman dengan konsep tersebut. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat?”

Ellyeash sendiri akur, kebanyakan penganut Kristian sendiri tidak mengetahui prinsip-prinsip dalam agama yang dikatakan daripada Al-Masih ini.

“Sudah tentu, setiap apa yang kita akukan pasti ada balasannya daripada Tuhan.”

“ Menutup aurat adalah satu perkara yang baik maka seperti jawapan kamu, Allah pasti membalas baik pada mereka yang menutup aurat.”

“ Maksud kamu, kamu mengimani prinsip kami?” Ellyeash seakan teruja seolah-olah Naurah bakal terperangkap dengan pertanyaannya kali ini.

“ Jauh sekali kami untuk mengimani prinsip agama kamu, sedangkan yang datang menyempurnakan agama kamu adalah Muhammad sendiri, bukannya Paul yang didakwa oleh kebanyakan penganut Kristian sebagai Nabi yang terakhir.” Kelegaan yang jarang terasa terhambur dari dalam diri Naurah. Saat sebegini yang dinantikan untuk menyedarkan pengikut Kristian yang taksub membuta tuli dengan pengasas Kristian,Paul. Dalam Bible Old Testament Jesus ada mengatakan akan datang seorang nabi akhir zaman sebagai penyumpurna agama, dan dalam Bible versi Hebrew menyebutkan perkataan Ahmad adalah nabi tersebut.” Naurah berjeda sebentar. Melihat wajah Ellyeash kelat menelan hujahnya, dia tidak berhajat untuk menyambung bicara.

Ellyeash seakan terpaku, tidak berkedip dia memandang Naurah. Wanita ini ada misinya tersendiri. Ilmunya mengenai agama Kristian bakal menikam dirinya sendiri.

“Sebelum kamu pergi, cuba renungkan asal kisah hidup Jesus sendiri dengan logiknya kewujudan agamamu.” Naurah berlalu menatang dulang ke dapur sejurus Ellyeash meminta izin untuk pulang. Terasa sempit dadanya memikirkan setiap patah ayat Naurah.

* * *

Entah mengapa penganut Kristian yang menjadi aktivis gereja masih degil mempertahankan kebenaran ajaran-ajaran agama mereka sekalipun beberapa kajian teologi sudah membuktikan ketidakwajaran kewujudan agama ini. Benarlah apa yang telah disebut Allah dalam Al-Tanzil :

…dan kami menjadikan hati mereka tertutup sehingga mereka tidak memahaminya dan telinganya tersumbat. Adakalaupun mereka melihat segala tanda kebenaran, mereka tetap tidak mahu beriman kepadanya…(Al-An’am:25)

Naurah mencapai buku ‘The Comparative of Religion’ di atas meja studinya. Jesus adalah berdarah Yahudi dan diutuskan kepada masyarakat Yahudi, kehadirannya disambut gembira oleh puak-puak Yahudi. Golongan yang beriman kuat dengan Taurat ketika itu menganggap Jesus adalah nabi yang terakhir yang datang dari golongan mereka. Setelah melihat Jesus menyampaikan dakwahnya yang dirasakan amat berlainan dengan amalan-amalan puak-puak Yahudi, mereka mula merasakan bahawa Jesus adalah Yahudi murtad. Jesus melarang segala amalan riba yang telah menjadi periuk nasi bagi golongan Yahudi ini sehinggalah Jesus dipulau ke Jurusalem.

Dan di situlah Jesus menyambung dakwahnya bersama sahabat-sahabatnya yang setia seperti Judas. Judas yang dianggap seperti ‘Abu bakar’ kepada ‘Muhammad’ telah mengkhianati Jesus dengan membocor rahsia tempat persembunyian Jesus kepada pemimpin Yahudi. Akhirnya Jesus ditangkap, disiksa sekejam-kejamnya dan disalib di Galgotha. Bagi Jesus, penghantarannya ke bumi adalah untuk menebus dosa Adam ketika di syurga dahulu. Dan barangsiapa yang menghirup darah Jesus maka mereka dapat membersihkan segala dosa seakan bayi yang baru lahir. Holywater yang dimaksudkan itu dikatakan darah Jesus. Itulah sejarah yang diselewengkan.

Naurah kemudiannya memandang kosong muka surat tersebut. Sesekali terlayar-layar wajah Ellyeash memenuhi setiap sudut pandangannya.

“Ellyeash,Ellyeash..kau sepatutnya lebih tahu daripadaku..”

* * * * *

Sudah hampir semiggu aktivis-aktivis gereja itu menyelami kerenah masyarakat kampung. Semakin galak mereka menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan mereka. Licik sungguh! Setelah orang kampung diampu dengan kemewahan dan pertolongan yang melimpah, kini mereka dijujuh dengan ideologi-ideologi Kristian dengan membangkitkan isu hak kebebasan. Kebebasan untuk bertelanjang! Kebebasan untuk berpesta arak dan seks! Kebebasan untuk memilih agama! Murtad! Fahaman bahawa “ buatlah apa sahaja yang anda suka, asalkan tidak membahayakan orang lain, itu adalah hak kita ” saban hari menebarkan remaja yang bejat jati dirinya, hilang budaya dan uruf Islami yang sering dimahkotai masyarakat Melayu. Dan selama itu jugalah Naurah sering bertemu Ellyeash merungkai segala kusut kepalanya tentang kebenaran yang cuba dicarik Ellyeash kemudian sedaya mungkin dicantumnya seolah-olah cahaya Islam itu ada cacatnya. Terasa pegangannya dicabar oleh kesungguhan gereja menyebarkan dakyah-dakyah mereka.

Namun Ellyeash bijak meleraikan dengan kekagumannya ke atas nilai-nilai Islam dalam diri Naurah. Pernah jua Ellyeash menzahirkan hasratnya untuk memiliki Naurah dan bersedia mentalakkan agama Jesus. Mudahnya! Benar, ini awal kali dia begitu akrab dengan lelaki, julung kali jiwanya diketuk cinta lelaki yang sebenarnya menjadi kegilaan pemudi-pemudi kampungnya. Ellyeash pula kelihatan tidak gersang dengan ilmu Islam dan yang perlu sekarang, Islamkan Ellyeash! Mengapa tidak mungkin kerana cinta maka bertambah saudara baru, itu cuma perantaraan. Keikhlasan sebetulnya boleh dibenihkan dan mungkin subur layaknya sebagai pemuda Islam.

bersambung...

Tuesday, October 14, 2008

MAAFKAN AKU TUHAN


Assalamu'alaikum, Salam Eid Mubaarak buat semua. InsyaAllah, untuk susulan entri yang seterusnya, saya akan sirikan sebuah cerpen yang saya tulis bagi mengisi kesibukan saya menghadapi final exam tidak lama lagi. Agak tidak sempat untuk saya garapkan idea-idea untuk dikongsi bersama kalian semua. Mudah-mudahan, ada sesuatu yang boleh kalian iktibarkan daripada cerpen ini yang saya adaptasikan daripada sebuah kisah yang benar-benar berlaku.

SELAMAT MEMBACA! =)

Oleh : Nurul 'Izzah Zainol

Cinta itu perang. Perang yang hebat dalam rohani manusia. Bila jiwa yang suci beroleh kemenangan , kelak akan didapati seseorang yang tulus ikhlas, luas faham, sabar dan tenang hati. Jika ia kalah , ia akan didapati seorang yang putus asa , sesat dan lemah hati. Bahkan kadang-kadang hilang kepercayaan pada diri. ~hamka~

Naurah!

Dirimu tahu, cinta itu terlalu suci. Tempatnya hanya layak berteduh pada hati-hati yang tahir. Jauh daripada segala palitan dosa yang membutakan setiap hati yang dirasuk cinta yang bertuankan nafsu.Aduhai hati! Bagai tasik yang tersirat segala macam isi di dasarnya.

“ Kenapa kau perlu gadaikan akidahmu?”

“ Tidaklah sampai ke situ aku fikir Rif, aku percayakan ketulusan hatinya untuk mendekati Islam, bukankah dakwah itu kewajipan setiap antara kita.”

Naurah!

Aah! Kau bukannya perempuan yang tidak mengerti tipu daya si kafir. Bukan dulu kau yang aktif dalam gerakan memburu murtad di daerahmu. Bicaramu galak menghentam rancangan kotor gereja berjaya menyelamatkan beberapa orang azhariah kita yang hampir layu dihisap cinta kumbang-kumbang kafirun itu. Aku ingat lagi, kau berhempas pulas siang malam menyiapkan risalah-risalah untuk memancing kembali hati-hati mereka yang hanyut dijaring gagak-gagak hitam itu. Kau akhirnya dituduh ekstremis, hingga digantung studimu. Namun kau masih tega dengan manhajmu, katamu, selagi mana hati ini disimpul dengan satu syahadah yang sama, kau tidak akan berhenti menyerah keringat dan nyawamu demi Islam! Aah, Naurah! Hebat peganganmu!

Aku mengerling ekor mata bundarnya. Pandangannya tertunduk ke permaidani di kamar kecil kami. Khali. Aku tahu, hatimu pertama kali dirisik cinta daripada lelaki, dirimu terbuai dijirus madah bicara Laila buat Majnun, dirimu sudah mula impikan sebuah Taj Mahal lambang kesucian cinta Shahjahan buat Mumtaz.

“Maafkan aku, aku cuma tak sanggup kehilangan saudara seakidahku lagi.”

Sejujur mungkin kususun kata. Kebimbanganku bukannya tidak berasas. Berapa ramai saudara kita dijerat Barat, lantas sekarang ada yang bangga menjadi aktivis gereja. Bahkan sanggup meludah kepada masjid!

“Kau terlalu pesimis. Salahkah aku untuk beri peluang pada Ellyeash?”

Naurah mencerlung wajahku menanti hujah yang difikirnya pasti positif. Namun aku sepi seketika. Sebijak mungkin aku kumpulkan kata yang paling afdal agar fikirannya tidak muktamad.

“Kadang-kala peluang itulah yang bakal membunuh kita.” Balasku.Ringkas. Mengertilah wahai sahabat!

* * *

Ellyeash melirik ke sampul biru di atas meja pejabatnya. Fikirannya ligat mengatur strategi agar isi dalam sampul itu terus menjadi habuannya. Tetapi, tidak semudah itu!

“Ellyeash.” Pope Olmert merintis kata. Lama disasarnya peluang sebegini. Seusai sahaja perhimpunan gereja sebentar tadi, Pope Olmert pantas mengejar kelibat Ellyeash agar pemuda bermata hijau itu dapat disuguhkan sesuatu. Huh! Dasar Kafir!

“ Bagaimana? Kamu boleh lakukan?” Pope Olmert mencerlung wajah Ellyeash, ada lesung pipit yang terbentuk semulajadi di kedua-dua belah pipinya. Kelihatan Ellyeash buncah dalam membalas soalan yang agak runyam baginya.

“ Tiada apa yang susah Ell, kita pun tahu apa kelemahan orang muda sekarang. Suntik sahaja dengan jarum cinta, pasti terasa gian mereka menagih perhatian daripadamu.” Pope Olmert begitu yakin meredakan gundah yang bergelora dalam hati pemuda harapannya. Secalit senyuman terakam di wajahnya. Ellyeash, pemuda kasanova, sudah dua tahun mengkhianati Islam, kini hatinya kuat ditanggam gereja untuk terus memurtadkan sebanyak mungkin orang Islam. Pakej lengkap sebagai seorang lelaki ‘sejati’ sudah cukup untuk menanarkan setiap mata wanita yang memandangnya.

“ Saya akan cuba, tetapi bagaimana saya harus mulakannya?”

“Ambil ini, untuk harga seorang perempuan Islam” Sampul biru dihulur kemas ke dalam genggaman Ellyeash.

“ Minggu depan kita akan bergerak ke satu kampung. Di sana ramai penganut-penganut Islam yang dungu agamanya. Islam hanya sekadar nama. Kita akan memberi bantuan kebajikan sebaik mungkin kepada semua penduduk kampung. Dalam masa yang sama, sebarkan agama kita, itu misi utama sebenarnya. Murtadkan.” Pope Olmert merendahkan suara pada ayat akhir. Serasa satu arus perasaan yang menyelinap masuk ke segenap urat sarafnya. Rancangan kali ini pasti membuahkan hasil. Bukan susah merasuah mereka dengan hiburan! Cinta apatahlagi!

Ellyeash mengangguk . Keningnya dikerut beberapa kali. Mampukan dia? Memang benar kata Pope Olmert, pemuda Islam ini hanya perlu disuguhkan dengan kebendaan, dicucur dengan hiburan yang mengasyikkan, dibutakan dengan perempuan-perempuan yang berpakaian tidak cukup kain. Hanya itu, akidah mereka terjual !

Ellyeash semakin percaya pada diri. Dipaterikan kasadnya itu agar tidak lekas runtuh ripuk dirayu kewalahan hati.

* * *

Naurah membaringkan diri di atas katil. Semacam ada suatu rasa yang tidak enak menyerbu jiwanya. Mengapa baik benar kumpulan gereja itu menghulurkan bantuan kepada masyarakat kampungnya. Mereka begitu mesra dengan orang kampung dan sering pula mengikuti majlis-majlis agama di surau . Golongan tua yang sakit diberinya rawatan segera dengan menanggung kos perubatan, anak- anak kecil dibelikan barangan mainan yang pastinya membuatkan tawa mereka tak sudah. Tidak lupa dengan golongan remaja,berdarah muda, taksub mencari identiti masing-masing, disuap dengan wang kertas ungu yang berkeping-keping. Bau duit itu yang mereka tagihkan untuk merasai kesenangan hidup. Kini segalanya berada di tangan, mahu ke wayang? Beli arak? Berjudi? Hingga melacur perempuan? Terlalu mudah bagi mereka.

Desah nafas Naurah semakin sempit apabila fikirannya singgah teringatkan mujadalahnya dengan seorang pemuda Kristian yang baginya ada lagak seorang bintang Hollywood. Ellyeash. Unik namanya.

“ Cantik agama Islam ini ya, secantik penganutnya.” Ellyeash mula memasang pukat helahnya. Mudah-mudahan tergoyah juga wanita bertudung litup di hadapannya. Umpan sahaja dengan puji-pujian, perempuan mana yang tidak suka! Bahkan rasa terlambung-lambung di awan putih. Namun Naurah sengaja mematikan deria dengarnya walaupun hati perempuannya sedikit terusik.

“ Benar, Islam satu-satunya agama yang paling sempurna,” Hanya sekadar Naurah membalas. Belum berani dia bertentang mata dengan lelaki itu. Syaitan tidak pernah mengalah!

Ellyeash mengangkat sedikit keningnya, bibirnya mencebik dan terbuhul senyuman nakalnya. Akalnya ligat menyeluruhi watak wanita di hadapannya. Tidak sama dengan wanita-wanita lain. Racangannya harus lebih bijak.

“ Hmm, mengapa ya kamu bertudung? Menutupi hampir seluruh tubuhmu? Tidakkah agamamu menyekat kebebasan dan hak kamu sebagai satu ciptaan yang maha hebat?” Ellyeash sebenarnya agak ruwet dengan jawapan yang bakal dilontarkan Naurah. Wanita itu kelihatan tenang.

BERSAMBUNG....