CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, February 9, 2009

DIA...ADA SESUATU PADANYA...


Dia. Hanya berpakaian sederhana. Jarang berkopiah. Apatahlagi berjubah berserban. Dia bukan pemuda yang petah melontar dalil dan menyusun hafalan surah apabila menjadi imam. Dia. Pemuda bukan aktivis dakwah, mengikut liqa’ atau mengurus liqa’. Dia bukan jua pemuda yang bertimbun kitab untuk ditelaah lalu dimaknai isinya. Dia, seorang yang kurang katanya. Lagi kurang guraunya. Sekadar bibir yang mengukir senyum sebagai sapaan ramah buat yang tidak dikenali. Dia. Bukan juga pemuda yang ditangannya akrab dengan Al-Qur’an atau tasbih sebagai peneman sunyi.

Tetapi. Pada Allah. Dia adalah seseorang. Mungkin pada manusia dia adalah pemuda biasa yang tidak menyumbang apa-apa kepada agama. Tetapi bagi sesiapa yang pernah mengenalinya, mendengar susun bicaranya, melihat kelurusan akhlaknya, tahulah dia, pemuda ini, ada luar biasanya yang harus dipergurui oleh sekelian kita. Ini, sebuah cerita dari seorang daei yang pernah berteman dengan seorang pemuda yang rendah hatinya tetapi tinggi sekali pekertinya..

Suatu ketika. Dalam keghairahan menikmati hidangan di sebuah restoran, tumpuannya terganggu sebentar. Seorang anak kecil dengan pakaian comot menghulur tangan gelapnya kepada adik si pemuda. Lalu tidak diendahkan adiknya. Bahkan diteruskan suapan demi suapan sehingga menjadi iri si anak itu.

“ Adik, berhenti sekejap tak boleh ke? Susah sangat nak bagi duit sikit kat budak ni?”

Suapan adiknya terhenti. Ada hati yang rasa terpukul. Pemuda itu mengeluarkan sesuatu, menggengam telapak tangan si anak lalu menyuruhnya pergi. Berlalulah si anak dengan selebar senyum yang cukup manis.

Suatu waktu. Seorang daei berasa sangat lelah. Ujian yang menghampar bagai menggoyahkan kesungguhannya untuk terus berdakwah. Saat itu, seorang daei membawa diri. melangkah ke arah suatu jalan yang tidak pasti bagi menghamburkan kekacauan jiwa yang mengasak dada. Sungguh, daei ini memerlukan penyangga untuknya berpaut kembali kepada tali Allah. Namun, di mana daei ini mahu mencari pautan agar dia tidak terhumban ke dalam gaung si futur?

“ Daei, jalan dakwah perlukan fokus. Perlukan kejelasan kepada apa yang ingin dicapai. Kerana foKus itu akan membuat kita tidak nampak halangan di sekeliling. Andai ia dirasai, ianya hanya sekadar satu permainan yang perlu dilalui untuk mencapai matlamat. Halangan itu macam hiasan. Tak cantik kalau jalan dakwah ini lurus sahaja. Perlu ada bumpernya. Perlu ada selekohnya. Kadang-kadang kita terjumpa jalan mati. Tetapi kerana fokus itu mahu sampai ke destinasi tujuan, ah, pedulikanlah apa yang merintang!"

Si daei merasa hidup. Menyusup-nyusup kata si pemuda lalu mengembang dalam hati. Semangat yang luar biasa menyumsum dalam ke tulang belulang. Ya, daei ini ketemukan puncanya. Fokus ya daei! Jelas ya daei! Pedulikan apa yang merintang! Daei ini lalu tersenyum, langkahnya kini mantap!

Suatu kisah. Si daei menjadi bingung. Dia harus berhijrah tempat kerana tuntutan tarbiyah. Sedangkan teman setempatnya bagai dirasakan darah daging sendiri. Maha berat untuk berpisah. 4 tahun kebersamaan telah menjalinkan hati mereka bagai suatu keluarga yang dikenali rakan sekuliah sebagai 5 sekawan. Ah, daei ini lelah kembali. Bukan dirinya lemah, tetapi ada dua hak yang harus dipenuhi. Andai dia berhijrah, ke mana hilangnya nanti ukhwah dan kasih yang telah merimbun rendang? Adakah kelak akan berguguran menjadi dedaun kering sehingga tumbanglah pohon ukhwah? Tetapi, tuntutan tarbiyah itu mahu letak di mana?

“ Daei, pernah dengar kisah Muaz bin Jabal bukan? Lihat, betapa jauhnya jarak jasadnya dengan Rasulullah. Dia dihantar ke Yaman kerana tuntutan untuk mentarbiyah umat. Apa pudar kasihnya buat ang Rasul? Apa putus kecintaan antara mereka walaupun dia tidak sempat melihat Rasulullah wafat? Bahkan, saat wafatnya sang Rasul, baginda telah mengirimkan semulia salam buat Muaz bin Jabal dari seorang yang sedang menantinya di syurga."

Si daei dipasak yakin. Dia sudah memilih. Tiada lagi belah bahagi. Hanya satu. Memilih tarbiyah bererti akan memiliki segalanya. Tiada ukhwah yang akan terkorbankan. Yakinlah!

Suatu cerita. Si daei itu mahu bercerita lagi. Tetapi ini semacam rahsia. Rahsia yang terbuka. Syaratnya susuk si pemuda harus didiamkan.

“ Kalaulah pemuda ini diundang Allah ke syurga, pastinya kerana kemurahan hatinya seperti Abdur Rahman bin ‘Auf itu tiketnya”. Begitu si daei mengeluarkan rasanya. Cerita si daei, ada satu soalan yang kerap ditanya si pemuda.

“ Ada sesiapa yang perlukan Al-Qur’an?”.

Itu sahaja yang kerap ditanya. Seperti biasa. Akaun bank si daei akan terisi. Amanah yang telah menjadi rutin daripada si pemuda buat si daei. Belikan seberapa banyak Al-Qur’an yang boleh. Sedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Bayarannya, harus selalu membaca Al-Qur’an. Jangan tinggal! Sampai sekarang ini, cerita si daei, sudah berpuluh Qur’an menjadi hadiah buat teman-teman si daei.

“ Jangan diceritakan siapa yang beri. Katakan sahaja sedekah dari masjid atau apa.”

Pernah suatu peristiwa di malam Ramadhan. Seorang teman merapati si daei. Teman itu mencari jika ada Al-Qur’an yang mahu dijual. Dia mahu membeli. Ah, kebetulan sekali fikiran si daei ligat memerhati tetamu masjid yang mungkin menjadi sasaran untuk disedekahkan Al-Qur’an daripada si pemuda. Dengan senang hati, si daei menghulurkan Al-Qur’an diari buat sang teman. Ambillah, bukan dari saya ya. Sang teman bergenang air mata. Setelah syarat dipersetujui, sang teman melabuh duduk di saf hadapan.

Malam makin merangkak. Namun, masjid tidak sunyi dengan suara-suara tetamu Allah yang sedang beriktikaf. Apa yang mengharukan, hampir 4 jam sang teman asyik membaca Al-Qur’an. Dari jauh si daei memerhatikan, sehinggalah si daei dan sang teman bertemu di saf untuk qiyam bersama.

Sungguh! Pipi si daei panas dengan air mata. Hatinya tertunduk malu dengan si pemuda. Lihatlah! Itu baru seorang yang mengamalkan Al-Qur’an pemberian si pemuda! Ya Allah, pemuda seperti apakah telah kau datangkan kepadaku?

Kata si pemuda lagi, biar pahalanya tidak terhenti ketika dia sedang tumpu bekerja di pejabat. Bacaan Qur’annya sendiri dirasakan tidak cukup untuk menggemukkan pahalanya. Perlu ditop up dengan amal yang mampu memberatkan neraca mizan nanti.

Si daei terharu. Ada tempias yang membuat dirinya berasa malu. Si daei mula berkira. Berapa banyak wangnya memenuhi tabung infak. Ah, si pemuda. Itu baru sahaja sekitar Al-Qur’an. Kalau si daei mahu khabarkan tentang kekayaan hatinya menghulur infak, si daei lebih-lebih lagi terduduk. Bahkan, apa ada pada gaji si pemuda yang sekarang ini RM800 sebulan?

Si daei memberhentikan ceritanya di sini. Dia menelan air liur. Katanya, ini hanya 10% kisahnya si pemuda. Saya terkebil-kebil. Mahu. Mahu lagi mendengar. Bukan mahu mengenal susuknya. Tetapi mahu mendengar kisahnya si pemuda. Pemuda yang telah melahirkan seorang daei di hadapan saya.

Ada sesuatu yang saya pelajari.

Sungguh saya mula tersedar. Tidak semua antara kita akan bekerja di jalan dakwah. Yang secara aktif menyebar yang makruf. Yang berada di hadapan khalayak menyimbah ilmu. Tetapi, wujud sekelompok manusia seperti si pemuda. ‘Kerjanya’ hanya di belakang tabir. Cukup sekadar melihat akhlaknya, dan cukup sekadar mendengar seperenggan atur katanya. Tetapi, dialah pembakar semangat si daei, dialah pembangun jiwa si daei, dialah penyangga si daei. Dialah pautan buat si daei agar tidak gugur dari jalan dakwah
.
Tuhan..Apakah saya bisa menjadi seperti si pemuda? Sedangkan saya seorang yang bekerja di jalan dakwah, namun apakah saya bisa punyai hati semulia si pemuda? Bahkan itu sepatutnya ada pada saya seorang daei..

9 Pendapat:

shahadah said...

salam..selalu sahaja langkah kita tersasar. hanya kita seorg daie, kita kan merasa kita lebih baik dari yg lain? tidak...betapa susahnya untuk mendidik hati..semoga sentiasa tetap dijalan dakwah..

Anonymous said...

assalamu'alaikum..
da'i..da'i..
sapa yg paling mulai..??da'i or yg berdosa..??apakah kemuliaan itu dilihat dari pakaian serta amalan..??apakah seorang yg berdosa tidak mulia..??mulia dimata manusia..mencari yg sempurna..yg berdosa xmampu diterima..dianggap kotor lagi hina..sang mulia..

Anonymous said...

ermm...
mcm knal je si pemuda ni(",)

NuRizZ said...

benar..
pengalaman hidup dalam memaknai sikap-sikap manusia, mengajar saya untuk tidak memandang pakej luarnya.

sudah berapa banyak mereka yang hanya sederhana penampilannya, yang sekali pandang, mereka seakan tidak punya apa-apa, namun kepada merekalah saya berguru tentang akhlak. berguru dalam erti kata teladan.

para daei, terutamanya saya..setiap insan Allah telah sisipkan permata masing-masing. biar dia seorang pendosa, masih ada permata yang dia miliki untuk kita pelajari.

jangan selalu berasa mulia. mulia itu pada sisi Allah. jangan selalu merasa bangga, kerana bangga itu memusnah jiwa. jangan selalu merasa baik, kerana yang disangka baik, akhirnya menjelma buruk di mata orang.

belajarlah untuk rendah hati..

Anonymous said...

salam ziarah dari cerita mungkar

ﻤﺤﻤﺩ ﻤﻬﻴﻤﻴﻥ ﺍﺒﻥ ﻤﺯﻟﻥ said...

salam ziarah....

azhar mohamed said...

tertarik dengan kisah ini..dan sangat tertarik dengan tajuk blog anda 'kerana Syahadah aku Da'ei'.. teruskan perjuangan dakwah anda...

"berjuang memang pahit kerana syurga itu manis"

NuRizZ said...

Jazakallah
bercerita dengan watak yang memang hidup biasanya memberi kesan yang berbeza. 'dia' itu memang wujud dan kewujudannya banyak memberi kebaikan pada mereka di sekelilingnya.

Anonymous said...

salam ziarah..terasa ingin mengenali si pemuda.si pemuda adalah daie kepada daie..yang mengajar dalam bentuk tingkah laku dan kata-kata yang dibuktikan.supaya daie2 mendapat pengajaran.semoga si pemuda mendapat mardhatillah.dan daie terus brjuang di jalan ini.jalan yang bukan mudah tetapi matlamatnya pasti.mohon copy and paste ke blog ana www.cetusanminda.wordpress.com