CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, November 19, 2007

PERLUKAH TELEFON?



“ Maaf, battery hp saya dah nak habis ni”

“ maaf, saya tengah drive, tak dapat nak cakap”

“ maaf, line maxis tak clear kat sini”

Maaf kepada sesiapa yang bukan muhrim yang menelefon saya kerana saya harus menipu dengan ayat-ayat begini. Sebetulnya saya tidak selesa menerima panggilan yang saya rasakan tidak penting daripada mana-mana lelaki. Mungkin silap saya juga kerana tidak bertegas dari awal kerana saya tidak tahu hendak mula dari mana. Jadi saya cuma berdalih-dalih begini. Mulanya saya hanya ingin memberi hint yang saya tidak suka dengan panggilan mereka, namun kelihatan, saya harus berterus terang yang saya sememangnya tidak suka menerima panggilan lelaki kecuali ianya merupakan kecemasan.

ADA BENDA NAK BINCANG

Ada yang menelefon kerana ada perkara yang ingin dibincangkan. Banyaknya tentang bab-bab agama, isu-isu hukum terkini yang dibahaskan. Memang tidak dinafikan saya agak tertarik sekiranya ada yang ingin berbahas tentang hal-hal sebegini. Cumanya, saya tidak merasakan medium telefon adalah yang paling sesuai untuk berhubung sebegini. Seboleh mungkin kita cuba elakkan daripada berhubung suara kerana masih ada emel atau blog yang saya rasakan lebih bersih. Kita lebih bebas untuk mengutarakan pendapat dan lebih mudah difahami.

Percayalah, syaitan tidak mudah mengalah! Sebijak mana kita ingin mempercantikkan alasan untuk berhubung namun kelicikan syaitan tiada tandingan. Sedikit demi sedikit dia akan pesongkan niat dan melayarkan kita dengan rasa asyik ketika berhubung suara.

janganlah kamu melembutkan suara kepada mereka yang sedia dengan penyakit pada hati”- al-tanzil-

SEKADAR BERBUAL

“ada apa telefon?”

“saje je nak sembang dengan awak”

Maaf sekali lagi. Alasan yang paling tidak munasabah jika mahu menelefon. Mungkin saya agak tidak kisah jikalau lelaki ‘ tepi jalan’ yang berkata sedemikian. Namun, apa yang agak mengecewakan saya adalah mereka yang berkopiah, berjubah dan belajar agama yang berkata begitu. Benarlah apa yang dikatakan saudara saya :

‘orang yang tahu hukum tidaklah sama dengan orang yang faham hukum’

Mari kita ingatkan kembali hadith ini :

"Telah tertulis atas anak Adam akan nasibnya daripada zina akan bertemu. Maka kedua mata, zinanya adalah memandang. Kedua telinga, zinanya adalah mendengar. Lisan, zinanya adalah berkata. Tangan, zinanya adalah menyentuh. Kaki, zinanya adalah berjalan. Dan zinanya hati adalah ingin dan angan-angan. Maka akan dibenarkan hal ini dengan kemahuan, atau didustakannya!"
(HR Muslim, dari Abu Hurairah)

Telah jelas hukum bahawa setiap indera kita andai tidak dijaga akan membawa kepada zina. Sedangkan hati yang tidak mampu bersuara dan bergerak juga mampu menyumbang kepada zina. Dahulu, saya pernah mengenali seorang lelaki dan saya memilihnya untuk menjadi teman hidup. Kemudian ada seseorang yang bertanyakan kepada saya kenapa saya harus memilih dia. Jawapan saya :

“ sebab dia tak suka call dan tak suka jumpa, selebihnya sangat subjektif ”

Saya pernah ingatkan beberapa kali kepada kawan-kawan dan adik-adik saya agar jangan mudah terpengaruh dengan penampilan luar seseorang. Lihat bagaimana pergaulannya dengan perempuan. Jikalau dia berani membelakangkan hukum, kita punya akal untuk mempertimbangkan yang baik dan yang buruk. Sebetulnya, pakaian yang kita pakai harus mengingatkan bagaimana kita harus berakhlak. Jika tidak ia akan mendatangkan fitnah. Namun, nasihat saya, elok dahulu kita saling sedarkan antara satu sama lain tentang kesalahan yang tidak sedari ini. Mudah-mudahan masing-masing dapat berubah.

“ berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat untuk orang lain” – al-‘ala: 10-

KESIMPULAN

Pesan saudara saya lagi :

“ nurul,dalam hidup ini ada 2 golongan manusia,manusia biasa dan yang luar biasa.Manusia biasa ini manusia yang hidup dengan mengutamakan perasaannya daripada hukum yang dia ketahui,manusia yang kedua adalah manusia yang mengorbankan perasaan seorang manusia biasa untuk memilih jalan yang Allah redhai..terpulang pada diri nurul untuk menjadi manusia yang bagaimana..”

Mudah-mudahan Allah akan selalu menyertai kita dalam setiap perbuatan kita.

p/s : tulisan kali ini adalah ingatan untuk diri saya juga kerana saya juga sedang dalam proses perubahan. Tidak juga saya khususkan untuk muslimin tapi juga untuk muslimah.ingatlah,Tidak semua manusia yang sempurna dalam setiap perkara dan kita juga janganlah harapkan kepada kesempurnaan orang lain. Sebaliknya, saling ingat-mengingati itu yang perlu kita jadikan amalan.

Boleh rujuk entri-entri yang lebih menarik, risalah vs cinta dan sebelum mahu kahwin di http://www.studiomuslim.com/

Sunday, November 18, 2007

PUISI BERITA MINGGU

saya dedikasikan puisi ini setelah saya selami rasa duka seorang isteri yang tabah menghambakan diri kepada seorang suami kerana cinta. Namun..suaminya adalah....

PENOMAD CINTA

(buat dia yang berpindah dari wadi ketandusan)

Dia penomad cinta

Menyangkar aku dalam jeriji kesetiaan

Menghampar jagat kisah derita

Dalam keruh kolam-kolam dusta

Membunuh nyalinya sukma

Dalam hiris sembilu janji


Dia penomad cinta

Yang telah menjajahi setiap ruang hati

Memahat lirik-lirik nyanyian kecintaan

Mabuk dalam nanar rindu

Dari sumur tandus kepeduliaan


Dia penomad cinta

Yang merayu sebutir simpati

Untuk menambat nama dalam agenda hayatku

Kala jiwaku menyerah

Dia ibarat bara yang menyengat

Membakar nafas kasih

Yang mengakar dari pohon perkasihan


Duhai penomad cinta

Aku adalah perempuanmu

Yang kau pinjam senyumnya

Dan tega kau lunasi dengan jerih perpisahan


Dia penomad cinta

Yang telah kukirim wajahnya

ke pusara kenangan


-Nurul 'Izzah-
UIAM,Gombak
Berita Minggu 18.11.2007



Tuesday, November 6, 2007

BOLEH JADI HAKIM?


Alhamdulillah, agak lama juga saya tak sempat hendak melawat blog sendiri. Musim peeperiksaan akhir semester kali ini agak menuntut saya untuk lebih focus pada ulangkaji. Apatahlagi semester ini ada 8paper yang harus saya duduki. 3 paper untuk Civil Law, 3 paper Syariah Law, 2 paper Compulsory Course. Sementara ini hanya tinggal 1 lagi paper pada hari Sabtu ini iaitu Contract Law. Mudah-mudahan ada rezeki saya dalam ibadah menuntut ilmu ini.


Untuk entri kali ini saya agak berminat untuk berkongsi pendapat tentang isu yang agak panas sekarang. Kebetulan isu ini menjadi salah satu topik penting dalam subjek syariah yang saya ambil dan yang paling menariknya, ia menjadi salah satu soalan final baru-baru ini. Untunglah bagi siapa yang ambil peduli! (“,)

NAMPAKNYA SAYA BOLEHLAH JADI HAKIM

Terlintas juga saya ayat begini dalam kepala saya baru-baru ini. Apatahlagi Tun Fairuz sudah bersara sebagai ketua hakim Negara. Lihatlah, sudah berpuluh tahun orang lelaki jadi hakim, bila pula perempuan nak duduk di kerusi hakim di putrajaya ? inilah masanya..

Andai saya adalah daripada golongan liberalisme, sekularisme atau feminisme, mungkin saya bermati-matian berebut untuk jadi hakim wanita. Sengaja saya tidak meletakkan golongan kafir kerana mereka ini memang sudah langsung tidak berpegang dengan I’tikad islam. Tapi yang separuh-separuh islam ini yang cuba masuk islam secara separuh dan membuat ‘kitab’ sendiri yang lebih sesuai pada zaman sekarang

TERUKNYA WANITA DULU

Jika kita lihat hikmah perutusan Rasulullah kepada seluruh umat manusia sebagai seorang rasul, secara jelas dan terangnya kita dapat melihat kedudukan wanita telah diangkat setaraf dengan lelaki. Jika dahulu, wanita ibarat barang dagangan yang boleh dijual- beli, menjadi barang gadaian, barang untuk lunas hutang, barang untuk tebusan, sehingga menjadi satu aib bagi sesebuah keluarga yang dianugerahkan bayi perempuan.

Teringat saya akan suatu kisah pada zaman jahiliyyah. Sepasang suami isteri dianugerahkan anak perempuan yang sangat comel berkulit putih kemerahan. Bermata bulat dan irisnya bewarna coklat berkaca dengan lentik bulu mata yang pekat hitam.Mereka bertahan untuk membesarkan anak mereka sehinggalah umur anaknya 3 tahun dan akibat tidak tahan dengan cemuhan masyarakat sekeliling, si ayah bertekad untuk membunuh anaknya. Dan pada suatu hari..

“ayah sedang buat apa?” ayahnya hanya diam. Dilihat ayahnya tekun menggali tanah. Anaknya masih berlari-lari mengelilingi ayahnya sambil terkinja-kinja ketawa. Sempat lagi si anak bermain sorok-sorok di belakang ayahnya sedang ayahnya masih terus memperdalamkan tanah.

Dan satu ketika, si anak datang membuang sisa tanah yang terlekat pada janggut ayahnya sambil menghulurkan senyum yang paling indah. Tiba-tiba hati ayah amat terusik dan terus bergenang air mata. Namun, untuk mengelakkan rasa simpati yang semakin menguasai diri, dia tanpa belas menghumban anaknya yang baru mengusap janggutnya ke dalam tanah dan lekas-lekas ditimbusnya sehinggalah jerit tangis si anak hilang tenggelam .

Jadi, sehingga begitu taraf wanita direndahkan. Namun kita syukur sekarang, kita sudah dapat melihat majoriti wanita yang berkhidmat untuk masyarakat, sebagai pendidik, doktor, peguam, tidak kurang ada juga yang menjawat jawatan sebagai pengarah bagi satu syarikat. Jika dilihat dari segi taraf pendidikan, wanita sudah mula mempelopori ¾ daripada jumlah pelajar di univesiti. Begitu islam memuliakan wanita.

BOLEHKAH WANITA JADI HAKIM

Soalan yang agak klise tetapi saya percaya ianya akan terus akan dibahaskan pada abad-abad yang akan datang. Maka, mari pandang pada kaca mata Islam, bukannya kita tiada panduan untuk kita rujuk, bukannya kita tiada ilmuan islam agung untuk kita bahaskan dengan hujah-hujah mereka.

Apa pula kata Al-Tanzil?

“ lelaki adalah pemimpin kepada wanita, kerana Allah telah melebihkan mereka daripada sebahagian lain, kerana mereka telah menafkahkan sebahagian kekayan mereka”

Perkataan qawwamun telah digunakan untuk merujuk kepada lelaki adalah pemimpim dalam keluarga. Allah melantik kaum adam kerana kelebihan fizikal dan keteguhan hati untuk mendepani segala cabaran yang hebat. Bukan bererti wanita dikatakan lemah tetapi, hakikat yang tidak dapat ditolak bahawa wanita tidak mampu menguruskan hal rumahtangga seorang diri apatahlagi apabila ia menuntut kepada keupayaan fizikal yang tinggi. Lebih-lebih lagi, untuk wanita mendepani segala macam bahaya dalam masyarakat yang kadang-kadang boleh melemahkan wanita sekiranya wanita diangkat menjadi pemimpin. Mainan emosi yang pelbagai yang telah dianugerahkan Allah boleh menggugat kewibawaan wanita ketika menjadi ketua kepada orang bawahan.

Apa pula kata hadith?

“ tidak akan beruntung sesuatu kaum itu apabila pemimpinnya adalah seorang wanita” ( HR Bukhari)

Sebab wurud hadis ini adalah apabila Rasulullah mendengar tentang penyerahan kuasa Parsi kepada puteri Kisra yang bernama Buran untuk memerintah Parsi. Maka terus Rasulullah bersabda seperti riwayat hadith di atas. Jadi kita dapat melihat bagaimana Rasulullah memandang hukum mengangkat wanita sebagai pemimpin.
Adakah ini bermakna Rasulullah merendahkan wanita? Bukan tetapi biarlah tanggungjawab sebesar begini dipikul oleh lelaki sementara wanita menjadi pembantu kerana secara fitrahnya pada wanita itu terdapat fitnah-fitnah yang tidak dapat dielakkan. Begitu Rasulullah ingin memelihara kesuciaan diri seorang wanita dan kemaslahatan umum.

Apa pula kata sejarah Islam?

Boleh kita lihat sejak dari zaman Rasulullah sehinggalah zaman keruntuhan kerajaan Abassiyah, belum pernah seorang wanita dilantik menjadi pemimpin untuk suatu institusi yang besar dan penting seperti pemimpin Negara,atau menjadi Qadhi.

Cuma pernah suatu ketika di Mesir telah berkuasa seorang ratu yang bernama Syajaratuddur dari dinasti Mamalik yang tunduk pada Khalifah Abasiyyah ketika di bawah Khalifah Al-Muntashir Billah iaitu saat Sultan Malikus Salih meninggal dunia dan pemerintahan diserahkan kepada Syajaratuddur. Namun setelah mendengar peristiwa ini, khalifah terus mengirim surat kepadanya dan bertanyakan, adakah di Mesir sudah tidak ada lelaki? Jika benar tiada maka akan kukirim lelaki dari Baghdad untuk menjadi pemimpin di Mesir. Maka setelah itu Syajaratuddur terus berundur diri dan menyerahkan permerintahan kepada Emir Ezzedin yang selepas itu menikahinya.

Maka, jelas dalam perjalanan sejarah Islam tiada rujukan yang mengisahkan mana-mana wanita diangkat menjadi pemimpin.

Apa pula kata ilmuan Islam?

1) Mengikut Jumhur ulama’ (syafiah, hanbali, malikiah) adalah haram melantik wanita menjadi hakim.

2) Pendapat Hanafiah adalah harus melantik hakim wanita kecuali dalam pengadilan hudud dan qisas. Hal ini kerana tidak boleh melantik seseorang untuk menjadi hakim yang lemah penyaksian mereka dalam hukum hudud dan qisas.

3) Pendapat Syaz Ibnu Jarir Attabari dan Ibnu Hizam dan mazhab Zahiri mengharuskan wanita menjadi hakim dalam apa jua perkara.

KESIMPULAN

Kita diberi pilihan untuk beramal dengan mana-mana pendapat tetapi tidak harus taqlid. Haruslah kita tahu hujah-hujah yang rajih untuk kita aplikasikan dalam sistem undang-undang Negara kita dengan mengutamakan pandangan Islam ke atasnya.

Jadi bagi pendapat saya, andailah Malaysia akhirnya membenarkan wanita untuk menjadi ketua hakim, perlulah disyaratkan pula bahawa wanita itu tidak boleh berkahwin. Cuba anda bayangkan, apa akan berlaku sekiranya wanita itu mengandung, ditambah pula alahan yang teruk dan emosi yang sangat ‘vulnerable’, kemudiannya setelah bersalin perlu berkurung dalam pantang selama 2bulan. Itu untuk wanita biasa, tetapi yang jenis lemah badannya, barangkali boleh cuti sehingga setengah tahun.

Jadi, adakah kes-kes yang bertimbun harus ditangguhkan sehingga wanita itu pulih seperti biasa? Maka banyaklah pihak yang teraniaya tidak mendapat pengadilan sedangkan kehadiran ketua hakim itu adalah menjadi syarat utama untuk memberi penghakiman. Kalau mungkin pun berlaku, kita boleh menerima wanita menjadi pembantu hakim-hakim lelaki bukan menjadi ketua atau kita sekarang sesuai untuk beramal dengan pendapat hanafiah?

Persoalannya, bersediakah wanita untuk tidak berkahwin sedangkan hal itu menjadi sunnah Rasulullah dan perkahwinan itu menjadi separuh kepada sempurnanya agama seseorang kerana hanya semata-mata ingin mengejar untuk menjadi hakim?