CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, September 28, 2008

ILALLIQA' RAMADHAN! (istimewa buatmu Umaimah, Juwairiyah, Mariah!)



Ramadhan itu

Pada sandaran tembok berukir

Dalam tenang hamparan masjid

Menemukan aku dengan Umaimah

Galak matanya menguntum rindu

Halus tawanya memekar sayang


Malam itu

Kala aku berjeda nafas melagukan mushaf

Juwairiyah melabuh duduk di pinggir simpuh

*khalah ‘izzah ! Ramadhan madhi arafftu khalah aisyah

Haza Ramadhan, araftuki khalah 'izzah!

Lalu ikal pekat rambut Juwairiyah kuluruti

Anak itu sungguh-sungguh membekas cinta.


Masjid itu

Berbakti merajut ukhwah

Antara aku dan Mariah Qibtiyah

Bersih wajahnya dilapisi jilbab hitam

Mengintai sorok bening matanya

Khalah ‘izzah hal anti talbisu khimar?

Bibir delima itu menawar ramah

Kubalas dengan rangkul kasih buatmu Mariah


Iktikaf itu

bagai sebuah taman bertabur kemilau lazuardi

pada teduh wajah saajidin mengirim doa pada Tuhan

pada melodi sendu saajidat membenam dosa di lewat sujud

pada perindu akhirat menjamah inti mushaf merai nuzul

sungguh!

Kusaksikan lingkaran cemerlang cahaya menyimbah bumi

Membawa segenap roh para muktafikin ke syurga


Hari ini

Aku datangi pintu masjid

Merisik khabar tetamu Allah asyik di rentang sejadah

Umaimah mendepa tangan mengharap sebuah dakapan

khalah! Khalah!

Wajahnya membenam dalam erat pelukku

khalah, sarjai’ ilal Yemen abadan

Sebuah pertemuan yang berisi perpisahan

Lapisan kaca retak berderai dalam kucup buatmu Umaimah.


Duhai Ramadhan

Sebuah hadiah dari Tuhan

Akanku lepaskan ke dermaga illahi

Benar!

Persinggahanmu menjirus aksara cinta!


GLOSARI

* Khalah- 'Mak cik', panggilan akrab bagi orang Arab
* khimar- niqab

Tuesday, September 23, 2008

PuTIk RAsa..CetUS FIkiR


Tahniah buat yahoo group akhwat atas tulisan-tulisan kalian yang begitu membekas jiwa. Kalian bukan sahaja indah menutur kata, bahkan pena kalian dapat memutik rasa dan mencetus fikir. InsyaAllah, buat pengunjung blog saya, saya memilih untuk paste satu entri daripada yahoo group tersebut.

****************************************************
'Kisah ini sangat menarik utk diceritakan, terutamanya ketika dalam tazkirah2 ringkas. perumpamaan yang baik dan dapat diterima akal akan lebih diingati dan dimanfaatkan oleh para pendengar. Wallahua' lam...

Seorang guru sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Si
guru berkata:

"Saya punya permainan... Caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan
kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka berserulah "Pemadam!"

Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Si guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian sang guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka berserulah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!".

Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang
beberapa saat, permainan berhenti. Si guru tersenyum kepada murid-muridnya.

"Anak-anak,
begitulah kita ummat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membedakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita lewat berbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya."

" Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi karena terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kalian
terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kalian tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan etika."

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, sex sebelum nikah menjadi suatu hiburan dan trend,materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain. Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya.

" Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya.

" Paham cikgu..."


" Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan.

"Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada di tengah tanpa memijak karpet?"

Murid- muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat, dan lain-lain. Akhirnya si Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet.

"Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya...Musuh- musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang...Kerana tentu anda akan menolaknya mentah-mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sedar. Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat."

" Sebaliknya, jika ingin
membongkar rumah, tentu susah kalau tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. .."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda.""Mulai dari perangai anda, cara
hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan."

"Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (perang pemikiran). Dan inilah yang dijalankan
oleh musuh musuh kita.."Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" Tanya mereka.

"Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi.."

Apa lagi yang tercengang-cengang tu?? ayuh kita kejutkan umat Islam lain yang masih tertidur.

Saturday, September 13, 2008

MAAF! LAGI-LAGI KISAH INI.


Maaf jika kalian semua dapati saya menulis tentang ini. Lagi-lagi kisah begini. Saya hanya mahu kogsi, mahu luah, mahu menjentik hati kalian agar bersama-sama merasai apa yang saya lalui. Jika kalian tahu, bagi penulis itu, pembacalah adalah segala-galanya. Apatahlagi pembaca yang mahu berkongsi pandangan.

Begini ceritanya.

Saya diundang ke majlis berbuka puasa yang agak ‘grand’ bersama pegawai-pegawai kelas atasan. Dianjurkan oleh sebuah badan yang membawa misi yang islamik, membuat kerja-kerja yang islamik, dan menyebar ilmu-ilmu ukhrawi. Ya, mudah-mudahan. Saya memilih untuk menjadikan badan ini sebagai sebuah platform untuk saya menggiatkan lagi kerja-kerja dakwah. Ya, mereka menawarkan itu pada saya.

Majlis bermula. Seorang akhi mengalunkan ayat-ayat Allah yang terlalu suci untuk dicemari, terlalu mulia untuk direndahi. Dengan gemersik taranum yang menyentuh hati, ayat itu mengajak untuk kita berpuasa supaya taqwa itu bercambah dalam diri. Berpuasalah hamba-hambaKu, moga kamu menjadi orang yang muttaqin. Ah, gelaran apa yang lagi kita inginkan? Muttaqin di mata Allah!

Tidak cukup itu, pihak majlis mendedahkan misi dan aktivitinya yang sarat dengan citra-citra dakwah, yang membawa mesej keislaman yang membuatkan saya rasa beruntung berada di sini. ( hanya waktu itu saja yang saya rasakan). Disuguh lagi dengan ucapan-ucapan pemimpinnya yang memperjelaskan fungsi dan matlamat badan tersebut supaya mata dan telinga yang hadir berasa percaya dan yakin untuk teruslah bersama mereka untuk sama merealisasikan matlamat yang tercatat dalam buku tetamu di atas meja.

Inilah baru tiba kisahnya.
Kisah yang sebenarnya membuatkan saya tidak lalu untuk menulis kerana saya harus bayangkan kembali perisitiwa ‘ngeri’ ini. Ia berlaku ketika majlis tersebut. Lagi setengah jam mahu berbuka rasanya. Slide show di skrin tertulis ‘signature dance’. Saya dan sahabat menoleh.

“ dance?”

entah, biar betul?”

“ releks, releks, kot-kotla gimik ” Saja mahu memujuk hati. Mungkin gimik rasanya, Ramadhan macam ini, tak kanlah hendak buat kerja-kerja buruk macam ini.

Ah, tidak sampai sejarak dua nafas. Saya menoleh ke atas pentas apabila muzik rancak mula membingit telinga. Ala-ala disco begitu. Kemudian beberapa susuk tubuh manusia yang terdiri daripada beberapa lelaki dan perempuan terkedek-kedek berlari di atas pentas. Kemudian berhenti. Seiring lagu, dan gelek yang terhinjut-hinjut, terkinja-kinja seperti sesak nafas, segerombolan mereka membuat tarian. Dengan pakaian yang ketat lagi sendat mempersembahkan sebuah tarian ‘jelek’ zaman jahiliyyah. Mungkin tepat lagi zaman Firaun.( maafkan saya kerana harus perincikan gaya persembahkan mereka kerana saya mahu beritahu bahawa ini bukan persembahan biasa)

Saya dan sahabat berpandangan. Dahi sudah kerut sejuta mencantumkan kening. Telinga saya sudah kebas. Mata ini lagi-lagilah mahu tersembul. Saya lihat jam, sekejap lagi mahu berbuka. Jika boleh dilihat hati sudah rentung agaknya kerana api marah sudah membakar. Saya tidak senang duduk. Saya mengitari reaksi hadirin. Mungkin saya tidak dapat selami apa gelojak hati mereka. Tetapi semua nampaknya seakan redha. Saya percaya ada juga yang tidak redha dalam hati. Ah, dalam hati, apa ingat Islam itu boleh sampai kepada kita kalau para sahabat asyik redha dalam hati tengok benda jahil depan mata.

Saya buntu. Dalam keadaan begitu apakah mungkin saya bangun dan melaung ketidakpuasan hati agar mereka berhentikan segera tarian jelek itu. Ah, ‘Izzah! Kenapa masih tidak kuat? Kenapa masih takut? Saya jadi terlalu marah dengan diri. Mana semangat untuk tegakkan yang benar. Sungguh! Saya mengutuki hati. Mata saya liar mencari di mana PA system pentas yang boleh membuatkan saya menyelinap dan matikan segala fungsi PA ketika itu. Saya tidak dapat idea. Saya melihat sahabat saya telah bangun meninggalkan kerusinya. Saya tahu benar, dia telah tidak sanggup menghadap kebatilan depan mata. Saya menurutinya. Mungkin kami boleh lakukan sesuatu.

“ Iz?” Dia hilang kata apabila saya memandangnya. Saya menggenggam telapak tangannya.

“ Akak, apa ni? Tak faham! Bukan kita datang majlis berbuka puasa ke? Ke salah majlis or salah hari kita ni?” Saya melampias kebingungan yang berserabut dalam kepala.

Matanya telah merah bergenang air mata. Tahukah kalian, di dalam dewan yang berprestij itu ada berapa ramai lelaki yang berkopiah, bersongkok, ah, juga ada yang berjubah. Lagaknya macam syeikh-syeikh besar. Ada juga muslimat yang bertudung besar menonton acara jahiliyyah di depan mata. Tidak kurang yang saya kenal aktif membuat kerja-kerja dakwah di luar. Apa yang mereka lakukan di situ? Lagi-lagi saya harapkan para jemaah lelaki. Entah mengapa saya sudah hilang langsung hormat pada ‘jemaah’ ini apabila hanya tahu jadi patung batu. Aduhai, maafkan saya, mana kelakian yang dibanggakan?

“ cukuplah kalau Umar atau Abu Bakar yang ada dalam dewan ni, pasti mereka pantas menghunus pedang kerana terlalu ghirah dengan Islam. Ini tarian yang menghina Ramadhan, yang layaknya dilakukan oleh mereka yang nak jatuhkan Islam. Ni siapa mereka yang di atas pentas itu? Bertudung lagi semuanya!”

Saya tidak dapat lagi menjaga ayat. Ini bukan tempatnya untuk menjadi sopan mengatur ayat. Ya Allah, apa yang ingin kau uji sekarang ini? Keberanian akukah? Aku sedang gagal sekarang. Saya menarik lengan sahabat saya menuju ke pintu masuk dewan. Di situ ada sekumpulan komiti program. Mungkin kami boleh cuba yang ini dahulu. Kami menghampiri salah seorang mereka. Ya, kami nyatakan rasa tidak puas hati dan meminta mereka supaya memberi arahan untuk matikan saja tarian itu.

“ Entah, kami pun terkejut. Masa rehearsal kami tak datang tengok.” Balasnya.

Huh, ini bukan alasannya tidak tengok rehearsal. Masa hendak approve program lagi perlu semak betul-betul tentative program. Bukan ‘pakai’ approve sahaja. Kalau sudah dalam tentative itu letak signature dance’, perlu tanya dulu apa jenis dance itu.( kalau hendak ikutkan, kalau sudah ada word ‘dance’ itu, awal-awal lagi haramkan saja persembahan itu). Kalau pula hanya sebut persembahan saja dalam kertas kerja, tiada spesifikasi, perlu tanya dulu, apa jenis persembahan.
Jika belum ada perancangan, perlu follow up sampai ke lubang cacing supaya tiada benda yang pelik-pelik muncul ketika waktu kejadian. Ini perkara basic bagi mereka yang suka berprogram. Entah mengapa saya perlu ajarkan di sini. Pokoknya, saya mahu ingatkan, bukannya kita tidak tahu. Kadang-kadang perangai endah tak endah itu yang menjadi punca.

“ akak, boleh tak minta siapa-siapa komiti yang boleh hentikan sekarang persembahan ni. Nanti burukkan nama badan ini juga nanti.”

“ dah bos tak kata apa-apa pun.” Itu jawabnya.

Kami rasakan bagai mahu pitam. Sudah berbinar-binar mata. Mujur lagi masih bernyawa. Dalam pada itu, segerombolan mereka di atas pentas masih terlompat-lompat melenggok lentok tubuh. Bayangkan berapa lama mereka menjamukan mata-mata dan hati-hati orang yang berpuasa dengan tarian mereka. Setelah itu, tahu apa yang kami terpandang pada sekumpulan komiti itu tadi? Datang salah seorang daripada mereka dari hadapan pentas mendekati mereka dan membuat aksi gelek pula dan sekumpulan mereka pun ketawa terkekeh-kekeh meraikan penghinaan ke atas sebuah bulan yang bernama Ramadhan yang telah Allah janjikan sebagai sebaik-baik bulan.

Apa yang kami berdua boleh lakukan? Kami melangkah dengan tangisan hati yang merintih supaya Allah mengampunkan kami atas kelemahan kami yang tidak dapat hapuskan kebatilan. Kami telah ‘relakan’ Islam dicemar begitu biar dalam keterpaksaan yang Allah saja yang tahu. Kami tidak mahu beralasan ini sahajalah usaha kami. Maafkan kami Rasulullah, umatmu masih lemah meneruskan perjuangan yang sungguh-sungguh kau perjuangkan.

p/s : Mungkin antara pembaca yang merasakan saya seolah-olah menggemburkan ‘amal’ yang saya lakukan. Percayalah, saya mengerah untuk mencari cara penulisan yang dapat memikat pembaca agar dapat menyelami mesej yang ingin saya sampaikan. Tidak lebih daripada itu.

Tuesday, September 2, 2008


Saya terfikkir-fikir untuk entri di permulaan Ramadhan. Akhirnya saya tidak terfikir nasihat yang lain yang lebih tepat untuk saya kongsikan dengan sahabat semua melainkan nasihat penting daripada As-Syahid Hassan Albanna. Mungkin kebanyakkan kita pernah menemuinya, juga pernah membacanya. Tetapi berapa banyak antara kita yang 'masuk ke' dalamnya?

( 10 Wasiat Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna ))

1) Wahai kawanku, segeralah tunaikan solat di awal waktu, di kala
mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan
kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan. Di situ ada sumber
pertolongan. Di situ ada sumber taufiq Perhatikanlah banyak perintah
ayat al-Quran dimulakan dengan menyebut solat di awalnya.
Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat juga di medan perang walaupun
di saat genting dan cemas.

2) Wahai kawanku, bacalah al-Qur'an dan cuba perhatikan mesejnya.
Selalulah berzikir dan carilah ilmu walaupun sedikit. Kurangilah
dengan masa yang tidak bertujuan. Sesungguhnya al-Quran adalah sumber
asli lautan ilmu, sumber hidayah kepada kita. Bacalah al-Quran, kelak
ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati
mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir!!! Di
sini ada ketenteraman, di sini ada kedamaian, di sini ada kesalaman.
Jadilah hamba yang sejahtera.

3) Wahai kawanku, dorongkanlah diri untuk menguasai Bahasa al-Quran.
Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda telah lama
bermula iaitu sejak anda solat setiap hari. Sebut dulu walaupun tak
faham. Antara mala petaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian
menguasai bahasa agamanya. Juga mengutamakan bahasa pasar. Ayuh !!!
Apa tunggu lagi?????? Bukalah ruang walaupun seminit untuk belajar
makna bacaan solat, seterusnya menguasai bahasa Arab.

4) Wahai kawanku, usahlah bertarung idea tanpa adabnya!!! Berdebatlah
jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana
ada unsur lain membisikkan! ! Syaitannnn namanya!!!

5) Wahai kawanku, senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa !!!
Rasulullah s. a. w adalah yang paling banyak senyum tapi baginda
ketawa kena pada tempatnya. Tapi berpada-pada sahaja, wahai kawan !
Plato juga berharap agar pementasan hiburan yang tidak bermutu terlalu
banyak ketawa bodoh hanyalah disaksikan oleh golongan abdi dan orang
upahan asing! Begitu juga Aristotle berpendapat supaya golongan belia
ditegah daripada menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan
perbuatan ketawa berlebih-lebihan supaya tidak menular keburukan dalam
diri!!!

6) Wahai kawanku, seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa
serius, hilanglah kesungguhan !!! Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan.
Kata seorang penyair : Berikan kerehatan pada jiwamu yang sibuk dengan
berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan
bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.

7) Wahai kawanku, kawallah nada suaramu setakat yang diperlukan oleh
pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan
menyakit hati orang lain pula!!! Luqman Al-Hakim juga mencela orang
yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah katanya
suara keldai!!! Surah al-Isra' memberi panduan kepada kita. Jangan
keraskan suaramu dalam solat tapi jangan pula merendahkannya. Carilah
jalan tengah di antara keduanya.

8) Wahai kawanku, usahlah umpat-mengumpat dan usahlah
merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur
kebajikan Ayuh!!! Hindarilah.. . mengumpat! Tidak sekali mencabuli
jemaah-jemaah lain!!! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.
Sukakah anda memakan daging? Pasti anda suka!! Tapi sukakah anda
memakan daging kawan anda yang telah mati?? Sekali-kali tidak!!!
Begitulah dosa orang yang mengumpat. Bertaubatlah jika anda mengumpat
tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu bersama!!! Boleh
mengumpat apabila ada tujuan syar'ie.
* untuk menuntut keadilan apabila dizalimi
* untuk menghapuskan kemungkaran
* kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan
* kerana mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

9) Wahai kawanku, luaskanlah interaksimu dengan umat manusia sekalipun
mereka tidak diminta berbuat demikian!!! Salam kasih sayang adalah
untuk semua. Salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkanlah,
hulurkanlah salam perkenalan.. .! Lihatlah pensyariatan ibadah haji.
Pelbagai bangsa datang berkunjung!! ! Pelbagai lapisan datang
berkunjung!! ! Pelbagai darjat datang berkunjung!! ! Sama-sama
menjunjung obor suci, tidak mengenali tapi tak sepi.

10) Wahai kawanku, maksimumkanlah faedah waktu anda dan tolonglah
orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya.
Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah menggunakan waktu
anda! Bersegeralah, kerana sabda Nabi s. a. w bermaksud : "Bertindak
segeralah melakukan amal..." (Diulang 7 kali..) Sayanglah masa
saudaramu!!! Hormatilah waktu mereka!!! Usahlah berbicara
meleret-leret. .. Tanpa haluan dan noktahnya..