CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, September 17, 2009

RESEPI DAKWAH V RESEPI BER'SUAMI'


Rindu. Sungguh rindu untuk menulis. Saya mencuri waktu menyelinap di celah-celah persiapan melepaskan Ramadhan dan menyambut Syawal. Pelbagai rasa berbaur. Yang pasti terlalu berat mahu menghantarnya pulang ke pangkuan PEMILIKNYA. Andai mungkin kita ketemu lagi…Mahu sekali!

Bukan ini tema penulisan saya kali ini. Sepanjang mengemudi bahtera Ramadhan, ada beberapa ‘pertemuan’ yang sangat istimewa untuk disajikan. Tetapi saya mahu memilih yang ini dahulu. Ia pasti bukan sebuah penemuan tapi sesuatu yang perlu difikirkan, dan saya baru terfikir-fikir. Bermula hanya dengan sesesi perbualan dan ia telah menghantar saya ke sebuah ta’amul yang maha dalam.

RESEPI DAKWAH V RESEPI JADI ISTERI

“ Kalau kamu tak percaya, cubalah duduk-duduk dengan ukhti kita yang dah kahwin, cuba dengar apa resepi mereka.” Seperti yakin sahaja dia mencabar saya. Kening saya bersatu. Kerut di dahi makin jelas.

“ Resepi apa?” Saya tidak mahu lagi membenarkan kerana belum pernah mengalaminya. Apatahlagi, ramai kalangan teman yang bersama saya belum lagi mahu berbaitul muslim. Sebabnya? Hanya kami yang memahaminya.

“ Dah hilang suara dakwah, dah pergi semangat jihad yang dulu dikobar-kobarkan. Yang tinggal resepi lauk pauk, resepi hias rumah, resepi jaga anak dan kadang-kadang sampai perkara ringan-ringan menjadi bahan duduk-duduk sahaja.” Dia menyambung. Keruh kaca matanya melambangkan ketidak puasan hati. runsing barangkali. Makin berbaitul muslim makin menghilang. Makin sirna semangat dakwah.

Beginikah? Atau hanya satu telahan semata-mata. Ada sahaja yang saya kenal, lagi sudah berpasangan, lagi ligat kerja dakwah. Tapi iyalah, dua tiga pasangan sahaja yang baru saya kenal. Saya cuba-cuba merisik ‘keadaan’ ukhti yang sudah kahwin. Kalau dulu tidaklah berminat untuk ‘menyibuk’ mengetahui perkembangan dakwah mereka yang telah berumah tangga. Tetapi kerana mahukan keyakinan, saya membuka langkah. Bermula daripada menyeluruhi beberapa weblog teman-teman daeiah yang telah berumah tangga, saya seakan menemukan jawapan, walaupun ia tidak semestinya tepat. Kalaulah ianya kebetulan, tetapi kebetulan yang begitu kena dengan ‘research’ saya.

Ta’ajub! Dari hiasan nuansa dakwah dan semangat jihad yang dulu menghiasi blognya, sekarang hanya tinggal kisah-kisah diari hidupnya bersama sang suami dan anak. Kadang-kadang hal berupa ‘acara’ rumah tangga yang tidak perlu dikongsikan juga mahu dipertonjolkan di entri-entri di blog. Kalau dulu blognya menjadi rujukan kisah para sahabat, kitab fiqh, maqalah dakwah..dan kini tergantikan dengan wajah-wajah comel para bayi kelahirannya mengikut pertukaran wajah bayinya setiap bulan. Apakah kematangan seorang manusia semakin berkurang seiring pertambahan umur dan pertukaran status. Hairan.

Pasti kalian bertanya, syadidnya saya? Salahkah nak kisah pasal suami atau anak? Itukan memang kerja orang perempuan?

Katakanlah. “ Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu,isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberi keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.”(at-Taubah:24)

TIDAK SALAH! TETAPI JANGAN JADI LEBIH KAMU CINTAI.

Siapa kata apabila menjadi ukhti, tinggalkan sahaja suami dan anak-anak tunggang terbalik di rumah. Yang si isteri atau si ibu sibuk keluar dakwah sana sini sampai tidak jenguk rumah. Makan minum entah ke mana. Dengan hujah, Surah Taubah :24 memberi pembelaan! Siapa kata? Dan juga sebaliknya, tidak salah kalau si ukhti mahu memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada rumah tangga kerana cintanya kepada keluarganya, tetapi..menjadi fitnah apabila mereka lebih-lebih diutamakan daripada ALLAH, RASUL, DAN JIHAD. Apa sudah berlaku di depan mata, suami menjadi alasan untuk menolak tawaran dakwah. Anak-anak menjadi asbab menguzurkan diri daripada amal dakwah, tetapi masa yang terluang boleh pula bercerita atau bersembang-sembang sana sini akan resepi-resepi dunia yang hukumnya ‘HARUS’ sahaja.

Pokok pangkalnya? Barangkali nikmat dakwah dan jihad itu telah beransur hilang. Ruh Khadijah, Aisyah, Nusaibah, dan Khansa’ sudah lenyap sepertimana pernah dikagumi si ukhti sebelum bernikah. Jika inilah yang dikhuatirkan oleh para ukhti bergelar aktivis, barulah saya memahami mengapa ada di antara ukhti yang apabila ditanya tentang nikah :

“ Saya akan bernikah, sampailah saya merasakan terpaksa bernikah..”

Hanyalah kerana keterpaksaan itu tidak akan sampai membuatkan kita jadi asyik bersuami dan beranak. Bukan kerana tidak ikhlas, tetapi terlalu runsing andainya nikmat berada di saff para nabi dan syuhada’ terkorban kerana ia dilarikan oleh kelekaan berumah tangga. Ia sungguh menyalahi surah taubah : 24. Saya sendiri tidak tahu mahu mula berfikir dari mana. Tidak semua yang akan menyokong pemikiran saya ini kerana ia mungkin berat bagi mereka yang memilih yang ringan dalam jalan hidupnya. Mungkin juga akan menuduh saya akan menjadi bakal isteri yang ‘nusyuz’ kepada sang suami lantaran mahu terus berada di saff hadapan dalam perjuangan menegakkan haq dan batil. Dan mungkin juga ada yang membayangkan, kasihanlah bakal anak-anaknya nanti punya ibu yang lebih mengutamakan dakwah dari keluarga.

DI SINILAH..

Saya sudah punya role model yang telah Allah berkahi keluarganya dengan keberadaannya memenuhi saff hadapan perjuangan dakwah. Di sinilah permulaan dalam menentukan siapa dia sang suami yang akan meredhakan pemergian isterinya mendekati para wanita di luar untuk diperkenalkan Islam kepada mereka. Di sinilah, siapakah lelaki yang harus dipilih supaya dialah yang mahu memahami bahawa isterinya juga dimiliki oleh Allah, Rasul dan agamaNya, bukan hak suami yang mutlak. Di sinilah, para ukhti yang merancang untuk terus maju sebagai pendukung agama ini, perlu berwaspada dalam menjalinkan pernikahan , kerana para aktivis yang memahami bahawa pernikahan adalah pelancar dakwah akan bermaharkan keizinan bakal suami untuk terus melajukan langkah dakwahnya ke hadapan biarpun telah berkeluarga!

Buat para suami, bakal suami, para ikhwan aktivis dakwah, kalian pasti memahami fungsi kalian dalam sebuah baitul muslim. Tidaklah para ukhti ini mahu melangkah ke sebuah marhalah dakwah yang seterusnya iaitu baitul muslim melainkan mahu sekali melangkah sebaris dengan kalian dalam menyempurnakan tugas ini. Bawalah isterimu bersama untuk terus menikmati jalan yang pernah para Rasul melaluinya. Semoga kita sama-sama dianugerahkan syurgaNya..

Wednesday, September 9, 2009

KARTIKA : A 'GOOD' SIGNAL




Ekoran dari isu hukuman sebat terhadap bekas model Kartika Sari dewi Sukarno, wajar diperjelaskan bahawa :


–1. Kartika bukanlah orang pertama disebat atas kesalahan minum arak. Di Kelantan seramai 6 orang lelaki telah pernah disebat.. Tahun 1997; 4 orang, tahun 2001; seorang dan 2003; seorang.

2. Kartika juga bukan wanita pertama dijatuhi hukuman sebatan. Hukuman sebatan Syariah terhadap seorang pesalah wanita pernah diputuskan oleh Mahkamah Syariah Johor pada tahun 2000. Namun pesalah berkenaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan hukuman sebatan telah diketepikan.


3. YA Hakim Dato' Abdul Rahman yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika juga telah pernah menjatuhkan hukuman yang sama beberapa tahun lalu ke atas 2 orang adik beradik yang melakukan kesalahan minum arak . Mereka juga memfailkan rayuan dan rayuan mereka belum didengar.

4. Tohmahan kononnya Kartika dijadikan target untuk disebat adalah fitnah besar terhadap institusi agama, kerana bukan hanya Kartika seorang yang ditangkap dan dijatuhi hukuman sedemikian.Pada masa kejadian, selain dari Kartika, juga telah ditangkap 2 orang lain.- seorang lelaki dan seorang wanita. Keduanya juga dijatuhi hukuman yang sama denda 5000 dan 6 sebatan, namun mereka telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Pahang. Justeru, bagi memastikan keadilan dan Kartika tidak dihukum lebih berat dari dua orang lagi yang merayu itu, kesnya telah diputuskan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang untuk disemak semula.

5. Hukuman ke atas Kartika belum dibatalkan, hanya digantung berikutan keputusan Ketua Hakim Syarie Pahang, YAA Dato' Abdul Hamid untuk membuat semakan terhadap hukuman ke atas Kartika.
6. Jabatan Penjara pula sudah pun mempunyai seramai 171 orang tukang sebat terlatih termasuk 2 orang tukan sebat wanita. Kesemua mereka terlatih dalam menyebat secara sivil, Syariah dan Kanak-kanak.

7. Seorang penyebat wanita telah membuat demonstrasi sebatan Syariah dengan penuh bergaya di hadapan Hakim Rayuan JKSM YA Dato' Asri. YA kemudian mengesahkan dan berpuas hati dengan cara sebatan tersebut.
8. Prosedur sebatan Syariah adalah termaktub dalam sek.125 Tatacara Jenayah Syariah Pahang. Di Negeri lain pun ada tatacara yang sama. Gambarannya, apabila melakukan sebatan, hanya tangan yang terangkat tanpa menampakkan ketiak. Tidak seperti sebatan sivil yang memang bersifat cruel dan menyiksa pesalah, sebatan Syariah bersifat mendidik. Justeru adalah tidak wajar sebatan Syariah disamakan dengan sebatan sivil.

9. Kartika sendiri telah insaf dan bertaubat atas perbuatannya dan menuntut supaya beliau dekenakan hukuman berkenaan. Inilah bukti keberkesanan hukuman sedemikian di zaman ini. Keputusan sama ada Hukuman sebat ke atas Kartika akan dilaksanakan atau sebaliknya terserah kepada Jawatankuasa Rayuan Syariah Pahang yang akan bersidang bagi menyemak hukuman YA Hakim Mahkamah Tinggi Pahang itu tidak lama lagi.

10. JAG dan SIS melalui memorandum kepada Perdana Menteri telah mendesak Kerajaan Persekutuan untuk MEMANSUHKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH YANG SEDANG berkuatkuasa di negeri-negeri. Tindakan yang sama juga pernah dilakukan melalui memeorandum yang di kemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh 300 individu dan NGO termasuk Menteri-menteri Kabinet beragama Islam yang sedang berkhidmat.



11. TINDAKAN JAG, SIS DAN KONCO-KONCO MEREKA INI ADALAH TINDAKAN BIADAP MENCEROBOH BIDANGKUASA JENAYAH SYARIAH NEGERI-NEGERI YANG TELAH KITA WARISI SEJAK ZAMAN SILAM DALAM KANUN UNDANG-UNDANG NEGERI-NEGERI MELAYU. (Sila rujuk sinchew.com untuk memorandum penuh mereka bertajuk "Justice For Kartika".