Percaya atau tidak, cubalah anda bertanya kepada 100 orang tentang pendapat mereka mengenai kerja sebagai seorang peguam. Pastinya 97 orang daripada mereka akan menjawab :
“Peguam? Kotorla kerja tu, sebelah kaki dah janji masuk neraka”. Lebih kurang maksudnya kerja sebagai peguam ini tidak elok dan ada saham neraka di akhirat kelak! Teruk sangatkah menjadi peguam ini?
Sejak 3,4 hari ini saya sering diajukan beberapa persoalan tentang kerjaya sebagai peguam oleh beberapa orang. Kebetulan semalam saya menaiki teksi dan tiba-tiba pemandu teksi itu (pak cik) bertanya di mana saya studi dan dia terus meneka yang saya mengambil jurusan undang-undang. Pelik tapi memang tepat. Bila saya mengiakan pantas dia mengatakan “ kerja peguam ni tak baik dik..”
Mulanya saya mendiamkan diri kerana berfikir adakah saya dapat memahamkan pak cik itu dalam masa yang singkat begini. Namun saya cuba memberi respon sebagai menjawab penyataannya. Akhirnya dia diam dan bersetuju dengan beberapa hujah saya walaupun nampak kurang puas hati.
….barangsiapa di antara kamu yang menunaikan hajat saudara kamu yang lain, maka Allah akan menunaikan hajatnya kelak, dan barangsiapa yang membantu mengeluarkan saudaranya daripada kesusahan hidupnya maka Allah akan mengeluarkan dirinya daripada kesusahan di akhirat kelak…
-Mafhum hadith-
Sebelum saya teruskan tulisan saya, saya suka andai anda dapat merenung maksud di sebalik hadis di atas. Di sinilah letaknya peranan seorang peguam! Membantu menunaikan permintaan insan lain yang memerlukan pertolongan dan membawa mereka untuk keluar daripada kesusahan hidup. Tidakkah ia selari dengan tuntutan Rasulullah melalui hadis di atas.
Saya ingin membawa anda supaya lebih dekat mendalami peranan seorang peguam mahkamah syariah terutama dalam kes-kes yang berkaitan kekeluargaan. Peranan seorang peguam adalah memberi hak kepada yang berhak dan membantu mereka yang dicabuli haknya. Cuba anda fikirkan:
1) Jika seorang isteri yang ditinggalkan suami lebih daripada 4bulan, tanpa nafkah zahir dan batin,siapakah yang membantu memberi hak kepada si isteri setelah dibiarkan tergantung tak bertali?
2) Jika seorang isteri kerap dipukul dan didera suami, kepada siapa lagi yang mereka wajar mengadu daripada terus dibelasah si suami?
3) Jika seorang pasangan itu bercerai dan bertelingkah untuk merebut anak, tidakkah peguam hadir untuk membantu menyelesaikan masalah?
4) Andai seorang isteri pertama diabaikan setelah suami berkahwin lain, adakah wajar dibiarkan mereka ini mengemis hidup sedangkan mereka punya hak ke atas suami sendiri?
5) Andai anak-beranak kematian waris dan bertelagah sesama sendiri merebut harta pusaka, adakah kita wajar membiarkannya sehingga boleh berbunuhan tanpa hadirnya seorang peguam untuk menjadi orang tengah menyelesaikannya?
Bukan semua peguam yang gilakan duit bila mendapat kes. Bukan juga semua peguam yang gilakan nama apabila menang kes. Ada antara peguam yang memilih kerjaya ini kerana kemurnian tugasnya membantu mereka yang teraniaya tanpa sebarang sebab yang munasabah. Kalau anda hendak tahu, pensyarah saya juga adalah seorang peguam mahkamah syariah. Dia mangatakan kadang-kadang tidak dapat duit pun daripada klien apabila mengendalikan kes (kerana ada juga klien daripada golongan kurang mampu).Bagi mereka niat mereka adalah menjadi pendengar, pembantu serta penyelesai masalah antara pihak yang terlibat. Terutama apabila dalam kes rumahtangga yang retak menanti belah. Sedaya mungkin mereka akan cuba membantu.
Jadi, andai selepas ini ada di antara saudara kita yang bercita-cita untuk menjadi peguam, janganlah terlalu pesimis dengan memberi pandangan buruk pada kerjaya ini. Inilah kerjaya yang mulia kerana kita diberi peluang membantu masyarakat .Saya boleh analogikan, asal hukum memakan daging adalah halal, namun ia menjadi haram apabila memakan daging kurban yang dijual atau secara mudahnya memakan daging yang tidak disembelih secara islam. Maka, apa yang saya boleh katakan adalah andai kerja semulia ustaz atau pendakwah itu disalahguna, pastinya kerja itu menjadi buruk juga .
P/s : untuk kawan-kawan yang sejurusan, ayuh kita teruskan perjuangan di lapangan ilmu undang-undang kerana di luar sana masih ramai yang memerlukan pertolongan kita. Pasanglah niat yang baik supaya dipermudahkan perjalanan pembelajaran kita, mudah-mudahan ia merupakan jihad di jalan Allah.