Hampir sebulan atau lebih sebulan mungkin saya tidak ‘mengisi’ apa-apa yang baru di blog saya. Lantaran hambatan ‘final exam’ semester akhir tahun dua, saya mengasingkan diri sebentar. Cadangnya, seusai kertas akhir peperiksaan, saya mahu turunkan beberapa cerita di sini. Namun rezeki lain sudah memanggil iaitu menjadi guru sekolah menengah di Sekolah Menengah Islam Al-Amin. Setelah menjalani trauma
“ ingatlah jika kamu letih membuat kebaikan, keletihan itu akan hilang dan kebaikan itu akan kekal. Dan jika kamu letih membuat kejahatan, keletihan itu juga akan pergi dan kejahatan itu akan kekal, maka pilihlah yang mana menguntungkan dirimu"
Itulah motivasi. ‘Penyindir’ saat badan memujuk untuk berehat-rehat.
Tujuan saya menulis kali ini bukan sebarang sebab.
Baiklah. Maafkan saya terlebih dahulu sekiranya ada bahasa yang agak tidak enak. Tetapi yang tidak enak itu kadang-kadang lebih menembus jiwa. Harapnya!
SOLEH, SOLEH..TETAPI…
….sayangnya. Tinggal wajah putih bersih berhias janggut sejemput. Bahkan sering dijemput menjadi imam
Sayangnya! Suatu hari yang merubah pandangan saya. Yang membuatkan saya terus sangsi. Banyak benar yang macam buah atau bunga.
Begini.
Suasana dalam tren agak sesak. Mujur ada satu tempat duduk untuk saya redakan kelenguhan kaki. Namun, hanya sejarak dua nafas, saya terpandangkan seorang mak cik tua, meliar-liar matanya memohon belas daripada penumpang yang berdekatan dengannya. Kalian, tidak jauh dari situ ada seorang pemuda. Katakan sahaja saya mengenalinya seperti yang saya gambarkan di atas. Saya terlalu percaya dia bukan seorang yang buta.
Mak cik tadi seperti memohon agama si pemuda untuk bersuara. Belaslah hai pemuda seperti belasnya Nabimu menyuap makanan kepada lelaki Yahudi itu. Sayangnya kalian! Saya tidak segan untuk mengatakan urat-urat ‘kelakian’ jelas di tangannya. Saya tidak juga segan untuk mengatakan buah halqum juga jelas terbonjol di kerongkongnya. Itu tandanya kelakian yang harus dibuktikan bahawa si Adam lebih kuat daripada si Hawa. Sayangnya kalian! Mak cik tadi masih sahaja berdiri melurut-lurut kakinya yang sudah lenguh. Si pemuda enak-enak bersandar menyimpan tenaga mungkin untuk turun ke
Saya tidak tahan.
“ Hai pemuda, tanggalkan sahaja kopiahmu yang menjadi syiar Islam.” Jerit hati saya seperti mahu saja dia dengari. Apakah belum memadai agama yang ada dalam dirimu untuk melonjak belas dalam jiwamu untuk seorang tua. Itu adab yang mudah yang telah pun Nabi ajarkan kita. Sayangmya!
Kalian tahu, waktu itu seorang muslimah bangun menghulur tempatnya kepada mak cik tersebut. Sungguhpun tempat duduknya agak jauh dari si pemuda. Apa yang lebih menyedihkan, buku-buku yang dikendong si muslimah hampir saja terjatuh saat dia menyeimbangkan dirinya berdiri di celah-celah sesak manusia. Ah, apa sangat yang ada pada si muslimah jika melihat zahir dirinya. Kekuatannya digagahkan jua demi akhlak seorang Islam. Saya tergeleng-geleng melihat pemuda yang masih lagi macam patung. Wajah solehnya sudah beransur hilang dari pandangan saya. Tahulah saya, mengapa peduli benar Islam mengajarkan manusia untuk berakhlak. Hanyalah kerana satu kecacatan akhlak itu, terpalitlah segala ‘ketokohan’ yang susah-susah ditonjolkan!
Kalian, mengapa peristiwa remeh ini perlu saya ceritakan. Ya, sangat remeh. Tapi kerana yang remeh inilah membuatkan saya menjadi kurang ‘percaya’ pada ‘ warna luar’ buah dan bunga lagi. Hairan. Sungguh airan. Perkara asas dalam berakhlak masih juga gagal dikuasai si soleh. Perkara asas yang boleh saja difikir ikut common sense atau fitrahnya perasan manusia untuk memberi belas rupa-rupanya masih jauh ketinggalan untuk diamalkan oleh si soleh. Kalian mungkin mengatakan, ini baru satu pemadangan yang saya temui. Tidak bolehlah saya terlalu prejudis untuk menilai si soleh.
Kalian. Saya mahu katakan. Ini bukan, satu, dua, tiga atau empat kali. Tetapi ini terlalulah berkalli-kali saya bertemu dengan si soleh yang pelik begini. Beginilah, saya memandang ini dengan dua punca yang mengakibatkan gejala ‘kurang sensitiviti’ dan kegagalan saraf ‘ common sense’ ini semakin merebak.
TIDAK TAHU KENAPA JADI SOLEH.
Itu yang pertama. Jadi soleh maksudnya jadi baik. Jadi baik itu boleh terjadi dengan sendirinya kerana iman yang membentuk diri untuk menjadi baik. Jadi baik itu juga boleh juga terjadi dengan merancang diri untuk nampak baik tetapi tidak selaras dengan iman yang menipis. Hasilnya, keluarlah kosmetik pemuda Islam yang hanya kelihatan soleh pada luarnya, tetapi dalamnya masih tidak lepas SIRIM ALLAH. Itulah produk-produk pemuda juga pemudi yang banyak terwujud pada zaman ini. Sangat membimbangkan!
DEGIL TAMBAH TIDAK MAHU BERADAB
Ini yang kedua. Saya katakan tidak MAHU beradab bukannya tidak TAHU beradab. Kalian, kalaulah kita ditanya tentang sifat belas Rasulullah, wallahi ya akhi, sejam pun tidak cukup untuk kita datangkan peristiwa-peristiwa belas baginda. Bagi yang menang award penghafaz dalil, berlimpah-limpah nas diberikan. antaranya:
“ man la yarham wala yurham!"
( sesiapa yang tidak mengasihi maka tidak akan dikasihi)
Tahniah! Saya sangat kagum kerana saya bukanlah yang banyak berdalil.Tetapi apabila dihadapkan dengan peristiwa yang sedang merayu belas kita, berapa ramai yang lekas menyahut. Banyaknya yang degil tambah tidak mahu beradab.Tahu, Islam suruh bagi belas. Tahu, Nabi pun memberi belas tetapi hati ini rasa tak mahu hendak memberi belas. Hati masih degil hendak menghulur belas. Lebih-lebih belaskan diri sendiri.
Kenapa kalian?? Itulah yang saya katakan, semuanya tergantung kepada imanmu. Iman mana yang tinggi sanggup membelakangi sikap Nabi. Iman mana yang semakin menebal sanggup mencemar Islam dengan akhlak yang endah tidak endah ini. Iman mana yang menggunung menghilang deria sensitivitinya untuk mengasihi manusia lain. Iman mana? Melainkan iman yang makin menipis dan akhirnya menjadi habuk diterbangkan angin. Ya, hati saya tertampar-tampar. Persoalan ini saya utamakan buat diri saya terlebih dahulu.
Sahabat sekelian. Tulisan ini bukan semata saya tujukan kepada lelaki soleh. Buat para muslimah, kalian juga bertanggungjawab memberi akhlak pada khalayak. Cumanya, ya cumanya, saya punya sebab kerana difokuskan kepada lelaki soleh. Kerana pada kalianlah imam yang kami adalah makmumnya. Pada kalianlah kami mengambil contoh dan mengharap teladan seperti Baginda sungguh-sungguh memberi teladan. Andai imam yang kami wajib taati sudah hilang ‘ketokohannya’ hanya pada seremeh-remeh perkara, apatahlagi untuk memimpin keluarga dan dunia nantinya.
wallahu'alam. Moga ada sesuatu untuk kalian rasakan..