CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, March 2, 2008

JESSUP MOOT 'S BAILIFFS

future lawyers. insyaAllah..(",)



court adjourned!..'lawyers' back to chamber!


our honourable 'judges' presiding..=>
president, Shazali CJ.


'lawyers' scattered! relax counsels!

you are dissenting! we should allow the appeal!

that's the end of Jessup Moot.
congratulations IIUM!
We pray for your best in Washington D.C next month!
do prove that an islamic universitiy can lead the world advocacy!
ameen..

Monday, February 25, 2008

DaRI waNIta unTUk WAniTA


wahai permata antara kaca
lihatlah panorama dunia
wanita bagaikan hilang rasa malunya
maruah yang menjadi maharnya
tergadai sia tiada berharga


di manakan budinya, di manakah akhlaknya
sungguh pilu dan sayu mengenangkannya
santun tiada lagi, nafsu memimpin diri
kehormatan diri tidak peduli


wanita..
mari menginsafi kepada asal fitrah kejadianmu
diciptakan untuk dihormati
sentiasa diredhai Tuhan Pencipta
kembali kepadaNya
kembali kepada RasulNya
pasti dihadirkan taufik hidayahNya


wanita..
kembalilah ke arah kemuliaan
contohi peribadi ummul mukminin
Rasulullah dijadikan suami
tertawan kerana keluhuran pekerti
bukan kerana harta dan nama
tetapi kerana budi yang disanjungi


wanita..
perhiasan dunia
bagai kilau permata antara kaca
sayangnya makin pudar cahayanya
hingga tiada beza antaranya..



lagu : Dilema, Hijjaz.



wahai wanita, jika kalian bukanlah saudara seakidah saya, secebis kepeduliaan pun tidak saya berikan kepada kalian. jika saya bukanlah wanita seperti kalian, tidaklah perlu saya bertarung dengan hati beristighfar melihat pakaian kalian yang mengaibkan, melihat lenggok manja kalian encemar diri kepada lelaki jalanan. Sayangnya..mengapa menjadi mudah dan murah untuk lelaki, bukan lagi seperti mawar yang menanti sang kumbang mujahid bahkan menjadi mawar yang terbang mencari kumbang tanpa rasa sedikit malu..



Sungguh! jika bukan kerana Allah menghidupkan saya untuk mencegah yang mungkar, tidaklah saya kisah perihal kalian yang semakin hilang malu dan maruah diri. Andailah akhirnya saya dijanjikan syurga, tidaklah perlu saya takut andainya saya dicampak ke dalam neraka kerana keredhaan saya melihat maksiat tapi saya hanya berdiam diri.



Melihat tangisan seorang sahabat kerana kegagalannya untuk menegur dan menasihat wanita yang hilang sudah harga diri, saya lebih berasa teramat malu dengannya kerana betapa lembut hatinya memikirkan masalah umat. Sedangkan saya? Betapa kesedihan yang tergambar daripada wajahnya mengingatkan saya sebagai seseorang di bumi Allah. Bukan sekadar binatang ternakan yang digambarkan Allah terhadap mereka yang hidup tanpa tujuan.



Bangkitlah para Daei, sebarkanlah nasihat, terbitkanlah sensitiviti untuk memperbaiki umat kerana kalian bukan diciptakan semata-mata untuk perbaiki diri sendiri. tetapi telah diciptakan kalian dengan satu tanggungjawab yang teramat berat, sedang gunung tidak sanggup memikul amanahnya, lantas kita bersungguh menyanggupinya. Namun, di manakah kesanggupan kalian? jika hanya melihat maksiat dan meredhainya atas alasan belum cukup keberanian untuk menegur.



teruslah dan teruslah dengan kelemahan kalian jika kalian punya jawapan di hadapan Allah nanti. kerana saya seorang Islam, saya harus peduli tentang agama saya, agama kalian juga!

Friday, February 15, 2008

TIBALAH MASA UNTUK BERBUKA


Dalam tadarrus nurani
Kukirim tinta cinta ke langit tujuh
Merisik naskhah rahsia
Menjilid kitab percintaan
Tuhan,
Dalam sujud tertunduk
Labuhkan rindu dendamku
Pada dermaga perkasihan
Yang tercipta untuk seorang Adam
Untukku temu dalam rentang
sejadah pernikahan.

Saya kesat hangat air yang mengalir di pipi. Selendang sutera bertenun emas saya labuhkan ke bahu. Cincin emas berhias kemilau permata tiga menggamit mata. Lama saya tenung jari manis tirus yang akhir dipaut satu ikatan yang separuh mengikat diri saya dengan seorang adam. Benar, dia adam yang membayangi dalam mimpi, memanggil dalam samar dalam bersih jubah putih suci lantas membisik-bisik dengan parau suara yang menggetar nurani.

“ aku adalah akidahmu, sebutlah nama TuhanMu bahawa kau akan kusantuni”.

Lalu dia menghilang dalam renung bening mata yang berbekas dalam ingatan.

Saya tersedar, istighfar dan syukur basah di bibir. Gelora cinta mula membuak, dihambat rindu yang mengasak dada. Mengapa sekarang sungguh kurasa bagai musafir haus dalam tandus padang pasir mengharap setitis air. Begitulah rasa seorang pencinta yang dahagakan redup pandang kekasihnya.Sungguh pertemuan yang singkat tadi telah Allah campakkan sejuta kecintaan yang benar-benar hidup!

“ enti, diri enti baru separuh milik ana, tapi ini bukan bermakna Allah izinkan kita bercinta. Ana harap enti faham, ana serahkan enti dalam jagaanNya, belum halal kita untuk berhubung walau ana jujur, hakikat hati bahawa tiadalah sabar untuk bersama enti.”

Dia berjeda. Matanya kerap dilarikan ke kiri ke kanan apabila menatap wajah saya buat pertama kali. Saya relakan niqab dibuka moga tuntutan hadith nabi bisa dipenuhi. Mohon saya, agar wajah ini bakal dia senangi untuk saya hiasi hari-hari hidupnya yang mendatang. Debar saya beralun dalam debarnya dan saya menghambatnya dengan zikir di hati.

“andai rindu dan cinta meruntun hati, lekas-lekaslah enti berwudhu’, bukalah mashaf dan bacalah dengan sekhusyuknya. Kerana itu bukanlah kerinduan yang halal untuk kita, bahkan syaitan yang cuba memesong hati agar ikatan kita mendasari nafsu yang merosakkan”

“ ana faham, insyaAllah.” Sekadar itu. Hanya sekadar itu saya membalas. Kelu berkata tanda ada hati yang sedang berbicara. Namun ia tidak terlafaz pada bibir yang tekekang untuk bersuara. Duhai adam, andai kau tahu segunung syukur kupanjatkan atas lamaranmu, betapa hadirmu bagai bulan yang menyimbah gelap bumi di malam hari.

Dan nikmat tuhan yang mana yang kamu dustakan!

Saya berlalu ke bilik air untuk berwudhu’. Sesekali dingin air yang mengalir menyumsum ke dalam tulang mengaliri hati setenang aliran Nil mengutus Musa ke mahligai Firaun, lantas bayi mungil itu mengukir sejarah agung menundukkan seorang Thaghut yang menyesatkan. Tuhan, andai saya adalah ibu Musa, maka nikmat Tuhan mana yang saya harus dustakan!

2 rakaat saya tunaikan solat syukur. Ya Illahi, akanku penuhi tempoh pertunangan ini sebagai persediaan terakhir untuk membina sebuah baitul muslim bersama seorang lelaki yang akanku persembahkan segala ketaatan, agar kecintaan yang berbuah-buah ranum dalam cinta buat suami yang bakal kami lahirkan zuriat yang menjadi kader-kaderMu kelak.

Sungguh Illahi, impianku agar aku bisa menghadiahkan kepadaMu seorang lagi Salehuddin Al-Ayubi, seorang lagi Al-Farouq yang memimpin dunia, seorang lagi Al-Siddiq yang hatinya lembut mengasihi seluruh insan, seorang Muaz bin Jabal yang menjadi kerinduan kekasihMu, Muhammad. Maka kurniakanlah aku suami seperti Zubair bin Awwam sebagaimana Umar mengagumi anaknya kerana didikannya. Ya Illahi, kau peliharalah diri dan hati aku dan dia dari pesongan nafsu yang mengundang laknatMu hingga akhirnya kau tarik kembali semanis-manis nikmat ini.

Mata saya semakin sarat dengan air mata. Gentarnya andai nikmat ini adalah ujian untuk saya memiliki cintaNya.

Saya bangun dan duduk di birai katil, lalu mencapai diari . Bagaimana akhirnya saya menerima dirinya, membuat keputusan setelah hampir setahun dilamar. Saya akur, memilih suami bukanlah seperti memilih bunga atau buah. Cukup hanya terpikat dengan tarikan warna luaran lantas kita terus memetiknya.

Sedangkan memilih suami ibarat memilih aqidah, yang nanti bakal menentukan bagaimana akhirnya hayat saya. Sungguh saya tidak mahu menyesal memperhambakan diri pada seorang lelaki yang akan saya persembahkan segala milik diri. Hanya satu yang amat saya harapkan agar lelaki ini bakal memandu langkah saya menjadi tetamu Allah di syurgaNya.Dan Akhirnya kami kembali menyemarakkan segala cinta dan kasih dalam anggun taman syurga.

Saya membuka sehelai demi sehelai tulisan diari. Saya terhenti pada satu halaman yang dakwatnya sudah mengembang. Kesan basah air mata yang entah bila saya tumpahkan.

‘ Tuhan, andai benar satu hari akan kau serahkan diriku buat seorang Adam, biarlah dia seorang yang punya fikrah yang kuat berdakwah, yang tidak redha dengan kemaksiatan, yang lincah mentarbiyyah umat, yang tidak langsung berlengah untuk menyerah harta dan jiwanya pada jalanMu, yang tenaganya tidak sedikit pun berbaki untuk dia mengejar dunia, yang hatinya tertaut pada masjid, yang malamnya hidup untukMu dalam tahajud yang menyuci jiwa, yang apabila aku memandang wajahnya, bertambah-tambah pujianku buatMu, yang apabila melihat akhlaknya, melimpah-limpah kerinduanku pada KekasihMu, dan tidurnya dalam dakap kitab suciMu kerana letih mentadabbur Al-Zikr, yang bibirnya tidak sunyi dari lantunan zikir dan hafazan surah-surah penghibur hati, yang apabila katanya penuh nasihat dan guraunya adalah sedikit kerana gentar akan kematian yang bila-bila masa sahaja menjemput.’

-PD-
inilah isi diari saya lewat 2 tahun yang lalu!

Bukanku mengharap kepada kesempurnaan, tetapi kerana pernikahan adalah saparuh kepada penyempurnaan agama, maka izinkan aku sempurnakan pernikahan ini dengan lelaki persis dengan akhlak KekasihMU..


“ sesungguhnya orang itu tergantung kepada agama temannya. Dan seseorang itu tidak dikenali kecuali dengan melihat temannya.” Ihya’ Ulummudin, Imam Ghazali.

Setelah setahun saya merisik dengan melihat agama rafiknya, menelusuri fikrahnya yang penuh dengan agenda dakwah, yang saya yakini kematangannya dalam agama dapat membawa saya terus menjadi pendampingnya dalam manhaj dakwahnya, dan dengan izin Allah, dengan penuh ketulusan saya serahkan hati ini untuk dia sempurnakan ikatan dengan satu lafaz yang merubah segalanya.

Terima kasih Illahi kerana mempertemukan saya dengan dirinya!

PERNIKAHAN IBARAT BERBUKA PUASA,LAFZKANLAH HAJAT JIKA TERASA SUDAH TIBA MASANYA, IAITU SETELAH BEKALAN UNTUK MENAKHODA BAHTERA PERNIKAHAN CUKUP SEISINYA, USAH IA DILAFAZKAN SEAWAL SAHUR, KELAK BASI CINTA DAN RASA LANTAS KAPAL AKAN KARAM KERANA HAMBAR ANGIN CINTA YANG MEMANDUNYA.

Saturday, January 26, 2008

SUATU MALAM DALAM LIQA'...



“ bukan letihlah, tak cukup tidur!” suara saya menggertak hati. Dari tadi suara dan hati berbalah, merusuh. Saya mendengus. Aduhai badan, kau diam boleh tak?

Badan : hei hati, aku dah tak larat, buang saja prinsip kau tu!

Hati : sabarlah, letih apanya? Cuba cakap apa kau buat sejak daripada kau bangun tidur? Ada nak kena jaga anak? Jaga suami? Sedia sarapan, masak tengah hari? Pergi kerja?

Khali!

Saya hampir migrain. Hilang tumpuan ketika berada dalam liqa’ di surau Ansar. Sebab letih! Eh, bukan, tapi tidak cukup tidur. Prinsip saya yang satu lagi, belum ada istilah letih dalam hidup sekarang ini. Bukannya apa, terasa malu untuk dibandingkan dengan keletihan mereka yang lebih banyak tanggungjawab berbanding saya yang masih belajar. Kalau sekarang sudah manja cakap letih, bagaimana hendak hidup pada masa yang akan datang!

Saya melirik ahli-ahli usrah yang lain. Wah, masih punya stamina. Bersemangat memberi pendapat. Saya hitung kerja hari ini. Pagi tadi saya ke halaqah, kemudian ke perpustakaan menyiapkan tugasan. Selepas zohor bergerak ke surau ansar untuk mengajar adik-adik fardhu ‘ain. Wah, nakalnya jangan dikata! Selepas asar terus ke dapur untuk memasak makan malam dengan akhawat yang lain.

Sambil-sambil itu sediakan minum petang untuk pengunjung daurah. Kemudian selepas maghrib, saya hadiri kuliah dan seterusnya saya berada di sini. Dalam liqa’ bersama akhawat dari IPT lain. Tetapi otak saya hampir mati. Padahal, belum puas rasanya saya menggunakan tenaga yang Allah bagi untuk hari ini. cemburu juga saya melihat mereka yang masih segar sedangkan mereka lebih banyak mengerah tenaga sepanjang hari. Inilah ghirah!

“ kak izzah, macam mana ya hendak cinta kerana Allah?”

Hati saya tiba-tiba terjaga. Kening saya hampir bercantum berkerut. Wah, sudah lama saya tidak berhadapan dengan soalan begini. Hai izzah, ada jawapan? Hati memerli. Hei hati, perlu professional. Ehemm..

“ senang secara teori, ermm, praktikalnya, perlu kita kurung syaitan dulu.” Intro.

“ begini, cinta kerana Allah tu apabila Allah yang suruh kita cintakan sesuatu perkara tu. Contohnya cinta kepada ibu bapa, dalam Al-Qur’an Allah ada sebut supaya kita cintakan mereka. Suami? Ada hadith mewajibkan kita taati suami. Ilmu, ada juga dalli tentang cintakan ilmu. Kalau kita cintai semua ini, ertinya kita dah cinta kerana Allah.Kalau bukanlah kerana Allah, tiada sebab untuk kita cinta mereka.

“ tapi ada ke dalam Al- Qur’an sebut, love your hubby? Love your couple? Even ‘lelaki’ itu soleh dan kamu menjalinkan hubungan dengan dia secara ‘islamic’, tiada alasan hendak labelkan saya cintakan dia kerana Allah. Sebab jelasnya Allah tidak suruh. Atau akak belum jumpa dalilnya?

Mukanya tampak sugul. Aduhai adik, cintakan lelaki itu fitrah. Tapi akak tidak mahu hulurkan simpati andai ianya memang satu yang salah.

“ bagaimana kalau saya hendak keluar dari cinta yang macam ini, belum ada kekuatan”

Saya menyeluruhi akhawat dalam liqa’. Kesemua mata bertumpu kepada saya menanti tips mungkin tentang soalan yang kedua. Hei hati, dari mana mahu mula? Alah, Pengalaman kau, ceritakan apa yang kau buat dulu. Hati mencubit. Aduhai, demi adik-adik..

“akak boleh nasihatkan, akak boleh bercakap sampai ke pagi hal ini, tetapi kalau hati adik-adik tidak dilembutkan untuk berubah, hati masih mengeras dengan mengatakan saya belum bersedia nak lepaskan cinta, akak tidak dapat nak tolong”. Tegas saya. Mereka menunduk dan saya faham, mereka yang inginkan kebaikan, maka akan diberikannya kebaikan.mudah-mudahan begitu.

“ ingatlah, perempuan yang suci adalah perempuan yang dijaga sepenuhnya oleh Allah. Tidak sedikit pun Allah membenarkan mana-mana lelaki menyentuh dirinya walaupun hatinya. Kerana Allah teramat mencintainya. Pecinta mana yang mahu berkongsi kasih dengan yang lain.tetapi, andai kita bergelumang dengan cinta lelaki, di mana Allah untuk menjaga kita? Allah seperti lepaskan kita kepada seorang manusia yang lebih banyak mengecewakan kita”

“ jika Allah dah datangkan kesedaran dalam diri adik-adik supaya meninggalkan cinta seorang lelaki, ini bermakna Allah mahu ambil kamu kembali untuk dijagaNya. Wah, bayangkan, Allah memilih kita untuk berada dalam rangkul cintaNya. Sepertimana Allah memilih para rasul dan sahabat-sahabat yang lain. Mengapa masih perlu ragu-ragu? Mengapa masih perlu bersedih dan teragak-agak? Kerana lelaki itu boleh bagi nyawa, boleh turunkan rezeki bilamana kamu inginkannya? Boleh kabulkan doa dan tunaikan segala permintaan kamu? Boleh nanti ringankan azab kubur dan beri syafaat pada kamu?”

Saya berjeda. Mata mereka masih tidak berkelip. Banyak pula idea yang datang sekarang ini. Harus diatur dengan teliti. Jika tidak, hati tidak akan terkesan. Aduhai Allah, lembutkanlah hati kami untuk memahami yang benar-benar.

“Boleh setakat ni?”. Ingatan saya terimbas ke masa lalu. Dan saya lekas-lekas istighfar. Inilah sebabnya saya gentar berbicara soal ini. Wajah ukhti yang bertanya seakan memerah. Matanya mula berkaca.

“ kekuatan jangan ditunggu. Harus cari. Sampai bila nak jumpa dengan kekuatan kalau asyik menunggu. Kali ini Allah dan sedarkan kita. Allah dah tegur kita atas kesalahan yang kita lakukan. Tapi, jika kita masih tak endahkan, risaunya nanti Alah terus tidak endahkan kita. Teruslah, teruslah dengan maksiat sedang kamu adalah orang yang faham hukum”

“ ingat seperkara lagi, pesan imam ghazali. Kenal bukan? Ahli falsafah terkenal. “ sebesar-besar dosa adalah dosa yang dilakukan ketika kita rasa berdosa melakukannya”.

Hati, setakat itu sajakah? Ehemm..kalau biar ini boleh sampai pagi.

“erm, maaf ya, esok kita nak bangun awal untuk qiam. Boleh tutup dengan surah Al-Mulk sebelum jam 11.” Suatu suara dari luar liqa’ menegur . owh, ukhti yang menguruskan sesi malam itu.

Selesai surah al-mulk, saya terus dikelilingi beberapa ahli usrah yang tadi. Masih pada topic yang sama, tetapi pendekatannya mungkin lebih menjurus kepada yang personal. Bertukar cerita dan pengalaman.Cumanya, ayat dari surah as-saff berbisik-bisik ke dalam telinga saya. Dari mula, sampai sekarang. Ingatannya saya jadikan begini..

“ wahai hambaKu, mengapa kamu katakan tentang sesuatu yang tida kamu lakukan. Sesungguhnya Allah teramat benci kepada orang yang sebegitu”

Hati saya bergegar lalu runtuh. Ya Allah, moga aku jauh dari orang yang teramat kau benci itu..

“ cinta..bila waktu dan takdir bersatu, cinta menyatu sebagai satu tanggungjawab bukan sekadar perasaan!”


Friday, January 18, 2008

DEMI JIWA BERNAMA MUHAMMAD II

makam baginda Rasulullah saw

Salam'alayk.

Di sini saya tinggalkan sebuah kisah cinta seorang Muhammad buat para perindunya. Diharapkan sepanjang 'kehilangan' saya nanti, kisah ini mampu menjadi penawar segala kerinduan dan kecintaan kalian buat insan bernama muhammad. Duhai hati, lebutlah..duhai mata , menangislah dikau..



(kisah dipetik dari laman nurilahi)


Daripada Ibnu Mas’ud ra bahawasanya ia berkata: Ketika ajal Rasulullah SAW sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aisyah ra. Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda:“Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah.


Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah.” Allah berfirman: “Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa.” Kemudian kami bertanya: “Bilakah ajal baginda ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadhrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila’ la.”



Kami bertanya lagi: “Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah? Rasulullah menjawab: Salah seorang ahli bait. Kami bertanya: Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah.” Kami bertanya: “Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?” Kami menangis dan Rasulullah SAW pun

turut menangis.


Kemudian baginda bersabda: “Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku, kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya.



Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua.” Semenjak hari itulah Rasulullah SAW bertambah sakitnya, yang ditanggungnya selama 18 hari, setiap hari ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, di saat baginda menghembus nafas yang terakhir.


Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, ia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam: “Assalamualaikum ya Rasulullah?” Kemudian ia berkata lagi “Assolah yarhamukallah.” Fatimah menjawab: “Rasulullah dalam keadaan sakit?”



Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid, ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu ia berkata seperti perkataan yang tadi. Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh ia masuk. Setelah Bilal bin Rabah masuk, Rasulullah SAW bersabda: “Saya sekarang dalam keadaan sakit, Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat.”



Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata: “Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?” Kemudian ia memasuki masjid dan berkata kepada Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut. Ketika Abu Bakar ra melihat ke tempat Rasulullah yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu ia menjerit dan akhirnya ia pengsan.


Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah SAW. Baginda bertanya: “Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu? Siti Fatimah menjawab: Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah SAW tidak ada bersama mereka.”
Kemudian Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Thalib dan Abbas ra, sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid.



Baginda solat dua rakaat, setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda: “Ya ma’aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah, sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT, kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini.”



Malaikat Maut Datang Bertamu Pada hari esoknya, iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya ia turun menemui Rasulullah SAW dengan berpakaian sebaik-baiknya.


Dan Allah menyuruh kepada Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah SAW dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka ia dibolehkan masuk, namun jika Rasulullah SAW tidak mengizinkannya, ia tidak boleh masuk, dan hendaklah ia kembali sahaja. Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT.



Ia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah SAW, Malaikat Maut itupun berkata: “Assalamualaikum Wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!” Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu: “Wahai Abdullah (Hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit.” Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: “Assalamualaikum. Bolehkah saya masuk?” Akhirnya Rasulullah SAW mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah:



“Siapakah yang ada di muka pintu itu? Fatimah menjawab: “Seorang lelaki memanggil baginda, saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian ia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma.” Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia?” Fatimah menjawab: “Tidak wahai baginda.” Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: “Wahai Fatimah, ia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.”


Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Masuklah, Wahai Malaikat Maut." Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan ‘Assalamualaika ya Rasulullah.” Rasulullah SAW pun menjawab: Waalaikassalam Ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?” Malaikat Maut menjawab: “Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan, kalau tidak, saya akan pulang.



Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril? “Saya tinggal ia di langit dunia?” Jawab Malaikat Maut. Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril a.s datang kemudian duduk di samping Rasulullah SAW. Maka bersabdalah Rasulullah SAW: “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat? Jibril menjawab: Ya, Wahai kekasih Allah.”



Ketika Sakaratul Maut Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: “Beritahu kepadaku Wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya? Jibril pun menjawab; “Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu.” Baginda SAW bersabda: “Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku? Jibril menjawab lagi: Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu.”



Baginda SAW bersabda lagi: “Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang di sediakan Allah untukku? Jibril menjawab: Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Segala puji dan syukur, aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku?” Jibril as bertanya: “Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?



Rasulullah SAW menjawab: “Tentang kegelisahanku, apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?” Jibril menjawab: “Saya membawa khabar gembira untuk baginda.


Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu.” Maka berkatalah Rasulullah SAW: “Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku?” Lalu Malaikat Maut pun berada dekat Rasulullah SAW. Ali r.a bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?



Rasulullah menjawab: Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga. Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata: “Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut.” Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril as memalingkan mukanya.



Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku? Jibril menjawab: Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?” Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah SAW.


Kesedihan Sahabat


Berkata Anas ra: “Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah ra aku dengar ia sedang menangis, sambil mengatakan: Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang tidur di waktu malam kerana takut Neraka Sa’ir.”



Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Mu’az bin Jabal ra telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana . Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang, kemudian orang itu berkata kepadaku: “Apakah anda masih lena tidur juga wahai Mu’az, padahal Rasulullah SAW telah berada di dalam tanah.”



Mu’az terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu ia mengucapkan: “A’uzubillahi minasy syaitannir rajim?” Setelah itu ia lalu mengerjakan solat. Pada malam seterusnya, ia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama. Mu’az berkata: “Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan?” Kemudian ia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman.



Pada esok harinya orang ramai berkumpul, lalu Mu’az berkata kepada mereka: “Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah SAW bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku. Setelah Mu’az menerima Mushaf, lalu dibukanya maka nampaklah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula?” (Az-Zumar: 30).


Maka menjeritlah Mu’az, sehingga ia tak sedarkan diri. Setelah ia sedar kembali, ia membuka Mushaf lagi, dan ia nampak firman Allah yang berbunyi: “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?” (Ali-lmran: 144)



Maka Mu’az pun menjerit lagi: “Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad?” Kemudian ia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika ia akan meninggalkan penduduk Yaman, ia berkata: “Seandainya apa yang kulihat ini benar. Maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala.” Kemudian ia berkata: “Aduhai sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad SAW.”



Lalu iapun pergi meninggalkan mereka. Di saat ia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah, yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati.” Lalu Mu’az mendekati sumber suara itu, setelah berjumpa, Mu’az bertanya kepada orang tersebut: “Bagaimana khabar Rasulullah SAW?



Orang tersebut menjawab: "Wahai Mu’az, sesungguhnya Muhammad SAW telah meninggal dunia." Mendengar ucapan itu Mu’az terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya, ia memanggil Mu’az: Wahai Mu’az sedarlah dan bangunlah.” Ketika Mu’az sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar Assiddik, dengan cop dari Rasulullah SAW.


Tatkala Mu’az melihatnya, ia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya, kemudian ia menangis dengan tersedu-sedu. Setelah puas ia menangis iapun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah. Mu’az sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing.



Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan: “Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah..” Mu’az menyambungnya: “Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah.” Kemudian ia menangis dan akhirnya ia jatuh dan tak sedarkan diri lagi. Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy ra lalu ia berkata kepada Bilal: “Wahai Bilal sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya, ia adalah Mu’az yang sedang pengsan. Ketika Bilal selesai azan, ia mendekati Mu’az, lalu ia berkata: “Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Mu’az, aku telah mendengar dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:



“Sampaikanlah salamku kepada Mu’az.” Maka Mu’az pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa ia telah menghembus nafas yang terakhir, kemudian ia berkata: “Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah ra.” Ketika sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Mu’az mengucapkan: “Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh?”



Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, ia berkata: “Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah. Kemudian Mu’az menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan: “Assalamualaikum ya ahli bait.” Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian ia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Mu’az bin Jabal, ia adalah kekasih Rasulullah SAW.”



Kemudian Fatimah berkata lagi: “Masuklah wahai Mu’az.” Ketika Mu’az melihat Siti Fatimah dan Aisyah ra ia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Ketika ia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Mu’az dan khabarkan kepadanya bahawasanya ia kelak di hari kiamat sebagai imam ulama.”
Kemudian Mu’az bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah SAW.

Friday, January 4, 2008

KENAPA MASIH 'LAYU'!


Semalam saya baru sahaja dikunjungi sepupu saya bersama rakan-rakannya. Mulanya dia hanya datang untuk berjumpa kawan-kawannya yang merupakan bekas pelajar KISAS dan terus berjumpa dengan saya. Niat yang hanya sekadar singgah-singgah akhirnya berubah menjadi satu business consultation. Rupa-rupanya sekumpulan mereka yang datang itu merupakan ‘business men’ dan business women’. Bayangkan hanya baru berumur 23 tahun, salah seorang mereka sudah mampu membeli kereta mewah berharga lebih kurang suku juta. Itu baru bekerja tidak sampai 2 tahun!

Saya bukanlah jenis yang minat business dan saya rasa amat terperangkap dengan perbincangan semalam. Huh, bagaimana saya harus respon dengan segala pemikiran dunia business yang mereka bincangkan. Rendahnya diri!

I WAS TRIGGERED!

“orang melayu ini dah selalu hidup dalam comfort zone, kena pressure sikit dah mula melenting”

Kata salah seorang di antara mereka. Cuba lihat, bagaimana orang kita dimanjakan dengan pelbagai subsidi, bantuan-bantuan daripada badan kebajikan dan biasiswa serta pinjaman yang begitu banyak ditawarkan. Kemurahan-kemurahan begini yang banyak mendidik orang kita lemah dan malas. Maaf andai saya terlalu kasar. Ini satu realiti.

Apabila harga minyak naik, harga barang melonjak, ramai antara kita yang marah-marah. Membuat spekulasi itu dan ini. Sebab apa? Sebab efeknya akan menyusahkan kita dan memberi tekanan dalam hidup. Hal ini kerana, kita ini lemah apabila berdepan dengan masalah atau kesusahan. Apa yang sepatutnya, kita harus merancang untuk membuat perubahan dalam momentum hidup bagi menghadapi segala tekanan sebegini.
Ada antara mereka yang pernah dihantar ke Hong Kong semata-mata untuk membuat marketing survey dan meninjau budaya perniagaan rakyat di sana. Kalau kita orang Malaysia, masuk kerja pukul 9 dan 5 minit sebelum pukul 4.30 lagi kita sudah beratur untuk punch card kerana ingin pulang ke rumah awal untuk berehat. Namun, jika di Hong Kong, jarang antara rakyat di sana yang berpuas hati dengan satu kerja.
Habis sahaja kerja yang pertama mereka sudah bergegas melakukan kerja-kerja yang lain. Ada yang sampai 3, 4 kerja seorang. Ini kerana Hong Kong merupakan sebuah Negara yang kurang memberi subsidi atau bantuan pada rakyatnya. Hendak atau tidak, mereka harus bekerja kuat untuk survive dalam hidup. Bukan hendak kaya, tetapi hanya untuk menjalani hidup sekadar selesa dan senang.

BUSINESS DAN PENCEN

Kenapa suka kerja dengan kerajaan?

“ senang sikit ada pencen, lagi pun kerja dengan orang tak payah nak fikir untung rugi, gaji jalan juga”

Begitulah mentality sesetengah orang. Mengharap, menunggu, sambil berehat. Badan tidak sakit kepala tidak pening. Jikalau berniaga, hendak fikir macam-macam rancangan, strategi perniagaan lagi, modal, untung dan sebagainya. Itu belum tentu lagi menjadi, kalau dibuatnya tidak menjadi sehingga jatuh bankrupt, hidup pastinya rugi sampai bila-bila. Inilah apa yang masih ada dalam fikiran orang kita dan kerana itu orang melayu tidak ramai yang berani mencuba, takut dengan mitos-mitos yang tidak berdalil.
‘malas atau syukur dengan apa yang ada?’

Baru-baru ini sepupu saya ke Pulau Tuba kerana untuk melihat cara hidup nelayan-nelayan di sana. Peliknya, setelah pulang dari sana bukannya dia meluahkan rasa simpati tetapi menghamburkan rasa geram dan marahnya kepada saya. Padahal pada awal ceritanya, dia menggambarkan rumah-rumah penduduk di sana seperti reban ayam yang diperbesarkan dan kehidupan mereka sangat dhaif.

Namun, simpatinya berubah apabila dia melihat beberapa nelayan yang boleh duduk-duduk di serambi rumah sambil menghisap rokok dan termenung selama sejam. Katanya sengaja dia menunggu sampai bila nelayan-nelayan itu selesai termenung. Sedangkan, tanah di sekeliling kawasan rumah mereka masih terbiar kosong dan mereka hanya melihat tanpa berfikir. Mungkin juga berfikir tetapi manja tidak mahu bertindak.

Andailah tanah itu diusahakan dengan menanam sayur-sayuran, buah-buahan ataupun sebagai kawasan ternakan, sekurang-kurangnya mereka dapat memberi keselesaan pada keluarga. Cukup untuk makan, cukup untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anak dan cukup untuk membeli pakaian. Jika rezeki lebih sedikit, dapat juga memperelokkan rumah dan sebagainya. Namun, ramai yang menyalah gunakan istilah ‘ syukurlah dengan apa yang ada’ .

Kita harus bersyukur dan redha dengan segala apa yang ada agar kita tidak menjadi tamak dengan harta dunia. Kita juga harus bersyukur apabila kita melihat masih ada orang yang lebih malang daripada kita. Tetapi kita tidak harus menggunakan istilah ini semata-mata untuk beralasan untuk bermalas-malas dan tidak mahu mencari rezeki yang meluas di bumi Allah ini. Selagi mana kita masih punya tulang empat kerat dan kesihatan yang stabil, tiada alasan untuk kita katakan ‘ mungkin rezeki banyak ini sahaja’.

UBAH MOMENTUM

Sampai bila kita mahu dilabelkan melayu yang malas? Memang ada antara orang melayu kita yang Berjaya tetapi ramai lagi yang suka berpeluk tubuh. Di Malaysia ini tiada alasan untuk menganggur, melainkan jika sikap malas sudah mendarah daging dan menyumsum dalam tulang. Atau kita sebenarnya memilih dan berlagak. Hanya kerana bergelar graduan dari fakulti undang-undang, kejuruteraan, dan perubatan, pekerjaan yang layak bagi kita adalah yang professional sahaja. Jadi ramailah antara graduan univesiti yang mengangngur kononnya menunggu tawaran pekerjaan yang setaraf dengan status mereka. Sampai bila kita mahu berfikir sebegini?

Tiada apa yang dapat mengubah diri kita melainkan kita yang mahu berubah. Langkah pertama adalah ubah cara kita berfikir. Pandanglah sepuluh tahun ke hadapan dan bertindaklah ke arahnya sekarang. Bukan esok atau pun lusa. Banyakkan merujuk dan membaca buku-buku motivasi untuk memastikan semangat kita tidak mudah turun naik. Dinasihatkan juga agar banyakkan bersosial dengan mereka yang think tanker supaya kita dapat belajar daripada pengalaman dan ilmu mereka.

Wallahu’alam

p/s : apabila menjadi usahawan biarlah yang terdidik dengan nilai-nilai Islam. Jangan hanya kerana taksub fanatik untuk mengejar wang dan harta, kita gadaikan nilai diri seorang Islam dan akhirnya kita adalah orang yang paling miskin di akhirat kelak.

Friday, December 28, 2007

AF'AL QUR'AN

Ribuan kemaafan kerana lama membiarkan blog ini tanpa update. sebetulnya saya ingin menulis entri yang agak sempurna, namun kerana terlalu banyak workload dan komitmen tugasan luar menyebabkan saya harus menangguhkan masa untuk menulis.
Tetapi, saya ambil waktu yang sekejap ini sementara menunggu lecture yang seterusnya untuk berkongsi sedikit perkara yang baru saya pelajari..(ermm, mungkin saya yang baru tahu rasanya). Sekurang-kurangnya, tidaklah lama blog ini sepi.(",)
Anda pernah dengar tentang Af'al Qur'an?
Mungkin kita pernah mengalami 'state of agony' ataupun dilemma ketika hendak membuat apa-apa keputusan. apatahlagi, kita dihadapkan dengan pilihan yang kita rasakan kedua-duanya ada kebaikan dan bermanfaat pada kita. Tetapi, di sebalik kedua-dua pilihan kita, sebenarnya ada yang terbaik di antaranya. jadi, bagaimana kita dapat melihat dan memilih yang terbaik?
Jom Af'al Qur'an !
Misalnya pada suatu hari anda diajak oleh kawan anda untuk menghadiri satu gathering alumni sekolah, tetapi, anda dalam dilemma untuk menyertainya ataupun tidak disebabkan anda ada komitmen lain.
Jika ini yang anda rasakan, ambilah Al-Qur'an yang bertafsir dan bacalah 3 kali Al-Fatihah secara tartil sebelum membuka Al-Qur'an tersebut. Setelah itu, terus sahaja buka mana-mana muka surat dan pandanglah sekali lalu pada ayat-ayat kedua-dua muka surat yang anda buka. Kemudian amati dan renungilah terjemahan ayat-ayat tersebut. Sementara itu, letaklah tangan di dada supaya Allah datangkan ilham kepada kita untuk kita membuat keputusan.
Sekiranya ayat-ayat yang kita baca itu banyak menceritakan ancaman dan azab Allah, adalah lebih baik untuk anda tidak sertai gathering tersebut. Namun, sekiranya ayat-ayat yang anda baca itu banyak menceritakan nikmat-nikmat dan sesuatu yang baik-baik, mungkin ada baiknya untuk anda menyertainya. Segalanya telah tertulis dalam pengetahuan Allah.
Cara ini saya pelajarinya daripada seorang kawan di Darul Qur'an dan katanya juga, ramai kawannya di sana mengamalkan cara ini ketika ingin membuat apa-apa keputusan untuk perkara-perkara yang ringan. Beliau juga meyakinkan saya yang cara ini amat membantu kerana selagi mana kita bergantung kepada Allah, selagi itu Allah akan membantu kita.
p/s : ini hanyalah sekadar perkongsian ilmu, jika anda tidak yakin dengannya, terpulanglah pada pertimbangan masing-masing. Saya juga mengamalkannya dan saya dapat rasakan sesuatu yang baik daripadanya.