CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, February 6, 2010

BIARKAN UMURMU DENGAN KERJANYA!


Inilah ‘ignorant’ yang paling lama terhadap blog saya. Mahu menulis tapi tidak tertulis. Mula menulis, tengah-tengah jalan tergendala. Ketika berpapasan dengan teman-teman yang tidak pernah curang mengikuti tulisan saya, saya boleh katakan “ tak taula pasaipa tak sempat update. Saya tersenyum, mereka tersengih-sengih. Faham sudah agaknya mereka. Jangan tanya banyak,jawapan telah pun di depan mata.sehinggakan ada seorang teman merapat dan meluahkan rasa kepeningannya pada saya :

“ Stress saya tengok awak, awak tak stress ke?”

“ stress desensitization”. Seiring bibirnya memuncung, keningnya merapat akrab. Tersengih lagi. Sebagai pembuka tirai blog yang tertutup sekejap, saya mahu merasmikan semula dengan satu peristiwa yang terpilih sepanjang hibernisasi saya. Nampaknya kerjaya sampingan yang tidak formal sebagai Dr.Cinta masih tidak lucut. Jemu juga tapi apa boleh buat, hak seorang muslim itu apabila minta dinasihati, tunaikan sebaiknya walau malam saya meleret ke 4.30pagi sedang orang lain sudah bangun untuk qiyam demi menghantar ‘klien’saya pulang di pintu. Konsultasi Syndrome Cinta lagi!

KADANG-KADANG bukan PADA UMUR

Rata-rata yang datang meluah atau mengeksperesikan sindrom cinta ini antara umurnya 19-24tahun. Kalau yang terlebih umur daripada saya, kebanyakannya masalah rumah tangga. Di antara yang julat umur begitu, hampir semuanya berpenampilan muslimah dengan prinsip bahawa pergaulan itu terbatas secara zahir tidak maya. Ini berdasarkan konklusi cerita-cerita mereka berkenalan dengan cinta sehingga terjatuh tak bangun-bangun. Rumit-rumit. Namun, yang melucukan, memandang situasi mereka seperti menyebabkan tergambar diri saya saat umur mereka.(tidaklah terlalu beza sebenarnya). iaitu di mana mengenali cinta dengan Emosi bukan dengan akal.

“ akak,saya RASA dia serius, saya RASA dia baik kak.”

“ bukti?” ( Mentang-mentang ambil undang-undang)

“ Errr, dia banyak ilmu kak, banyak kami bincang bab agama, hukum hakam..dia orang azhar kak.”

Saya geli geleman. Hormon ‘gelimine’terus terembes. Terus flash back beberapa episod hidup saya yang dulu seperti dirinya. Punya pemikiran dan pandangan yang sama tentang baiknya si dia itu sempurna diukur melalui ilmu AGAMA dan TEMPAT BELAJARNYA. Hipotesisnya : Semakin Azhar seseorang semakin baiklah orangnya. Hati-hati, tak semua hipotesis mengena! Tetapi saya tidak salahkan perempuan semuda dirinya, kerana umur barangkali tidak membantu justifikasinya.

Saya melihat, rata-rata muslimah begini mencari alternatif lain untuk mengenal lelaki. Kerana terbatas di dunia zahir untuk berjumpa berdua dengan si lelaki, lantas mereka terjerat dengan dunia chatting dan facebook utamanya. Menggambarkan “baik”nya si dia hanya melalui tulisan hadis, qur’an, tazkirah di skrin laptop, sedangkan tulisan itu hanyalah gerakan jemari sang penaip memancarkan kesolehannya di skrin laptop si muslimah. Lebih malang lagi, si lelaki rupanya galak meng ‘ copy paste’ demi menambat selera islamik si muslimah. Tipah sudah tertipu. Tertipu hilang wang boleh dicari ganti, tertipu dengan cinta, deritanya sampai ke mati.

Jangan terlalu awal menilai.j Jangan juga terlalu cepat mengambil keputusan. Berjalanlah mengutip pengalaman di sepanjang lebuh umur yang mendewasakan. Dewasa bukan pada usia, tetapi dewasa dengan pengalaman berkenalan dengan ragam manusia. Kau akan terjumpa si soleh yang aneh, dan si ‘biasa-biasa’ yang mulia. Kau akan dapati bahawa dangkalnya penilaianmu dahulu terhadap seorang manusia dan pasti akan menyesal saat ia telah berlaku dengan kecuaian emosi yang tidak berpengalaman itu. Mungkin antara kita memandang beza umur dua tiga tahun tidak layak dikatakan makan garam. Nyatanya pandangan itu salah. Banyaknya ‘garam' bukan pada banyaknya umur, tetapi banyaknya pengalaman terisi walau tempoh sesingkat setahun. Tetapi ia tidak akan berlaku jika kita tidak mengizinkan umur kita berjalan menimba kematangan tuannya. Jangan hentikan umur anda untuk sebuah keputusan!

SEDIKIT PERKONGSIAN

Oleh kerana, fokus tulisan saya tentang menilai lelaki untuk diukur ‘baiknya’ si dia untuk dijadikan suami, maka inilah satu perkongsian bagaimana persepsi dan selera saya berubah 360® saat menjalani umur yang meningkat dengan pengalaman yang betul-betul menjadi GURU.. Terlalu banyak, terlalu kerap saya tersalah menilai seseorang pada jurusannya, pada pakaiannya, pada gelarannya, pada ilmunya,pada da’ienya, pada pergaulannya. Sehingga saya telah membuat kesimpulan bahawa pilihlah seorang yang Islam dengan akhlak bukan pada pakaian dan ilmunya. Memilih yang biasa-biasa yang berakhlak lebih selamat daripada memilih si soleh yang ‘aneh’. Namun, jika ada si soleh yang berakhlak lebih baik bukan? Tetapi itulah pengalaman yang belum saya ketemukan si soleh yang begini. Sulit sungguh. Kadang-kadang terasa seperti sudah terjumpa, namun berlaku sesuatu yang aneh lagi men’demeritkan’ kesolehannya.

Kata kawan-kawan saya, kau tidak akan jumpa yang sempurna begitu. Apatahlagi hal akhlak. Kita sendiri pun belum layak mahu mendapat si soleh yang tinggi akhlaknya kerana akhlak kita pun ada cacatnya. Setelah itu nasihat mereka pada saya, saya berjalan lagi dengan umur untuk bertemu dengan ragam manusia yang lain terutama dalam membuat pilihan ke sebuah baitulmuslim. Atuk kata, kahwin itu macam lotteri, nasiblah dapat yang macam mana. Gerun saya dengar. Setelah garisan hidup sekarang yang saya berada, selera saya pun berubah sedikit kerana mujur bertemu dengan lagi ragam manusia yang saya kira tertarik untuk dipertimbangkan ke dalam pilihan. Kriteria prospected husband telah berubah dan ciri-cirinya telah terganti dengan kriteria yang baru yang saya kira ia lebih matang untuk dilihat oleh para muslimah yang mahu baitulmuslim. Setelah bebarapa perbincangan dan berkongsi pandangan dengan beberapa pensyarah, ibu-ibu, dan orang dewasa..ada benar anak muda perlu berguru dengan golongan veteran begini. Sungguh dewasa panduan yang mereka kongsikan dengan saya.

Maka nasihat mereka :

“ nurul, bila engkau telah bertemu lelaki yang benar -benar bertanggugjawab menjaga ibu ayahnya, ahli keluarganya, memberi perhatian dari segi kasih sayang, keberadaan dirinya bersama keluarganya untuk sentiasa membantu, mengutamakan kewangan keluarganya daripada dirinya,mengasihani sahabat-sahabatnya dengan kepedulian terhadap kebajikan dan keperluan mereka..lupakanlah tahap mana dia sekolah, tahap mana ‘ustaz’nya dia, tahap mana ‘statusnya’dia, tahap mana ‘pencapaian’ hidupnya, juga apa pekerjaannya..kerana dialah seorang lelaki yang tahu bertanggugjawab dengan keluargamu dan dialah seorang yang tahu berkasih sayang. Itulah inti sebuah kebahagian rumah tanggamu.."

Lagi sulit cirinya..lagi payah untuk merisik sampai ke tahap itu..tetapi itulah resepi orang tua..resipi yang telah hidup dengan umur dan pengalaman mereka yang tidak akan saya sia-siakan. Maka, saya akan teruskan berjalan dengan umur, sehingga bertemu dengan apa yang saya impikan..


Friday, November 20, 2009

SEDIKT KASIH SAYANG SUDAH CUKUP...


Dewan graduasi seperti peti beku bagi saya. Dinginnya mencucuk-cucuk sampai ke tulang belulang tanpa belas. Saya mematah-matahkan jemari yang sangat lenguh setelah 3 jam menulis tanpa henti. Hanya mendongak beberapa kali demi melihat jam yang berbaki. Setelah kertas jawapan dikutip, saya menangguh gerak apabila melihatkan teman di hadapan yang berstatus adik seperti gelisah. Wajahnya pucat tanpa darah dengan mata sembap mungkin tidak cukup tidur atau semalaman berendam ai mata. Barangkali!

Saya menegur. Dia bukan teman jauh-jauh tetapi agak dekat dengan kehidupan saya. Kepedulian ini lebih-lebih meluap.

“ Nur, Nur Ok? Dia menoleh. Suasana khali. Sunyi. Hanya tinggal matanya yang sedang berbicara.

“ Ok kak, cuma tak dapat fokus sangat kali ini.”

“ Sakit? Atau ada apa-apa masalah?” Saya seakan tidak sabar. Sepertinya bukan masalah biasa. Hanya menduga.

Dia diam lagi. Gerak bibirnya beberapa kali dimatikan. Hampa apabila gelengan yang kerap saya terima. Jemarinya saya genggam dan mata saya terus menggeledah kejujuran di matanya.

“ Akak, saya..saya..akak janji dulu ini cerita antara kita.” Saya sudah agak. Riak di wajah terkecuali jika mahu berselindung.

“ Tunang saya..yang di Mesir tu..” Belum sempat dia menghabiskan ayat, saya memintas.

“ Jap, jangan kata putus?” Saya betul-betul meneka dalam yakin. Tidak tahu kenapa sampai ke situ telahan saya.

“ Ya kak, hanya dengan satu SMS dan tiada panggilan yang bersambut bila kami semua menuntut sebabnya.”

Ya Allah, seakan jam dunia berhenti berdetik seluruhnya. Baru sahaja 3 bulan lepas saya melihat seri wajah teman saya berjubah putih bersih bersarungkan cincin lambang perjanjian dua hati yang mahu bernikah nantinya. Sempat juga saya merasa iri apabila melihat wajah tenang tunangannya yang bergelar alhafiz bakal berangkat ke bumi anbiya. Keputusan keluarga masing-masing untuk mengikat mereka berdua sebelum berangkatnya si lelaki sekan-akan tepat tapi tidak mengena.

Perbualan saya dan dia panjang lagi sebenarnya. Tidak mungkin semuanya saya turunkan di sini. Saya masih memujuknya untuk bersangka baik dan mencari apa hikmah yang Allah mahu kita fikirkan. Cuma, saya terkilan dengan beberapa perlakuan si lelaki apabila ditanya apa sebabnya mahu meminta untuk diputuskan, dia mahukan teman saya setuju dulu untuk putus sebelum dia memberitahu. Pelik. Adabkah ini?

SEDIKIT KASIH SAYANG SUDAH CUKUP…

….apa yang kita perlukan banyak timbang rasa. Saya meminjam semula kata-kata Puan Ainon ini di blog seorang penulis ( studiomuslim.com). Mulanya saya tidak dapat mengaplikasi apa yang dimaksudan oleh sebaris ayat yang cukup ‘exhaustive’ bagi saya. Sehinggalah hari itu, saat mendengar luahan sang teman. Saya sangat akur sungguh-sungguh. Jika manusia mensyaratkan sebuah komitmen itu harus bertunjangkan kasih-sayang semata, dengan tanpa rasa tanggungjawab, dia akan bebas menurut rasa yang pudar kasih sayang itu untuk melepaskan diri dari sebuah komitmen. Alasan mentah seseorang yang hanya mampu berfikiran singkat.

Ya, sungguh benar. Agak mustahil untuk kita memberikan setiap kasih sayang yang maksima untuk semua komitmen yang kita terima. Kadang-kadang ia berjalan dengan rasa tanggungjawab yang lebih dari rasa cinta itu. Kerana unsur hati manusia ini tidak selalu setia. Dia akan berbolak balik, mengikut rentak nafsu yang selalunya terdorong oleh kehendak memenuhi keselesaan peribadi bukan orang lain di bawah tanggungjawab kita.

Tetapi, kerana rasa yang kerap berubah inilah, seorang manusia adil sangat perlukan akal yang tahu bertimbang rasa, juga hati yang mahu merasa hati-hati orang lain. Timbang rasalah perasaan orang lain saat mahu mengambil keputusan atau tindakan. Timbang rasalah dengan melihat keterlukaan satu hati berbanding sepuluh hati yang lain yang mungkin tidak akan memaafkan kita. Timbang rasalah pengorbanaan yang orang lain berikan di atas sebuah perjanjian untuk sama-sama bertanggungjawab. Ketepikanlah rasa hati yang dikatakan sudah pudar kasih- sayang jika kita memahami bahawa bertanggungjawab memenuhi janji itu lebih utama dari rasa yang selalu dimain nafsu.

Kerana kematangan seseorang itu diukur bukan dengan rasa yang abstrak itu, tetapi kebijakannya menilai segala kesan tindakannya dengan mengabaikan KEHENDAK peribadi dan mengutamakan keperluan orang lain. Tetapi andai mahu berkeras juga…

INILAH ADAB YANG DIKUBURKAN

Orang saleh tanpa adab seakan rumah tanpa atap. Tidak berguna bahkan menanti masa diroboh ribut. Adab selalunya dipandang sebagai satu bab asing dalam hidup kerana kita selalu membahas hukum halal haramnya sesuatu. Asal halal sudah cukup. Sebagai contoh, seorang soleh yang makan berdiri, secara hukumnya tidak berdoasa atau haram. Belum ada juga hukum khas yang mengatakan makruh atau harus. Tetapi secara adabnya, ia sepatutnya menjadi haram dalam konteks bukan fiqh.

Tidak kisah kalau kita punya alasan yang maha benar untuk menarik diri dari sebuah tanggungjawab. Tidak kisahlah kalau mahu juga mengatakan :

“Hati saya sudah tiada di situ untuk mencintai tanggugjawab saya.”( walau ini amat bahaya)

Tetapi beradablah agar orang dapat memahami alasan kita. Ya, dalam beberapa hal, kita punya alasan yang kukuh dan ada kebaikannya untuk semua orang. Tetapi beradablah supaya orang lebih tidak berasa hati. Memang pekara yang paling mustahil adalah mahu menjaga hati semua orang. Tetapi dengan adab, orang akan mahu menghormati tindakan kita biar ia membekas luka. Sungguh ‘general’ penjelasan saya kerana jika mahu fokuskan, saya mahu kaitkan dengan situasi cerita di atas akan adab mahu meminta putus pertunangan. Tetapi bukan ini tujuan saya, kesedaran adab yang menjadi sendi sepasang kaki untuk bergerak perlu wujud di mana-mana. Sehingga adab memberi salam sekalipun.

TAK SERUPA TAPI SAMA…

Ia sepatutnya tidak berlaku. Tetapi ia boleh terjadi apabila manusia membahaskan adab dan hukum dalam kelas yang berasingan. Saya terkesan dengan sebuah drama bertajuk tidak serupa tetapi sama di TV3 minggu lepas. Jika saya menjadi juri, saya memberi taraf lima bintang. Secara ringkas, ia adalah cerita dua buah keluarga dengan yang pertama sosial cara hidupnya dengan dunia tanpa batasan lebih tahu menjaga adab dan memelihara hubungan dengan orang lain daripada sebuah keluarga orang soleh pada penampilannya tetapi tidak soleh pada amal dan adabnya apabila suka meludah di sana sini dan membuang sampah merata-rata, dengan maki hamun siang malam dan sehingga tahap bergaduh parang dengan jiran-jiran di kampung. Juga bekerja sambil lewa di pejabat dengan tiada adab menghormati pelanggan dan teman-teman sekerja.Tetapi apabila membahas bab hukum dan teori akidah, ibadah, akhlak, sirah dan sebagainya seakan sepuluh kali khatam.

Hairan.

Tak serupa cara hidup tetapi mungkin sama nilainya manusia sebegini di sisi Allah. Keluarga yang pertama mungkin dimurka Allah kerana melanggar hukum, sementara keluarga si soleh dimurka kerana melanggar adab. Jika menurut saya yang mana yang lebih berat ‘masalahnya’, saya memilih keluarga si soleh kerana agama yang ada sepatutnya sudah mampu mengurus adab dirinya tetapi kerana ia bukan dihayati tetapi sekadar dibanggai, inilah masalah yang lebih berat apabila ada yang mengatakan :

“ Buat apa nak jadi orang alim baik-baik, banyak yang buruk lagi perangai dari orang jahil.”

Siapa mahu jawab apabila masyarakat melihat si soleh dan si jahil sama sahaja!

p/s : kepada pembaca sekelian yang merasakan saya seperti suka bersangka buruk kepada si soleh, saya menganjurkan untuk kalian membezakan bedanya bersangka buruk dengan merenung dan menilai. Merenung dan menilai untuk pembaikan bersama saya kira sangat penting dengan menghindari bersangka buruk apabila kita juga merenung mungkin kita juga punya ciri yang sama seperti ‘si soleh’ tersebut.

Wallahu’alam.

Wednesday, November 11, 2009

OPICK KEMBALI LAGI SETELAH...


PERMINTAAN RAMAI!!

RASAKAN SEBUAH MUSIKAL PENGGUGAH JIWA

22. Nov. 2009
8 malam
Kompleks TNB Bangsar ( stesen Abdullah Hukum)
tiket : Rm15
Rm 10 (Pelajar)

Boleh hubungi : 013-2451653

Saturday, November 7, 2009

MASIH DALAM SELIMUT??

Kenyataan Media

Respons NGO-NGO Islam Terhadap Sidang Akhbar Dr. Asri Berhubung Memorandum Bantahan Perlantikan Beliau Sebagai Yang Di Pertua YADIM

Ahad, 1 November 2009

Kami, mewakili NGO-NGO Islam yang telah dikaitkan oleh Dr.Asri dalam sidang akhbar yang diadakan olehnya semalam (31 Oktober 2009) ingin membuat penjelasan-penjelasan berikut :-

  • Kami melahirkan rasa KEKESALAN kami di atas tindakan Dr. Asri memperbesar-besarkan dan mencari publisiti terhadap suatu perkara yang merupakan hak serta budibicara mutlak YDPA dan Kerajaan, yang mana menurut undang-undang, perlantikan YDP YADIM adalah kuasa YDPA dan Kerajaan.

  • Kami TEGASKAN bahawa adalah suatu sikap yang MENGECEWAKAN untuk beliau memperbesar-besarkan isu ini dan mengheret masyarakat umum ke dalam persoalan ini, sedangkan ia adalah isu dalaman pentadbiran agama negara kita, yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah. Oleh itu, kami tidak berniat dan tidak berhasrat untuk membincangkan isu ini secara terbuka.

  • Kami turut merasa MUSYKIL dengan beberapa dakwaan beliau dalam sidang akhbar beliau termasuk dakwaannya yang ‘menolak’ tawaran perlantikan sebagai Yang Di Pertua YADIM sedangkan belum ada apa-apa pengumuman rasmi daripada pihak yang berkuasa dalam hal tersebut.

  • Kami mengakui memang kami telah mengambil langkah tegas untuk menyampaikan bantahan kami terhadap ura-ura perlantikan beliau sebagai YDP YADIM atas sebab-sebab maslahah ummah (kepentingan seluruh umat Islam) di Malaysia.

  • Dalam pengetahuan kami, di kalangan pihak berkuasa agama, tokoh-tokoh agama, pertubuhan-pertubuhan arus perdana sudah sekian lama tidak bersetuju dan tidak berpuashati dengan pendekatan Dr. Asri yang banyak menimbulkan keraguan dan polemik yang merugikan seperti dalam isu pencegahan khalwat oleh Pihak Berkuasa Agama, isu penggunaan kalimah Allah, isu amalan-amalan furu’ yang dikatakan bidaah di kalangan umat Islam dan lain-lain.

  • Merujuk kepada permintaan Dr. Asri agar kami mengemukan bukti tentang kenyataan kami, kami BERSEDIA pada bila-bila masa untuk bersemuka dan berbincang dengan beliau SECARA PERIBADI, kerana kami berpendirian bahawa isu ini adalah isu dalaman dan tidak wajar dibahaskan atau disensasikan secara terbuka. Tindakan beliau ini sekali lagi menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang tidak berhemah, tidak berhikmah, sekaligus menggambarkan beliau tidak sesuai memegang jawatan sebagai YDP YADIM atau jawatan-jawatan yang seumpamanya.

  • Tindakan kami menghantar memorandum kepada YDPA Agong adalah atas niat baik supaya kesepaduan umat Islam di Malaysia atas pegangan ahli sunnah wal jamaah TIDAK dirobek dan dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana. Kami tidak mahu suasana kacau bilau dalam amalan beragama berlaku di Malaysia.

Kami NGO-NGO Islam telah pun mengemukakan pandangan kami kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan kami menyerahkan kepada Ke Bawah Duli untuk mempertimbangkan pandangan jujur dan ikhlas kami tersebut.

Ditandatangani oleh :

……………t.t..………………….

MOHAMAD ISA BIN ABD RALIP

Presiden

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyokong Kenyataan Media/Respon ini :-

  1. Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM)
  2. Pertubuhan Muafakat Sejahtera (MUAFAKAT)
  3. Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajat Islam Malaysia (PKPIM)
  4. Yayasan Sofa Negeri Sembilan
  5. Yayasan Jenderami
  6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
  7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
  9. Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)
  10. Jemaah Islah Malaysia (JIM)
  11. Yayasan Paksi Kedah
  12. Persatuan Ulamak Kedah
  13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
  14. Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan
  15. Institut Pengajian Tradisional Islam
  16. Khalifah Institut.
- ihsan dari
http://peguamsyarie.org/?p=1249

- Persoalan yang MAHA BESAR? APA YANG DIMAKSUDKAN PGSM " SECARA PERIBADI & " TERTUTUP". Sampai bila rakyat yang mahukan haknya dalam menilai yang mana betul atau salah kalau PGSM mahukan hal yang telah diketahui umum masih mahu dibincang dalam selimut. Hal tangkap menangkap, cekup mencekup, masuk berita dan akhbar bukan lagi hal 'suami isteri'.

Inilah masalahnya orang atas. apabila rakyat respon itu dan ini dipersalahkan, tetapi kalian sendiri terlalu ekslusif dalam menjelaskan PROSES kebenaran.

Saturday, October 24, 2009

JIHAD DUNYA


Membiarkan lalang bertumbuh di laman ini tanda pemiliknya sedang mengharungi sebuah medan pertempuran. Pertempuran untuk sebuah kepimpinan dan juga pertempuran untuk sebuah tsaqafah atau wawasan. Alhamdulillah, satu demi satu telah berlalu tetapi yang berlalu kerap meninggalkan sebuah tanggungjawab yang bukan calang-calang. setiap perancangan juga sudah berlalu tetapi setiapnya menjadi hak mutlak Allah untuk mengubah dan mengaturnya. Sungguh, percaturan Allah sangat luar biasa!

Tahniah buat pimpinan LAW STUDENTS' SOCIETY 2009/2010!

Allah benar-benar mahukan kalian di sana setelah beberapa keajaiban yang mengandungi hikmah yang luar biasa!

Kerja Tuhan siapa tahu?

sekadar makluman, berikut adalah jadual peperiksaan akhir semester penulis :

1) ADMINISTRATIVE LAW = 2/11/2009

2) EQUITY AND TRUST = 6/11/2009

3) COMPANY LAW = 8/11/2009

4) PUBLIC INTERNATIONAL LAW = 11/11/2009

5) LAND LAW = 13/11/2009

6) USUL FIQH III = 18/11/2009

Thursday, September 17, 2009

RESEPI DAKWAH V RESEPI BER'SUAMI'


Rindu. Sungguh rindu untuk menulis. Saya mencuri waktu menyelinap di celah-celah persiapan melepaskan Ramadhan dan menyambut Syawal. Pelbagai rasa berbaur. Yang pasti terlalu berat mahu menghantarnya pulang ke pangkuan PEMILIKNYA. Andai mungkin kita ketemu lagi…Mahu sekali!

Bukan ini tema penulisan saya kali ini. Sepanjang mengemudi bahtera Ramadhan, ada beberapa ‘pertemuan’ yang sangat istimewa untuk disajikan. Tetapi saya mahu memilih yang ini dahulu. Ia pasti bukan sebuah penemuan tapi sesuatu yang perlu difikirkan, dan saya baru terfikir-fikir. Bermula hanya dengan sesesi perbualan dan ia telah menghantar saya ke sebuah ta’amul yang maha dalam.

RESEPI DAKWAH V RESEPI JADI ISTERI

“ Kalau kamu tak percaya, cubalah duduk-duduk dengan ukhti kita yang dah kahwin, cuba dengar apa resepi mereka.” Seperti yakin sahaja dia mencabar saya. Kening saya bersatu. Kerut di dahi makin jelas.

“ Resepi apa?” Saya tidak mahu lagi membenarkan kerana belum pernah mengalaminya. Apatahlagi, ramai kalangan teman yang bersama saya belum lagi mahu berbaitul muslim. Sebabnya? Hanya kami yang memahaminya.

“ Dah hilang suara dakwah, dah pergi semangat jihad yang dulu dikobar-kobarkan. Yang tinggal resepi lauk pauk, resepi hias rumah, resepi jaga anak dan kadang-kadang sampai perkara ringan-ringan menjadi bahan duduk-duduk sahaja.” Dia menyambung. Keruh kaca matanya melambangkan ketidak puasan hati. runsing barangkali. Makin berbaitul muslim makin menghilang. Makin sirna semangat dakwah.

Beginikah? Atau hanya satu telahan semata-mata. Ada sahaja yang saya kenal, lagi sudah berpasangan, lagi ligat kerja dakwah. Tapi iyalah, dua tiga pasangan sahaja yang baru saya kenal. Saya cuba-cuba merisik ‘keadaan’ ukhti yang sudah kahwin. Kalau dulu tidaklah berminat untuk ‘menyibuk’ mengetahui perkembangan dakwah mereka yang telah berumah tangga. Tetapi kerana mahukan keyakinan, saya membuka langkah. Bermula daripada menyeluruhi beberapa weblog teman-teman daeiah yang telah berumah tangga, saya seakan menemukan jawapan, walaupun ia tidak semestinya tepat. Kalaulah ianya kebetulan, tetapi kebetulan yang begitu kena dengan ‘research’ saya.

Ta’ajub! Dari hiasan nuansa dakwah dan semangat jihad yang dulu menghiasi blognya, sekarang hanya tinggal kisah-kisah diari hidupnya bersama sang suami dan anak. Kadang-kadang hal berupa ‘acara’ rumah tangga yang tidak perlu dikongsikan juga mahu dipertonjolkan di entri-entri di blog. Kalau dulu blognya menjadi rujukan kisah para sahabat, kitab fiqh, maqalah dakwah..dan kini tergantikan dengan wajah-wajah comel para bayi kelahirannya mengikut pertukaran wajah bayinya setiap bulan. Apakah kematangan seorang manusia semakin berkurang seiring pertambahan umur dan pertukaran status. Hairan.

Pasti kalian bertanya, syadidnya saya? Salahkah nak kisah pasal suami atau anak? Itukan memang kerja orang perempuan?

Katakanlah. “ Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu,isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberi keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.”(at-Taubah:24)

TIDAK SALAH! TETAPI JANGAN JADI LEBIH KAMU CINTAI.

Siapa kata apabila menjadi ukhti, tinggalkan sahaja suami dan anak-anak tunggang terbalik di rumah. Yang si isteri atau si ibu sibuk keluar dakwah sana sini sampai tidak jenguk rumah. Makan minum entah ke mana. Dengan hujah, Surah Taubah :24 memberi pembelaan! Siapa kata? Dan juga sebaliknya, tidak salah kalau si ukhti mahu memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada rumah tangga kerana cintanya kepada keluarganya, tetapi..menjadi fitnah apabila mereka lebih-lebih diutamakan daripada ALLAH, RASUL, DAN JIHAD. Apa sudah berlaku di depan mata, suami menjadi alasan untuk menolak tawaran dakwah. Anak-anak menjadi asbab menguzurkan diri daripada amal dakwah, tetapi masa yang terluang boleh pula bercerita atau bersembang-sembang sana sini akan resepi-resepi dunia yang hukumnya ‘HARUS’ sahaja.

Pokok pangkalnya? Barangkali nikmat dakwah dan jihad itu telah beransur hilang. Ruh Khadijah, Aisyah, Nusaibah, dan Khansa’ sudah lenyap sepertimana pernah dikagumi si ukhti sebelum bernikah. Jika inilah yang dikhuatirkan oleh para ukhti bergelar aktivis, barulah saya memahami mengapa ada di antara ukhti yang apabila ditanya tentang nikah :

“ Saya akan bernikah, sampailah saya merasakan terpaksa bernikah..”

Hanyalah kerana keterpaksaan itu tidak akan sampai membuatkan kita jadi asyik bersuami dan beranak. Bukan kerana tidak ikhlas, tetapi terlalu runsing andainya nikmat berada di saff para nabi dan syuhada’ terkorban kerana ia dilarikan oleh kelekaan berumah tangga. Ia sungguh menyalahi surah taubah : 24. Saya sendiri tidak tahu mahu mula berfikir dari mana. Tidak semua yang akan menyokong pemikiran saya ini kerana ia mungkin berat bagi mereka yang memilih yang ringan dalam jalan hidupnya. Mungkin juga akan menuduh saya akan menjadi bakal isteri yang ‘nusyuz’ kepada sang suami lantaran mahu terus berada di saff hadapan dalam perjuangan menegakkan haq dan batil. Dan mungkin juga ada yang membayangkan, kasihanlah bakal anak-anaknya nanti punya ibu yang lebih mengutamakan dakwah dari keluarga.

DI SINILAH..

Saya sudah punya role model yang telah Allah berkahi keluarganya dengan keberadaannya memenuhi saff hadapan perjuangan dakwah. Di sinilah permulaan dalam menentukan siapa dia sang suami yang akan meredhakan pemergian isterinya mendekati para wanita di luar untuk diperkenalkan Islam kepada mereka. Di sinilah, siapakah lelaki yang harus dipilih supaya dialah yang mahu memahami bahawa isterinya juga dimiliki oleh Allah, Rasul dan agamaNya, bukan hak suami yang mutlak. Di sinilah, para ukhti yang merancang untuk terus maju sebagai pendukung agama ini, perlu berwaspada dalam menjalinkan pernikahan , kerana para aktivis yang memahami bahawa pernikahan adalah pelancar dakwah akan bermaharkan keizinan bakal suami untuk terus melajukan langkah dakwahnya ke hadapan biarpun telah berkeluarga!

Buat para suami, bakal suami, para ikhwan aktivis dakwah, kalian pasti memahami fungsi kalian dalam sebuah baitul muslim. Tidaklah para ukhti ini mahu melangkah ke sebuah marhalah dakwah yang seterusnya iaitu baitul muslim melainkan mahu sekali melangkah sebaris dengan kalian dalam menyempurnakan tugas ini. Bawalah isterimu bersama untuk terus menikmati jalan yang pernah para Rasul melaluinya. Semoga kita sama-sama dianugerahkan syurgaNya..

Wednesday, September 9, 2009

KARTIKA : A 'GOOD' SIGNAL




Ekoran dari isu hukuman sebat terhadap bekas model Kartika Sari dewi Sukarno, wajar diperjelaskan bahawa :


–1. Kartika bukanlah orang pertama disebat atas kesalahan minum arak. Di Kelantan seramai 6 orang lelaki telah pernah disebat.. Tahun 1997; 4 orang, tahun 2001; seorang dan 2003; seorang.

2. Kartika juga bukan wanita pertama dijatuhi hukuman sebatan. Hukuman sebatan Syariah terhadap seorang pesalah wanita pernah diputuskan oleh Mahkamah Syariah Johor pada tahun 2000. Namun pesalah berkenaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan hukuman sebatan telah diketepikan.


3. YA Hakim Dato' Abdul Rahman yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika juga telah pernah menjatuhkan hukuman yang sama beberapa tahun lalu ke atas 2 orang adik beradik yang melakukan kesalahan minum arak . Mereka juga memfailkan rayuan dan rayuan mereka belum didengar.

4. Tohmahan kononnya Kartika dijadikan target untuk disebat adalah fitnah besar terhadap institusi agama, kerana bukan hanya Kartika seorang yang ditangkap dan dijatuhi hukuman sedemikian.Pada masa kejadian, selain dari Kartika, juga telah ditangkap 2 orang lain.- seorang lelaki dan seorang wanita. Keduanya juga dijatuhi hukuman yang sama denda 5000 dan 6 sebatan, namun mereka telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Pahang. Justeru, bagi memastikan keadilan dan Kartika tidak dihukum lebih berat dari dua orang lagi yang merayu itu, kesnya telah diputuskan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang untuk disemak semula.

5. Hukuman ke atas Kartika belum dibatalkan, hanya digantung berikutan keputusan Ketua Hakim Syarie Pahang, YAA Dato' Abdul Hamid untuk membuat semakan terhadap hukuman ke atas Kartika.
6. Jabatan Penjara pula sudah pun mempunyai seramai 171 orang tukang sebat terlatih termasuk 2 orang tukan sebat wanita. Kesemua mereka terlatih dalam menyebat secara sivil, Syariah dan Kanak-kanak.

7. Seorang penyebat wanita telah membuat demonstrasi sebatan Syariah dengan penuh bergaya di hadapan Hakim Rayuan JKSM YA Dato' Asri. YA kemudian mengesahkan dan berpuas hati dengan cara sebatan tersebut.
8. Prosedur sebatan Syariah adalah termaktub dalam sek.125 Tatacara Jenayah Syariah Pahang. Di Negeri lain pun ada tatacara yang sama. Gambarannya, apabila melakukan sebatan, hanya tangan yang terangkat tanpa menampakkan ketiak. Tidak seperti sebatan sivil yang memang bersifat cruel dan menyiksa pesalah, sebatan Syariah bersifat mendidik. Justeru adalah tidak wajar sebatan Syariah disamakan dengan sebatan sivil.

9. Kartika sendiri telah insaf dan bertaubat atas perbuatannya dan menuntut supaya beliau dekenakan hukuman berkenaan. Inilah bukti keberkesanan hukuman sedemikian di zaman ini. Keputusan sama ada Hukuman sebat ke atas Kartika akan dilaksanakan atau sebaliknya terserah kepada Jawatankuasa Rayuan Syariah Pahang yang akan bersidang bagi menyemak hukuman YA Hakim Mahkamah Tinggi Pahang itu tidak lama lagi.

10. JAG dan SIS melalui memorandum kepada Perdana Menteri telah mendesak Kerajaan Persekutuan untuk MEMANSUHKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH YANG SEDANG berkuatkuasa di negeri-negeri. Tindakan yang sama juga pernah dilakukan melalui memeorandum yang di kemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh 300 individu dan NGO termasuk Menteri-menteri Kabinet beragama Islam yang sedang berkhidmat.



11. TINDAKAN JAG, SIS DAN KONCO-KONCO MEREKA INI ADALAH TINDAKAN BIADAP MENCEROBOH BIDANGKUASA JENAYAH SYARIAH NEGERI-NEGERI YANG TELAH KITA WARISI SEJAK ZAMAN SILAM DALAM KANUN UNDANG-UNDANG NEGERI-NEGERI MELAYU. (Sila rujuk sinchew.com untuk memorandum penuh mereka bertajuk "Justice For Kartika".