CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, May 27, 2007

CINTA YANG LAGI SATU !



“Ya Allah, kurniakan aku cintaMu, cinta orang yang mencintaiMu, serta amalan-amalan yang membawa aku kepada cintaMu”


Andai benar kau ingin dicintai oleh lelaki dan perempuan soleh maka tautkanlah cintamu pada Allah, pastinya sebaik-baik teman hidup Allah hadiahkan padamu.


Bukan kepakaran saya untuk berbicara tentang cinta, apatahlagi cinta manusia. Namun fitrah insan yang Allah telah tuliskan dalam setiap perjalanan hidup anak Adam bahawa kita akan bercinta! Percayalah. Apa salahnya dengan cinta, kerana melalui cintalah, setiap pasangan akan ikhlas dalam memberi komitmen membentuk rumah tangga yang diberkati. Melahirkan zuriat yang menjadi penyejuk hati seterusnya membesar menjadi permata buat agama. Andai sudah sirna cinta antara kita, sanggupkah lagi kita untuk mengharungi segala jerih payah bersama? Andai si isteri lumpuh tidak berdaya berkhidmat untuk suami, adakah seorang suami itu sanggup menyediakan makanan, memandikan, menghiburkan si isteri yang hanya mampu tersenyum di perbaringan? Atau pantas mencari isteri lain kerana tidak sanggup melalui kesusahan hidup? Semuanya kerana cinta. Namun, biarlah kita tinggalkan sebentar cinta ini, kerana andai cinta yang lagi satu ini kita belum selesai, bagaimana mungkin kita akan dianugerahkan pasangan hidup yang tulus mencintai kita kerana agama.

Mungkin tulisan saya kali ini lebih bersifat kerohanian yang saya cuba jalinkan dengan tazkiyyatun nafsi atau pembersihan jiwa. Tidak ramai antara kita yang berminat untuk meminjamkan mata bagi bermuhasabah sebentar melalui apa yang saya cuba titipkan kepada sahabat semua. Moga Allah sentiasa menyertai kalian.

Cintailah Allah !cintakan Allah! cinta Allah!

Bagaimana rasanya apabila kita sudah mabuk dalam cinta Allah? Subhanallah, saya bukanlah Rabiatul Adawiyah, yang segala curah rindu dendam serta kehangatan cinta hanya dpersembahkan kepada kekasihnya, Allah. Saya percaya setiap antara kita pernah merasai saat di mana terasa tangan Allah datang membelai kita dengan penuh kasih dan cinta. Mana tidaknya, saat kita sangat dan terlalu haus dahaga di tanah gersang dengan matahari sejengkal, Allah jiruskan air dingin menghambat segala bahang. Cintanya Allah pada kita! Waktu itu, pastinya basah mata kita mengucap syukur yang tak putus-putus. Khusyuk dalam solat bertambah-bertambah apabila mengingat segala perhatian Allah terhadap kita. Ya Allah, jangan tingaglkan aku!

Begitulah apa yang kita rasakan apabila Allah mengabulkan setiap permintaan dan harapan kita. Saat itu kita asyik dan leka bercinta dengan Allah. Hingga hilang sabarnya menanti saat masuknya waktu solat untuk mencurah segala rasa di hati. Rasa suka, rasa rindu, rasa duka, rasa resah. Segalanya ingin diadukan pada Allah. Siapa lagi yang lebih memahami hati ini melainkan Dia. Dia yang lebih layak untuk kita jadikan tempat bergantung harap. Segalanya adalah Dia. Apabila setiap gerak geri, kita hubungkan hati dengan Allah bagai terasa diri ini diperhati, dilindungi, dijagai dan disertai. Tidak cukup hanya dengan ini, mati rasanya hati tanpa melodi ayat-ayat Al-Qur’an menyiram segala resah gelisah. Bertadabbur hanyut dalam makna-maknanya cukup menghidupkan kembali iman yang hampir kandas. Cukuplah hanya pada Allah kita sembahkan cinta ini. Sudah menjadi lumrah, permintaan orang yang disayangi pastinya bersusah payah kita tunaikan. Begitu juga Allah. Andai Dia merasai cinta kita, mintalah padaNya. Mintalah agar dianugerahkan seorang pencinta yang juga mencintaiNya. Terlalu mudah bagi Allah!

Tuesday, May 22, 2007

IMEJ ISLAM SEBENAR

sebuah pusat zakat yang baru siap dibina di melaka

Sedikit pendapat untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat mengenai satu isu yang dibincangkan di majalah i bulan ini. Sebenarnya, yang lebih menarik untuk saya membelinya adalah tajuk utamanya ‘ mengenali hakikat Tasawuf’ oleh Dr.Yusuf Al-Qaradhawi. Namun, terdapat satu artikel ringkas hasil tulisan seorang pensyarah undang-undang UIAM, Abd.Aziz Bari mengenai imej Islam yang kian menyerlah di Negara kita yang amat terkesan untuk dibaca. Bunyinya seakan pelik kerana apa yang saya nampak, lebih banyak masalah yang timbul disebabkan orang Islam itu sendiri sehingga menyebabkan Islam dipandang rendah oleh penganut agama lain.

Jikalau kita melihat di akhbar, majalah, juga siaran di TV, seperti 999, 360, Edisi Siasat, dan F.B.A , terlalu banyak cerita yang memaparkan masalah jenayah dan perlakuan tidak bermoral yang dilakukan oleh majoritinya mereka yang beragama Islam. Sebagai contohnya, kes penangkapan sumbang mahram di hotel-hotel, serbuan di pusat pelacuran yang pelacur-pelacurnya adalah orang Islam, penyeludupan dadah, kes rogol, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang mana rata-ratanya dimonopoli oleh orang Islam. Ada juga isu-isu salah faham antara ahli-ahli agama ini dikecoh-kecohkan di media. Mempertikaikan kelayakan dan pendapat sesetengah ahli agama tidak membina gambaran yang baik tentang perpaduan yang terdapat dalam ajaran Islam.

Kebanyakan kita tidak sedar, dengan memaparkan dan menyebarkan berita-berita sebegini, kita telah menghidangkan imej Islam yang negatif kepada penganut agama lain. Saya faham bahawa ini adalah satu realiti yang berlaku, tetapi jika isu-isu sebegini lebih ditonjolkan kepada penganut agama lain daripada mendedahkan gambaran ajaran-ajaran Islam yang sebenar, bagaimana kita hendak membina keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam yang bersih dan terhormat nilai moralnya.

Sebenarnya, dalam tidak sedar, sensiviti tentang Islam semakin meningkat di kalangan masyarakat kita. Kalau kita ingin melihat dari segi pendidikan, sudah banyak sekolah agama serta maahad tahfiz yang ditubuhkan untuk menyediakan pelajar-pelajar dengan ilmu agama. Tidak ketinggalan juga kemunculan buku-buku, majalah-majalah yang berorientasikan Islami di pasaran semakin menjadi pilihan masyarakat. Juga badan-badan kebajikan Islam yang kian aktif melaksanakan program amal untuk membantu masyarakat turut bertambah. Apa yang menyedihkan, perkara ini kurang didedahkan kepada masyarakat umum( saya tak nafikan ada namun kurang). Andailah hakikat-hakikat sebegini kerap dipaparkan di media massa, Islam mampu bertapak di hati sesiapa sahaja terutama mereka yang sudah mula berjinak-jinak mendekati Islam.

Mungkin pendapat saya ini ada salahnya, cuma bagi saya usaha untuk memurnikan kembali gambaran tentang ajaran-ajaran Islam harus lebih ditekankan. Biarlah hal-hal yang buruk yang dilakukan oleh orang Islam, kita selesaikan secara saksama tanpa mengecohkannya di media massa. Yang penting, tunjukkanlah teladan-teladan yang baik yang mampu membina kembali imej Islam sebagai risalah dari langit.

P/s : elok juga kalau disebarkan tentang peningkatan jumlah mereka yang memohon untuk memeluk Islam daripada menumpukan perhatian pada isu murtad sahaja. Ianya juga penting namun, yang dikhuatirkan adalah ia boleh menakutkan orang bukan Islam untuk memeluk Islam.

Thursday, May 17, 2007

RASA


Ketika menjalani cuti semester begini, adakalanya ia menggembirakan kerana saya tidak lagi sesibuk dahulu. Namun, kadang-kadang ia membosankan kerana merindui kesibukan yang dahulu. Namun, kekosongan beginilah, membuatkan saya sempat berfikir tentang diri, tentang hidup, dan juga tentang orang lain. Banyak persoalan yang timbul dalam fikiran, akan tujuan hidup saya yang sebenar, ke mana perginya nanti, bagaimana akhirnya hidup saya? Ingatan tentang mati kadang singgah, kemudian ia pergi. Alangkah baik kalau ia terus singgah dan tidak pergi lagi dalam ingatan saya! Agar saya terus hidup dalam kematian bertemu Tuhan..

- jangan mengharapkan orang lain memahami kita, cukuplah Allah terlalu faham apa yang terbaik untuk kita..

Wednesday, May 16, 2007


APAKATA BERHENTI SEBENTAR


Bila kita berhadapan dengan sesuatu yang kita inginkan, kita jarang sekali menimbang segala baik buruk akan tindakan kita seterusnya. Tatkala ini, hati mula berkerja menghasut akal untuk mendapatkan apa yang kita inginkan. Pastinya terasa puas apabila impian hati dipenuhi! Biarpun perkara itu bertentangan dengan syariat Islam, yang penting kehendak hati perlu diutamakan!

Jadi, dengan sekadar ilmu yang saya perolehi, suka sekali untuk saya berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang bagaimana hati kita ini bermain dengan nafsu, adakalanya kita menang mengalahkan nafsu, adakalanya kitalah yang sering menyerah pada nafsu dan yang paling mustahilnya kitalah tetap pemenang dan nafsu itu pastinya kalah!

Sahabat semua,
Pergelutan kita melawan nafsu tidak akan terhenti sehinggalah ajal menjemput. Percayalah! Sepertimana dalam firman Allah SWT :

“ Dan demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya –(Asy-Syams : 7-10)

Terdapat juga nasihat berupa amaran yang disampaikan oleh junjungan mulia, Rasulullah SAW :

“Berbagai-bagai macam cubaan akan ditimpakan pada hati manusia secara bertubi-tubi laksana proses anyaman tikar. Hati mana pun yang menyerapnya, maka muncullah padanya satu noktah hitam, sedangkan hati mana pun yang menolaknya maka akan muncul padanya satu noktah putih, sehingga hati itu menjadi salah satu daripada dua kemungkinan; hati yang putih seperti shafa’( yang jernih), ia tidak akan terkena bahaya fitnah, sedangkan yang satu lagi adalah hati yang hitam keabu-abuan, tidak bisa mengenali yang makruf, dan tidak bisa menolak yang mungkar. (HR Muslim)

Begitulah bagaimana Rasulullah menyifatkan dua jenis hati yang terdapat pada manusia. Dalam pertarungan nafsu ini sahabat, kita bukanlah golongan para anbiya’ , di mana ruh mereka lebih menguasai nafsu sehinggalah para nabi ini mencapai peringkat maksum. Namun kita sebagai manusia biasa, yang kerapnya diburu syaitan, tidak terlepas daripada tunduk pada nafsu. Oleh itu, terdapat dua jenis manusia apabila berhadapan nafsu ini.

MANUSIA YANG BERTUANKAN NAFSU

Ini adalah jenis manusia yang sentiasa kalah dengan nafsu. Di mana hati mereka lebih cenderung kepada kehidupan dunia dan mengutamakan perasaan daripada syariat Pemilik dunia ini. Mereka inilah orang-orang kafir yang terkunci dan mati hatinya dan juga mereka yang sudah melupakan Allah sehingga Allah menjadikan mereka lupa diri. Maka Allah telah menyifatkan golongan manusia sebegini ini dalam Al-Qur’an :

“maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran “(Al-Jatsiyah :23)

Naudzubillah sahabat, mudah-mudahan Allah menyelamatkan kita daripada golongan sebegini. Bilamana hati kita mati, segala kebenaran berupa cahaya Allah tidak lagi dapat dilihat oleh hati yang gelap sehingga kita terus tersesat jauh daripada kasih sayang Allah dan neraka itu selayaknya untuk kita!

MANUSIA YANG BERTAUBAT

Adakalanya sahabat, dengan berbekalkan iman di dada, kita sudah besungguh-sungguh memerangi hawa nafsu dan melawan keinginan hati. Kadang-kadang terasa puas apabila kita berjaya mengalahkan nafsu, namun kadang-kadang juga kita kalah dengan nafsu lantas Allah hadirkan keinsafan di hati kita, dan kita akhirnya beristighfar dan bertaubat. Allah juga turut menyifatkan golongan sebegini dalam Al-Tanzil :

“dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”( Ali ‘imran: 135)

Dalam hadith, Rasulullah bersabda :

Setiap anak Adam banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah yang banyak bertaubat (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Teringat saya pada pada sebuah riwayat daripada Wahab Bin Munabih, bahawa ia berkata, “ Sesungguhnya iblis pernah berjumpa dengan Yahya Bin Zakaria lalu dia berkata kepadanya : ‘ Beritahulah aku tentang sifat anak Adam dalam pandangan kalian!

Iblis menjawab “ segolongan dari mereka adalah orang-orang sepertimu yang maksum. Kami sama sekali tidak mampu berbuat apa-apa untuk menggoda mereka. Golongan kedua adalah orang yang di tangan kami ibarat sebuah bola yang ada di tangan anak-anak kalian. Keadaan diri mereka sendiri telah memberi peluang kepada kami, sehingga kami tidak perlu bersusah payah menggoda mereka. Dan golongan ketiga adalah yang paling menyulitkan kami. Kami selalu mendatangi mereka, tetapi setelah kami memperoleh apa yang kami hajatkan daripadanya, lantas tiba-tiba mereka beristighfar memohon ampun, sehingga istighfar itu merosakkan apa yang telah kami peroleh daripadanya. Jadi kami tidak pernah berputus asa untuk menggodanya, tetapi kami tidak mendapatkan apa yang kami perlukan daripadanya "

Sesungguhnya, sudah menjadi lumrah sifat manusia melakukan kesalahan, lantas Allah kurniakan kita Taubat sebagai penawar dosa-dosa yang lalu. Sahabat, andai hati kita dibisikkan dengan peringatan Allah, segeralah bertaubat dan memohon ampun kerana mungkin bisikan Allah itu tidak akan hadir lagi sehingga kita akan terus ditinggalkan jauh daripada Allah. Naudzubillah..
P/s : untuk rujukan lanjut, boleh dapatkan buku 'komitmen muslim sejati' tulisan Fathi Yakan

Monday, May 14, 2007


SUMBANGSIHMU IBU
(beruntunglah insan yang bergelar ibu)

Terima kasih kerana membebat luka hati
Tika aku merangkak sangsi tentang hikmah hidup
Murba dalam segala bisik bahasa jiwa
Demi rendang pohon kasihmu ibu
Menjemput damai harum semilir
Membuai syahdu irama cintamu

Ibu
Lewat senyummu meniti keringat tabah
Merawat jerih duka dengan doa
Pada anak yang dangkal fahamnya
Acap mengundang rawan hatimu
Hingga basah matamu menahan rasa
Maafkan anakmu ibu

Ibu
Akanku rangkul semangatmu sebagai sangga
Mereguk takzim kalimat murnimu
Memandu setiap langkah di hadapanku
Agar dapatku persembahkan permata ini
Sebagai saksi di jihat abadi
Bahawa firdaus itu layak untukmu
...buat ibu, Nor'eni Hashim, terima kasih kerana membesarkanku dengan penuh kasih..

Friday, May 11, 2007

MENGAPA MESTI UPSR DAN PMR?


Dua malam sebelum ini, dalam Buletin Utama, TV3 ada menyiarkan usul pemansuhan UPSR dan PMR yang kini menjadi isu perbincangan di Kementerian Pelajaran. Juga dipaparkan bancian untuk isu ini bagi melihat reaksi masyarakat Malaysia mengenainya. Sudah tentunya saya antara yang paling tidak setuju dengan usul yang saya rasakan tidak matang dan tidak releven untuk masa sekarang. Mengapa mesti sibuk membincangkan isu pemansuhan UPSR dan PMR ini? Sedangkan banyak lagi isu lain yang menuntut perhatian dan masa pihak kerajaan untuk dibincangkan. Andai benar ingin melakukan apa-apa pemansuhan, mengapa tidak dimansuhkan sahaja rancangan-rancangan realiti TV yang semakin bercambah di kaca televisyen? Atau mansuhkan filem dan drama yang mempunyai mesej yang tidak sihat yang sering ditayangkan di TV? Bukannya tiada akhbar dan majalah yang prihatin melaporkan tentang masalah kerosakan akhlak remaja sekarang disebabkan pengaruh media massa, namun kelihatan pihak kerajaan seperti tidak ambil serius untuk melakukan tindakan dan perubahan dalam undang-undang Negara bagi menangani masalah ini.

Satu lagi, mengapa tidak dibincangkan isu untuk memansuhkan sahaja pemberian lesen kepada kelab-kelab malam juga pusat pelacuran kepada pemiliknya? Adakah isu ini lebih remeh di pandangan mata kerajaan daripada isu pemansuhan UPSR dan PMR itu sendiri? Saya berasa kesal kerana selaku pengemudi pemerintahan Negara, mereka masih gagal untuk menimbang kesan di sebalik keputusan bagi suatu permasalahan. Tidakkah dengan memansuhkan kedua-dua peperiksaan besar itu menyebabkan kita sukar untuk menilai prestasi para pelajar? Sekiranya prestasi para pelajar dapat diukur daripada awal, tidakkah ia dapat membantu pihak kementerian untuk melakukan apa-apa tindakan atau perubahan yang memberikan kebaikan kepada para pelajar? Jika mereka merancang untuk membuat modul pembelajaran baru selaras dengan pemansuhan ini, tidakkah ia seperti membuang masa semua pihak? Sedangkan Negara amat memerlukan perubahan undang-undang baru berkenaan dengan masalah jenayah yang semakin meningkat dan mengancam keselamatan setiap warganegara. Juga tidak kurang pentingnya isu –isu agama yang berkaitan dengan permasalahan akidah dan akhlak masyarakat Islam yang semakin membimbangkan. Adakah kesemua ini tidak penting untuk diselesaikan?

Kita diberikan hak kebebasan untuk bersuara, jadi saya rasa tulisan saya kali ini tidak melanggar mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Di dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 10(1)(a): Diberikan hak untuk bersuara kecuali tidak melanggar peruntukan di bawah Artikel 152 iaitu mempersoalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, juga Artikel 153 iaitu hak keistimewaan masyarakat Melayu dan masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, dan Artikel 181, iaitu kedudukan Raja-raja Melayu.
P/S : Saya rasa lebih baik kerajaan menumpukan perhatian dengan membincangkan bagaimana cara untuk menguatkuasakan undang-undang Islam. Sampi bila ingin menanti?

Wednesday, May 9, 2007

ADUHAI HELIZA!


Saya sebenarnya agak terpanggil untuk merakamkan rasa keterharuan dan tahniah saya kepada salah seorang penyanyi kecil molek Akademi Fantasia, Heliza . Ya, tahniah untuk persembahan yang tak tersangka-sangka boleh dilakukan oleh wanita bertudung!Inilah muslimah! Semua Boleh!

Sebetulnya,saya ini bukanlah peminat setia AF. Cuma untuk konsert minggu lepas saya ‘terajak’ dengan penampilan Heliza pada malam konsert tersebut.

‘uish,malam ni nampak macam sopan sedikit pakaian dia. (tudung litupla sedikit daripada minggu-minggu lepas dengan hanya membalut kepala). Ha,ni mesti dapat lagu ala-ala nasyid ke Islamic sedikit nih’

Namun,saya terpaku di hadapan televisyen melihat aksi Heliza di atas pentas. Terangguk-terangguk dia menyanyikan lagu Kesal yang pernah dipopularkan oleh Ella. Terlompat-lompat ke hadapan ke belakang,ke kiri dan ke kanan,meraikan rentak ‘rock’ yang dilagukannya dengan suara serak-serak basah menjerit ala-ala Ella. Cayalah Heliza! Sehinggalah tamat persembahan,saya masih tak berkedip mata memandang ketaksuban dan kesungguhan Heliza meyakinkan semua peminat yang dia juga mampu menjadi seperti Ratu Rock Malaya. Wanita bertudung yang versatile!Kini tiba masa untuk dihentam dan dikritik.

Saya hanya quote beberapa komen pengkritik yang saya rasakan agak ‘pelik’(Lebih-lebih kurang begini bunyinya)

“macam ini la rock bertudung! (ini komen daripada salah seorang pengkritik lelaki Islam)

“cayalah muslimah!,ni la original rock! (ini pula komen daripada seorang pengkritik wanita bertudung)

“Heliza,kalau awak nyanyi lagu rock ,lagu rock pun boleh jadi suci.Satu lagi,rock rock jugak Heliza,tapi kita p masjid jugak” (komen mantap daripada seorang pengkritik Islam jemputan)

“terima kasih-terima kasih” balas heliza dengan seulas senyuman kepuasan dengan 4lampu biru yang diberikan oleh kesemua pengkritik. Bersorak gembira semua penonton.

Niat saya bukanlah untuk mengata atau memalukan mana-mana pihak. Cuma atas rasa tanggungjawab untuk menyedarkan masyarakat Islam tentang penjajahan pemikiran Barat yang bertujuan untuk melemahkan umat Islam. Andai wanita bertudung dikatakan selayaknya menyanyikan lagu-lagu rock,apakah yang dapat kita simpukan lagi? Melainkan inilah fahaman Liberalisme yang cuba disuntik di kalangan remaja. Lihatlah,sudah berapa banyak rancangan reality TV yang muncul menyerang akidah dan akhlak remaja-remaja Islam dan diraikan pula kemunculan rancangan-rancangan sebegini. Adakah generasi sebegini yang negara ingin lahirkan untuk menerajui pimpinan akan datang? Atau ,menanti musnahnya pemerintahan negara sepertimana yang berlaku ketika pemerintahan Kamal Attartuk di Turki dahulu?Kembalilah pada sejarah..



p/s: berhibur tak salah,tapi biarlah yang mendidik jiwa