CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, August 31, 2007

KALAU BUKAN KITA, SIAPA?


Sedari tadi saya seakan lekas gelisah melihat jarum minit seperti cepat bergerak. Barangkali tidak sabar untuk bersatu bersama jarum jam lantas membawa satu signifikasi agung pada tanah ini. Ya, kita semua tahu dan kita semua maklum bahawa tanah ini sudah setengah abad mengemudi bahtera merdeka tanpa sebarang penjajahan fizikal. Sengaja saya masukkan perkataan ‘fizikal’ ini. Mahu sahaja saya katakan ramai, dan amat bersepah penghuni tanah ini yang hilang faham akan erti sebenar kebebasan dan kemerdekaan yang mereka banggakan. (sekadar apa yang saya lihat dan tahu)

50 tahun merdeka! Kerana itu saya buncah, kerana itu hati saya merusuh. Oh Tuhan, moga detik ini saya tidak akan lupa bersyukur,bersyukur dan terus bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang menjadi hadiah terunggul untuk seorang yang punya sifat kemanusiaan. Jika malam ini adalah saat bebas untuk ‘islamic couple’ yang asyik bertukar-tukar sms konon-konon berbaur nasihat kemerdekaan diselit-selit sedikit bunyi-bunyi Islam, sedang yang terangsang adalah maksiat hati, mujurlah saya akhirnya merdeka daripada semua helah syaitan itu. Lantas, terima kasih kepada dirinya yang membawa saya ke arah ini.jujur.

Jika malam ini adalah saat bebas bagi pasangan kekasih berlingkar tangan memeluk pinggang sambil tersengih-sengih melihat percikan bunga api di langit , bangga teramat saya rasakan kerana hingga sekarang saya merdeka jauh daripada serangan iblis itu. Jika malam ini adalah saat bebas untuk anak-anak muda berpeleseran di sekitar Kuala Lumpur, menjerit-jerit konon inilah semangat kebangsaan mereka, sungguh! Saya amat katarsis kerana sekali lagi Tuhan merdekakan saya daripada menjadi hantu di jalanan sedangkan yang wajib adalah bermunajat mengirim rasa keterharuan pada Tuhan kerana menghadiahkan kita kemerdekaan.

Bukan saya tidak gembira, namun untuk apa saya gembira melihat semua itu di mata saya? Sedang saya sendiri berasa malu untuk gembira kerana tidak mampu memikul tugas daripada Tuhan. Bukan juga saya mementingkan diri sendiri kerana ingin merdeka seorang diri, namun berapa ramai yang MAHU faham erti dan maksud sebenar kemerdekaan? Yang mereka tahu, “ merdekalah tu kalau si British dan Jepun dah xde lagi”.

Oh, atau saya yang terlupa, merdeka itu maksudnya bebas berpakaian, hingga singkat biar nampak pusat berkulat. Atau mungkin saya terlupa lagi merdeka itu maksudnya bebas berhibur, hingga khusyuk terlompat-lompat meraikan rentak Barat. Oh ya, merdeka itu ertinya bebas memilih cara hidup, cukuplah Islam pada nama. Paling-paling, lepas kena siksa dalam neraka itu, akhirnya ke syurga juga. Apa mereka fikir, api neraka macam api pemetik api untuk cucuh daun rokok? Sedangkan andai sebesar lubang jarum serpihan api neraka jatuh ke bumi, bisa merentungkan seisi alam yang ada.

Inilah merdeka dalam penjajahan. Inilah merdeka dalam penaklukan. Yang merdeka adalah diri bukan hati dan akal. Sedang fikiran sudah lama dijajah Barat. Sedang hati sudah ditakluk penjahat. Kata mereka, orang melayu Islam ini mudah lupa, atau senang leka. Suguh sahaja pakaian berlubang-lubang sana-sini ini, hidang sahaja muzik-muzik syaitan ini. Media mereka itu, jangan lupa tayang yang ‘pelik-pelik’ biar terjuling mata mereka. Lambakkan dengan aksi-aksi ghairah biar otak mereka jadi dungu macam lembu. Sedang lembu pun tahu untuk tidak terjun lumpur.

Oh Tuhan, saya bukan ingin mengutuk atau menghina, tapi darah ini sudah bergelegak ingin meletus ketika melihat kerenah orang Islam sendiri. Ingin memaki hamun, bukan itu ajaran Rasulullah. Hikmah dan teladan itu rahsia keberkesanan dakwah Baginda. Andai Rasulullah ada, pasti sudah menangis Baginda melihat umatnya apatahlagi jika pelaku itu adalah seorang ‘ustaz’ dan ‘ustazah’. Aduhai, inilah kesannya apabila nikmat hidayah yang telah ditarik Allah. Naudzubillah, merdekakan saya, bebaskan saya daripada kemungkinan yang mengerikan ini.

Justeru, saya bukanlah seorang yang warak, jauh sekali yang tinggi imannya, dan saya bukan juga yang begudang-gudang ilmunya. Sekadar rasa manusiawi yang diberi Tuhan, saya hamparkan luahan rasa saya di laman ini. Andai ada ibrah yang dapat diambil, itu adalah ilham Tuhan. Namun andai ada keterlanjuran kata, itulah kekurangan seorang manusia selemah saya. Teguran sahabat-sahabat adalah pengingat kepada saya. Mudah-mudahan Allah mengampunkan saya.

P/S : bagi anda yang sudah ada pada jalanNya, peliharalah hidayah Allah ini kerana sudah ramai sahabat kita yang telah karam. Inilah tugas kita, menjadi pengingat kepada mereka sekadar kemampuan.Kalau tidak kita, siapa?

Monday, August 20, 2007

MENULIS?SAYA CUBA JAWAB



Salam bertemu kembali untuk semua. Sudah lama sebenarnya laman ini kesepian atas beberapa masyaqah yang sememangnya tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah, masih dipanjangkan umur untuk saya berkongsi rasa dan cerita dengan anda. Untuk entri kali ini saya sebetulnya agak terpanggil untuk berbicara serba sedikit tentang dunia penulisan.

Sebenarnya begini. Ini adalah badi yang saya perolehi daripada majlis pertemuan mantan MPR (Minggu Penulis Remaja) baru-baru ini. Biarpun singkat namun semangat mereka ini yang istiqamah dalam menulis, cukup memberi suntikan untuk saya menghidupkan kembali hasrat yang lama terkandas. Cuma pada hari tersebut, saya sedikit terkedu juga apabila ada yang bertanya pada saya tentang bagaimana untuk hendak menulis. Sungguh, terasa segan juga untuk menjawabya kerana saya bukanlah orang yang tepat dan layak untuk ditanya.
Namun sekadar ilmu yang ada dan beberapa bacaan yang saya lakukan, suka sekali untuk saya berkongsi dengan anda yang berhasrat untuk mengenali dunia penulisan.

TULISLAH APA YANG ANDA TAHU

Mengapa perlu susah untuk menulis? Tulislah apa sahaja yang anda tahu. Tidak perlu sehingga anda tahu bagaimana untuk membedah pesakit baru anda dapat menulisnya tentang ilmu tersebut. Andai hari ini anda mengetahui cara-cara untuk membuat kek lobak merah yang paling mudah melalui kawan-kawan, tulislah mengenainya. Bahan yang kita nampak remeh tapi percayalah ada yang berminat untuk mengetahuinya.

Andai anda baru ingin menapak ke dunia penulisan, jangan letakkan matlamat yang sukar untuk dicapai. Contohnya ‘saya mahu menulis di suatu ruangan khas dalam majalah Millenia’. Bukannya ia mustahil, namun biarlah kita bermula dari bawah tetapi hasilnya kelihatan. Cadangan saya, anda boleh bermula dengan mewujudkan blog anda sendiri. Blog anda adalah milik anda, dan anda berhak untuk mengisinya mengikut citarasa dan gaya anda tersendiri. Di situlah ladang untuk anda semai pengetahuan atau pengalaman anda. Syaratnya, elakkan daripada menyiarkan wacana yang ‘kering’! maksud saya yang tiada pengajaran untuk pembaca blog anda.

Setelah biasa menulis,dalam masa yang sama risik-risiklah majalah-majalah yang anda rasakan bersesuaian dengan kecenderungan bahan penulisan anda. Belum cuba belum tahu! Yang penting, jangan pisahkan mata anda dengan bahan–bahan ilmiah untuk hidupkan pemikiran anda.

PENULIS BAGI RAKAN

Saya percaya, setiap antara kita mempunyai kawan-kawan yang mahir dalam sesuatu bidang. Atau anda mengenali beberapa individu yang pakar dalam lapangan ilmu tertentu. Sebagai contoh, kawan anda ini seorang yang aktif mengembara dari satu Negara ke Negara yang lain. Maka, jangan sia-siakan mereka ini. Kutiplah pengalaman-pengalaman mereka ketika di luar Negara dan tulislah mengenainya. Letakkanlah diri anda sebagai medium penyampai ilmu pada khalayak luar.

Sebagai contoh yang lain, ibu saudara anda mungkin seorang doktor perubatan ataupun jururawat. Maka, anda sebenarnya telah mempunyai sumber untuk bahan penulisan anda dengan bertanya tentang dunia perubatan melalui mereka . jadi, sebetulnya tiada alasan untuk sesiapa yang mengatakan ‘saya tak tahu hendak tulis apa’ dan ‘ saya tak tahu hendak cari di mana’. Pada saya, kalau hendak seribu daya, tak hendak banyak pula dalihnya.
Sekadar ini dahulu untuk entri kali ini. Jika diizinkan Allah, saya akan menyambung tip-tip penulisan yang seterusnya dengan membawakan kisah Lee Beadling , A Wanted ‘Doctor’

P/S : Untuk anda yang ingin meneruskan bacaan mengenai dunia penulisan, bolehlah rujuk buku ‘ Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas karangan Zamri Mohammad , terbitan PTS.

Tuesday, August 14, 2007

DISKUSI KARYA PENULIS MUDA MALAYSIA

Berminat dengan dunia sastera?
Mencari mentor untuk menulis?
Ingin berkenalan dengan penulis-penulis muda negara?

Jangan lepaskan peluang bertemu mereka dan mengenali dunia penulisan dengan lebih dekat. !

Program : Diskusi Penulis Muda Negara
Tarikh : 18.8.2007
Waktu : 9.00pagi - 4.00petang
Tempat : Dewan Bahasa dan Pustaka

Hanya 100 orang pertama yang akan memiliki peluang ini!
masuk percuma!

penampilan hebat :

Faisal Tehrani-penulis kombat 1511H
Nisah Haron-penulis Mencari Locus Standi
Zaid Akhtar- penulis Sesegar Nailofar
Juga barisan penulis muda yang lain!
p/s : untuk maklumat lanjut mengenai tentatif program, boleh click link mantan mpr06

Sunday, August 5, 2007

JOM TUKAR STREAM



GLOSARI

LLB : Ijazah sarjana undang-undang

LLB_S : Ijazah sarjana undang-undang syariah

LLM : Master in Law

MCL : Master in Comparative Law

Chambering : Latihan guaman dalam kamar mahkamah

Litigation lawyer : Peguam dalam mahkamah


Nampaknya saya harus tangguhkan dahulu entry saya mengenai public speaking kerana ada satu isu yang saya harus kupas untuk perkongsian bersama anda semua. Ya, mengenai permohonon pertukaran stream ke LLB terpaksa ditutup! Ramai sungguh pelajar yang ingin drop subjek syariah! Saya memandangnya sebagai satu fenomena yang biasa di fakulti ini, cuma ada beberapa alasan dan sebab fenomena ini yang saya rasakan kurang biasa.

Sebetulnya, ada beberapa pelajar yang langsung terfikir untuk menukar stream apabila mengetahui yang mereka boleh meneruskan hasrat mereka dalam bidang guaman syariah tanpa perlu mengambil LLB_S !

Ayuh! Saya ingin jelaskan bagaimana prosesnya.

STUDY PLAN LLB GRADUATE

Boleh dikatakan mereka adalah daripada golongan pelajar yang paling ramai. Mereka perlu melengkapkan pengajian mereka dalam tempoh 4tahun ( insyaAllah tanpa mengulang). Kemudian dikehendaki chambering selama 9 bulan setelahnya sekiranya mereka berhajat untuk menjadi litigation lawyer Setelah itu, mereka boleh mengambil LLM, atau MCL. Ini bermakna, dalam tempoh 5tahun, mereka ini sudah berpeluang mengambil master dan siap dengan chambering sekali.

Kesimpulannya di sini, pelajar LLB lebih beruntung dari segi penjimatan tempoh studi dan dapat pula mula mencari kerja awal atau ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Phd dan menghabiskannya dalam usia awal 30an. Dengan syarat sekiranya mereka mampu melakukannya secara berterusan setelah habis setiap peringkat tahap pengajian.

STUDY PLAN LLB_S GRADUATE

Mungkin ini antara kumpulan pelajar yang sedikit (tidaklah terlalu sedikit). Perjalanan awal pengajian mereka adalah lebih kurang seperti pelajar LLB bagi tempoh 4 tahun pertama , cuma mereka harus belajar beberapa subjek Islamic law dalam Bahasa Arab berbanding pelajar LLB yang belajar dalam Bahasa Inggeris dalam subjek yang sama. Setelah mendapat LLB degree, mereka harus menyambung pengajian selama setahun untuk mendapat LLB_S degree. Maka, kesemuanya adalah 5tahun tempoh pengajian.

Dalam tempoh ini, mereka tidak dibenarkan chambering sehinggalah tamat tempoh setahun. Setelah selesai, barulah dibolehkan chambering untuk menjadi peguam syariah dan mengambil LLM atau MCL. Bezanya di sini adalah,tempoh pengajian mereka adalah lebih panjang sebelum mereka dapat mula mencari pekerjaan secara formal atau menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Namun begitu, untungnya mereka adalah, mereka ini berjaya memperoleh ‘double degree’ atau 2 ijazah dalam tempoh 5 tahun. Cuma terpaksalah ‘tua’ di UIA dahulu. Itu belum sambung master lagi.

STUDY PLAN LLB/ DSLP GRADUATE

Bagaimana pula untuk yang ini? Study plan ini adalah untuk 2 golongan pelajar. Pertama, bagi mereka yang ingin menghabiskan segera tempoh pengajian dengan hanya mengambil LLB degree, tetapi bercita-cita untuk menjadi peguam syariah tanpa perlu mengambil LLB_S. setelah 4tahun mereka terus boleh membuat chambering sekali dengan DSLP (Peringkat kelayakan untuk menjadi peguam syariah). Kedua, untuk mereka yang tidak merancang untuk menjadi peguam syariah pada mulanya, namun setelah mendapat LLB degree mereka ingin menukar ‘cita rasa’.

Maka, ditawarkan DSLP untuk memenuhi permintaan mereka. Apatahlagi, pengajian dalam DSLP ini adalah dalam Bahasa Malaysia (lebih mudah untuk difahami) dan hanya perlu menghadiri kelas hanya pada hari Sabtu. Sedangkan untuk LLB_S graduate perlu menghadiri kelas pada hari isnin hingga jumaat secara penuh! Maka, lebih jimat tempoh pengajian dan masih boleh menjadi peguam syariah seperti pelajar LLB_S graduate! Tidak perlu berlama-lama menghabiskan usia hanya untuk ijazah.

MENGAPA PERLU JALAN PINTAS?

Kebanyakan pelajar jarang mempertimbangkan keputusan mereka dengan akal yang hidup dan hati yang sedar. Ramai yang melihat keputusan yang bakal dibuat dari sudut keuntungan dunia sahaja. Mengapa tidak mencari keuntungan dunia dan akhirat sekali? Bukannya tiada!
Tanya diri sendiri akan persoalan-persoalan ini :

1) Mengapa perlu belajar undang-undang?
2) Apakah rancangan masa depan dalam bidang undang-undang?
3) Untuk siapa menuntut ilmu undang-undang?
4) Apakah yang ingin dicapai dalam hidup?

Pertamanya, jika kita lakukan sesuatu, biarlah semata-mata kerana Allah. Hanya satu-satunya tujuan yang amat perlu diutamakan. Apatahlagi dalam menuntut ilmu kerana percayalah segala ilmu yang kita kutip ini adalah milik Allah, bukan milik sesiapa. Jadi, mengapa perlu merasa rugi untuk mengutip ilmu syariah dalam bahasa yang paling mulia, iaitu bahasa Al-Qur’an, bahasa syurga dan penghuninya, juga bahasa para malaikat. Apa yang mendukacitakan apabila mereka yang sudah lama bersekolah arab sanggup mengorbankannya atas dasar ingin cepat habis studi dan mengambil DSLP untuk menjadi peguam syariah.

Apa yang saya fikirkan, cukupkah untuk memahami ilmu undang-undang syariah hanya menghadiri kelas seminggu sekali? Belajar pula dalam bahasa malaysia? Sedangkan ilmu syariah itu asal bahasanya adalah Bahasa Arab, lebih tepat dan lebih terperinci. Ulama-ulama yang dahulu yang berpuluh-puluh tahun menuntut ilmu syariah pun masih belum sempurna ilmu-ilmunya. Bagaimana pula untuk dibandingkan dengan kita? Sekurang-kurangnya, hargailah peluang untuk belajar ilmu syariah dalam bahasa Al-Qur’an.

Sekiranya anda memandang pada kehidupan dunia yang terlalu hampir penghujungnya, maka saya alu-alukan untuk anda ‘membuang’ syariah . namun, jika niat anda menuntut ilmu itu adalah untuk pakej dunia dan akhirat, saya mendoakan agar Allah sentiasa menetapkan anda dalam jalanNya.

Allah itu Maha Adil. Put your trust in Him (",)

p/s: tulisan kali ini mungkin lebih kepada sesiapa yang berada dalam jurusan undang-undang. Terutama untuk sahabat-sahabat yang berfikiran untuk mengambil jalan pintas untuk berada dalam bidang guaman syariah . Namun, untuk anda yang bukan daripada jurusan ini, anda juga boleh memberi pendapat sekiranya ada sahabat anda yang sedang dilema. Allah sentiasa bersam orang yang inginkan kebaikan.

Sunday, July 29, 2007

OHH..TIANGGA LAMPUSTA!


Hari ini saya agak kepeningan menyiapkan tugasan Islamic Legal System yang diberikan oleh pensyarah. Apatahlagi ia perlu disiapkan dalam Bahasa Arab kerana jurusan saya bukanlah major dalam bahasa tersebut seperti mereka yang sememangnya mengambil jurusan Bahasa Arab. Walaubagaimanapun, saya akan berusaha untuk menyiapkannya sebaik mungkin. Mujurlah ketika ini saya berada di rumah, maka dapatlah merehatkan minda dengan mengusik adik saya yang bongsu.

Cuma rasa pening saya agak terubat apabila ayah saya menghulurkan sehelai keratan akhbar untuk menghiburkan waktu studi saya.

“akak, cuba baca yang ni, bolehla hilang sikit rasa tension tu”. Ayah saya sudah tersenyum-senyum

Terus saya kerutkan dahi. Baca akhbar boleh hilangkan tension? Selepas habis membaca, hampir ketawa saya dibuatnya. Mari! Saya ingin berkongsi dengan anda ceritanya. Mungkin ada yang sudah terbaca.

Begini.

Ini satu kisah seorang mahasiswa UPM, yang mengambil jurusan agrikultur( tekaan saya melalui apa yang diceritanya). Sewaktu menuntut dahulu, sekumpulan pelajar dibawa bersiar-siar di sekitar kawasan UPM untuk mengenali lebih dekat akan tumbuh-tumbuhan ornamental (tumbuhan perhiasan). Daripada acacia mengium hinggalah livistonia chinensis. Mereka ini dibimbing oleh seorang pegawai pertanian di situ dan diterangkan nama-nama saintifik untuk setiap tumbuh- tumbuhan.

Oleh kerana mereka harus mengingat kesemua nama jenis tumbuhan itu, masing-masing khusyuk menyalin setiap apa yang disebut pegawai tersebut. Sehinggakan kebanyakan mereka hanya main ‘taram’ sahaja mengeja nama-nama tumbuhan tersebut. Yang penting ada bunyinya.

“ini namanya casuarinas equisetifolia atau pokok Rhu. Yang di sebelah sana pula TIANGGA LAMPUSTA.” Kata pegawai berkenaan.

Kelihatan semua pelajar dari tadi asyik menunduk mencatat nama-nama tumbuhan yang disebutkan sehingga tidak sempat menoleh melihat fizikal tumbuh-tumbuhan tersebut. Mengangguk-angguk pula tanda buat-buat faham. Maklumlah takut terlepas pula menulisnya.

“tiangga lampusta? Pokok apa tu?” Tanya seorang rakan mereka.

“TINGGA LAMPUSTA tu adalah tiang lampu. Bukannya pokok. Itulah,kamu pun main tulis sahaja”. Dengan selamba pegawai itu menjawab.

Sekumpulan mereka terus sahaja ketawa tak henti-henti apabila mendengar jawapan pegawai berkenaan.

PENGAJARAN

1) Jangan main tulis sahaja nota, perlu lihat dan faham apa yang ingin anda tulis.
2) Jangan mudah percaya pada orang! Perlu bertanya apabila anda rasakan maklumat yang anda terima itu adalah pelik. Apatahlagi terma-terma yang anda tidak biasa dengar.

p/s: tulisan kali ini sekadar untuk merehatkan minda. insyaaLLAH, saya akan siapkan entri seterusnya mengenai 'public speaking' dalam masa terdekat ini.=)

Sunday, July 22, 2007

JOM BELAJAR DARIPADA AL-QUR’AN!


FIKIRKAN SITUASI INI


“ Amin, Amin dah 10 tahun, jadi Amin dah kena sembahyang, tak boleh tinggal-tinggal lagi tau. Kalau Amin sembahyang, nanti boleh masuk syurga”

Atau

“Amin, Amin dah 10tahun, jadi Amin kena sembahyang , tak boleh tinggal-tinggal lagi tau. Kalau Amin tak sembahyang, nanti masuk neraka, kena bakar dengan api panas”

Ini adalah contoh ayat saranan yang juga boleh dikatakan arahan yang diberikan oleh seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Cuba anda fikirkan, ayat yang mana yang akan memberikan kesan kepada anaknya untuk menunaikan sembahyang?

TAKUT ITU SIFAT MANUSIA

Secara fitrahnya, manusia biasanya takut jika dirinya diancam dengan bermacam-macam kesusahan dan kemalangan. Lantas perasaan takut itu akan mendorong mereka untuk lebih berwaspada agar tidak ditimpa bahaya atau kecelakaan yang dimaksudkan. Berbanding dengan jika diingatkan dengan nikmat-nikmat serta ganjaran yang dijanjikan, manusia selalunya agak kurang terdorong untuk melakukannya kerana bagi mereka, mereka masih punya pilihan untuk tidak melakukannya.

Apa yang ingin saya kaitkan adalah bagaimana Al-Quran mengajar kita untuk menjadi seorang pendidik. Jadi, kita perlu melihat bagaimana cara Allah mendidik kita melalui Al-Quran. Jika anda perhatikan setelitinya susunan ayat-ayat Al-Quran dalam setiap surah, anda akan dapati ayat-ayat yang berupa ancaman kepada manusia didahulukan daripada ayat-ayat yang berupa nikmat Allah kepada hambanya yang taat. Hal ini kerana, Allah mengetahui bahawa manusia biasanya lebih sensitive apabila menerima ancaman dengan hadirnya perasaan takut akan azab dan siksanya.

CONTOH 1: SURAH AN-NABA’

“sesungguhnya, neraka Jahanam itu dijadikan tempat mengintai bagi penjaga neraka. Menjadi tempat kembali bagi orang yang melampaui batas.mereka tinggal dalam masa yang lama.Mereka tidak merasa kesejukan di dalamnya dan tidak pula mendapat minuman selain air yang mendidih dan bernanah”(21-25)

Kemudian diikuti:
"sungguh, orang yang bertakwa mendapat kemenangan.Iaitu kebun-kebun dan buah anggur.Dan gadis-gadis yang sedap sebaya.Dan gelas-gelas yang penuh berisi minuman.Di sana mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun dusta”(31-35)

CONTOH 2: SURAH AZ-ZUMAR

“Dikatakan kepada mereka: Masuklah pintu-pintu neraka Jahanam, kamu kekal di dalamnya.maka neraka jahanam itulah seburuk-buruk tempat kembali bagi orang-orang yang menyombongkan diri.”-72-

Kemudian diikuti:

“Dan orang-orang yang bertakwa pada Tuhannya,dihantar ke dalam syurga berombongan. Sehingga apabila mereka sampai ke syurga dan pintu-pintunya telah dibukakan,penjaga-penjaganya berkata kepada mereka: kesejahteraan keatasmu, berbahagialah kamu!masuklah kamu dan kekallah di dalamnya” -73-

Begitulah juga apa yang terdapat dalam surah At-Tatfif, surah At-Takwir, surah An-Nazi’at, dan beberapa surah yang lain yang menggunakan kaedah yang sama. Saya mencadangkan, apabila anda membaca Al-Qur’an ,bacalah bersama tafsirnya. Di situ anda akan dapat melihat hikmah cara ayat-ayat Al-Qur’an diturunkan. Kesimpulannya, untuk situasi yang saya letakkan di atas, biasanya seorang anak akan menunaikan sembahyang apabila diingatkan dengan ancaman yang menakutkan berbanding diingatkan dengan nikmat syurga itu.Cubalah lakukan!

Maka,pada pendapat saya, ikutilah cara Allah mendidik kita melalui Al-Qur’an untuk kita mengamalkannya ketika mendidik orang lain. InsyaAllah. Semoga Berjaya!-
P/S: Mungkin perkataan mendidik yang saya gunakan lebih bermaksud kepada memberi peringatan atau pun tazkirah kepada orang lain.

Sunday, July 15, 2007


Salam bertemu kembali untuk sahabat semua! (",)

Jutaan kemaafan kerana agak lama membiarkan laman ini ketandusan bahan-bahan ilmiah untuk dikongsikan. Alhamdulillah setelah 2 minggu saya mampu mencari ruang walaupun sebenarnya agak sibuk dengan kuliah dan program luar. Cuma di sini ada sedikit cerita mungkin untuk dikongsi bersama anda semua.

Ketika mengikuti Qiamullail Jamae’i bersama sahabat-sahabat di Masjid UIA pada malam sabtu yang lalu, saya dipertemukan dengan seorang sahabat yang duduk keseorangan di suatu sudut. Sahabat yang memang saya telah kenali. Kelihatan dirinya agak kemurungan mungkin mengenangkan sesuatu.Sebagai seorang sahabat, saya cuba menghampirinya dan memulakan perbualan. Pada Mulanya, dia hanya menyepi namun tiba-tiba air matanya mengalir perlahan. Saya cuba bertanya dan apa yang keluar dari bibirnya adalah :

“hurm, hidup ini kena kuatkan, saya ni orangnya lembut, atau mungkin saya ni memang lemah..”

Setelah lama berbincang akhirnya saya mengetahui apa masalahnya cuma biarlah ia menjadi rahsia antara saya, dia dan Allah. Namun, satu kesimpulan yang saya dapat buat daripada ceritanya adalah pentingnya seseorang itu bertegas dengan prinsip diri . Ya! Terlalu penting!

ADAKAN PRINSIP

Soalan yang ringkas apabila ditanya kepada semua orang. Apakah prinsip hidup anda? Mungkin ramai yang diam tanpa jawapan atau mungkin ada yang menjawab tetapi seperti kurang yakin dengan jawapan sendiri. Menjalani kehidupan yang dikelilingi dengan bermacam-macam jenis manusia serta suasana sekeliling yang penuh warna warni sangat menuntut kita untuk berprinsip.
Untuk apa? Supaya kita tidak jadi seperti lalang yang mudah meliang-liuk mengikut arah angin apabila ditiup. Tetapi, untuk kita menjadi seperti ikan di air masin, walaupun hidup di dalam air yang masin namun rasanya tetap tawar. Begitulah jua kita, walau apa pun cabaran yang datang untuk menguji diri kita, jangan mudah mengalah dan jangan mudah tunduk dengan kehendak suasana. Jadilah diri anda sendiri dengan berpegang dengan prinsip anda
Jika ditanya saya, ini adalah prinsip saya.

“apabila saya berurusan dengan Allah, maka saya tidak perlu takut dengan manusia, tetapi andai saya berurusan dengan manusia maka saya harus takut dengan Allah”

Saya memilih prinsip ini kerana kadangkala saya cepat memikirkan tentang apa persepsi orang pada saya. Sehingga kadang-kadang saya tidak meneruskan niat saya kerana takut pandangan orang pada setiap tindakan saya. Apa yang sepatutnya adalah jika kita memikirkan hal yang ingin kita lakukan itu adalah baik, maka mengapa perlu takut dengan manusia. Yang layak menilai serta menghukum hanya Allah. Jadi kata-kata ini saya jadikan sangga agar saya tidak mudah mengalah dengan kehendak manusia dan apa cabaran yang datang selepas itu.

LEMBUT TIDAK MENGAPA TETAPI BUKAN LEMAH!

Rasulullah juga seorang yang lembut hatinya. Lembut bererti yang mudah untuk dibawa berbincang , yang mudah untuk didekati kerana sifatnya yang tidak keras atau sombong. Namun,ini tidak bereti anda perlu jadi lemah.Jadilah tegas apabila berurusan dengan manusia jika ia memberi kebaikan kepada anda dan orang lain. Jangan mudah mengikut telunjuk dan permintaan orang lain sedangkan anda punya komitmen atau perancangan sendiri ketika itu. Apatahlagi hal yang yang anda rancangkan itu adalah penting untuk diri anda. Ingat! Ada perkara yang kita tidak boleh bertolak ansur terutama dalam hal yang anda rasakan tidak memberi manfaat pada anda.

p/s: saya percaya banyak antara kita yang mengalami konflik ketika kita diberi pilihan untuk membuat keputusan. Maka ketika itulah kita harus memandang semula prinsip kita dan ambillah tindakan.