CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, February 22, 2009

HISH, BETUL KE BLOGGER MACAM TU??


Saya membuka sebuah lama blog pengunjung blog saya. Ada suatu kelainan yang membuatkan saya tersekat untuk membaca isi- isi tulisan dalam blog tersebut. Entah bagaimana , lidah saya seakan meluncur laju memuji-muji blog tersebut. Sekadar kagum.

Ha Izzah, kebetulan suka blogging kan. erm.. macam mana kita nak tau orang tu macam apa yang dia tulis?”

Ah, rupanya ada mata dan ada telinga yang mendengar monolog kecil saya. Suasana dalam ’Office Law Society agak sunyi. Hanya tinggal kami berdua. Untuk soalan itu saya sedikit terdiam. Bukan tiada jawapan, tetapi sedang mencari jawapan. Memang ianya pernah terlintas dalam fikiran saya. Apakah pemilik blog itu seperti apa yang ditulisnya. Kalau ya, bagaimana kita hendak tahu?

Bingung juga. Perlukah untuk kita tahu apa sebenarnya ‘akhlak’ pemilik blog untuk dibandingkan dengan tulisannya? Begini. Saya memandang dari dua sudut. Pertama, dari kaca mata seorang pembaca blog, akan apa yang sepatutnya dia harus fikirkan. Kedua, dari kaca mata penulis dan pemilik tersebut, akan apa liabilti yang akan ditanggungmya. Ianya harus berbeza!

Baiklah. Saya cuba menyusun pandangan. Tapi ia bukan dalil qat’i. sekadar zonni dari seorang ‘saya’ yang bukan mujtahid.

LIHATLAH APA YANG DIKATA…

…..jangan lihat orang yang berkata. Itu prinsip saya apabila menjadi pembaca blog. Lihatlah apa yang dikata atau ditulisnya, usah lihat orang yang berkata atau orang yang menulis. Ya, memang benar, pernah juga saya ’terserempak’ dengan pemilik-pemilik blog’ yang tidak berakhlak seperti apa yang ditulisnya. Tidak perlu pergi jauh, walau saya sendiri juga bukanlah yang sempurna seperti apa yang saya tintakan di blog saya. Ah, manusia, keterlupaan dan tidak perasan itu menyebabkan hilang kepercayaan orang pada apa yang kita tulis.

Namun harus ingat duhai pembaca blog! Jika setiap kali kita ’set mind’ untuk melihat siapakah penulis blog ketika membaca blog seseorang, mungkin anda tidak akan dapat mereguk hikmah apa ilmu yang diperturunkan di blognya. Apatahlagi, jika kita memang kenal ’siapa sebenarnya’ penulis blog tersebut. Atau sekiranya kita tidak pernah mengenalinya, namun frasa :
” Ah, macamlah orangnya macam apa yang ditulis. Tulisan saja lebih selalunya”
akan membataskan penerimaan kita terhadap apa yang ditulis seseorang.

Percayalah! Ada juga mereka yang berfikiran begini. Dalam minda mereka sudah mereka pakukan frasa ini sehingga tidak tertanggal-tanggal. Sehinggalah mungkin mereka bertemu sendiri pemilik blog yang benar-benar seperti apa yang ditulisnya. Tetapi, yang fitrah tetap fitrah bukan. Bagi saya, ada satu petanda untuk kita rasai ’akhlak’ sebuah tulisan yang terbias daripada akhlak penulisnya.

Hanya tulisan yang ’ber’ iman akan menyentuh iman. Jika kalian membaca dengan hati, kalian pasti merasakannya. Jika sekadar membaca dengan mata, mungkin ia dirasakan sekali lalu dan tiada apa-apa. insyaAllah, berkat sebuah tulisan itu datangnya dari berkat Allah kepada penulisnya. Simptomnya adalah, mungkin ada mata yang bergenang ketika membaca tulisan tersebut, mungkin ada jiwa yang bergetar saat mengikuti baris-baris tulisannya, mungkin juga sentuhan tulisan penulis tersebut bisa membuat seseorang berubah kepada yang lebih baik. Itulah barakah yang terfitrah dari tulisannya.


....KALIAN DIPERTANGGUNGJAWABKAN...

....wahai penulis blog. Ini amarannya untuk saya. Saya akan mengulang lagi bagaimana akhlak penulis blog akan terbias kepada tulisannya. Andai kita menulis dengan iman, maka iman itu akan mengalir pada segenap baris-baris ayat yang kita tintakan. Iman tidak boleh ditipu. Bukan kuasa kita meletakkan iman itu pada sebuah tulisan. Tetapi ia akan hadir dengan apa yang telah ada dalam hati. Tulisan yang ’ber’iman itulah yang akan menyentuh iman yang lain. Itulah sebuah tulisan yang ’berakhlak’. Yang menghidupkan iman yang lain.

Kadang-kadang, kita ini bersungguh-sungguh menulis. Mencari bait-bait kata yang dapat menyentuh jiwa. Menghampar dalil-dalil sebagai penyokong hujah. Tulisannya tidak kurang panjang juga. Ada juga antara penulis blog ini punya motto ’madah-madah islami’ sebagai trademark setiap tulisannya. Gayanya seperti seorang yang sangat islamis. Tetapi, hanya kerana tiada keberkatan pada tulisannya, yang sebenarnya jika diamati punya seni tulisan yang sangat baik, tulisannya bagai terasa kontang dan kering. Hanya sekadar ilmu yang menyapa seperti angin lalu, kemudian pergi begitu sahaja.

Hukumannya tidak tertangguh. Penulis yang berlagak baik dengan tulisannya, tidak sukar untuk Allah untuk membongkarkan apa akhlak sebenarnya. Ini kerana, apa yang kita tuliskan punya liabiliti. Bukan senang-senang hendak tulis. Bukan seronok-seronok ada blog sendiri. Dalam islam tiada apa yang main-main. Semuanya harus serius. Satu dua ayat yang ditulis pasti masuk akaun. Ya, kita tidak sempurna. Kadang-kadang kita terlupa apa yang kita sudah tuliskan sehingga ia menjadi fitnah pada diri sendiri.

Tetapi, setelah itu harus lebih hati-hati. Lebih perhatikan akhlak yang dibawa. Apatahlagi, ramai yang mengenali anda sebagai penulis blog. Bukan setakat satu blog, ada juga yang menulis di laman blog-blog popular yang lain. Lihat! Tanggungan kita begitu berat. Rujuk sendiri Surah As-Saff : 2. ayat itu saya tujukan untuk diri saya. Kalau kita tulis tentang ikhtilat, harus buktikan dengan iman! Kalau kita kata tentang bahaya lidah, harus buktikan juga dengan iman! Kalau kita katakan tentang infak, harus buktikan dengan iman! Apatahlagi kalau kita hebat menulis tentang dakwah, itu kerja para nabi. Lebih-lebih lagi wajib kita buktikan dengan iman.

Tetapi hendak buktikan bagaimana? Kita sendiri tahu apa yang kita lakukan. Kita boleh menipu pembaca, tetapi kita tidak boleh menipu diri sendiri. Apatahlagi Allah. Banyak antara kita ini mahu membuktikan yang kita ini baik di hadapan manusia. Padahal terlupa pula hendak buktikan ‘baik’ di depan Allah yang bahkan setiap perkatan yang terdetik hati dapat dibacaNya. Apalagi kalau akhlak yang kita cuba sembunyikan.

Jadi sekarang apa yang kita harus lakukan wahai penulis blog? Sekarang, sila buka dan baca kembali entri-entri yang ditulis. Buat check and balance tentang akhlak yang dibawa samada sejajar dengan apa yang ditulis. Jangan delete entri tersebut jika dirasakan bertentangan dengan peribadi kita! Jadikan tulisan kita sebagai Reminder untuk lebih menjaga akhlak. Juga sebagai motivasi untuk lebih perbaiki diri. Ingat, jika kita mahu tulisan kita terkesan oleh pembaca, kita harus memberi kesan dengan iman yang sentiasa ditingkatkan .
- dari saya yang mahu juga menasihati diri-

Monday, February 9, 2009

DIA...ADA SESUATU PADANYA...


Dia. Hanya berpakaian sederhana. Jarang berkopiah. Apatahlagi berjubah berserban. Dia bukan pemuda yang petah melontar dalil dan menyusun hafalan surah apabila menjadi imam. Dia. Pemuda bukan aktivis dakwah, mengikut liqa’ atau mengurus liqa’. Dia bukan jua pemuda yang bertimbun kitab untuk ditelaah lalu dimaknai isinya. Dia, seorang yang kurang katanya. Lagi kurang guraunya. Sekadar bibir yang mengukir senyum sebagai sapaan ramah buat yang tidak dikenali. Dia. Bukan juga pemuda yang ditangannya akrab dengan Al-Qur’an atau tasbih sebagai peneman sunyi.

Tetapi. Pada Allah. Dia adalah seseorang. Mungkin pada manusia dia adalah pemuda biasa yang tidak menyumbang apa-apa kepada agama. Tetapi bagi sesiapa yang pernah mengenalinya, mendengar susun bicaranya, melihat kelurusan akhlaknya, tahulah dia, pemuda ini, ada luar biasanya yang harus dipergurui oleh sekelian kita. Ini, sebuah cerita dari seorang daei yang pernah berteman dengan seorang pemuda yang rendah hatinya tetapi tinggi sekali pekertinya..

Suatu ketika. Dalam keghairahan menikmati hidangan di sebuah restoran, tumpuannya terganggu sebentar. Seorang anak kecil dengan pakaian comot menghulur tangan gelapnya kepada adik si pemuda. Lalu tidak diendahkan adiknya. Bahkan diteruskan suapan demi suapan sehingga menjadi iri si anak itu.

“ Adik, berhenti sekejap tak boleh ke? Susah sangat nak bagi duit sikit kat budak ni?”

Suapan adiknya terhenti. Ada hati yang rasa terpukul. Pemuda itu mengeluarkan sesuatu, menggengam telapak tangan si anak lalu menyuruhnya pergi. Berlalulah si anak dengan selebar senyum yang cukup manis.

Suatu waktu. Seorang daei berasa sangat lelah. Ujian yang menghampar bagai menggoyahkan kesungguhannya untuk terus berdakwah. Saat itu, seorang daei membawa diri. melangkah ke arah suatu jalan yang tidak pasti bagi menghamburkan kekacauan jiwa yang mengasak dada. Sungguh, daei ini memerlukan penyangga untuknya berpaut kembali kepada tali Allah. Namun, di mana daei ini mahu mencari pautan agar dia tidak terhumban ke dalam gaung si futur?

“ Daei, jalan dakwah perlukan fokus. Perlukan kejelasan kepada apa yang ingin dicapai. Kerana foKus itu akan membuat kita tidak nampak halangan di sekeliling. Andai ia dirasai, ianya hanya sekadar satu permainan yang perlu dilalui untuk mencapai matlamat. Halangan itu macam hiasan. Tak cantik kalau jalan dakwah ini lurus sahaja. Perlu ada bumpernya. Perlu ada selekohnya. Kadang-kadang kita terjumpa jalan mati. Tetapi kerana fokus itu mahu sampai ke destinasi tujuan, ah, pedulikanlah apa yang merintang!"

Si daei merasa hidup. Menyusup-nyusup kata si pemuda lalu mengembang dalam hati. Semangat yang luar biasa menyumsum dalam ke tulang belulang. Ya, daei ini ketemukan puncanya. Fokus ya daei! Jelas ya daei! Pedulikan apa yang merintang! Daei ini lalu tersenyum, langkahnya kini mantap!

Suatu kisah. Si daei menjadi bingung. Dia harus berhijrah tempat kerana tuntutan tarbiyah. Sedangkan teman setempatnya bagai dirasakan darah daging sendiri. Maha berat untuk berpisah. 4 tahun kebersamaan telah menjalinkan hati mereka bagai suatu keluarga yang dikenali rakan sekuliah sebagai 5 sekawan. Ah, daei ini lelah kembali. Bukan dirinya lemah, tetapi ada dua hak yang harus dipenuhi. Andai dia berhijrah, ke mana hilangnya nanti ukhwah dan kasih yang telah merimbun rendang? Adakah kelak akan berguguran menjadi dedaun kering sehingga tumbanglah pohon ukhwah? Tetapi, tuntutan tarbiyah itu mahu letak di mana?

“ Daei, pernah dengar kisah Muaz bin Jabal bukan? Lihat, betapa jauhnya jarak jasadnya dengan Rasulullah. Dia dihantar ke Yaman kerana tuntutan untuk mentarbiyah umat. Apa pudar kasihnya buat ang Rasul? Apa putus kecintaan antara mereka walaupun dia tidak sempat melihat Rasulullah wafat? Bahkan, saat wafatnya sang Rasul, baginda telah mengirimkan semulia salam buat Muaz bin Jabal dari seorang yang sedang menantinya di syurga."

Si daei dipasak yakin. Dia sudah memilih. Tiada lagi belah bahagi. Hanya satu. Memilih tarbiyah bererti akan memiliki segalanya. Tiada ukhwah yang akan terkorbankan. Yakinlah!

Suatu cerita. Si daei itu mahu bercerita lagi. Tetapi ini semacam rahsia. Rahsia yang terbuka. Syaratnya susuk si pemuda harus didiamkan.

“ Kalaulah pemuda ini diundang Allah ke syurga, pastinya kerana kemurahan hatinya seperti Abdur Rahman bin ‘Auf itu tiketnya”. Begitu si daei mengeluarkan rasanya. Cerita si daei, ada satu soalan yang kerap ditanya si pemuda.

“ Ada sesiapa yang perlukan Al-Qur’an?”.

Itu sahaja yang kerap ditanya. Seperti biasa. Akaun bank si daei akan terisi. Amanah yang telah menjadi rutin daripada si pemuda buat si daei. Belikan seberapa banyak Al-Qur’an yang boleh. Sedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Bayarannya, harus selalu membaca Al-Qur’an. Jangan tinggal! Sampai sekarang ini, cerita si daei, sudah berpuluh Qur’an menjadi hadiah buat teman-teman si daei.

“ Jangan diceritakan siapa yang beri. Katakan sahaja sedekah dari masjid atau apa.”

Pernah suatu peristiwa di malam Ramadhan. Seorang teman merapati si daei. Teman itu mencari jika ada Al-Qur’an yang mahu dijual. Dia mahu membeli. Ah, kebetulan sekali fikiran si daei ligat memerhati tetamu masjid yang mungkin menjadi sasaran untuk disedekahkan Al-Qur’an daripada si pemuda. Dengan senang hati, si daei menghulurkan Al-Qur’an diari buat sang teman. Ambillah, bukan dari saya ya. Sang teman bergenang air mata. Setelah syarat dipersetujui, sang teman melabuh duduk di saf hadapan.

Malam makin merangkak. Namun, masjid tidak sunyi dengan suara-suara tetamu Allah yang sedang beriktikaf. Apa yang mengharukan, hampir 4 jam sang teman asyik membaca Al-Qur’an. Dari jauh si daei memerhatikan, sehinggalah si daei dan sang teman bertemu di saf untuk qiyam bersama.

Sungguh! Pipi si daei panas dengan air mata. Hatinya tertunduk malu dengan si pemuda. Lihatlah! Itu baru seorang yang mengamalkan Al-Qur’an pemberian si pemuda! Ya Allah, pemuda seperti apakah telah kau datangkan kepadaku?

Kata si pemuda lagi, biar pahalanya tidak terhenti ketika dia sedang tumpu bekerja di pejabat. Bacaan Qur’annya sendiri dirasakan tidak cukup untuk menggemukkan pahalanya. Perlu ditop up dengan amal yang mampu memberatkan neraca mizan nanti.

Si daei terharu. Ada tempias yang membuat dirinya berasa malu. Si daei mula berkira. Berapa banyak wangnya memenuhi tabung infak. Ah, si pemuda. Itu baru sahaja sekitar Al-Qur’an. Kalau si daei mahu khabarkan tentang kekayaan hatinya menghulur infak, si daei lebih-lebih lagi terduduk. Bahkan, apa ada pada gaji si pemuda yang sekarang ini RM800 sebulan?

Si daei memberhentikan ceritanya di sini. Dia menelan air liur. Katanya, ini hanya 10% kisahnya si pemuda. Saya terkebil-kebil. Mahu. Mahu lagi mendengar. Bukan mahu mengenal susuknya. Tetapi mahu mendengar kisahnya si pemuda. Pemuda yang telah melahirkan seorang daei di hadapan saya.

Ada sesuatu yang saya pelajari.

Sungguh saya mula tersedar. Tidak semua antara kita akan bekerja di jalan dakwah. Yang secara aktif menyebar yang makruf. Yang berada di hadapan khalayak menyimbah ilmu. Tetapi, wujud sekelompok manusia seperti si pemuda. ‘Kerjanya’ hanya di belakang tabir. Cukup sekadar melihat akhlaknya, dan cukup sekadar mendengar seperenggan atur katanya. Tetapi, dialah pembakar semangat si daei, dialah pembangun jiwa si daei, dialah penyangga si daei. Dialah pautan buat si daei agar tidak gugur dari jalan dakwah
.
Tuhan..Apakah saya bisa menjadi seperti si pemuda? Sedangkan saya seorang yang bekerja di jalan dakwah, namun apakah saya bisa punyai hati semulia si pemuda? Bahkan itu sepatutnya ada pada saya seorang daei..

Thursday, January 8, 2009

DR.WAHAN DIPERLUKAN !!



Saya memandang classlist di tangan. Sengaja saya sambungkan kontrak kerja saya sebagai ‘part timer’ di UIA sebagai fasilitator untuk sistem halaqah di sana.

Sekali lagi saya perbaharui niat.

Niat : Mahu menjentik jiwa-jiwa yang mahu kenal ISLAM. Mahu jawab depan Allah saya ada alasan nak beli syurga nanti. Mahu cakap depan Allah, saya bukan duduk saja-saja simpan ilmu. Takut nanti terkebil-kebil apabila Allah tanya hendak bawa ke mana ilmu semua itu. Lagi takut kalau Allah bandingkan dengan orang Palestin yang tebus darah pejuang agama. Saya ini hanya tebus apa. Tenaga dan masa pun saya masih jimat-jimat takut habis tidak cukup untuk berehat.

Hati : haish, nak berehat lagikah wahai badan?

Saya jalan ke bilik ustaz di CCAC ( Bahagian yang menguruskan halaqah UIA). Ada seorang ajnabi sedang berbincang dengan ustaz. Saya pandang lagi classlist. Entah kenapa saya mahu tukar kumpulan. Hanya kerana 4 nama yang asing menggugat keyakinan saya.

Hajat tersampai. Sebab kenapa saya mahu menukar kumpulan itulah biarlah rahsia. Cuma ketika berbincang dengan ustaz, tiba-tiba hati saya dicubit-cubit. Hati saya jenuh mencebik-cebik. Bukan tidak sedar apa yang berlaku tetapi tidak sampai mahu memberi perubahan.

“ Ni, student master yang apply nak jadi part timer semua nak pilih hari jumaat untuk buat halaqah. Tengok major dalam Qur’an Sunnah. Tapi Suruh berkorban hujung minggu sedikit untuk tarbiyyah students pun tak mahu. Baru minta sedikit waktu dia. Belum minta tenaga atau darah untuk Islam.”

Wahan-wahan. Sedikit-sedikit kau serang manusia ya.

“ Cuba tengok apa jadi kat palestin. Ni, orang kafir tu faham sejarah lebih dari kita faham sejarah. Kalau kita dok laung Khaibar-khaibar, mereka juga bukan sekadar laung khaibar tu. Tengok apa yang mereka buat kat Palestin sekarang. Tu baru sejarah. Mereka faham hadith lebih dari kita faham hadith. Tak lekang kat mulut orang Islam dok sebut-sebut, seseorang itu tak sempurna imannya kalau dia tak cintakan saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.

Tapi yang dok guna hadis tu siapa? Bila Seorang penganut kafir dijentik ,menyerbu semua serang Islam. Ni, beratur mayat orang Islam kat Palestin berapa ramai yang berani nak berdiri depan tank Israel tebus nyawa? Mana kasih sayang? Nak letak duit seringgit dalam tabung pun masih takut nanti mati kelaparan tak cukup bajet.”

Saya menelan air liur. Bukan saya tak tahu. Bukan saya tak sedar semua ini. Tapi tiada momentum untuk menggerak daya tubuh. Menjana semangat berapi-api.


Saya kitari bilik ustaz. Ada banyak kitab-kitab tersusun di rak. Juga sedikit bersepah katanya banyak fail-fail fasi yang belum dituntut.

Saya mahu membuka mulut. Saya matikan semula. Dicelah lagi.

“ Tahu strategi perang?”

“ Eh, saya?”

“ Tahu?”

Saya diam. Sedikit geleng.

“ Kalau musuh attack, kita defend. Musuh attack lagi, kita defend. Sampai bila boleh bertahan. Lama-lama lembikla sebab dah tak larat. Mana strategi? Patutnya, musuh attck kita defend. Lepas tu attack balik. Kita tengok Israel dok attack palestin. Kita kat sini dok pekik-pekik pertahankan Palestin. Israel tambah lagi bom. Kali ni bagi fosforus putih. Hangus habis semua orang palestin. Apa kita buat? lagi kuat kita laung pertahankan Palestin. Mana team attack? Melemahkan musuh adalah dengan menyibukkan mereka dengan serangan kita."

Hah, mengajar saya tentang perang pula. Tetapi hati saya lebih terkinja-kinja. Wajah ustaz berkerut-kerut melampiaskan rasa tidak puas hatinya.

“ Macam mana Israel attack kita?”

“ Err, erm, dia lancar perang kat Palestin.”

“ Bukan, cara lagi bijak. Cara mereka sibukkan kita?”

Ustaz cuba memandu saya. Rasa macam betul sahaja jawapan yang saya sudah beri itu.

“ Ha, dia buat MLM juga. Kalau kat Malaysia lainla cara dia attack. Sejarah mereka tak de kat sini. Buat apa nak buat perang. Apa mereka buat? Nah, ada team penyebar virus Wahan menjangkiti masyarakat. Lagi bahaya. Kalau serang dengan perang, takpe juga mati syahid. Ni kalau serang dengan wahan, mati semua macam pelesit. Tu, awak jejak saja keluar sikit dari UIA, mangsa-mangsa virus WAHAN tengah tenat diserang.”

Wahan.wahan. suatu ketika saya terbaca tentang wahan. Minta jauh Ya Allah. Menjauhlah Wahan.

Sabda Rasulullah : “ Suatu waktu di akhir zaman orang kafir menyerbu orang Islam seperti binatang buas menghurung bangkai. Sahabat lalu bertanya : apakah kerana jumlah kami sedikit ya Rasulullah? Baginda menjawab : tidak, bilangan kamu terlalu banyak tetapi ibarat buih-buih di lautan. Sahabat bertanya lagi : kenapa sampai begitu ya Rasulullah?” Baginda menjawab : kerana penyakit wahn iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.”- mafhum hadith –

“ Erm, fahamkan? Macam mana? Dah tahu nak attack balik?”

Saya mendongak. Sekarang saya faham. Tugas saya adalah pada Wahan!

Monday, December 29, 2008

.....LEBIH DARI DADAH!




Cinta itu macam dadah.

Saya ketap-ketap bibir. Sebulan lebih saya membiarkan weblog saya ketandusan. Setiap kali saya ingin mula menaip, hati saya jadi tepu. Tidak tahu mahu mula dari mana. Sebulan lebih saya rasakan seperti beraksi dalam sebuah teater. Atau seperti watak novel yang diadaptasikan ke dalam filem.

Cinta itu macam dadah.
Sekali ambil rasa macam ketagih sangat.
Sekali hilang rasa macam nak mati.

“ ukhti, ibunya minta aku nikahi dia. Mana mungkin ukhti, aku baru saja menikah sebulan yang lepas.”

Mata saya membesar. Apa sekarang saya sedang berhadapan dengan seorang Fahri? Saya minta diulangi kata. Mohonnya saya tersilap dengar.

“ benar ukhti, dia sudah tiga hari tidak makan, tidak minum, hatta tidak solat. Hanya dia menyebut-nyebut nama saya dan terus-terusan menangis.”

Khali. Saya sepi. Udara tiba-tiba vakum. Kalau boleh saya tidak mahu terlibat. Tetapi kerana kisah mereka ini hanya saya ketahuinya, apakah saya perlu mengendahkan. Saya mahu kepastian. Tidak lama, saya menghubungi ibu teman saya. Suaranya lemah dalam getar yang sangat saya mengerti. Dihulurkan telefon kepada teman saya yang terlantar.

Benar! Hanya dengar suara sendu mengulang-ulang nama akh tersebut. Saya jadi bingung. Sampai beginikah! Ibunya berbicara telus dengan saya. Satu permintaan yang maha berat yang pernah saya terima. Bahkan lebih berat dari meratakan gunung!

“ nak, pujuklah dia supaya menikahi anak saya. Makcik sudah cuba tenangkannya, tetapi masih juga begini. Sampai makcik juga berendam air mata dan tidak lalu makan. Tolong nak, makcik mohon.”

Mata saya basah. Sepertinya suara ibu saya yang merayu-rayu begini. Saya angguk. Memberi harapan semampu kudrat saya. Cuma, saya tetap mengingatkan makcik bahawa jodoh segalanya di tangan Tuhan. Kalau kita usaha macam mana pun, tetapi sekiranya telah Allah berikan jodoh yang lain, apalah daya saya menghalangnya.

Setelah itu jari saya hampir mendail nombor akh tersebut. Pantaskah untuk saya memujuknya sebagai memenuhi permintaan si ibu? Ini penyakit cinta! Apakah ubatnya juga hanya cinta? Bukan saya mengelak pernikahan ini berlaku. Ini soal hati. Hati seorang wanita yang baru benar dinikahi, tetapi harus berkongsi kasih saat mula menyemai cinta buat si suami. Saya pejam-pejam mata. Andailah itu saya. Saya terduduk. Jiwa saya bagaikan meluruh.

'izzah, mungkin punya cara yang lain. Bertafakkurlah dahulu.

Saya melangkah ke biliknya. Hanya kelihatan susuk tubuh yang kelayuan. Mata yang kehitaman sembap bekas rendaman air mata. Seluruh tubuhnya kelihatan tidak terurus. Ukhti, hanya kerana cintakah kau jadi begini ukhti. Bukan lagi sedih yang meraja di hati, tetapi rasa kesal dan marah mula menusuk-nusuk menghindar simpati. Saya kenalinya sebagai seorang pengamal agama. Yang sangat menjaga keterampilan seorang muslimah. Kadang-kadang bicara agamanya berbekas di hati. Tetapi, beginikah cinta menghumban ‘penganutnya’ sehingga hilang kewarasan?

Cinta benar-benar dadah. Ia membunuh!

“ Awak siapa…”

Berkerut kening saya. Saya kan temannya yang akrab. Apa sudah jadi ini. Suatu perkembangan yang amat memilukan. Hilang ingatankah?

“ Saya nak abang…nak abang….tolong, nak abang..” Seiring air mata membasahi bantal yang mengalasi kepalanya.

Saya memberikan taujih. Ukhti, bangunlah ukhti. Kepada siapakah ukhti berkorban sehingga ukhti gadaikan prinsip ukhti. Hanya kepada manusia. Kepada seorang lelaki yang tidak memberi apa-apa pada ukhti. Apa ukhti tidak redha dengan Allah? Allah telah tentukan dia dengan orang lain. Dengan orang lain ukhti. Dia dengan bahagianya meneruskan hidupnya dengan isterinya. Dan ukhti? Apa yang ukhti dapat? Membunuh diri kerana cinta yang paling rendah nilainya. Apalagi yang ukhti ingin korbankan? Cukuplah ukhti. Ukhti masih punya hidup yang menanti. Memusnahkan diri kerana cinta seperti menghumban diri ke dalam minyak panas yang mendidih lalu menghaguskan seluruh jasad ukhti.

Sakit ukhti. Terlalu perit.

Matanya terkebil-kebil. Kadang-kadang hanya memandang lama ke satu sudut. Linangan air mata kembali mengalir. Lebat dan lebih lebat.

“ nak abang..nak abang…”

Seakan suara rengekan anak kecil yang meminta-minta. Ini bukan dirinya lagi. Saya capai al-qur’an ke halaman surah Thaha. Kepalanya saya riba dan ubunnya diusap lembut. Ya, Allah, andai Umar telah kau lunakkan dengan ayat-ayat ini, apalah kiranya, lunakkanlah hatinya untuk menerima segala takdir hidupnya.

saya pimpinnya untuk berwudhu’. Segalanya saya harus ajarkan semula. Mengimamkannya solat seperti memandu anak yang belum baligh mendirikan solat. Sebaknya hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tuhan, apakah ini cinta ajarkan manusia? Sehingga rukun utama seorang islam itu langsung tergadaikan?

Cinta macam dadah. Menghancurkan! Meranapkan!

Hanya sesuap dua, saya hentikan suapan. Nasi berterabur di atas katil. Air matanya terus menjujuh turun.Nafas saya berat.

Saya capai handphone.

“ akhi, fikirkanlah untuk nikahi dia.”

Sunday, November 23, 2008

MALU UNTUK SEKEPING GAMBAR




# mungkin fokus tulisan kali ini adalah kepada wanita, tetapi saya sangat mengalukan pembaca muslimin yang mungkin dapat berperanan#


Hati saya tidak senang. Saya membuka beberapa frenster para sahabat untuk melihat perkhabaran sahabat-sahabat yang merantau jauh dari tanah air. Cumanya ada beberapa frenster yang membuatkan muka saya ketat lagi kelat. Ketat kerana melihat gambar-gambar mereka yang suka-suka ditayang-tayang tanpa rasa malu atau bersalah. Saya tidaklah kisah sangat andai yang membuat tayangan itu mereka yang tidak bertudung. Mungkin belum terlintas di fikiran mereka bahawa gambar seorang wanita itu terlalulah peribadi untuk ditonton umum.apatahlgi kalau orang boleh ‘grab’ tanpa izin.

Saya menjadi kesal dan terlalu ghirah kerana ia turut mendapat sambutan wanita bertudung litup dan lebih-lebih saya kesalkan mereka yang berniqab juga turut berjinak-jinak dalam kegiatan ini. Tujuan saya menulis entri tentang ini bukan kerana ingin memalukan mereka, tetapi saya sungguh-sungguh mahu memberi kesedaran kepada mereka, (jika bukan kalian yang terlibat, berpesan-pesanlah kepada ‘golongan’ ini.) tentang rasional dan logiknya menayang gambar sendiri di website atau di internet.

Pertama, tolong tanya hati, waktu anda dengan semangatnya mencari-cari gambar sendiri dengan pose yang menggiurkan, atau pose yang memfokuskan pada bahagian muka atau mata( bagi yang berniqab) untuk diletakkan di internet, untuk apa semua itu anda lakukan? Saya pasti jawapan hanya satu. Tentunya anda mahu dilihat orang. Inilah diri anda. Yang lebih bahaya lagi, anda pasti suka dikomentar :

“ comelnya awak”

“ geramnye..cantik”

“ aduhai, lawanya mata”


Setelah dikomentar begini hati berbunga-bunga riang. Kalau boleh dilihat bentuk hati, pasti sudah mengembang macam belon. Bagi kalian yang wanita, uhh, jangan dinafikan persaan ini. Saya juga wanita seperti anda. Siapa yang tidak suka dipuji? Rasa terlambung-lambung di awan bukan? Tapi awas, jika ini adalah tujuannya, ia melambangkan satu pemikiran mentah dan kurang matang anak-anak remaja yang baru hendak kenal dunia. Sedangkan umur kalian sudah di paras dewasa, bahkan dengan nilai agama yang ada, sepatutnya sudah cukup membentuk rasa malu dalam diri. Biar hanya malu untuk sekeping gambar.

Kedua, tolong tanya hati, di mana nilai diri anda? Kenapa begitu mudah menyepahkan gambar di internet untuk tatapan mata-mata yang tidak selayaknya melihat anda? Bagi yang berniqab,( maaf kerana hati saya jadi berang melihat kalian suka-suka hati pose dengan niqab yang dipakai dan difokuskan bahagian mata dengan pandangan yang menggoda), untuk apa kalian menutup muka jika asalnya ingin mengelakkan fitnah, tetapi akhirnya sampai jadi begini. Bukan setakat memberi fitnah pada diri sendiri, bahkan telah memburukkan imej wanita lain yang berniqab yang tidak terlibat dengan kegiatan kalian. Astaghfirullah. Maafkan saya jika ingin saya katakan, jika kalian masih terus begini, dipersilakan untuk tanggalkan niqab kerana fungsi niqab telah terhapus sepenuhnya!


Wanita Muslimah..Diri anda, telah Allah muliakan dan sucikan bahkan diberi darjat yang tinggi dalam Islam. Tetapi apa yang kalian telah lakukan? Memurahkan diri untuk berkongsi diri dengan mereka yang bukan muhrim walau hanya dengan gambar. Jujurnya, saya merasa ‘pelik’ dan terpaksa saya beristighfar apabila melihat gambar-gambar kalian kerana rasa ‘jelek’ telah mengotorkan hati. Tetapi apa saya boleh buat, kalian telah menjemput saya untuk berasa demikian. Logiknya memang begitu. Saya memohon, hadirkanlah walau sekelumit rasa malu untuk hal ini. Jika hati belum terasa apa-apa, timbangkanlah dengan logik, apakah harga diri yang telah kalian letakkan? Itu sahaja.

Akhir, maafkan saya. Seribu maaf andai teguran ini agak keterlaluan. Apa yang saya harapkan ada jiwa yang masih lembut untuk menilai inti tulisan saya kali ini. Wanita muslimah, saya merayu sekali lagi, sayangilah diri, cintailah diri, jangan dibiarkan diri kita menjadi bahan untuk dimaksiatkan. Lindungilah diri, jagalah diri. Diri kalian adalah milik diri sepenuhnya dan nanti akan menjadi hak seorang suami apabila disempurnakan akad. Segala kecantikan itu biarlah dijaga untuk lelaki yang nanti bergelar suami. Yang berhak segalanya atas diri kalian.

Sunday, November 16, 2008

MELANGKAHLAH WAHAI AT-TAAIBUUN!


“ Jika hambaKu ini datang menemuiKu dengan dosa sepenuh bumi, maka aku akan datang menemuinya dengan keampunan sepenuh bumi pula”

Bukan sengaja saya quote firman ini. Inilah sebuah catatan peristiwa yang ingin saya bawakan sepanjang 3 minggu saya membiarkan laman blog saya tidak terisi. Walaupun peperiksaan duniawi menuntut komitmen saya, tetapi suatu ujian telah datang meraih perhatian saya untuk mereguk hikmah yang sengaja Allah aturkan.

Ketika inilah saya dipertemukan dengan mereka yang telah jatuh tersungkur dihempap dosa besar, kemudian dengan sisa iman yang masih kasihkan Tuhan, merangkak bangkit menuju illahi. Biar seribu payah bertarung nafsu, biar luluh sumsum mendepani pamitan dunia, mereka dengan jerih menghulur tangan agar disambut cinta Sang Kekasih.

“ ukhti, Allah benar-benar sedang mengujimu. Allah sedang mula mencintaimu, Dia sedang mengambilmu kembali dari rangkul seorang manusia. Sekarang matanya sedang akrab melihat hatimu, adakah kau akan menolak cintaNya hanya kerana mahu mengejar cinta manusia yang kadang mengecewakan. Ukhti, kau harus buktikan pada Tuhan, yang kau sambut cintaNya dengan penuh rindu& syukur. Letakkan tanganmu di dadamu, kemudian bawalah ia ke urat lehermu.Sungguh, Dia telah hampir dalam jiwamu, bahkan lebih dekat dari urat lehermu.”

Mesej sent.

Seusai solat saya melirik mesej yang belum dibaca. Hati saya lalu dihambat debar yang menggila. Melihat namanya sahaja telah mengundang kegundahan yang makin merasuk jiwa. Apa khabar imannya? Apa khabar akhlaknya? Uhh, apa khabar aqidahnya? Hati saya makin runtuh membaca mesejnya. Rintih-rintih suaranya seakan menggamit-gamit telinga. Katanya dirinya amat lemah, dia tidak kuat untuk bertaubat. Bahkan hatinya seakan memanggil-memanggil menyerah pada dosa lalu. Kakinya seakan mahu menapak menurut nafsu agar hati puas menyantap dosa.

Apa yang harus saya lakukan? Andailah waktu itu saya di sisinya, sesaat pun tidak akan saya biarkan dirinya keseorangan. Akan saya hiburkan dengan janji Tuhan yang sentiasa menjanjikan keampunan bagi mereka yang inginkan cintaNya. Akan saya hembuskan kekuatan agar dia bisa teguh mengharungi jerat-jerat iblis agar tidak tewas. Ya Allah, aku sangat mencintainya, payungila dirinya dengan teduh kasihMu. Kerana itu, saya mengirim mesej ini. Ukhti, moga dirimu tahu, Tuhan lebih-lebih lagi menanti cintamu yang telah lama kau khianati untuk seorang Adam.

Oleh itu,

Duhai jiwa-jiwa yang bersih yang telah Allah anugerahkan taubat untuk kalian…kutitipkan kisah ini sebagai sumbu untuk kalian nyalakan sinar seorang muslim yang muttaqin lantas diangkat darjat yang paling tinggi sebagai seorang muhsin di sisi Allah.

Sahabat, kau pernah mendengar kisah seorang hamba Allah bernama Tsa’labah? Subhanallah, kisahnya telah kutemui dalam sebuah buku kecil ‘ kisah orang-orang yang bertaubat’ yang kubawa kemana-mana. pertemuan demi pertemuan dengan mereka yang pernah berbuat dosa besar telah menuntunku untuk lebih menyelami jiwa-jiwa mereka yang mahu bertaubat. Buku ini terlalu banyak mengilhamkanku untukku lebih memahamimu.

Tsa’labah itu adalah seorang pelayan Rasulullah. Suatu hari sahabat, Rasulullah telah menghantarnya ke suatu tempat untuk menyempurnakan sebuah tugasan. Ketika dalam perjalanannya dia telah melintasi sebuah rumah lelaki Ansar. Pada ketika itu, dia terpandangkan aurat seorang wanita Ansar yang berada di dalam rumah tersebut. Maka seketika, rasa takut dan gerun mula menyerbu hatinya. Tsa’labah khuatir jangan-jangan Allah menurunkan wahyu kepada NabiNya atas sesuatu yang dia tidak sengajakan. Justeru, sambil memegang wajahnya, Tsa’labah berlari menuju ke sebuah gua antara Mekah dan Madinah dan masuk ke perut gunung tersebut.

Rasulullah tiba-tiba kehilangan Tsa’labah selama 40 hari. Setelah itu, Jibril telah datang menemui Rasulullah dan memberitahunya bahwa Allah berkirim salam kepadanya dan mengkhabarkan bahawa salah seorang pemuda dari umatmu sedang berada di sebuah perut gunung, memohon keampunanKu. Tanpa menunggu lagi, Rasulullah telah menghantar Umar dan Sulaiman ke gunung tersebut dan membawa Tsa’labah kembali kepada Rasulullah.

Kedua-duanya pergi mencarinya dan terjumpa seorang pengembala bernama Dzuhafah. Lalu ia bertanya,:

“ Adakah kamu melihat seorang pemuda yang bernama Tsa’labah di sekitar gunung ini?

“ Mungkin kamu sedang mencari seseorang yang lari dari azab neraka?

“ Bagaimana kamu mengetahui tentang itu?”

“ Kerana jika malam tiba, ia akan keluar dari tempat persembunyiannya sambil meletakkan tangan di kepalanya dan berseru:

“ Wahai, mengapa tidak Engkau cabut sahaja rohku, dan cabut sahaja jasadku dari kumpulan roh dan jasadku. Mengapa Engkau biarkan aku sendiri?’”

Lalu pada malam itu mereka pergi menanti di pintu gua tempat Tsa’labah berdiam. Apabila tibanya malam mereka melihat sepertimana yang diceritakan Dzuhafah. Umar segera mendatangi dan memeluknya. Seiring itu, Tsa’labah dengan sendu bertanya:

“ Apakah Rasulullah telah mengetahui dosaku?”

“ Aku tidak tahu. Tetapi semalam Rasulullah menyebut-nyebut namamu dan meminta kami mencarimu.”

“ Hai Umar, janganlah kamu membawaku menemui Rasulullah kecuali dia sedang solat.” Pinta Tsa’labah sesunguh-sungguhnya.

Mereka sampai ke masjid ketika subuh berkumandang. Umar dan Sulaiman terus memasuki saf solat sementara Tsa’labah tiba-tiba pengsan apabila mendengarkan ayat-ayat yang dibacakan Rasulullah. Setelah Rasulullah memberi salam, baginda terus menggerakkan Tsa’labah dan dia tersedar.

Mengapa kamu menghilang wahai Tsa’labah?”Tanya Rasulullah dengan penuh kasih.

“ Kerana dosaku wahai Rasulullah.”

“ Mahukah kamu jika aku tunjukkan satu ayat yang apabila kamu baca akan menghapuskan seluruh dosamu?”

“bacalah!”

“ Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.!”

“ Dosaku lebih besar ya Rasulullah.” Lirih suara Tsa’labah apabila mendengar ayat yang dibacakan Rasulullah.

“Tidak Tsa’labah. Kalam Allah lebih besar”.

Kemudian Rasulullah memerintahkannya untuk pulang ke rumah dan diberitakan bahawa Tsa’labah telah menderita sakit selama 8hari. Dia hampir saja mati atas dosa yang dilakukan. Dengan segala sifat kasih-sayang beginda, Rasulullah pergi menziarahinya dan baginda mengangkat kepala Tsa’labah dan meletakkan di pangkuannya. Setelah itu, Tsa'labah menarik kembali kepalanya dari pangkuan Rasulullah.

“Mengapa kamu menarik kepalamu dari pangkuanku hai Tsa’labah?” Tanya Rasulullah bingung.

“ Wahai hati dan diri yang bersih, kepalaku penuh dosa-dosa”

“ Tsa’labah, apa yang kamu keluhkan?” Soal Rasulullah melihat tindakannya begitu.

“ Seakan seekor semut berjalan di antara tulang, daging dn kulitku.”

“ Apa yang kamu ingin minta wahai Tsa’labah?”

“keampunan dari Tuhanku” Suaranya telah hampir tidak kedengaran.

Maka setelah itu, Jibril pun turun dan mengatakan :

“Ya, Muhammad, Tuhanmu berkirim salam untukmu, dan ia berfirman : Jika hambaKu datang menemuiKu dengan dosa sepenuh bumi, maka katakanlah, Aku akan datang menemuinya dengan keampunan sepenuh bumi pula”

Maka setelah dibacakan kepada Tsa’labah, dia terus berteriak kuat dan meninggal ketika itu juga.

Setelah kejadian itu, Rasulullah memerintahkan untuk memandikannya dan mengkafankannya. Setelah baginda selesai mensolatkannya, Rasulullah pergi berjalan dengan berjinjit di atas jari-jari kakinya menghantarkan jenazah Tsa’labah ke perkuburan. Setelah Rasulullah mahu pulang, orang-orang bertanyakan akan perbuatannya berjalan berjinjit.

Maka sabda Rasulullah :

“Demi Dzat yang mengutusku sebagai Nabi! Aku tidak mampu berjalan di bumi secara sempurna kerana banyaknya malaikat yang datang untuk mengiringi jenazah Tsa’labah.”

Lihatlah sahabat! Inilah sebuah kisah seorang yang begitu menyesali dosa yang dilakukannya dan telah Allah muliakan jasadnya dengan mengirim selautan malaikat untuk mengiringi jenazahnya. Lihatlah juga bagaimana kasihnya Allah kepada hambaNya dengan membersihkan seluruh jasad dan hati seorang hamba yang berdosa dengan siraman keampunanNya. Kalian tidak terkecuali untuk menjadi sesuci Tsa’labah. Hanyalah kalian perlu bertaubat! Dia tidak minta lebih daripada itu. Selangkah kalian mendekatiNya, seribu langkah Allah berjalan mendekatimu! Itulah tanda cinta Allah kepadamu.

Tuesday, October 28, 2008

MAAFKAN AKU TUHAN - Siri akhir



“Tahniah Ell, kan sudah saya katakan , kamulah pemuda harapan Jesus, darjatmu pasti diangkat di sisi Jesus.” Pope Olmert tersenyum melihat borang-borang permohonan tukar agama di tangan Ellyeash. Tidak rugi dia mencetak beratus-ratus Bible untuk merasuk penduduk kampung seterusnya memisahkan mereka daripada Islam. Kericuhan mereka dalam menyuntik fahaman-fahaman Kristian sudah nampak hasilnya dan esok hari yang dinantikan untuk membaptis kambing-kambing Islam yang kini tidak lagi elergi lagi dengan air dosa.

“ Perempuan yang kau ceritakan tempoh hari bagaimana?” Kesabaran Pope Olmert seakan runtuh. Akan digandakan habuan Ellyeash andai perempuan itu berjaya dimurtadkan.

“Siapa? Naurah?” Pope Olmert mengangguk.

“ Hmm, perempuan-perempuan lain sudah berjaya saya murtadkan hanya dengan satu ciuman, tapi perempuan ini sumbunya tak mudah terpadam, namun apa yang saya nampak sekarang, nyalaan cinta saya sudah menjadi minyak sumbunya.” Ellyeash berkias. Bukan sekadar kiasan kosong. Naurah kelihatan semakin lekas percaya pada setiap kata-katanya. Cinta omongannnya hampir bersambut!

“ Bagus, pastikan esok dia bersama kita di gereja.” Pope Olmert membisik sepantas itu tangannya dihulur. Sampul biru berpindah tangan. Naurah betul-betul rezekinya.Pasti.

* * *

“ Naurah, kau sudah fikir sehabis baik?” Aku memecahkan kesepian. Naurah sedari tadi bungkam. Bisu. Dia tiba di rumah Naurah sejurus menerima panggilan Naurah yang terlalu muhim baginya. Akidah yang membezakan kafirnya seseorang.

“ Ellyeash ingin memeluk Islam andai aku menerimanya”

“ Kau yakin? Orang Kristian ni terutama yang menjadi aktivis gereja, ada agenda sendiri, Al-Qur’an ada mengkhabarkan :

“…. mereka ini ingin kamu menjadi kafir sebagaimana mereka menjadi kafir, sehingga kamu menjadi sama seperti mareka, janganlah kamu jadikan antara mereka sebagai teman-temanmu, sebelum mereka berpindah ke jalan Allah…” (An-Nisa’:89)

“ Entahla, kalau ini adalah peluang aku untuk membina sebuah mahligai di syurga, aku tak mahu menyesal nanti.” Naurah cuba mencari alasan supaya aku memihaknya.

“ Hmm, atau sebenarnya cinta Ellyeash sudah menebak hati kau sehingga kau becus mencari alasan untuk membelakangi mafhum ayat ini?” Sungguh, aku agak kecewa dengan sikap Naurah sekarang.

“ Mungkin juga, tapi itu bukan bererti aku beralasan Rif..”

“ Naurah, aku nak kau menimbang dengan akal bukannya hati, aku mau kau ingat kembali bagaimana kau selamatkan sahabat-sahabat kita yang hampir sama dilemmanya seperti kau.” Aku menamatkan kata. Getar suaraku kerana sebaknya hati. Tubir mata Naurah mula berkaca. Menangislah andai ia satu penyesalan.

* * *

Pope Olmert sudah menanti di gerbang gereja. Sebuah bas disewa khas untuk meraikan upacara pembaptisan memakir . Naurah diburu debar yang menggila. Dilihatnya daripada jendela bas, sekumpulan paderi sedang berbaris menyanyi untuk menyambut mereka. Ellyeash setia di sisi Naurah meredakan resah yang yang bertamu sejak tadi. Dalam hati Ellyeash, ini adalah kemenangan yang terhebat baginya. Meleburkan pegangan seorang wanita seperti Naurah bukanlah mudah.

Tetapi memang benar apa yang dicanangkan manusia, cinta dapat mengubah segalanya. Naurah menapak melangkah ,angin pagi yang menyerbu di setiap penjuru gereja bagai menghambat kekacauan yang menyerang perasaannya. Ellyeash tanpa segan memimpin tangan Naurah menuju ke anjung gereja. Kelihatan replika Jesus terkulai di tiang salib megah di hadapannya.

“ Jangan risau,hanya untuk sementara. Selepas ini, kita akan daftarkan perkahwinan. Ikut cara Kristian mudah. Kemudian kita akan sama-sama menjadi Islam.Senyumlah sedikit. Inikan impian kita.” Ellyeash cuba menghembus keyakinan dengan nada yang memujuk. Secangkir senyuman terhias di wajahnya. Suara Ellyeash bagaikan penawar gundahnya. Naurah melangkah menghadap Pope Olmert.

“ Naurah!” sekuat mungkin aku melaung. Air mata yang menjujuh turun sedikit tak kuhiraukan. Pegawai Agama kerajaan negeri tangkas mengepung seluruh kawasan gereja. Kesemua paderi diawasi pergerakan mereka dan ditahan. Aku melihat Naurah masih kaku. Matanya basah melihat Ellyeash dibawa pergi. Kemudian Naurah jatuh melutut. Tangisnya bergema mengegarkan gereja.

Rif, maafkan aku…”

“ Bukan aku, Allah..” pelukannya semakin erat dalam sendu yang tak tertahan. Katarsis ini yang paling aku dambakan. Syukur.

- end-