CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, May 23, 2009

APABILA LAMAR MELAMAR



Awal Bismillah.

Sudah lama saya merindui untuk post sesuatu ke blog. Dan hari ini saya mahu tebus percutian saya dengan satu perkongsian yang mungkin bagi kalian hanya biasa-biasa sahaja. Bukan perkongsian tentang percutian di bumi Sarawak yang pastinya sarat dengan cerita. juga bukan kisah haru biru politik Perak yang memenuhi laman bloggers yang lain. Namun, yang biasa-biasa inilah semakin memenuhi peti emel saya memohon konsultasi secara maya. Pelik? Kenapa saya?

Bingung. Semakin saya larikan diri. Semakin dekat dengan luahan-luahan yang begini

” Salam saudari. Saya inginkan pendapat saudari. Memandangkan saudari kelihatan sudah matang dengan permasalahan begini, saya mahu tanyakan sesuatu. Saya berhasrat untuk melamar seorang ukhti ni. Tetapi saya tidak tahu cara yang macam mana untuk saya sampaikan hasrat saya. Terus kepada ibu bapanya, atau bertanya dahulu perantaranya ”

Lebih kurang begini petikan pesanan yang ditinggalkan secara anonimus. Saya fikir kembali. Gali apa yang pernah tertimbus dahulu.

” Izzah, awak free? Boleh pinjam waktu sekejap untuk bincang sesuatu. Ni ada seorang akhi ni ada mesej akak. Terus saja minta izin untuk jumpa keluarga akak untuk melamar. Macam mana akak nak buat? Risau cara untuk bertaaruf salah.”

Ada lagi. Saya tersenyum sendiri. Soalan yang sebelum ini belum saya jawab. Boleh kira satu pakej sekali. Agaknya memang tengah musim lamar-melamar agaknya ini.

Namun. Tidak juga ketinggalan mesej tentang hubungan suami isteri untuk saya selesaikan.

” Izzah, akak nak tanya sesuatu. Kalau husband kita terasa dengan kita tapi kita tak tahu dia terasa dengan kita, kita berdosa tak? Satu lagi. Sampai bila kita mahu mengalah dengan suami sedangkan itu memang salahnya? Yang sakit hatinya akak. Sakiiittt sangat.”

Terkejut juga apabila masalah ini pula yang bertandang. Saya tergelak kecil. Sungguh saya belum lagi berpengalaman untuk menyelesaikanya secara praktikal. Teori mungkin saya boleh membantu. Ada juga satu luahan yang jarang benar saya jumpa pemikiran begini. Beliau tidak lama akan melangsungkan pernikahan, tetapi hanyalah berasa tidak yakin kerana memikirkan pernikahannya nanti akan menambah dosa. Ah? Saya sendiri berkerut kening untuk memahaminya. Rupa-rupanya kerana memikirkan ketaatan kepada suami itu antara salah satu sebab masuk syurga, beliau menjadi risau sekiranya dalam perkahwinan ada perkara yang suami tidak berpuas hati dengannya sehingga bertimbun dosanya.

Beratnya hukuman yang dipandang beliau. Kalau begini yang difikirkan, mungkin saya juga bertangguh-tangguh untuk berkahwin. Saya menelan air liur. Mudah-mudahan, perkongsian pandangan yang telah saya berikan mampu meneutralkan beberapa pandangan yang sedikit salah tentang perhubungan suami isteri biarpun dalam keterbatasan saya tidak mengenali kalian secara peribadi.

Harapnya!

INI BUKAN PENGALAMAN YA!

Saya tidak dapat berbohong. Memang kesukaan saya membaca buku-buku berkaitan psikolgi cinta dan hubungan dalam rumah tangga. Sehingga koleksi buku sebegini telah saya khaskan sekiranya ada wang lebih. Bukanlah bererti si pembaca ini tidak lama lagi akan berubah status. Jauh sama sekali. Kerana pernikahan itu hanya sekali, biarlah saya dan dia sekali ke syurga nanti. Jadi, jangan tergesa-gesa. Selain membaca buku sebegini menjadi kegemaran, lama-kelamaan ia sudah menjadi satu keperluan untuk melayani ’sesi kaunseling’ yang kerap mengunjugi waktu-waktu saya.

Saya boleh rumuskan bahawa masalah si pelamar dan yang dilamar berbeza. Dilemma yang menghantui mereka seringkali berakhir dengan berserah tanpa usaha atau usaha tapi caranya salah. Mencapai usaha dengan cara yang benar memerlukan ilmu. Tidak boleh hanya dengan agak-agak atau main terjah. Usaha melamar sangat subjektif untuk saya lorongkan jalan-jalannya. Ia bergantung kepada situasi, ruang dan peluang yang bersih untuk digunakan.

Bertaaruf jangan sampai hilang makruf. Perkenalan dengan tiket untuk bertanya jawapan lamaran secara terus kepada yang dilamar selalunya berakhir dengan cinta Islamik apabila pihak sana tidak bersedia. Jadi, untuk mengelak daripada mengubati dadah yang bernama cinta, saya anjurkan untuk melalui perantara yang lebih matang dalam menilai peribadi seseorang. Semoga pandangannya menjadi ukuran yang boleh dipertimbangkan.

Ini jawapan ala kadar di medan umum seperti ini. Semestinya jawapan ini berbeza dari segi wasilah yang saya cadangkan kepada individu yang menghubungi saya secara peribadi. Tetapi prinsipnya hanya ini.

Tidak kurang juga masalah yang dialami ukhti yang dilamar berasa bersalah untuk menangguhkan jawapan. Kasihan buat si pelamar menunggu. Dalam kasihan ada juga sekelumit risau sekiranya si pelamar menarik diri apabila lewat memberi jawapan. Jangan terkejut dengan perasaan kasihan begini akhirnya memberi hujah kecil untuk ukhti ini mula memberi ruang untuk update perkembangan dirinya secara ‘direct’ kepada si pelamar. Hendak membuat keputusan terus, bagaikan terasa tidak yakin. Tetapi sekiranya mahu menyepi terus dengan jawapan istikharah sahaja, ah! Macam pula tiada usaha untuk bertaaruf dahulu. Moga-moga, istikharah lebih mantap!

Inilah bermula silapnya.

Kalian, keluhan ini bukan saya reka-reka. Hampir semua yang meluahkan rasa ini kepada saya. Secara fitrahnya, ia memang dirasakan juga. Cuma, antara akal dan iman akan bertingkah menentu langkah seterusnya. Apa yang saya mahu katakan kepada para ukhti, jangan memberi ruang kepada kacau bilau rasa yang begini. Ini jarum yang berbahaya sekiranya kalian mula disuntik. Ini jerat yang akan menentukan kekebalan iman kalian. Andai sudah serahkan kepada perantara, serahkanlah sepenuhnya urusan itu kepadanya. Ini hanya waktu risikan yang tidak memerlukan komitmen apa pun dari pihak yang dilamar. Komitmen kalian hanya pada istikharah dan berhubunglah dengan perantara untuk mengetahui peribadi si pelamar. Itu sahaja.

” Bersungguhlah dalam istikharah. Jangan dicemari dengan usaha yang salah yang melompongkan bantuan Allah untuk memberi petunjuk. Jika benar mahu serahkan kepada Allah sebenar-benarnya, bergantunglah kepadaNya sepenuhnya bahawa kita sungguh-sungguh mengharapkan ilham dan panduan dariNya. Mudah-mudahan, ada suara yang bakal memandu hati untuk kita membuat keputusan. Yakinlah ketika memohon!”

Jodoh kita tidak akan kemana. Itu bahagian rezeki kita yang tidak akan diambil orang lain.

-(Ketika Cinta Bertasbih)

Saturday, April 25, 2009

SI SOLEH YANG PELIK


Hampir sebulan atau lebih sebulan mungkin saya tidak ‘mengisi’ apa-apa yang baru di blog saya. Lantaran hambatan ‘final exam’ semester akhir tahun dua, saya mengasingkan diri sebentar. Cadangnya, seusai kertas akhir peperiksaan, saya mahu turunkan beberapa cerita di sini. Namun rezeki lain sudah memanggil iaitu menjadi guru sekolah menengah di Sekolah Menengah Islam Al-Amin. Setelah menjalani trauma lima kertas berturut-turut setiap hari, otak hanya diberi cuti berehat 24jam sahaja sebelum saya mula bertugas sebagai guru. Alhamdulillah.

“ ingatlah jika kamu letih membuat kebaikan, keletihan itu akan hilang dan kebaikan itu akan kekal. Dan jika kamu letih membuat kejahatan, keletihan itu juga akan pergi dan kejahatan itu akan kekal, maka pilihlah yang mana menguntungkan dirimu"

Itulah motivasi. ‘Penyindir’ saat badan memujuk untuk berehat-rehat.

Tujuan saya menulis kali ini bukan sebarang sebab. Ada sesuatu yang berlegar-legar, berpusing-pusing, dan menerjah- nerjah fikiran saya tentang beberapa ‘pemandangan’ manusia. Pelik tetapi benar. Saya hanya mahu membidik rasa SEDAR, kalau boleh biarlah rasa sedar yang terbidik itu mampu melonjak MAHU agar tolong-tolonglah kita BERUBAH. Sedang saya sendiri sedang memaknai proses proses perubahan ini.

Baiklah. Maafkan saya terlebih dahulu sekiranya ada bahasa yang agak tidak enak. Tetapi yang tidak enak itu kadang-kadang lebih menembus jiwa. Harapnya!

SOLEH, SOLEH..TETAPI…

….sayangnya. Tinggal wajah putih bersih berhias janggut sejemput. Bahkan sering dijemput menjadi imam sana sini. Bahkan lagi title Al-Hafiz itu membuatkan ramai muslimah yang terhendap-hendap mencuri pandang. Mahu ditambah lagi, dia terkenal juga dengan orang dakwah. Aduhai, susuk soleh begini bukan senang hendak dicari. Apatahlagi sampai termimpi-mimpi mahu dibuat suami.

Sayangnya! Suatu hari yang merubah pandangan saya. Yang membuatkan saya terus sangsi. Banyak benar yang macam buah atau bunga.

Begini.

Suasana dalam tren agak sesak. Mujur ada satu tempat duduk untuk saya redakan kelenguhan kaki. Namun, hanya sejarak dua nafas, saya terpandangkan seorang mak cik tua, meliar-liar matanya memohon belas daripada penumpang yang berdekatan dengannya. Kalian, tidak jauh dari situ ada seorang pemuda. Katakan sahaja saya mengenalinya seperti yang saya gambarkan di atas. Saya terlalu percaya dia bukan seorang yang buta.

Mak cik tadi seperti memohon agama si pemuda untuk bersuara. Belaslah hai pemuda seperti belasnya Nabimu menyuap makanan kepada lelaki Yahudi itu. Sayangnya kalian! Saya tidak segan untuk mengatakan urat-urat ‘kelakian’ jelas di tangannya. Saya tidak juga segan untuk mengatakan buah halqum juga jelas terbonjol di kerongkongnya. Itu tandanya kelakian yang harus dibuktikan bahawa si Adam lebih kuat daripada si Hawa. Sayangnya kalian! Mak cik tadi masih sahaja berdiri melurut-lurut kakinya yang sudah lenguh. Si pemuda enak-enak bersandar menyimpan tenaga mungkin untuk turun ke medan perang sejam lagi (telahan saya untuk husnuzon).

Saya tidak tahan.

“ Hai pemuda, tanggalkan sahaja kopiahmu yang menjadi syiar Islam.” Jerit hati saya seperti mahu saja dia dengari. Apakah belum memadai agama yang ada dalam dirimu untuk melonjak belas dalam jiwamu untuk seorang tua. Itu adab yang mudah yang telah pun Nabi ajarkan kita. Sayangmya!

Kalian tahu, waktu itu seorang muslimah bangun menghulur tempatnya kepada mak cik tersebut. Sungguhpun tempat duduknya agak jauh dari si pemuda. Apa yang lebih menyedihkan, buku-buku yang dikendong si muslimah hampir saja terjatuh saat dia menyeimbangkan dirinya berdiri di celah-celah sesak manusia. Ah, apa sangat yang ada pada si muslimah jika melihat zahir dirinya. Kekuatannya digagahkan jua demi akhlak seorang Islam. Saya tergeleng-geleng melihat pemuda yang masih lagi macam patung. Wajah solehnya sudah beransur hilang dari pandangan saya. Tahulah saya, mengapa peduli benar Islam mengajarkan manusia untuk berakhlak. Hanyalah kerana satu kecacatan akhlak itu, terpalitlah segala ‘ketokohan’ yang susah-susah ditonjolkan!

Kalian, mengapa peristiwa remeh ini perlu saya ceritakan. Ya, sangat remeh. Tapi kerana yang remeh inilah membuatkan saya menjadi kurang ‘percaya’ pada ‘ warna luar’ buah dan bunga lagi. Hairan. Sungguh airan. Perkara asas dalam berakhlak masih juga gagal dikuasai si soleh. Perkara asas yang boleh saja difikir ikut common sense atau fitrahnya perasan manusia untuk memberi belas rupa-rupanya masih jauh ketinggalan untuk diamalkan oleh si soleh. Kalian mungkin mengatakan, ini baru satu pemadangan yang saya temui. Tidak bolehlah saya terlalu prejudis untuk menilai si soleh.

Kalian. Saya mahu katakan. Ini bukan, satu, dua, tiga atau empat kali. Tetapi ini terlalulah berkalli-kali saya bertemu dengan si soleh yang pelik begini. Beginilah, saya memandang ini dengan dua punca yang mengakibatkan gejala ‘kurang sensitiviti’ dan kegagalan saraf ‘ common sense’ ini semakin merebak.

TIDAK TAHU KENAPA JADI SOLEH.

Itu yang pertama. Jadi soleh maksudnya jadi baik. Jadi baik itu boleh terjadi dengan sendirinya kerana iman yang membentuk diri untuk menjadi baik. Jadi baik itu juga boleh juga terjadi dengan merancang diri untuk nampak baik tetapi tidak selaras dengan iman yang menipis. Hasilnya, keluarlah kosmetik pemuda Islam yang hanya kelihatan soleh pada luarnya, tetapi dalamnya masih tidak lepas SIRIM ALLAH. Itulah produk-produk pemuda juga pemudi yang banyak terwujud pada zaman ini. Sangat membimbangkan!

DEGIL TAMBAH TIDAK MAHU BERADAB

Ini yang kedua. Saya katakan tidak MAHU beradab bukannya tidak TAHU beradab. Kalian, kalaulah kita ditanya tentang sifat belas Rasulullah, wallahi ya akhi, sejam pun tidak cukup untuk kita datangkan peristiwa-peristiwa belas baginda. Bagi yang menang award penghafaz dalil, berlimpah-limpah nas diberikan. antaranya:

“ man la yarham wala yurham!"

( sesiapa yang tidak mengasihi maka tidak akan dikasihi)

Tahniah! Saya sangat kagum kerana saya bukanlah yang banyak berdalil.Tetapi apabila dihadapkan dengan peristiwa yang sedang merayu belas kita, berapa ramai yang lekas menyahut. Banyaknya yang degil tambah tidak mahu beradab.Tahu, Islam suruh bagi belas. Tahu, Nabi pun memberi belas tetapi hati ini rasa tak mahu hendak memberi belas. Hati masih degil hendak menghulur belas. Lebih-lebih belaskan diri sendiri.

Kenapa kalian?? Itulah yang saya katakan, semuanya tergantung kepada imanmu. Iman mana yang tinggi sanggup membelakangi sikap Nabi. Iman mana yang semakin menebal sanggup mencemar Islam dengan akhlak yang endah tidak endah ini. Iman mana yang menggunung menghilang deria sensitivitinya untuk mengasihi manusia lain. Iman mana? Melainkan iman yang makin menipis dan akhirnya menjadi habuk diterbangkan angin. Ya, hati saya tertampar-tampar. Persoalan ini saya utamakan buat diri saya terlebih dahulu.

Sahabat sekelian. Tulisan ini bukan semata saya tujukan kepada lelaki soleh. Buat para muslimah, kalian juga bertanggungjawab memberi akhlak pada khalayak. Cumanya, ya cumanya, saya punya sebab kerana difokuskan kepada lelaki soleh. Kerana pada kalianlah imam yang kami adalah makmumnya. Pada kalianlah kami mengambil contoh dan mengharap teladan seperti Baginda sungguh-sungguh memberi teladan. Andai imam yang kami wajib taati sudah hilang ‘ketokohannya’ hanya pada seremeh-remeh perkara, apatahlagi untuk memimpin keluarga dan dunia nantinya.

wallahu'alam. Moga ada sesuatu untuk kalian rasakan..

Friday, April 10, 2009

ISTIMEWA BUAT PENGGEMAR AL-QUR'AN!

Quran Syamil Harfiah

Boleh click pada gambar untuk besarkan

harga boleh dirunding.. =)


Assalamualaikum akhwat fillah,

Bersama ana, dijual Al-Quran Syaamil Perkata (Harfiah) dari Indonesia. Qur'an jenis ini diterjemah perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat. Ia amat membantu kalian untuk lebih menjiwai setiap kalimah yang Allah turunkan dan memahami setiap apa yang Dia mahu ajarkan pada kita melalui kitabnya. Juga yang lebih menarik, tersedia mu'jam untuk memudahkan kalian mencari secara spesifik ayat-ayat yang berkaitan dengan hukum, peristiwa, kisah-kisah dan sebagainya. Size, slightly bigger than A4. Sangat bagus untuk sesiapa yang hendak belajar Bahasa Arab, atau hendak dihadiahkan kepada ibu dan ayah, kawan-kawan, atau hendak dijadikan hantaran perkahwinan. Stok tersedia, boleh order dan ana akan terus hantar.

Kalian boleh terus hubungi pengedarnya :-

no telefon: 013-3198346

ATAU

email: zinnera_111@yahoo.com

fastabiqul khairaat!!



Sunday, April 5, 2009

......BUKAN MACAM BUAH ATAU BUNGA!!


Saya kembalikan entri ini sekali lagi. Mungkin juga mahu menjawab tentang beberapa soalan pengunjung blog tentang cinta dan jodoh. Tentang isteri dan suami. Tentang usaha dan takdir. Ini sekadar sebuah kisah yang saya tintakan..Yang saya sedaya selami indahnya bersuamikan dengan sebenar-benar suami. Sungguhpun saya belum pernah melaluinya. Namun, yang pastinya bukan seperti buah atau bunga!!


Dalam tadarrus nurani
Kukirim tinta cinta ke langit tujuh
Merisik naskhah rahsia
Menjilid kitab percintaan
Tuhan,
Dalam sujud tertunduk
Labuhkan rindu dendamku
Pada dermaga perkasihan
Yang tercipta untuk seorang Adam
Untukku temu dalam rentang
sejadah pernikahan.

Saya kesat hangat air yang mengalir di pipi. Selendang sutera bertenun emas saya labuhkan ke bahu. Cincin emas berhias kemilau permata tiga menggamit mata. Lama saya tenung jari manis tirus yang akhir dipaut satu ikatan yang separuh mengikat diri saya dengan seorang adam. Benar, dia adam yang membayangi dalam mimpi, memanggil dalam samar dalam bersih jubah putih suci lantas membisik-bisik dengan parau suara yang menggetar nurani.

“ Aku adalah akidahmu, sebutlah nama TuhanMu bahawa kau akan kusantuni”.

Lalu dia menghilang dalam renung bening mata yang berbekas dalam ingatan.

Saya tersedar, istighfar dan syukur basah di bibir. Gelora cinta mula membuak, dihambat rindu yang mengasak dada. Mengapa sekarang sungguh kurasa bagai musafir haus dalam tandus padang pasir mengharap setitis air. Begitulah rasa seorang pencinta yang dahagakan redup pandang kekasihnya.Sungguh pertemuan yang singkat tadi telah Allah campakkan sejuta kecintaan yang benar-benar hidup!

“ Enti, diri enti baru separuh milik ana, tapi ini bukan bermakna Allah izinkan kita bercinta. Ana harap enti faham, ana serahkan enti dalam jagaanNya, belum halal kita untuk berhubung walau ana jujur, hakikat hati bahawa tiadalah sabar untuk bersama enti.”

Dia berjeda. Matanya kerap dilarikan ke kiri ke kanan apabila menatap wajah saya buat pertama kali. Saya relakan niqab dibuka moga tuntutan hadith nabi bisa dipenuhi. Mohon saya, agar wajah ini bakal dia senangi untuk saya hiasi hari-hari hidupnya yang mendatang. Debar saya beralun dalam debarnya dan saya menghambatnya dengan zikir di hati.

“andai rindu dan cinta meruntun hati, lekas-lekaslah enti berwudhu’, bukalah mashaf dan bacalah dengan sekhusyuknya. Kerana itu bukanlah kerinduan yang halal untuk kita, bahkan syaitan yang cuba memesong hati agar ikatan kita mendasari nafsu yang merosakkan”

“ ana faham, insyaAllah.”

Sekadar itu. Hanya sekadar itu saya membalas. Kelu berkata tanda ada hati yang sedang berbicara. Namun ia tidak terlafaz pada bibir yang tekekang untuk bersuara. Duhai adam, andai kau tahu segunung syukur kupanjatkan atas lamaranmu, betapa hadirmu bagai bulan yang menyimbah gelap bumi di malam hari.

Dan nikmat tuhan yang mana yang kamu dustakan!

Saya berlalu ke bilik air untuk berwudhu’. Sesekali dingin air yang mengalir menyumsum ke dalam tulang mengaliri hati setenang aliran Nil mengutus Musa ke mahligai Firaun, lantas bayi mungil itu mengukir sejarah agung menundukkan seorang Thaghut yang menyesatkan. Tuhan, andai saya adalah ibu Musa, maka nikmat Tuhan mana yang saya harus dustakan!

2 rakaat saya tunaikan solat syukur. Ya Illahi, akanku penuhi tempoh pertunangan ini sebagai persediaan terakhir untuk membina sebuah baitul muslim bersama seorang lelaki yang akanku persembahkan segala ketaatan, agar kecintaan yang berbuah-buah ranum dalam cinta buat suami yang bakal kami lahirkan zuriat yang menjadi kader-kaderMu kelak.

Sungguh Illahi, impianku agar aku bisa menghadiahkan kepadaMu seorang lagi Salehuddin Al-Ayubi, seorang lagi Al-Farouq yang memimpin dunia, seorang lagi Al-Siddiq yang hatinya lembut mengasihi seluruh insan, seorang Muaz bin Jabal yang menjadi kerinduan kekasihMu, Muhammad. Maka kurniakanlah aku suami seperti Zubair bin Awwam sebagaimana Umar mengagumi anaknya kerana didikannya. Ya Illahi, kau peliharalah diri dan hati aku dan dia dari pesongan nafsu yang mengundang laknatMu hingga akhirnya kau tarik kembali semanis-manis nikmat ini.

Mata saya semakin sarat dengan air mata. Gentarnya andai nikmat ini adalah ujian untuk saya memiliki cintaNya.

Saya bangun dan duduk di birai katil, lalu mencapai diari . Bagaimana akhirnya saya menerima dirinya, membuat keputusan setelah hampir setahun dilamar. Saya akur, memilih suami bukanlah seperti memilih bunga atau buah. Cukup hanya terpikat dengan tarikan warna luaran lantas kita terus memetiknya.

Sedangkan memilih suami ibarat memilih aqidah, yang nanti bakal menentukan bagaimana akhirnya hayat saya. Sungguh saya tidak mahu menyesal memperhambakan diri pada seorang lelaki yang akan saya persembahkan segala milik diri. Hanya satu yang amat saya harapkan agar lelaki ini bakal memandu langkah saya menjadi tetamu Allah di syurgaNya.Dan Akhirnya kami kembali menyemarakkan segala cinta dan kasih dalam anggun taman syurga.

Saya membuka sehelai demi sehelai tulisan diari. Saya terhenti pada satu halaman yang dakwatnya sudah mengembang. Kesan basah air mata yang entah bila saya tumpahkan.

‘ Tuhan, andai benar satu hari akan kau serahkan diriku buat seorang Adam, biarlah dia seorang yang punya fikrah yang kuat berdakwah, yang tidak redha dengan kemaksiatan, yang lincah mentarbiyyah umat, yang tidak langsung berlengah untuk menyerah harta dan jiwanya pada jalanMu, yang tenaganya tidak sedikit pun berbaki untuk dia mengejar dunia, yang hatinya tertaut pada masjid, yang malamnya hidup untukMu dalam tahajud yang menyuci jiwa, yang apabila aku memandang wajahnya, bertambah-tambah pujianku buatMu, yang apabila melihat akhlaknya, melimpah-limpah kerinduanku pada KekasihMu, dan tidurnya dalam dakap kitab suciMu kerana letih mentadabbur Al-Zikr, yang bibirnya tidak sunyi dari lantunan zikir dan hafazan surah-surah penghibur hati, yang apabila katanya penuh nasihat dan guraunya adalah sedikit kerana gentar akan kematian yang bila-bila masa sahaja menjemput.’

-PD-
inilah isi diari saya lewat 2 tahun yang lalu!

Bukanku mengharap kepada kesempurnaan, tetapi kerana pernikahan adalah saparuh kepada penyempurnaan agama, maka izinkan aku sempurnakan pernikahan ini dengan lelaki persis dengan akhlak KekasihMU..


“ sesungguhnya orang itu tergantung kepada agama temannya. Dan seseorang itu tidak dikenali kecuali dengan melihat temannya.” Ihya’ Ulummudin, Imam Ghazali.

Setelah setahun saya merisik dengan melihat agama rafiknya, menelusuri fikrahnya yang penuh dengan agenda dakwah, yang saya yakini kematangannya dalam agama dapat membawa saya terus menjadi pendampingnya dalam manhaj dakwahnya, dan dengan izin Allah, dengan penuh ketulusan saya serahkan hati ini untuk dia sempurnakan ikatan dengan satu lafaz yang merubah segalanya.

Terima kasih Ilahi kerana mempertemukan saya dengan dirinya!

PERNIKAHAN IBARAT BERBUKA PUASA,LAFAZKANLAH HAJAT JIKA TERASA SUDAH TIBA MASANYA, IAITU SETELAH BEKALAN UNTUK MENAKHODA BAHTERA PERNIKAHAN CUKUP SEISINYA, USAH IA DILAFAZKAN SEAWAL SAHUR, KELAK BASI CINTA DAN RASA LANTAS KAPAL AKAN KARAM KERANA HAMBAR ANGIN CINTA YANG MEMANDUNYA.


Sunday, February 22, 2009

HISH, BETUL KE BLOGGER MACAM TU??


Saya membuka sebuah lama blog pengunjung blog saya. Ada suatu kelainan yang membuatkan saya tersekat untuk membaca isi- isi tulisan dalam blog tersebut. Entah bagaimana , lidah saya seakan meluncur laju memuji-muji blog tersebut. Sekadar kagum.

Ha Izzah, kebetulan suka blogging kan. erm.. macam mana kita nak tau orang tu macam apa yang dia tulis?”

Ah, rupanya ada mata dan ada telinga yang mendengar monolog kecil saya. Suasana dalam ’Office Law Society agak sunyi. Hanya tinggal kami berdua. Untuk soalan itu saya sedikit terdiam. Bukan tiada jawapan, tetapi sedang mencari jawapan. Memang ianya pernah terlintas dalam fikiran saya. Apakah pemilik blog itu seperti apa yang ditulisnya. Kalau ya, bagaimana kita hendak tahu?

Bingung juga. Perlukah untuk kita tahu apa sebenarnya ‘akhlak’ pemilik blog untuk dibandingkan dengan tulisannya? Begini. Saya memandang dari dua sudut. Pertama, dari kaca mata seorang pembaca blog, akan apa yang sepatutnya dia harus fikirkan. Kedua, dari kaca mata penulis dan pemilik tersebut, akan apa liabilti yang akan ditanggungmya. Ianya harus berbeza!

Baiklah. Saya cuba menyusun pandangan. Tapi ia bukan dalil qat’i. sekadar zonni dari seorang ‘saya’ yang bukan mujtahid.

LIHATLAH APA YANG DIKATA…

…..jangan lihat orang yang berkata. Itu prinsip saya apabila menjadi pembaca blog. Lihatlah apa yang dikata atau ditulisnya, usah lihat orang yang berkata atau orang yang menulis. Ya, memang benar, pernah juga saya ’terserempak’ dengan pemilik-pemilik blog’ yang tidak berakhlak seperti apa yang ditulisnya. Tidak perlu pergi jauh, walau saya sendiri juga bukanlah yang sempurna seperti apa yang saya tintakan di blog saya. Ah, manusia, keterlupaan dan tidak perasan itu menyebabkan hilang kepercayaan orang pada apa yang kita tulis.

Namun harus ingat duhai pembaca blog! Jika setiap kali kita ’set mind’ untuk melihat siapakah penulis blog ketika membaca blog seseorang, mungkin anda tidak akan dapat mereguk hikmah apa ilmu yang diperturunkan di blognya. Apatahlagi, jika kita memang kenal ’siapa sebenarnya’ penulis blog tersebut. Atau sekiranya kita tidak pernah mengenalinya, namun frasa :
” Ah, macamlah orangnya macam apa yang ditulis. Tulisan saja lebih selalunya”
akan membataskan penerimaan kita terhadap apa yang ditulis seseorang.

Percayalah! Ada juga mereka yang berfikiran begini. Dalam minda mereka sudah mereka pakukan frasa ini sehingga tidak tertanggal-tanggal. Sehinggalah mungkin mereka bertemu sendiri pemilik blog yang benar-benar seperti apa yang ditulisnya. Tetapi, yang fitrah tetap fitrah bukan. Bagi saya, ada satu petanda untuk kita rasai ’akhlak’ sebuah tulisan yang terbias daripada akhlak penulisnya.

Hanya tulisan yang ’ber’ iman akan menyentuh iman. Jika kalian membaca dengan hati, kalian pasti merasakannya. Jika sekadar membaca dengan mata, mungkin ia dirasakan sekali lalu dan tiada apa-apa. insyaAllah, berkat sebuah tulisan itu datangnya dari berkat Allah kepada penulisnya. Simptomnya adalah, mungkin ada mata yang bergenang ketika membaca tulisan tersebut, mungkin ada jiwa yang bergetar saat mengikuti baris-baris tulisannya, mungkin juga sentuhan tulisan penulis tersebut bisa membuat seseorang berubah kepada yang lebih baik. Itulah barakah yang terfitrah dari tulisannya.


....KALIAN DIPERTANGGUNGJAWABKAN...

....wahai penulis blog. Ini amarannya untuk saya. Saya akan mengulang lagi bagaimana akhlak penulis blog akan terbias kepada tulisannya. Andai kita menulis dengan iman, maka iman itu akan mengalir pada segenap baris-baris ayat yang kita tintakan. Iman tidak boleh ditipu. Bukan kuasa kita meletakkan iman itu pada sebuah tulisan. Tetapi ia akan hadir dengan apa yang telah ada dalam hati. Tulisan yang ’ber’iman itulah yang akan menyentuh iman yang lain. Itulah sebuah tulisan yang ’berakhlak’. Yang menghidupkan iman yang lain.

Kadang-kadang, kita ini bersungguh-sungguh menulis. Mencari bait-bait kata yang dapat menyentuh jiwa. Menghampar dalil-dalil sebagai penyokong hujah. Tulisannya tidak kurang panjang juga. Ada juga antara penulis blog ini punya motto ’madah-madah islami’ sebagai trademark setiap tulisannya. Gayanya seperti seorang yang sangat islamis. Tetapi, hanya kerana tiada keberkatan pada tulisannya, yang sebenarnya jika diamati punya seni tulisan yang sangat baik, tulisannya bagai terasa kontang dan kering. Hanya sekadar ilmu yang menyapa seperti angin lalu, kemudian pergi begitu sahaja.

Hukumannya tidak tertangguh. Penulis yang berlagak baik dengan tulisannya, tidak sukar untuk Allah untuk membongkarkan apa akhlak sebenarnya. Ini kerana, apa yang kita tuliskan punya liabiliti. Bukan senang-senang hendak tulis. Bukan seronok-seronok ada blog sendiri. Dalam islam tiada apa yang main-main. Semuanya harus serius. Satu dua ayat yang ditulis pasti masuk akaun. Ya, kita tidak sempurna. Kadang-kadang kita terlupa apa yang kita sudah tuliskan sehingga ia menjadi fitnah pada diri sendiri.

Tetapi, setelah itu harus lebih hati-hati. Lebih perhatikan akhlak yang dibawa. Apatahlagi, ramai yang mengenali anda sebagai penulis blog. Bukan setakat satu blog, ada juga yang menulis di laman blog-blog popular yang lain. Lihat! Tanggungan kita begitu berat. Rujuk sendiri Surah As-Saff : 2. ayat itu saya tujukan untuk diri saya. Kalau kita tulis tentang ikhtilat, harus buktikan dengan iman! Kalau kita kata tentang bahaya lidah, harus buktikan juga dengan iman! Kalau kita katakan tentang infak, harus buktikan dengan iman! Apatahlagi kalau kita hebat menulis tentang dakwah, itu kerja para nabi. Lebih-lebih lagi wajib kita buktikan dengan iman.

Tetapi hendak buktikan bagaimana? Kita sendiri tahu apa yang kita lakukan. Kita boleh menipu pembaca, tetapi kita tidak boleh menipu diri sendiri. Apatahlagi Allah. Banyak antara kita ini mahu membuktikan yang kita ini baik di hadapan manusia. Padahal terlupa pula hendak buktikan ‘baik’ di depan Allah yang bahkan setiap perkatan yang terdetik hati dapat dibacaNya. Apalagi kalau akhlak yang kita cuba sembunyikan.

Jadi sekarang apa yang kita harus lakukan wahai penulis blog? Sekarang, sila buka dan baca kembali entri-entri yang ditulis. Buat check and balance tentang akhlak yang dibawa samada sejajar dengan apa yang ditulis. Jangan delete entri tersebut jika dirasakan bertentangan dengan peribadi kita! Jadikan tulisan kita sebagai Reminder untuk lebih menjaga akhlak. Juga sebagai motivasi untuk lebih perbaiki diri. Ingat, jika kita mahu tulisan kita terkesan oleh pembaca, kita harus memberi kesan dengan iman yang sentiasa ditingkatkan .
- dari saya yang mahu juga menasihati diri-

Monday, February 9, 2009

DIA...ADA SESUATU PADANYA...


Dia. Hanya berpakaian sederhana. Jarang berkopiah. Apatahlagi berjubah berserban. Dia bukan pemuda yang petah melontar dalil dan menyusun hafalan surah apabila menjadi imam. Dia. Pemuda bukan aktivis dakwah, mengikut liqa’ atau mengurus liqa’. Dia bukan jua pemuda yang bertimbun kitab untuk ditelaah lalu dimaknai isinya. Dia, seorang yang kurang katanya. Lagi kurang guraunya. Sekadar bibir yang mengukir senyum sebagai sapaan ramah buat yang tidak dikenali. Dia. Bukan juga pemuda yang ditangannya akrab dengan Al-Qur’an atau tasbih sebagai peneman sunyi.

Tetapi. Pada Allah. Dia adalah seseorang. Mungkin pada manusia dia adalah pemuda biasa yang tidak menyumbang apa-apa kepada agama. Tetapi bagi sesiapa yang pernah mengenalinya, mendengar susun bicaranya, melihat kelurusan akhlaknya, tahulah dia, pemuda ini, ada luar biasanya yang harus dipergurui oleh sekelian kita. Ini, sebuah cerita dari seorang daei yang pernah berteman dengan seorang pemuda yang rendah hatinya tetapi tinggi sekali pekertinya..

Suatu ketika. Dalam keghairahan menikmati hidangan di sebuah restoran, tumpuannya terganggu sebentar. Seorang anak kecil dengan pakaian comot menghulur tangan gelapnya kepada adik si pemuda. Lalu tidak diendahkan adiknya. Bahkan diteruskan suapan demi suapan sehingga menjadi iri si anak itu.

“ Adik, berhenti sekejap tak boleh ke? Susah sangat nak bagi duit sikit kat budak ni?”

Suapan adiknya terhenti. Ada hati yang rasa terpukul. Pemuda itu mengeluarkan sesuatu, menggengam telapak tangan si anak lalu menyuruhnya pergi. Berlalulah si anak dengan selebar senyum yang cukup manis.

Suatu waktu. Seorang daei berasa sangat lelah. Ujian yang menghampar bagai menggoyahkan kesungguhannya untuk terus berdakwah. Saat itu, seorang daei membawa diri. melangkah ke arah suatu jalan yang tidak pasti bagi menghamburkan kekacauan jiwa yang mengasak dada. Sungguh, daei ini memerlukan penyangga untuknya berpaut kembali kepada tali Allah. Namun, di mana daei ini mahu mencari pautan agar dia tidak terhumban ke dalam gaung si futur?

“ Daei, jalan dakwah perlukan fokus. Perlukan kejelasan kepada apa yang ingin dicapai. Kerana foKus itu akan membuat kita tidak nampak halangan di sekeliling. Andai ia dirasai, ianya hanya sekadar satu permainan yang perlu dilalui untuk mencapai matlamat. Halangan itu macam hiasan. Tak cantik kalau jalan dakwah ini lurus sahaja. Perlu ada bumpernya. Perlu ada selekohnya. Kadang-kadang kita terjumpa jalan mati. Tetapi kerana fokus itu mahu sampai ke destinasi tujuan, ah, pedulikanlah apa yang merintang!"

Si daei merasa hidup. Menyusup-nyusup kata si pemuda lalu mengembang dalam hati. Semangat yang luar biasa menyumsum dalam ke tulang belulang. Ya, daei ini ketemukan puncanya. Fokus ya daei! Jelas ya daei! Pedulikan apa yang merintang! Daei ini lalu tersenyum, langkahnya kini mantap!

Suatu kisah. Si daei menjadi bingung. Dia harus berhijrah tempat kerana tuntutan tarbiyah. Sedangkan teman setempatnya bagai dirasakan darah daging sendiri. Maha berat untuk berpisah. 4 tahun kebersamaan telah menjalinkan hati mereka bagai suatu keluarga yang dikenali rakan sekuliah sebagai 5 sekawan. Ah, daei ini lelah kembali. Bukan dirinya lemah, tetapi ada dua hak yang harus dipenuhi. Andai dia berhijrah, ke mana hilangnya nanti ukhwah dan kasih yang telah merimbun rendang? Adakah kelak akan berguguran menjadi dedaun kering sehingga tumbanglah pohon ukhwah? Tetapi, tuntutan tarbiyah itu mahu letak di mana?

“ Daei, pernah dengar kisah Muaz bin Jabal bukan? Lihat, betapa jauhnya jarak jasadnya dengan Rasulullah. Dia dihantar ke Yaman kerana tuntutan untuk mentarbiyah umat. Apa pudar kasihnya buat ang Rasul? Apa putus kecintaan antara mereka walaupun dia tidak sempat melihat Rasulullah wafat? Bahkan, saat wafatnya sang Rasul, baginda telah mengirimkan semulia salam buat Muaz bin Jabal dari seorang yang sedang menantinya di syurga."

Si daei dipasak yakin. Dia sudah memilih. Tiada lagi belah bahagi. Hanya satu. Memilih tarbiyah bererti akan memiliki segalanya. Tiada ukhwah yang akan terkorbankan. Yakinlah!

Suatu cerita. Si daei itu mahu bercerita lagi. Tetapi ini semacam rahsia. Rahsia yang terbuka. Syaratnya susuk si pemuda harus didiamkan.

“ Kalaulah pemuda ini diundang Allah ke syurga, pastinya kerana kemurahan hatinya seperti Abdur Rahman bin ‘Auf itu tiketnya”. Begitu si daei mengeluarkan rasanya. Cerita si daei, ada satu soalan yang kerap ditanya si pemuda.

“ Ada sesiapa yang perlukan Al-Qur’an?”.

Itu sahaja yang kerap ditanya. Seperti biasa. Akaun bank si daei akan terisi. Amanah yang telah menjadi rutin daripada si pemuda buat si daei. Belikan seberapa banyak Al-Qur’an yang boleh. Sedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Bayarannya, harus selalu membaca Al-Qur’an. Jangan tinggal! Sampai sekarang ini, cerita si daei, sudah berpuluh Qur’an menjadi hadiah buat teman-teman si daei.

“ Jangan diceritakan siapa yang beri. Katakan sahaja sedekah dari masjid atau apa.”

Pernah suatu peristiwa di malam Ramadhan. Seorang teman merapati si daei. Teman itu mencari jika ada Al-Qur’an yang mahu dijual. Dia mahu membeli. Ah, kebetulan sekali fikiran si daei ligat memerhati tetamu masjid yang mungkin menjadi sasaran untuk disedekahkan Al-Qur’an daripada si pemuda. Dengan senang hati, si daei menghulurkan Al-Qur’an diari buat sang teman. Ambillah, bukan dari saya ya. Sang teman bergenang air mata. Setelah syarat dipersetujui, sang teman melabuh duduk di saf hadapan.

Malam makin merangkak. Namun, masjid tidak sunyi dengan suara-suara tetamu Allah yang sedang beriktikaf. Apa yang mengharukan, hampir 4 jam sang teman asyik membaca Al-Qur’an. Dari jauh si daei memerhatikan, sehinggalah si daei dan sang teman bertemu di saf untuk qiyam bersama.

Sungguh! Pipi si daei panas dengan air mata. Hatinya tertunduk malu dengan si pemuda. Lihatlah! Itu baru seorang yang mengamalkan Al-Qur’an pemberian si pemuda! Ya Allah, pemuda seperti apakah telah kau datangkan kepadaku?

Kata si pemuda lagi, biar pahalanya tidak terhenti ketika dia sedang tumpu bekerja di pejabat. Bacaan Qur’annya sendiri dirasakan tidak cukup untuk menggemukkan pahalanya. Perlu ditop up dengan amal yang mampu memberatkan neraca mizan nanti.

Si daei terharu. Ada tempias yang membuat dirinya berasa malu. Si daei mula berkira. Berapa banyak wangnya memenuhi tabung infak. Ah, si pemuda. Itu baru sahaja sekitar Al-Qur’an. Kalau si daei mahu khabarkan tentang kekayaan hatinya menghulur infak, si daei lebih-lebih lagi terduduk. Bahkan, apa ada pada gaji si pemuda yang sekarang ini RM800 sebulan?

Si daei memberhentikan ceritanya di sini. Dia menelan air liur. Katanya, ini hanya 10% kisahnya si pemuda. Saya terkebil-kebil. Mahu. Mahu lagi mendengar. Bukan mahu mengenal susuknya. Tetapi mahu mendengar kisahnya si pemuda. Pemuda yang telah melahirkan seorang daei di hadapan saya.

Ada sesuatu yang saya pelajari.

Sungguh saya mula tersedar. Tidak semua antara kita akan bekerja di jalan dakwah. Yang secara aktif menyebar yang makruf. Yang berada di hadapan khalayak menyimbah ilmu. Tetapi, wujud sekelompok manusia seperti si pemuda. ‘Kerjanya’ hanya di belakang tabir. Cukup sekadar melihat akhlaknya, dan cukup sekadar mendengar seperenggan atur katanya. Tetapi, dialah pembakar semangat si daei, dialah pembangun jiwa si daei, dialah penyangga si daei. Dialah pautan buat si daei agar tidak gugur dari jalan dakwah
.
Tuhan..Apakah saya bisa menjadi seperti si pemuda? Sedangkan saya seorang yang bekerja di jalan dakwah, namun apakah saya bisa punyai hati semulia si pemuda? Bahkan itu sepatutnya ada pada saya seorang daei..

Thursday, January 8, 2009

DR.WAHAN DIPERLUKAN !!



Saya memandang classlist di tangan. Sengaja saya sambungkan kontrak kerja saya sebagai ‘part timer’ di UIA sebagai fasilitator untuk sistem halaqah di sana.

Sekali lagi saya perbaharui niat.

Niat : Mahu menjentik jiwa-jiwa yang mahu kenal ISLAM. Mahu jawab depan Allah saya ada alasan nak beli syurga nanti. Mahu cakap depan Allah, saya bukan duduk saja-saja simpan ilmu. Takut nanti terkebil-kebil apabila Allah tanya hendak bawa ke mana ilmu semua itu. Lagi takut kalau Allah bandingkan dengan orang Palestin yang tebus darah pejuang agama. Saya ini hanya tebus apa. Tenaga dan masa pun saya masih jimat-jimat takut habis tidak cukup untuk berehat.

Hati : haish, nak berehat lagikah wahai badan?

Saya jalan ke bilik ustaz di CCAC ( Bahagian yang menguruskan halaqah UIA). Ada seorang ajnabi sedang berbincang dengan ustaz. Saya pandang lagi classlist. Entah kenapa saya mahu tukar kumpulan. Hanya kerana 4 nama yang asing menggugat keyakinan saya.

Hajat tersampai. Sebab kenapa saya mahu menukar kumpulan itulah biarlah rahsia. Cuma ketika berbincang dengan ustaz, tiba-tiba hati saya dicubit-cubit. Hati saya jenuh mencebik-cebik. Bukan tidak sedar apa yang berlaku tetapi tidak sampai mahu memberi perubahan.

“ Ni, student master yang apply nak jadi part timer semua nak pilih hari jumaat untuk buat halaqah. Tengok major dalam Qur’an Sunnah. Tapi Suruh berkorban hujung minggu sedikit untuk tarbiyyah students pun tak mahu. Baru minta sedikit waktu dia. Belum minta tenaga atau darah untuk Islam.”

Wahan-wahan. Sedikit-sedikit kau serang manusia ya.

“ Cuba tengok apa jadi kat palestin. Ni, orang kafir tu faham sejarah lebih dari kita faham sejarah. Kalau kita dok laung Khaibar-khaibar, mereka juga bukan sekadar laung khaibar tu. Tengok apa yang mereka buat kat Palestin sekarang. Tu baru sejarah. Mereka faham hadith lebih dari kita faham hadith. Tak lekang kat mulut orang Islam dok sebut-sebut, seseorang itu tak sempurna imannya kalau dia tak cintakan saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.

Tapi yang dok guna hadis tu siapa? Bila Seorang penganut kafir dijentik ,menyerbu semua serang Islam. Ni, beratur mayat orang Islam kat Palestin berapa ramai yang berani nak berdiri depan tank Israel tebus nyawa? Mana kasih sayang? Nak letak duit seringgit dalam tabung pun masih takut nanti mati kelaparan tak cukup bajet.”

Saya menelan air liur. Bukan saya tak tahu. Bukan saya tak sedar semua ini. Tapi tiada momentum untuk menggerak daya tubuh. Menjana semangat berapi-api.


Saya kitari bilik ustaz. Ada banyak kitab-kitab tersusun di rak. Juga sedikit bersepah katanya banyak fail-fail fasi yang belum dituntut.

Saya mahu membuka mulut. Saya matikan semula. Dicelah lagi.

“ Tahu strategi perang?”

“ Eh, saya?”

“ Tahu?”

Saya diam. Sedikit geleng.

“ Kalau musuh attack, kita defend. Musuh attack lagi, kita defend. Sampai bila boleh bertahan. Lama-lama lembikla sebab dah tak larat. Mana strategi? Patutnya, musuh attck kita defend. Lepas tu attack balik. Kita tengok Israel dok attack palestin. Kita kat sini dok pekik-pekik pertahankan Palestin. Israel tambah lagi bom. Kali ni bagi fosforus putih. Hangus habis semua orang palestin. Apa kita buat? lagi kuat kita laung pertahankan Palestin. Mana team attack? Melemahkan musuh adalah dengan menyibukkan mereka dengan serangan kita."

Hah, mengajar saya tentang perang pula. Tetapi hati saya lebih terkinja-kinja. Wajah ustaz berkerut-kerut melampiaskan rasa tidak puas hatinya.

“ Macam mana Israel attack kita?”

“ Err, erm, dia lancar perang kat Palestin.”

“ Bukan, cara lagi bijak. Cara mereka sibukkan kita?”

Ustaz cuba memandu saya. Rasa macam betul sahaja jawapan yang saya sudah beri itu.

“ Ha, dia buat MLM juga. Kalau kat Malaysia lainla cara dia attack. Sejarah mereka tak de kat sini. Buat apa nak buat perang. Apa mereka buat? Nah, ada team penyebar virus Wahan menjangkiti masyarakat. Lagi bahaya. Kalau serang dengan perang, takpe juga mati syahid. Ni kalau serang dengan wahan, mati semua macam pelesit. Tu, awak jejak saja keluar sikit dari UIA, mangsa-mangsa virus WAHAN tengah tenat diserang.”

Wahan.wahan. suatu ketika saya terbaca tentang wahan. Minta jauh Ya Allah. Menjauhlah Wahan.

Sabda Rasulullah : “ Suatu waktu di akhir zaman orang kafir menyerbu orang Islam seperti binatang buas menghurung bangkai. Sahabat lalu bertanya : apakah kerana jumlah kami sedikit ya Rasulullah? Baginda menjawab : tidak, bilangan kamu terlalu banyak tetapi ibarat buih-buih di lautan. Sahabat bertanya lagi : kenapa sampai begitu ya Rasulullah?” Baginda menjawab : kerana penyakit wahn iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.”- mafhum hadith –

“ Erm, fahamkan? Macam mana? Dah tahu nak attack balik?”

Saya mendongak. Sekarang saya faham. Tugas saya adalah pada Wahan!