CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, July 29, 2008

rasa..raSA..RASA..


Saya lekas terlelap. Sedikit-sedikit terlelap. Pantang ada tenggang waktu. Pastinya ini adalah semester yang paling memenatkan. Ini jugalah alasan yang saya guna sehingga blog ini terbiar sebulan tidak di update. Jika boleh tumbuh lalang, pasti sudah penuh agaknya.


Kelas saya bermula jam 8. Setiap hari. Boleh kata tengah malam baru saya pulang ke bilik. Hampir setiap malam ada kelas . Jika ada malam yang kosong, aktiviti dakwah sudah siap-siap mengisi jadual saya. Hujung minggu, jangan dikata, sabtu dan ahad sudah fully booked. Jadual menulis menambahkan lagi kepadatan waktu saya. 3 bulan sahaja tempoh untuk menyiapkan penulisan setebal 300 muka surat. Kadang-kadang, terlintas di kepala, bagaimanalah orang yang lebih banyak komitmen daripada saya mengatur jadualnya. Semua dapat. Tiada yang tercicir. Saya cuma mohon Allah ekstrakan stamina saya. Supaya saya tiada sebab untuk letih.

Hingga satu malam, hati saya seakan menyerah. Saya diberi banyak tugas yang terlalu menuntut perhatian saya. Saya ini, orangnya susah menggeleng. Kepala saya sudah tepu. Tiada ruang walau sekecil syiling 5 sen untuk berfikir. Emosi saya sudah sendat. Tertekan. Yang saya dapat lakukan waktu itu hanya menangis bagai empangan pecah. Jika ada bahu untuk saya menangis, mungkin habis basah bajunya. Waktu itu, saya hanya perlukan teman untuk hamburkan ketegangan hati. Cukup untuk mendengar apa yang saya ingin katakan.

Satu persoalan yang memburu fikiran saya, UNTUK APA YANG SAYA SUSAH-SUSAH LAKUKAN SELAMA INI? APA YANG SAYA DAPAT? Saya mahu lepaskan semuanya. Mahu jadi orang yang di cafĂ© sembang-sembang dengan kawan. Mahu jadi orang yang asyik terbaring atas katil baca novel. Mahu jadi lekat dengan laptop tengok cerita Jepun dan Korea. Mahu keluar jalan-jalan di shopping complex ‘happy-happy’ dengan kawan-kawan. Mahu menghadap internet untuk chatting dan layan frenster. Itukan lebih bahagia. Lebih senang jiwa. Otak pun tiada penat-penat hendak fikir itu ini. Ya, malam itu saya tekad yang itu. Saya sudah letih. Tidak tahukah mereka saya hanya ada dua kaki dan dua tangan? Waktu saya hanya 24 jam? Saya hanya ada satu otak hendak fikir seribu perkara? Berlambak assignment dan tutorial belum disentuh. Saya hanya diri yang satu. Bukan boleh dibahagi dua. Nurul ‘izzah hanya ada seorang.

Salam buzy tak sekarang?”. Mesej sent. Saya mengirim mesej. Setelah beberapa saat.

“ Tak. Kenapa?”

Saya hanya biarkan tanpa balas. Menganggu pula tengah-tengah malam begini. Tidak lama setelah itu hp bergetar. Saya jawab.tidak usah tungu lama, saya sudah larikan air mata meluahkan segala rasa. Sedikit demi sedikit terkupas keping-keping beban yang menyelaput hati.

“ Nak tanya sikit boleh?”. Saya diam. Ya, tanyalah.

“ Dok pulun buat dakwah sana-sini, letih sampai tak sempat nak rehat. Ada rasa tak CINTA Allah tu dalam hati?

Khali. Saya kelu. Memang tiada jawapan.

“ Iz, Tanya hati tu betul-betul, apa yang nak dikejar sebenarnya dengan buat ibadah, dakwah tu? Kalau cinta Allah tu tak dapat rasa. Kita masuk syurga bukan sebab belambak amalan kita himpun. Masuk syurga sebab Allah sayang kat kita. Bila Allah sayang, Allah bagi rahmat. Tu yang sebenarnya. Bawalah segunung ibadah, tapi jika RASA Allah tu hidup dalam hati kita pun kita tak dapat, jangan cakap banyakla”

Sungguh. Nasihat ini keras. Dia seorang yang keras dalam menasihati. Kerana itu saya suka mendengar nasihat darinya. Jenis saya, saya tidak suka orang menasihati saya secara lembut. Hati saya jarang tersentuh. Biar ia keras dan jujur, yang penting ia dapat tembus ke dasar hati.

Ni dengar ni, pengemis yang dok tepi jalan, tapi jiwanya, matanya asyik nampak Allah kat mana-mana, lebih baik dari pendakwah yang hati kosong, tapi amalan melimpah. Tak pun, lagi baik, pemancing ikan yang sedang memancing, lalu dia mengagumi setiap kejadian alam yang dilihatnya sampai berbuah-buah cintanya pada Allah. Tapi kita? Dapat apa?"

Air mata saya sudah kering. Tinggal sendu yang berbekas. Benar. Dia betul-betul menyedarkan saya.

“ itula iz, memang banyak antara daei kita ni, buat kerja saja banyak, tetapi, berapa banyak yang amalan dia tu sampai kepada Allah. Kebanyakan kita lupa nak cari permata yang itu, yang hanya satu-satunya menjadi kunci keramat untuk membuka pintu syurga. Cari yang itu dulu. Tenangkan diri. cari yang itu dulu."

Tidak lama. Penghujung bicara, dia melunakkan nasihatnya sedikit sekadar penyejuk hati. Juga secebis humor sebagai usikan telinga yang membuatkan saya tersenyum. Cuma, saya yang jadi hilang kata. Mungkin sekali tepat mengena pada saya. Salam bersambut. Suaranya hilang di talian.

Mata saya asyik memandang syiling. Terngiang-ngiang lagi RASA. RASA..CINTA..RASA..ALLAH..DI MANA ALLAH DALAM HATI..

" dan katakanlah bahawa Aku lebih dekat dari urat lehermu.." Saya meraba urat leher. Di mana Allah?
Entah bila saya terlelap. RASAILAH..