CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, December 29, 2008

.....LEBIH DARI DADAH!




Cinta itu macam dadah.

Saya ketap-ketap bibir. Sebulan lebih saya membiarkan weblog saya ketandusan. Setiap kali saya ingin mula menaip, hati saya jadi tepu. Tidak tahu mahu mula dari mana. Sebulan lebih saya rasakan seperti beraksi dalam sebuah teater. Atau seperti watak novel yang diadaptasikan ke dalam filem.

Cinta itu macam dadah.
Sekali ambil rasa macam ketagih sangat.
Sekali hilang rasa macam nak mati.

“ ukhti, ibunya minta aku nikahi dia. Mana mungkin ukhti, aku baru saja menikah sebulan yang lepas.”

Mata saya membesar. Apa sekarang saya sedang berhadapan dengan seorang Fahri? Saya minta diulangi kata. Mohonnya saya tersilap dengar.

“ benar ukhti, dia sudah tiga hari tidak makan, tidak minum, hatta tidak solat. Hanya dia menyebut-nyebut nama saya dan terus-terusan menangis.”

Khali. Saya sepi. Udara tiba-tiba vakum. Kalau boleh saya tidak mahu terlibat. Tetapi kerana kisah mereka ini hanya saya ketahuinya, apakah saya perlu mengendahkan. Saya mahu kepastian. Tidak lama, saya menghubungi ibu teman saya. Suaranya lemah dalam getar yang sangat saya mengerti. Dihulurkan telefon kepada teman saya yang terlantar.

Benar! Hanya dengar suara sendu mengulang-ulang nama akh tersebut. Saya jadi bingung. Sampai beginikah! Ibunya berbicara telus dengan saya. Satu permintaan yang maha berat yang pernah saya terima. Bahkan lebih berat dari meratakan gunung!

“ nak, pujuklah dia supaya menikahi anak saya. Makcik sudah cuba tenangkannya, tetapi masih juga begini. Sampai makcik juga berendam air mata dan tidak lalu makan. Tolong nak, makcik mohon.”

Mata saya basah. Sepertinya suara ibu saya yang merayu-rayu begini. Saya angguk. Memberi harapan semampu kudrat saya. Cuma, saya tetap mengingatkan makcik bahawa jodoh segalanya di tangan Tuhan. Kalau kita usaha macam mana pun, tetapi sekiranya telah Allah berikan jodoh yang lain, apalah daya saya menghalangnya.

Setelah itu jari saya hampir mendail nombor akh tersebut. Pantaskah untuk saya memujuknya sebagai memenuhi permintaan si ibu? Ini penyakit cinta! Apakah ubatnya juga hanya cinta? Bukan saya mengelak pernikahan ini berlaku. Ini soal hati. Hati seorang wanita yang baru benar dinikahi, tetapi harus berkongsi kasih saat mula menyemai cinta buat si suami. Saya pejam-pejam mata. Andailah itu saya. Saya terduduk. Jiwa saya bagaikan meluruh.

'izzah, mungkin punya cara yang lain. Bertafakkurlah dahulu.

Saya melangkah ke biliknya. Hanya kelihatan susuk tubuh yang kelayuan. Mata yang kehitaman sembap bekas rendaman air mata. Seluruh tubuhnya kelihatan tidak terurus. Ukhti, hanya kerana cintakah kau jadi begini ukhti. Bukan lagi sedih yang meraja di hati, tetapi rasa kesal dan marah mula menusuk-nusuk menghindar simpati. Saya kenalinya sebagai seorang pengamal agama. Yang sangat menjaga keterampilan seorang muslimah. Kadang-kadang bicara agamanya berbekas di hati. Tetapi, beginikah cinta menghumban ‘penganutnya’ sehingga hilang kewarasan?

Cinta benar-benar dadah. Ia membunuh!

“ Awak siapa…”

Berkerut kening saya. Saya kan temannya yang akrab. Apa sudah jadi ini. Suatu perkembangan yang amat memilukan. Hilang ingatankah?

“ Saya nak abang…nak abang….tolong, nak abang..” Seiring air mata membasahi bantal yang mengalasi kepalanya.

Saya memberikan taujih. Ukhti, bangunlah ukhti. Kepada siapakah ukhti berkorban sehingga ukhti gadaikan prinsip ukhti. Hanya kepada manusia. Kepada seorang lelaki yang tidak memberi apa-apa pada ukhti. Apa ukhti tidak redha dengan Allah? Allah telah tentukan dia dengan orang lain. Dengan orang lain ukhti. Dia dengan bahagianya meneruskan hidupnya dengan isterinya. Dan ukhti? Apa yang ukhti dapat? Membunuh diri kerana cinta yang paling rendah nilainya. Apalagi yang ukhti ingin korbankan? Cukuplah ukhti. Ukhti masih punya hidup yang menanti. Memusnahkan diri kerana cinta seperti menghumban diri ke dalam minyak panas yang mendidih lalu menghaguskan seluruh jasad ukhti.

Sakit ukhti. Terlalu perit.

Matanya terkebil-kebil. Kadang-kadang hanya memandang lama ke satu sudut. Linangan air mata kembali mengalir. Lebat dan lebih lebat.

“ nak abang..nak abang…”

Seakan suara rengekan anak kecil yang meminta-minta. Ini bukan dirinya lagi. Saya capai al-qur’an ke halaman surah Thaha. Kepalanya saya riba dan ubunnya diusap lembut. Ya, Allah, andai Umar telah kau lunakkan dengan ayat-ayat ini, apalah kiranya, lunakkanlah hatinya untuk menerima segala takdir hidupnya.

saya pimpinnya untuk berwudhu’. Segalanya saya harus ajarkan semula. Mengimamkannya solat seperti memandu anak yang belum baligh mendirikan solat. Sebaknya hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tuhan, apakah ini cinta ajarkan manusia? Sehingga rukun utama seorang islam itu langsung tergadaikan?

Cinta macam dadah. Menghancurkan! Meranapkan!

Hanya sesuap dua, saya hentikan suapan. Nasi berterabur di atas katil. Air matanya terus menjujuh turun.Nafas saya berat.

Saya capai handphone.

“ akhi, fikirkanlah untuk nikahi dia.”