CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, September 29, 2007

DI MALAM RAMADHAN



Satu malam saya rasakan yang saya sedikit jauh. Seakan ditinggalkan. Atau saya yang meninggalkan. Rasa resah mula menjenguk kerana saya tidak kembali pada tempat yang sepatutnya malam itu. Saya tahu, ini tandanya, tanda ada yang sedang merindu dan menanti dari satu daerah. Saya harus pulang!

Saya mengirim mesej kepada seseorang yang amat baru saya kenali. Entah mengapa perlu saya mencari dia untuk dijiruskan ketenangan. Hanya perkenalan yang tidak sampai setengah jam pada hari yang lalu, saya sudah jatuh cinta dengan hikmahnya berkata-kata. Penuh dengan ingatan. Fazakkir Innafa’ata zikra. Berilah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat.

Dia ada berpesan. Dalam beramal kita kena harus berkira. Jangan cepat cukup dan puas. Benar. Terasa saya belum cukup memberi makan pada hati. Saya cuba mencari sumber yang lain. Alhamdulilah, saya berpeluang menghadiri halaqah ilmi dan satu ceramah yang sangat menarik selepas tarawikh pada khamis yang lalu. Elok rasanya untuk saya berkongsi bersama.

KEMBALI PADA RUH

Dari mana kita datang, di situ juga kita dikembalikan. Mudah sahaja analogi yang diberikan. Bayangkan satu hari anda baru sampai di new york dan dalam keadaan terasing dan keseorangan ,anda tiba-tiba berkenalan dengan seseorang. Setelah berkenalan, rupa-rupanya anda dan dia berasal dan tinggal satu kampung. Bayangkan, dalam keadaan anda di kejauhan, anda menjadi kembali girang kerana bertemu dengan seseorang yang berasal seperti anda.
Begitu juga diri kita, jika kita sudah berasal dari Allah, jiwa kita akan hanya berasa tenang dan senang apabila kita kembali ke tempat asalnya semula. Lantas, sekiranya dirasakan jiwa terasa jauh melayang, bawalah ia kembali pulang ke tempat asalnya. Hanya dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang.Begitu pesan Allah pada orang mukmin.Begitu juga saya mengingatkan diri. Moga resah tadi berganti tenteram.

MATA ALLAH : MANA LETAKNYA?

sebaik-baik pakaian adalah pakaian dalam solat”

Sebaik mana diri kita di pandangan manusia, belum tentu kita cukup baik di pandangan Allah jika kita terlalu menjaga kemuliaan diri di pandangan orang, sedang kemuliaan diri di pandangan Allah terabai. Adakah yang menilai amalan kita adalah manusia? Yang menentukan layaknya syurga dan neraka bukannya Allah?

Kerana itu juga saya sering mengingatkan diri, agar berhati-hati ketika beramal kerana takut amalan yang disangka pahala, layaknya menjadi dosa yang menggemuk. Begitu juga supaya jangan mudah terpengaruh dengan penampilan luaran seseorang. Boleh dikatakan, ketika di umur awal 20-an begini, kita kerap dirisik cinta lelaki. Ada yang membawa imej sebagai pendakwah. Ber ‘ana enti’ ketika berhubung dan kerap pula memberi tazkirah pada mulanya. Namun, tidak lekang pula untuk berhubung suara melalui telefon?

Tegas saya mengingatkan,

“ jika ingin memilih, bukan memilih pada pakaian berkopiah, berserban dan berjubah, bukan juga memilih pada kerapnya dia ke masjid, bukan pada akrabnya dengan Al-Qur’an, kalau kredit asyik kena top up kerana letih bergayut dan ber’sms’.

Tuhan, memang ada yang saya jumpa begitu. Tidak kurang juga bagi yang perempuan.Bahkan penting sekali untuk lihat pada muamalahnya dengan perempuan. Apabila dalam hal ini dia boleh membelakangkan Allah dengan memilih untuk berhubung dengan perempuan dengan imejnya sebagai seorang ustaz, saya boleh katakan, bersihkanlah hubungan atau untuk lebih selamat, berhenti sahajalah berhubung. Kerana Di mana letaknya pandangan Allah pada diri kita? Bukanlah saya ingin menghukum seseorang tetapi kita juga hak untuk menilai untuk kebaikan kita.

Apa yang saya boleh simpulkan untuk ingatan diri saya juga, agar berlaku ikhlas dengan Allah, dan pelihara hubungan dengan Allah dahulu kerana ia sekaligus menjadi manifestasi kepada hubungan sesama manusia. Suka saya analogikan, andai anda sudah banyak memberi pada seseorang lantas diri anda tidak lebih dicintainya, adakah adil namanya? Begitu juga Allah, berapa banyak pemberian yang diberikanNnya? Cukup sahaja kalau kita bayangkan sekiranya kita hilang hanya satu ibu jari. Boleh kita bekerja menggunakan tangan? Walau ingin memegang sebuah buku kita tidak mampu.

Jadi, kenapa perlu berpaling tadah mencintai yang lain?

BIARLAH DALAM MEMBERI

Seorang ustaz mengarahkan kami agar menyenaraikan 10 faedah yang kami dapat daripada pokok kelapa. Boleh dikatakan hampir kesemua yang hadir mampu menyenaraikan bahkan ada yang memberikannya lebih. Kemudian diarahkannya pula untuk menyeneraikan 10 faedah yang dapat diperoleh daripada diri kami untuk orang lain. Sungguh, paling banyak yang dapat ditulis adalah 2 sahaja. Maka, lebih baik membesarkan pokok kelapa daripada membesarkan seorang manusia yang berakal tetapi tidak dapat menyumbang apa-apa. Begitu katanya. Tersentak juga saya.

Lantas, saya mula berfikir-fikir, andai ditakdirkan saya meninggal dunia sebentar lagi, adakah saya punya saham di dunia untuk meringankan azab saya di kubur nanti. Adakah pemergian saya akan tidak dikisahkan orang kerana hidupnya saya tanpa memberi kesan kepada orang lain. Lantas sia-sia sahajalah menjadi manusia. Saya harus memberi pada orang. bukan untuk puji-pujian tetapi kubur saya nanti, siapa yang akan kisah, saya, saya yang harus menghadapinya. Bagaimana pula, di masyhar nanti,amal apa yang saya dapat persembahkan untuk membeli syurga Allah? anda juga tidak akan kisahkan saya andai saya tergulut-gulut mendengar penghakiman dari Allah.

Jadi, pilihlah cara bagaimana anda dapat memberi kepada orang. Menulis adalah suatu medan yang saya rasakan cukup baik untuk menjadi saham kita di akhirat nanti. Sekurang-kurangnya, ini satu cara kita untuk memberi kepada masyarakat dengan ilmu-ilmu yang ada. Selagi mana ilmu kita dibaca, selagi itu Allah mengambil kira sumbangan kita pada orang lain. Namun, jika anda seorang yang lebih berkemampuan, tidak kira dari segi wang, bakat, dan kedudukan, kesemua itu adalah kelebihan yang Allah kurniakan sebagai tanggungjawab. Bukan kemuliaan untuk bermegah-megah.

p/s : jangan mengharap kita sempurna segala, berilah ruang untuk terima kesalahan dan belajar daripada kesalahan kerana ia lebih membentuk peribadi. Ramadhan Kareem.

Saturday, September 22, 2007

DAPAT SUAMI TAPI 'HILANG' BAPA

Ketika hari pernikahan salah seorang saudara terdekat. Satu contoh pernikahan yang mendapat restu keluarga dan jelas kelihatan wajah-wajah ceria menerima ahli baru dalam dalam keluarga mereka. tidakah ini yang kita semua harapkan?


Sekilas pandang pada tajuk entri di atas, ia seakan teka-teki yang dijual-jual orang .Namun, Jika anda prihatin pada laporan akhbar selasa lalu, ayat ini saya quote daripada ulasan Mufti Johor mengenai satu isu tentang wali pernikahan. Aduhai, Bagaimana pula nikah boleh hilang bapa?


NIKAHLAH TANPA RESTU

Saya memandang ini sebagai satu isu yang biasa. Satu penyataan yang klise dalam bab munakahat. Jika Selasa lalu, Jabatan Agama Islam Perlis mewartakan satu enakmen kekeluargaan yang baru mengenai wanita masih boleh bernikah walaupun tidak berwalikan bapa sendiri (bapa masih hidup), sebetulnya ini bukanlah satu enakmen yang baru, tetapi enakmen ini sudah diperkenalkan di kebanyakan negeri sebelum ini. Cuma ‘orang agama’ di sana tidak menghebah-hebahkan kepada orang awam bagi mengurangkan galakkan terhadap pernikahan tanpa wali.

Kemungkinan akan berlaku salah faham terhadap rukhsah yang dibenarkan dalam Islam tentang syarat-syarat wali kerana tidak semua yang memahaminya. Terutama dalam darurat menggunakan wali hakim sekiranya bapa menolak untuk mewalikan anaknya. Kesannya, mereka akan mengambil mudah dengan menolak peranan wali mujbir dan memilih wali hakim semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki pilihan.


ISLAM: BOLEH TAPI…

Islam tidak menolak tentang kelayakan wali hakim untuk mewalikan satu pernikahan sekiranya seorang bapa itu menolak untuk mewalikan anaknya tanpa sebab yang munasabah. Suka saya tekankan tanpa sebab yang munasabah. Hukum ini terdapat dalam dalil- dalil syariah yang dipersetujui oleh semua Fuqaha’. Namun perlu dilihat, tertib kelayakan wali hakim adalah pilihan yang terakhir sekali dalam senarai wali. Ini bermakna, pihak perempuan harus berusaha sehabisnya untuk mendapat persetujuan walinya yang lebih layak untuk menikahkannya.

Bukan sengaja Allah meletakkan hukum sebegini. Inilah kelebihan undang-undang Allah yang diturunkan untuk menjaga hubungan kekeluargaan dan mengelakkan sebarang perpecahan. Hak seorang bapa perlu diutamakan kerana pengorbannya dalam mengetuai keluarga dan bersuasah payah mencari nafkah kepada anak-anak. Tidak dapat dibayangkan bukan, apabila seorang anak sanggup membelakangkan seorang bapa dalam hal yang besar seperti pernikahan. Satu berita yang sepatutnya disambut gembira oleh seorang bapa namun ia berubah menjadi kekecewaan apatahlagi ia boleh membawa kepada permusuhan.


NIKAH: BUKAN SEKADAR CINTA

Ada yang memilih untuk bernikah kerana untuk menghalalkan cinta. Ada juga yang memilih untuk bernikah sekadar untuk melampiaskan nafsu yang tertahan. Ada yang bernikah untuk memenuhi sunnah nabi. Kesemua tujuan tersebut adalah benar dan memang ini antara tujuan pernikahan.

Cuma ada di antara kita yang gagal untuk melihat hikmah pernikahan dari segi hubungan persaudaraan. Apabila dua hati diijab kabulkan, ia bukan sahaja ikatan hati antara dua insan tetapi ikatan hati saudara-saudara seakidah daripada kedua-dua belah pihak. Dari sinilah, wujudnya perkenalan dan kemudian mencambahkan kasih sayang antara dua buah keluarga yang hanya diikat cukup dengan satu lafaz. Teringat pula saya pada pesan nenek dahulu :

“nurul, kalau berkahwin nanti, bukan berkahwin dengan suami saja, kena kahwin sekali dengan keluarga dia”

Lebih kurang begini maksudnya. Biarlah keluarga kedua-dua belah pihak suka dan senang dengan bakal pasangan. Bukan apa, apabila berhimpun sekeluarga nanti, biarlah wujudnya kemesraan sehingga kita rasakan keluarga mertua adalah seperti keluarga sendiri. Tidakkah ini membantu pembentukan rumah tangga yang bahagia kerana mendapat restu dan sokongan kedua-dua belah keluarga.


RESTU V ZINA

Namun, sejauh mana peranan wali mujbir ini diutamakan sehingga keengganannya untuk mewalikan anak sendiri boleh membuka kepada pintu maksiat ataupun bahaya-bahaya yang lain. Contohnya, pasangan yang menghadapi kesusahan untuk mendapatkan restu wali , mereka akhirnya terlanjur dalam hubungan sehingga melahirkan keturunan yang tidak diiktiraf tarafnya. Atau ada di antara wanita yang kecewa kerana enggan dinikahkan dengan lelaki pilihan, mereka akhirnya memilih jalan yang paling bahaya iaitu dengan membunuh diri. Sedangkan, tujuan hukum syariah adalah untuk melindungi sesuatu keturunan dan menghalang perkara-perkara yang membinasakan.

Atau, Islam lebih mengutamakan hubungan darah antara bapa dan anak. Lantas, seorang anak perempuan wajib menurut kehendak bapanya dalam soal pernikahan kerana melihat kepada kepentingan keluarga adalah lebih perlu diutamakan berbanding kemungkinan akan berlaku perzinaan?


UTAMA YANG UTAMA

Saya bukanlah seorang mujtahid untuk menentukan hukum. Tetapi saya melihat ini adalah satu keindahan hukum Islam yang fleksibel. Tiada hukum yang tetap dalam permasalahan sebegini. Kita bebas untuk menentukan hukum selagi mana kita melihat setiap keputusan yang diambil adalah bertepatan dengan Maqasid Syariah( objektif syariah) . ini bermakna setiap ijtihad yang dilakukan, perlulah dilihat samada ia mampu melindungi hak seseorang dari segi kehidupan, keturunan, agama, harta, dan intelek.

Cuma sebagai pendapat peribadi, sekiranya seseorang perempuan itu sudah ada pilihan hati dan berhajat untuk bernikah dengannya, sebaik mungkin cuba dahulu untuk memujuk wali. Sekiranya wali masih enggan atas beberapa sebab, saya cenderung untuk lebih mengutamakan pilihan wali kerana saya amat percaya, restu ibu bapa itu yang menentukan kebahagiaan seorang anak.

Untuk berlaku adil, toleransi haruslah juga datang daripada pihak ibu bapa. Andai pilihan anak perempuannya itu sudah cukup syarat untuk menjadi seorang suami, saya fikir, tidak perlu lagi untuk merumitkan hubungan anak-anak. Membina masjid itu kan satu ibadah yang disunnahkan. Apatahlagi, ia dapat menutup pintu maksiat yang masih terdedah bagi mereka yang masih tidak berkahwin walaupun ianya maksiat hati. Fikir-fikirkan.

Monday, September 17, 2007

CERITA-CERITA RAMADHAN


Alhamdulillah, kali saya ada cerita yang ingin saya kongsi dengan sahabat semua. Cerita yang berlaku sepanjang hari ketika saya di kuliah pada hari yang lalu. InsyaAllah, saya fikir ada sesuatu saya dapat pelajari daripadanya.

CERITA 1

Dalam kuliah pengajian ayat-ayat hukum , pensyarah saya ada menghidangkan sebuah kisah yang agak menarik untuk saya hamparkan. Kisahnya begini.

Tersebut suatu kisah pada zaman Rasulullah dahulu bahawa seorang sahabat nabi sedang bertarung dengan sakaratul maut dan para sahabat yang lain langsung mengelilinginya untuk mengajarkannya syahadah. Hampir banyak kali juga mereka membisikkan syahadah ke telinganya, namun apa yang keluar dari mulutnya adalah 3 ayat yang amat menimbulkan tanda tanya kepada mereka.

Dengan sesak dada yang turun naik, sahabat tersebut menyebut “…kalaulah jauh…kemudian disusuli pula,…kalaulah sempurna….dan kemudian..kalaulah baru…”

Lantas apabila mendengar ulangan ayat ini, mereka lantas bertemu Rasulullah. Maka berkata Rasulullah, Tahukah kamu apa yang sedang berlaku? Kesemua mereka menggeleng. “ sesungguhnya, ketika hayatnya dahulu pernah dia mendukung seorang tua yang tidak berdaya ke masjid. Kemudian, pernah juga dia memberi makan satu-satunya sekeping roti kepada seorang pengemis fakir miskin. Suatu hari juga, dia pernah memberikan satu-satunya baju yang dia ada kepada seorang hamba yang kesejukan.

Maka, ketika di ambang sakaratul maut, telah ditayangkan segala amalannya dan bayangan syurga yang terhias sangat indah. Inilah dialognya apabila melihat amalan-amalannya. “ Ya Allah, hanya dekat sahaja aku mendukung orang tua itu, sudah kau hadiahkan istana yang tak terbayang indahnya,kalaulah jauh…” Apabila ditebarkan pula amalannya yang satu lagi, “Ya Allah, hanya sedikit sahaja roti yang aku berikan dan tidak cukup pula aku rasakan, kalaulah sempurna…” Kemudian, dibentangkan amalan yang seterusnya, “ Ya Allah, baju yang aku berikan adalah bajuku yang lusuh lama, kalaulah ianya baru, agaknya bagaimana keindahan istana yang akan kau hadiahkan padaku.”

Maka, tahulah sahabat-sahabat Rasulullah itu bahawa sahabat tersebut adalah bakal penghuni syurga. Maka sedarlah mereka, Allah Maha Pemurah. Walaupun amalan yang dirasakan sedikit sahaja nilainya, Allah akan membalasnya dengan nikmatnya yang tidak terbayang oleh kita. Sesungguhnya, ketika kita menghadapi sakaratul maut, Allah akan membentangkan segala amalan kita. Adakah kita mahu mengakhiri hidup kita dengan tayangan amalan kita yang menjijikkan dan bayangan neraka yang menggerunkan?

Kesimpulannya, saya seru sahabat-sahabat sekalian agar sama-sama kita bekerja yang maaruf, dan menolong mereka yang memerlukan dengan sekadar kemampuan kita. Apatahlagi kita kini berada dalam daerah yang penuh barakah dan rahmat daripada Allah. Ayuh, kita kutip sebanyak mutiara yang tertebar yang Allah hidangkan untuk kita.


CERITA 2

Setelah habis kuliah, saya lihat seorang sahabat saya keseorang sedang menangis. Punca sebenarnya saya tidak tahu, cuma apabila ditanya rakannya yang lain, dikatakan dia kecewa kerana gagal mendapat apa yang dia inginkan. Lebih kurang begitu cerita mereka.

Saya cuba juga untuk memberi sedikt motivasi atau sedikit kekuatan padanya. Saya menghampirinya.

“ Azwaa, boleh tunjukkan iz bintang di langit” Azwaa memandang saya.

“ Mana boleh Nampak, siang..” Saya tersenyum memandangnya. Betul.

“ Jadi, macam mana nak Nampak bintang-bintang tu?”

“ Erm, kenela tunngu malam, langit gelap baru boleh nampak” sekadar dengan intonasi yang masih lemah Azwaa membalas.

“ A’ah, betul. Kalau macam tu, kegagalan dan kejayaan juga ibarat bintang di langit yang gelap. Kejayaan adalah bintang yang bersinar sedang kegagalan adalah langit yang pekat gelap. Maka, kejayaan hanya akan terserlah apabila adanya kegagalan ,macam bintang tu, kan ia akan nampak kalau langit tu gelap”. Kami berdua berpaling merenung langit yang garang mencerah.

Saya lihat ada segaris senyum semanis gula terukir di wajahnya. Sahabat, siapa yang tidak pernah gagal? Saya juga seorang yang pernah gagal. Orang kata, kegagalan adalah kejayaan yang tertunda. Belum ada lagi formula yang mengatakan kegagalan akan berakhir dengan kegagalan. Betul bukan? Yang banyak terbukti adalah kegagalan akan berakhir dengan kejayaan yang cukup bermakna jika kita sama-sama bangkit!

Sunday, September 9, 2007

DI JALAN DAKWAH AKU BERNIKAH!


Untuk sahabat yang bertanya, saya persembahkan makalah ini untuk motivasi rohani. Sungguh, terlalu ada ibrah untuk kita serapkan ke dalam hati. Maka, layaknya biarlah buku ini berbicara..


Dalam tadarrus nurani
kukirim tinta cinta ke langit tujuh
merisik rahsia Tuhan
menjilid kitab percintaan

Tuhan
dalam sujud tertunduk
labuhkan rindu dendamku
pada dermaga perkasihan
yang tercipta untuk seorang Adam
moga bertemu dalam rentang
sejadah pernikahan.
p/s : buku ini agak susah untuk dapat di Malaysia kerana dibawa khas dari Indonesia. Andai ada yang berminat boleh private saya bagi yang mengenali.