Sekilas pandang pada tajuk entri di atas, ia seakan teka-teki yang dijual-jual orang .Namun, Jika anda prihatin pada laporan akhbar selasa lalu, ayat ini saya quote daripada ulasan Mufti Johor mengenai satu isu tentang wali pernikahan. Aduhai, Bagaimana pula nikah boleh hilang bapa?
NIKAHLAH TANPA RESTU
Saya memandang ini sebagai satu isu yang biasa. Satu penyataan yang klise dalam bab munakahat. Jika Selasa lalu, Jabatan Agama Islam Perlis mewartakan satu enakmen kekeluargaan yang baru mengenai wanita masih boleh bernikah walaupun tidak berwalikan bapa sendiri (bapa masih hidup), sebetulnya ini bukanlah satu enakmen yang baru, tetapi enakmen ini sudah diperkenalkan di kebanyakan negeri sebelum ini. Cuma ‘orang agama’ di sana tidak menghebah-hebahkan kepada orang awam bagi mengurangkan galakkan terhadap pernikahan tanpa wali.
Kemungkinan akan berlaku salah faham terhadap rukhsah yang dibenarkan dalam Islam tentang syarat-syarat wali kerana tidak semua yang memahaminya. Terutama dalam darurat menggunakan wali hakim sekiranya bapa menolak untuk mewalikan anaknya. Kesannya, mereka akan mengambil mudah dengan menolak peranan wali mujbir dan memilih wali hakim semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki pilihan.
ISLAM: BOLEH TAPI…
Islam tidak menolak tentang kelayakan wali hakim untuk mewalikan satu pernikahan sekiranya seorang bapa itu menolak untuk mewalikan anaknya tanpa sebab yang munasabah. Suka saya tekankan tanpa sebab yang munasabah. Hukum ini terdapat dalam dalil- dalil syariah yang dipersetujui oleh semua Fuqaha’. Namun perlu dilihat, tertib kelayakan wali hakim adalah pilihan yang terakhir sekali dalam senarai wali. Ini bermakna, pihak perempuan harus berusaha sehabisnya untuk mendapat persetujuan walinya yang lebih layak untuk menikahkannya.
Bukan sengaja Allah meletakkan hukum sebegini. Inilah kelebihan undang-undang Allah yang diturunkan untuk menjaga hubungan kekeluargaan dan mengelakkan sebarang perpecahan. Hak seorang bapa perlu diutamakan kerana pengorbannya dalam mengetuai keluarga dan bersuasah payah mencari nafkah kepada anak-anak. Tidak dapat dibayangkan bukan, apabila seorang anak sanggup membelakangkan seorang bapa dalam hal yang besar seperti pernikahan. Satu berita yang sepatutnya disambut gembira oleh seorang bapa namun ia berubah menjadi kekecewaan apatahlagi ia boleh membawa kepada permusuhan.
NIKAH: BUKAN SEKADAR CINTA
Ada yang memilih untuk bernikah kerana untuk menghalalkan cinta. Ada juga yang memilih untuk bernikah sekadar untuk melampiaskan nafsu yang tertahan. Ada yang bernikah untuk memenuhi sunnah nabi. Kesemua tujuan tersebut adalah benar dan memang ini antara tujuan pernikahan.
Cuma ada di antara kita yang gagal untuk melihat hikmah pernikahan dari segi hubungan persaudaraan. Apabila dua hati diijab kabulkan, ia bukan sahaja ikatan hati antara dua insan tetapi ikatan hati saudara-saudara seakidah daripada kedua-dua belah pihak. Dari sinilah, wujudnya perkenalan dan kemudian mencambahkan kasih sayang antara dua buah keluarga yang hanya diikat cukup dengan satu lafaz. Teringat pula saya pada pesan nenek dahulu :
“nurul, kalau berkahwin nanti, bukan berkahwin dengan suami saja, kena kahwin sekali dengan keluarga dia”
Lebih kurang begini maksudnya. Biarlah keluarga kedua-dua belah pihak suka dan senang dengan bakal pasangan. Bukan apa, apabila berhimpun sekeluarga nanti, biarlah wujudnya kemesraan sehingga kita rasakan keluarga mertua adalah seperti keluarga sendiri. Tidakkah ini membantu pembentukan rumah tangga yang bahagia kerana mendapat restu dan sokongan kedua-dua belah keluarga.
RESTU V ZINA
Namun, sejauh mana peranan wali mujbir ini diutamakan sehingga keengganannya untuk mewalikan anak sendiri boleh membuka kepada pintu maksiat ataupun bahaya-bahaya yang lain. Contohnya, pasangan yang menghadapi kesusahan untuk mendapatkan restu wali , mereka akhirnya terlanjur dalam hubungan sehingga melahirkan keturunan yang tidak diiktiraf tarafnya. Atau ada di antara wanita yang kecewa kerana enggan dinikahkan dengan lelaki pilihan, mereka akhirnya memilih jalan yang paling bahaya iaitu dengan membunuh diri. Sedangkan, tujuan hukum syariah adalah untuk melindungi sesuatu keturunan dan menghalang perkara-perkara yang membinasakan.
Atau, Islam lebih mengutamakan hubungan darah antara bapa dan anak. Lantas, seorang anak perempuan wajib menurut kehendak bapanya dalam soal pernikahan kerana melihat kepada kepentingan keluarga adalah lebih perlu diutamakan berbanding kemungkinan akan berlaku perzinaan?
UTAMA YANG UTAMA
Saya bukanlah seorang mujtahid untuk menentukan hukum. Tetapi saya melihat ini adalah satu keindahan hukum Islam yang fleksibel. Tiada hukum yang tetap dalam permasalahan sebegini. Kita bebas untuk menentukan hukum selagi mana kita melihat setiap keputusan yang diambil adalah bertepatan dengan Maqasid Syariah( objektif syariah) . ini bermakna setiap ijtihad yang dilakukan, perlulah dilihat samada ia mampu melindungi hak seseorang dari segi kehidupan, keturunan, agama, harta, dan intelek.
Cuma sebagai pendapat peribadi, sekiranya seseorang perempuan itu sudah ada pilihan hati dan berhajat untuk bernikah dengannya, sebaik mungkin cuba dahulu untuk memujuk wali. Sekiranya wali masih enggan atas beberapa sebab, saya cenderung untuk lebih mengutamakan pilihan wali kerana saya amat percaya, restu ibu bapa itu yang menentukan kebahagiaan seorang anak.
Untuk berlaku adil, toleransi haruslah juga datang daripada pihak ibu bapa. Andai pilihan anak perempuannya itu sudah cukup syarat untuk menjadi seorang suami, saya fikir, tidak perlu lagi untuk merumitkan hubungan anak-anak. Membina masjid itu kan satu ibadah yang disunnahkan. Apatahlagi, ia dapat menutup pintu maksiat yang masih terdedah bagi mereka yang masih tidak berkahwin walaupun ianya maksiat hati. Fikir-fikirkan.
3 Pendapat:
k
Aku teringat buku Fitnah Wanita.
raihan,
ada kat azwaa kan buku tu?
kena baca sampai habis.tapi ada beberapa hujah yang dirasakn kurang tepat daripada penulis.
nanti kita kupas sama-sama
Post a Comment