CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, June 30, 2007

Sebuah novel BEST SELLER yang mengisahkan suka duka Tanah Palestin. Sebuah novel yang ditulis oleh seorang warga Itali berdarah Mesir, Randha Ghazy setelah menyelami kisah seorang kanak-kanak Palestin Muhammad Ad-Durrah yang mati syahid. Novel ini telah memperoleh penghargaan kesasteraan kanak-kanak di Itali.

assalamu'alaikum

Ini adalah entri yang terakhir sebelum saya mendaftar diri di UIA Gombak pada esok hari. Mungkin agak lama saya tidak akan dapat menjenguk blog untuk update. Biasala, pelajar baru pastinya sibuk dengan Taaruf Week( Minggu Suai Kenal). Walaubagaimanapun, harap semua sahabat dapat doakan supaya saya dapat menjalani sesi pengajian saya dalam jurusan Undang-undang dengan baik.

Semoga bertemu kembali!

Friday, June 29, 2007

PEGUAM? APA BURUKNYA?

Percaya atau tidak, cubalah anda bertanya kepada 100 orang tentang pendapat mereka mengenai kerja sebagai seorang peguam. Pastinya 97 orang daripada mereka akan menjawab :

“Peguam? Kotorla kerja tu, sebelah kaki dah janji masuk neraka”. Lebih kurang maksudnya kerja sebagai peguam ini tidak elok dan ada saham neraka di akhirat kelak! Teruk sangatkah menjadi peguam ini?

Sejak 3,4 hari ini saya sering diajukan beberapa persoalan tentang kerjaya sebagai peguam oleh beberapa orang. Kebetulan semalam saya menaiki teksi dan tiba-tiba pemandu teksi itu (pak cik) bertanya di mana saya studi dan dia terus meneka yang saya mengambil jurusan undang-undang. Pelik tapi memang tepat. Bila saya mengiakan pantas dia mengatakan “ kerja peguam ni tak baik dik..”

Mulanya saya mendiamkan diri kerana berfikir adakah saya dapat memahamkan pak cik itu dalam masa yang singkat begini. Namun saya cuba memberi respon sebagai menjawab penyataannya. Akhirnya dia diam dan bersetuju dengan beberapa hujah saya walaupun nampak kurang puas hati.

….barangsiapa di antara kamu yang menunaikan hajat saudara kamu yang lain, maka Allah akan menunaikan hajatnya kelak, dan barangsiapa yang membantu mengeluarkan saudaranya daripada kesusahan hidupnya maka Allah akan mengeluarkan dirinya daripada kesusahan di akhirat kelak…
-Mafhum hadith-

Sebelum saya teruskan tulisan saya, saya suka andai anda dapat merenung maksud di sebalik hadis di atas. Di sinilah letaknya peranan seorang peguam! Membantu menunaikan permintaan insan lain yang memerlukan pertolongan dan membawa mereka untuk keluar daripada kesusahan hidup. Tidakkah ia selari dengan tuntutan Rasulullah melalui hadis di atas.
Saya ingin membawa anda supaya lebih dekat mendalami peranan seorang peguam mahkamah syariah terutama dalam kes-kes yang berkaitan kekeluargaan. Peranan seorang peguam adalah memberi hak kepada yang berhak dan membantu mereka yang dicabuli haknya. Cuba anda fikirkan:

1) Jika seorang isteri yang ditinggalkan suami lebih daripada 4bulan, tanpa nafkah zahir dan batin,siapakah yang membantu memberi hak kepada si isteri setelah dibiarkan tergantung tak bertali?

2) Jika seorang isteri kerap dipukul dan didera suami, kepada siapa lagi yang mereka wajar mengadu daripada terus dibelasah si suami?

3) Jika seorang pasangan itu bercerai dan bertelingkah untuk merebut anak, tidakkah peguam hadir untuk membantu menyelesaikan masalah?

4) Andai seorang isteri pertama diabaikan setelah suami berkahwin lain, adakah wajar dibiarkan mereka ini mengemis hidup sedangkan mereka punya hak ke atas suami sendiri?

5) Andai anak-beranak kematian waris dan bertelagah sesama sendiri merebut harta pusaka, adakah kita wajar membiarkannya sehingga boleh berbunuhan tanpa hadirnya seorang peguam untuk menjadi orang tengah menyelesaikannya?

Bukan semua peguam yang gilakan duit bila mendapat kes. Bukan juga semua peguam yang gilakan nama apabila menang kes. Ada antara peguam yang memilih kerjaya ini kerana kemurnian tugasnya membantu mereka yang teraniaya tanpa sebarang sebab yang munasabah. Kalau anda hendak tahu, pensyarah saya juga adalah seorang peguam mahkamah syariah. Dia mangatakan kadang-kadang tidak dapat duit pun daripada klien apabila mengendalikan kes (kerana ada juga klien daripada golongan kurang mampu).Bagi mereka niat mereka adalah menjadi pendengar, pembantu serta penyelesai masalah antara pihak yang terlibat. Terutama apabila dalam kes rumahtangga yang retak menanti belah. Sedaya mungkin mereka akan cuba membantu.

Jadi, andai selepas ini ada di antara saudara kita yang bercita-cita untuk menjadi peguam, janganlah terlalu pesimis dengan memberi pandangan buruk pada kerjaya ini. Inilah kerjaya yang mulia kerana kita diberi peluang membantu masyarakat .Saya boleh analogikan, asal hukum memakan daging adalah halal, namun ia menjadi haram apabila memakan daging kurban yang dijual atau secara mudahnya memakan daging yang tidak disembelih secara islam. Maka, apa yang saya boleh katakan adalah andai kerja semulia ustaz atau pendakwah itu disalahguna, pastinya kerja itu menjadi buruk juga .

P/s : untuk kawan-kawan yang sejurusan, ayuh kita teruskan perjuangan di lapangan ilmu undang-undang kerana di luar sana masih ramai yang memerlukan pertolongan kita. Pasanglah niat yang baik supaya dipermudahkan perjalanan pembelajaran kita, mudah-mudahan ia merupakan jihad di jalan Allah.

Friday, June 22, 2007

DEMI JIWA YANG BERNAMA MUHAMMAD


Kisah ini ingin saya persembahkan untuk anda yang merindui dan mencintai Muhammad SAW. Kebanyakan kita mengakui bahawa mereka mencintai Baginda. Namun, wujudkah cinta tanpa ingatan ?wujudkah cinta tanpa perhatian?wujudkah cinta tanpa kepedulian?Jadi, hadirkanlah hati dan ambillah waktu untuk mengingati Baginda. Andai ini kesempatan terakhir untuk anda bernafas, hadiahkan sebanyak-banyak selawat untuk Baginda. Sesungguhnya Baginda menanti kita di sana..


SIRI 1 : TANGIS MUHAMMAD

“ Maha Suci Allah! Apa yang berlaku pada hari ini?”

Muhammad bangkit dengan getaran yang maha hebat dalam jiwanya. Dilihatnya seberkas cahaya yang menunggangi seekor binatang. Seberkas cahaya lagi ada bersamanya bendera dan mahkota manakala seberkas cahaya lagi bersamanya pakaian-pakaian yang indah-indah ibarat dari syurga.

Pada seruan yang pertama, Muhammad tergadah, kuburnya terbelah dua. Setelah seruan kedua, Muhammad bangkit dan cuba berdiri lantas membuang tanah di atas kepalanya dan pada janggutnya. Dipandangnya kiri dan kanan, lalu air matanya mengalir pantas ke pipi.

“Usah kamu takut Muhammad, tunggangilah buraq ini menghadap Tuhanmu”

“Tidak, umatku bagaimana?umatku JIbril? Aku mahu mensyafaatkan umatku!”

Lalu Muhammad menunggangi Buraq dan berhenti di atas bumi Baitul Maqdis dan terdengar suara Israfil mengguntur.

“ Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung,dari perut binatang buas, dari perut bumi ke pehimpunan Tuhan yang Maha Perkasa!”

Setelah jeritan Israfil yang pertama, maka turunlah hujan dari air yang sangat pekat ibarat air mani lelaki. Daripadanyalah terbina tulang-temulang, urat-urat memanjang, daging kulit dan bulu-bulu akan tumbuh. Lalu dengan izin Allah, ruh-ruh dikembalikan kepada tubuh-tubuh yang telah dihidupkan. Umat-umat itu didatangkan dalam keadaan berkumpulan berjalan menuju Tuhan bagaikan satu gelombang lautan.

“Di mana umatku?” begitulah keadaan baginda apabila setiap umat melintasinya.
“Muhammad, umatmu adalah umat yang terakhir”

Air mata baginda terus mengalir menanti keadaan umatnya yang belum tentu nasibnya. Setelah berlalu umat nabi Isa, Baginda melihat umat-umatnya berjalan lambat dan perlahan memikul dosa sambil menangis lantas berkumpul di sisi Muhammad.

“Wahai Muhammad, Allah memanggil umatmu untuk dihadapkan” Dengan rasa takut dan terkejut, baginda memimpin umat-umatnya menghadap Allah.

“Sesungguhnya pada hari ini aku akan membalas setiap jiwa dengan apa yang mereka kerjakan. Wahai Jibril, arahkan malik untuk bawakan Jahannam!”

Maka terdiam umat-umat Muhammad. Kelihatan Muhammad tidak henti-henti mengalirkan air mata menanti keputusan daripada Allah.

“ Wahai Malik, telah dperintahkan bagimu untuk bawakan Jahannam”

“Ya Jibril, hari apakah ini?” amat terkejut Malik menerima perintah serupa itu.

“Hari ini adalah hari kiamat, hari yang ditetapkan untuk membalas setiap jiwa atas apa yang mereka kerjakan”

“Lalu, di mana umat Muhammad?” Malik seakan tidak sabar.

“Di hadapan Allah Taala”

“ Tahukah kamu Jibril, bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan Jahannam ini apabila mereka melintasinya? Sedangkan mereka ini umat yang lemah”

Sehingga Malik sendiri tidak sanggup melihat siksanya azab Jahannam ke atas penghuninya.

Di mana Muhammad ketika ini?

Bersambung..

Monday, June 18, 2007

ADA APA HATI?

( kutitipkan setelah puas mendengar suaranya..)

Bebaskan aku!

Mengapa aku dipenjarakan?

Dalam sangkar yang kusangka permata

Rupanya kaca yang retak menanti pecah

Hati ini bukan milik sesiapa

Namun untuk siapa-siapa

yang punya hati bermata

yang punya hati berhati

yang punya hati berasa


duhai hati

terbanglah.. pergilah..

mencari separuh hatimu

yang dicuri sang pencinta

yang mendakap seluruh rasamu

mengusap alir tangismu


..buat hati yang mengerti, berfikirlah untuk satu hati ini..


Sunday, June 17, 2007

LELONG-LELONG!!

Lelong-lelong 2 helai RM25!! Lelong-lelong!

“Kak,amik kak, saya bg 4 helai RM50, susah nak dapat ni kak”

Begitulah suasana di masjid India setelah kawasan itu dilanda banjir kilat. Saya sempat melawat kawasan dengan niat untuk mencari kain baju sebenarnya.Hehe. Memang tak dinafikan, saya agak bersimpati dengan peniaga-peniaga di kawasan itu, sudah pasti mengalami kerugian yang banyak, apa tidaknya, air naik sampai ke paras pinggang, sudah tentu segala kain-kain baju yang disimpan di dalam premis tidak dapat di selamatkan. Untungnya Jalan Tunku Abd Rahman masih dalam dalam zon selesa dan masih boleh untuk membeli-belah. Namun, terdapat satu peristiwa yang agak menyentuh hati saya pada hari tersebut.

Begini.

Ketika singgah solat di masjid India, saya terpandangkan seorang ibu sedang menidurkan anaknya yang yang baru keluar dr HKL, apabila saya dekati, rupanya anak itu cacat. Kata ibunya sakit meningtis (terjadi akibat jangkitan kuman yang menyebabkan anaknya lumpuh, pandangan yang terlalu kabur, hilang ingatan serta hilang deria rangsangan). Anak itu sudah 9tahun menderita dengan penyakitnya, sejak umurnya satu tahun lagi. Bila ditanya ibu itu mahu ke mana, katanya dia ingin balik ke Perlis. Jadi sementara menunggu jam 9malam, dia berehat dahulu di masjid tersebut. Namun apa yang amat mengharukan saya, ibu itu berseorangan, mendukung anaknya yang lumpuh, dengan beg-beg besar digalas di bahu kirinya untuk berjalan sampai ke masjid tersebut setelah turun di hadapan Mydin. Bukannya dekat jika ingin berjalan apatahlagi dalam keadaan begitu. Lama jugak saya berbual-bual dengan ibu tersebut dan sungguh! saya dapat rasakan pengorbanan seorang ibu. Sejak anaknya sakit sehinggalah sekarang,ibu itu tak jemu melayan kerenah anknya, mengusung ke sana ke mari mencari rawatan yang terbaik untuk anaknya dalam keadaan bersusah payah. Bahkan, dari nadanya, tidak sedikit pun terdengar keluhan bahkan dia mangatakan ini adalah rezeki Allah untuk dia. Subhanallah!

Sama-sama kita doakan agar Allah permudahkan jalan hidupnya.Dimurahkan rezekinya semurah-murahnya. Dan semoga Allah menyembuhkan penyakit anaknya itu. Itulah doanya saban hari. Untuk kita semua sebagai anak, andai ibu atau ayah menderita sakit sebegitu di hari tua nanti, di manakah kita ketika itu? Adakah kita seperti ibu tadi?

Tuesday, June 12, 2007

KHUTBAH NIKAH


Salam bertemu kembali setelah dua minggu saya menyepi. Bukan sengaja membiarkan laman ini tandus, namun kerana beberapa urusan kekeluargaan yang menuntut saya untuk berpergian. Sepanjang tempoh ini, saya sempat bermusafir ke negeri selatan semenanjung Malaysia, Johor kemudian ke Melaka . Tidak banyak kisah yang dapat saya kongsikan dengan anda di Johor, apa yang boleh saya katakan ianya adalah sebuah bandar untuk shopping. Memang sesuai untuk orang perempuan! Cuma ada sesuatu yang lebih menarik untuk saya sajikan kepada teman semua ketika di Melaka. Ya, khutbah nikah!

Tidak keterlaluan rasanya andai saya ingin mengatakan yang ini adalah pertama kali saya mendengar khutbah nikah dengan penuh teliti yang dibaca jelas oleh seorang imam masjid ketika majlis akad nikah. Sedikit terusik juga hati ini dengan isi kandungannya. Lebih kurang begini bunyinya ( mungkin ada di antara teman semua yang pernah mendengarnya)

Dengan basmallah dan selawat ke atas nabi, majlis yang penuh barakah ini bermula.
Saya hanya quote beberapa baris yang saya rasakan cukup memberi kesan di hati.

Sabda nabi SAW, “ solat 2 rakaat seseorang yang beristeri adalah 70 rakaat lebih baik daripada seorang yang bujang.”(status hadithnya saya kurang jelas)

“ sesungguhnya pernikahan itu adalah sebahagian daripada sunnahku,Maka barangsiapa yang tidak suka akan sunnahku, maka dia bukanlah dari golonganku”-mafhum hadith-

“sejahtera ke atas kamu yang memilih jalan pernikahan kerana kamu telah memilih untuk menutup jalan makskiat.- mafhum hadith-

" Dan kahwinkanlah orang-orang bujang ( lelaki dan perempuan ) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu,lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepadamereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas ( rahmatNya danlimpah kurniaNya ), lagi Maha Mengetahui. " Q.S An-Nuur : Ayat 32

Setelah mendengar keseluruhan isi khutbah nikah itu, secara jujurnya saya dapat rasakan, betapa hebatnya hikmah orang yang bernikah berbanding mereka yang hidup bujang. Betapa Islam memuliakan mereka yang memilh jalan pernikahan daripada mereka yang masih terdedah dengan pintu-pintu kemaksiatan. Dengan hanya satu lafaz agung, yang haram menjadi halal, yang maksiat menjadi ibadah, yang keji menjadi suci terpuji. Allah telah menyediakan jalan yang paling mudah utuk menghalalkan cinta sepasang anak Adam, sepertimana yang terdapat dalam hadith bahawa sebaik-baik percintaan adalah percintaan selepas pernikahan. Bukannya Allah tidak mengerti rasa rindu hambanya, rasa kasih yang tumbuh buat insan lain, rasa resah dan duka yang menjerut hati , di mana saat itu kita sebenarya memerlukan seseorang untuk menjadi bahu tempat kita menangis, mendengar jeritan hati untuk kembalikan semangat untuk terus hidup. Lantas Allah menciptakan kita seorang kekasih , moga dengan hubungan kita dengan kekasih itu membuahkan ketenteraman, dan dengan itu Allah menganugerahkan jalan pernikahan. Bercintalah kamu keranaNya.

Namun mengapa masih ramai yang ragu untuk memilih jalan ini andai sudah ada kemampuan? Satu fenomena yang masih saya tidak faham, andai seorang anak itu meminta untuk bernikah awal, ramai ibu bapa yang tidak setuju, katanya masih muda dan tumpukan sahaja pada study, namun tidak mengapa pula jika anaknya habiskan kredit bergayut di telefon, dan keluar berdua-duaan tanpa sebarang ikatan pernikahan. Inilah yang berlaku dalam masyarakat, yang baik dipandang jelek, namun yang buruk itu pula dikatakan tidak mengapa.