CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, April 25, 2009

SI SOLEH YANG PELIK


Hampir sebulan atau lebih sebulan mungkin saya tidak ‘mengisi’ apa-apa yang baru di blog saya. Lantaran hambatan ‘final exam’ semester akhir tahun dua, saya mengasingkan diri sebentar. Cadangnya, seusai kertas akhir peperiksaan, saya mahu turunkan beberapa cerita di sini. Namun rezeki lain sudah memanggil iaitu menjadi guru sekolah menengah di Sekolah Menengah Islam Al-Amin. Setelah menjalani trauma lima kertas berturut-turut setiap hari, otak hanya diberi cuti berehat 24jam sahaja sebelum saya mula bertugas sebagai guru. Alhamdulillah.

“ ingatlah jika kamu letih membuat kebaikan, keletihan itu akan hilang dan kebaikan itu akan kekal. Dan jika kamu letih membuat kejahatan, keletihan itu juga akan pergi dan kejahatan itu akan kekal, maka pilihlah yang mana menguntungkan dirimu"

Itulah motivasi. ‘Penyindir’ saat badan memujuk untuk berehat-rehat.

Tujuan saya menulis kali ini bukan sebarang sebab. Ada sesuatu yang berlegar-legar, berpusing-pusing, dan menerjah- nerjah fikiran saya tentang beberapa ‘pemandangan’ manusia. Pelik tetapi benar. Saya hanya mahu membidik rasa SEDAR, kalau boleh biarlah rasa sedar yang terbidik itu mampu melonjak MAHU agar tolong-tolonglah kita BERUBAH. Sedang saya sendiri sedang memaknai proses proses perubahan ini.

Baiklah. Maafkan saya terlebih dahulu sekiranya ada bahasa yang agak tidak enak. Tetapi yang tidak enak itu kadang-kadang lebih menembus jiwa. Harapnya!

SOLEH, SOLEH..TETAPI…

….sayangnya. Tinggal wajah putih bersih berhias janggut sejemput. Bahkan sering dijemput menjadi imam sana sini. Bahkan lagi title Al-Hafiz itu membuatkan ramai muslimah yang terhendap-hendap mencuri pandang. Mahu ditambah lagi, dia terkenal juga dengan orang dakwah. Aduhai, susuk soleh begini bukan senang hendak dicari. Apatahlagi sampai termimpi-mimpi mahu dibuat suami.

Sayangnya! Suatu hari yang merubah pandangan saya. Yang membuatkan saya terus sangsi. Banyak benar yang macam buah atau bunga.

Begini.

Suasana dalam tren agak sesak. Mujur ada satu tempat duduk untuk saya redakan kelenguhan kaki. Namun, hanya sejarak dua nafas, saya terpandangkan seorang mak cik tua, meliar-liar matanya memohon belas daripada penumpang yang berdekatan dengannya. Kalian, tidak jauh dari situ ada seorang pemuda. Katakan sahaja saya mengenalinya seperti yang saya gambarkan di atas. Saya terlalu percaya dia bukan seorang yang buta.

Mak cik tadi seperti memohon agama si pemuda untuk bersuara. Belaslah hai pemuda seperti belasnya Nabimu menyuap makanan kepada lelaki Yahudi itu. Sayangnya kalian! Saya tidak segan untuk mengatakan urat-urat ‘kelakian’ jelas di tangannya. Saya tidak juga segan untuk mengatakan buah halqum juga jelas terbonjol di kerongkongnya. Itu tandanya kelakian yang harus dibuktikan bahawa si Adam lebih kuat daripada si Hawa. Sayangnya kalian! Mak cik tadi masih sahaja berdiri melurut-lurut kakinya yang sudah lenguh. Si pemuda enak-enak bersandar menyimpan tenaga mungkin untuk turun ke medan perang sejam lagi (telahan saya untuk husnuzon).

Saya tidak tahan.

“ Hai pemuda, tanggalkan sahaja kopiahmu yang menjadi syiar Islam.” Jerit hati saya seperti mahu saja dia dengari. Apakah belum memadai agama yang ada dalam dirimu untuk melonjak belas dalam jiwamu untuk seorang tua. Itu adab yang mudah yang telah pun Nabi ajarkan kita. Sayangmya!

Kalian tahu, waktu itu seorang muslimah bangun menghulur tempatnya kepada mak cik tersebut. Sungguhpun tempat duduknya agak jauh dari si pemuda. Apa yang lebih menyedihkan, buku-buku yang dikendong si muslimah hampir saja terjatuh saat dia menyeimbangkan dirinya berdiri di celah-celah sesak manusia. Ah, apa sangat yang ada pada si muslimah jika melihat zahir dirinya. Kekuatannya digagahkan jua demi akhlak seorang Islam. Saya tergeleng-geleng melihat pemuda yang masih lagi macam patung. Wajah solehnya sudah beransur hilang dari pandangan saya. Tahulah saya, mengapa peduli benar Islam mengajarkan manusia untuk berakhlak. Hanyalah kerana satu kecacatan akhlak itu, terpalitlah segala ‘ketokohan’ yang susah-susah ditonjolkan!

Kalian, mengapa peristiwa remeh ini perlu saya ceritakan. Ya, sangat remeh. Tapi kerana yang remeh inilah membuatkan saya menjadi kurang ‘percaya’ pada ‘ warna luar’ buah dan bunga lagi. Hairan. Sungguh airan. Perkara asas dalam berakhlak masih juga gagal dikuasai si soleh. Perkara asas yang boleh saja difikir ikut common sense atau fitrahnya perasan manusia untuk memberi belas rupa-rupanya masih jauh ketinggalan untuk diamalkan oleh si soleh. Kalian mungkin mengatakan, ini baru satu pemadangan yang saya temui. Tidak bolehlah saya terlalu prejudis untuk menilai si soleh.

Kalian. Saya mahu katakan. Ini bukan, satu, dua, tiga atau empat kali. Tetapi ini terlalulah berkalli-kali saya bertemu dengan si soleh yang pelik begini. Beginilah, saya memandang ini dengan dua punca yang mengakibatkan gejala ‘kurang sensitiviti’ dan kegagalan saraf ‘ common sense’ ini semakin merebak.

TIDAK TAHU KENAPA JADI SOLEH.

Itu yang pertama. Jadi soleh maksudnya jadi baik. Jadi baik itu boleh terjadi dengan sendirinya kerana iman yang membentuk diri untuk menjadi baik. Jadi baik itu juga boleh juga terjadi dengan merancang diri untuk nampak baik tetapi tidak selaras dengan iman yang menipis. Hasilnya, keluarlah kosmetik pemuda Islam yang hanya kelihatan soleh pada luarnya, tetapi dalamnya masih tidak lepas SIRIM ALLAH. Itulah produk-produk pemuda juga pemudi yang banyak terwujud pada zaman ini. Sangat membimbangkan!

DEGIL TAMBAH TIDAK MAHU BERADAB

Ini yang kedua. Saya katakan tidak MAHU beradab bukannya tidak TAHU beradab. Kalian, kalaulah kita ditanya tentang sifat belas Rasulullah, wallahi ya akhi, sejam pun tidak cukup untuk kita datangkan peristiwa-peristiwa belas baginda. Bagi yang menang award penghafaz dalil, berlimpah-limpah nas diberikan. antaranya:

“ man la yarham wala yurham!"

( sesiapa yang tidak mengasihi maka tidak akan dikasihi)

Tahniah! Saya sangat kagum kerana saya bukanlah yang banyak berdalil.Tetapi apabila dihadapkan dengan peristiwa yang sedang merayu belas kita, berapa ramai yang lekas menyahut. Banyaknya yang degil tambah tidak mahu beradab.Tahu, Islam suruh bagi belas. Tahu, Nabi pun memberi belas tetapi hati ini rasa tak mahu hendak memberi belas. Hati masih degil hendak menghulur belas. Lebih-lebih belaskan diri sendiri.

Kenapa kalian?? Itulah yang saya katakan, semuanya tergantung kepada imanmu. Iman mana yang tinggi sanggup membelakangi sikap Nabi. Iman mana yang semakin menebal sanggup mencemar Islam dengan akhlak yang endah tidak endah ini. Iman mana yang menggunung menghilang deria sensitivitinya untuk mengasihi manusia lain. Iman mana? Melainkan iman yang makin menipis dan akhirnya menjadi habuk diterbangkan angin. Ya, hati saya tertampar-tampar. Persoalan ini saya utamakan buat diri saya terlebih dahulu.

Sahabat sekelian. Tulisan ini bukan semata saya tujukan kepada lelaki soleh. Buat para muslimah, kalian juga bertanggungjawab memberi akhlak pada khalayak. Cumanya, ya cumanya, saya punya sebab kerana difokuskan kepada lelaki soleh. Kerana pada kalianlah imam yang kami adalah makmumnya. Pada kalianlah kami mengambil contoh dan mengharap teladan seperti Baginda sungguh-sungguh memberi teladan. Andai imam yang kami wajib taati sudah hilang ‘ketokohannya’ hanya pada seremeh-remeh perkara, apatahlagi untuk memimpin keluarga dan dunia nantinya.

wallahu'alam. Moga ada sesuatu untuk kalian rasakan..

Friday, April 10, 2009

ISTIMEWA BUAT PENGGEMAR AL-QUR'AN!

Quran Syamil Harfiah

Boleh click pada gambar untuk besarkan

harga boleh dirunding.. =)


Assalamualaikum akhwat fillah,

Bersama ana, dijual Al-Quran Syaamil Perkata (Harfiah) dari Indonesia. Qur'an jenis ini diterjemah perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat. Ia amat membantu kalian untuk lebih menjiwai setiap kalimah yang Allah turunkan dan memahami setiap apa yang Dia mahu ajarkan pada kita melalui kitabnya. Juga yang lebih menarik, tersedia mu'jam untuk memudahkan kalian mencari secara spesifik ayat-ayat yang berkaitan dengan hukum, peristiwa, kisah-kisah dan sebagainya. Size, slightly bigger than A4. Sangat bagus untuk sesiapa yang hendak belajar Bahasa Arab, atau hendak dihadiahkan kepada ibu dan ayah, kawan-kawan, atau hendak dijadikan hantaran perkahwinan. Stok tersedia, boleh order dan ana akan terus hantar.

Kalian boleh terus hubungi pengedarnya :-

no telefon: 013-3198346

ATAU

email: zinnera_111@yahoo.com

fastabiqul khairaat!!



Sunday, April 5, 2009

......BUKAN MACAM BUAH ATAU BUNGA!!


Saya kembalikan entri ini sekali lagi. Mungkin juga mahu menjawab tentang beberapa soalan pengunjung blog tentang cinta dan jodoh. Tentang isteri dan suami. Tentang usaha dan takdir. Ini sekadar sebuah kisah yang saya tintakan..Yang saya sedaya selami indahnya bersuamikan dengan sebenar-benar suami. Sungguhpun saya belum pernah melaluinya. Namun, yang pastinya bukan seperti buah atau bunga!!


Dalam tadarrus nurani
Kukirim tinta cinta ke langit tujuh
Merisik naskhah rahsia
Menjilid kitab percintaan
Tuhan,
Dalam sujud tertunduk
Labuhkan rindu dendamku
Pada dermaga perkasihan
Yang tercipta untuk seorang Adam
Untukku temu dalam rentang
sejadah pernikahan.

Saya kesat hangat air yang mengalir di pipi. Selendang sutera bertenun emas saya labuhkan ke bahu. Cincin emas berhias kemilau permata tiga menggamit mata. Lama saya tenung jari manis tirus yang akhir dipaut satu ikatan yang separuh mengikat diri saya dengan seorang adam. Benar, dia adam yang membayangi dalam mimpi, memanggil dalam samar dalam bersih jubah putih suci lantas membisik-bisik dengan parau suara yang menggetar nurani.

“ Aku adalah akidahmu, sebutlah nama TuhanMu bahawa kau akan kusantuni”.

Lalu dia menghilang dalam renung bening mata yang berbekas dalam ingatan.

Saya tersedar, istighfar dan syukur basah di bibir. Gelora cinta mula membuak, dihambat rindu yang mengasak dada. Mengapa sekarang sungguh kurasa bagai musafir haus dalam tandus padang pasir mengharap setitis air. Begitulah rasa seorang pencinta yang dahagakan redup pandang kekasihnya.Sungguh pertemuan yang singkat tadi telah Allah campakkan sejuta kecintaan yang benar-benar hidup!

“ Enti, diri enti baru separuh milik ana, tapi ini bukan bermakna Allah izinkan kita bercinta. Ana harap enti faham, ana serahkan enti dalam jagaanNya, belum halal kita untuk berhubung walau ana jujur, hakikat hati bahawa tiadalah sabar untuk bersama enti.”

Dia berjeda. Matanya kerap dilarikan ke kiri ke kanan apabila menatap wajah saya buat pertama kali. Saya relakan niqab dibuka moga tuntutan hadith nabi bisa dipenuhi. Mohon saya, agar wajah ini bakal dia senangi untuk saya hiasi hari-hari hidupnya yang mendatang. Debar saya beralun dalam debarnya dan saya menghambatnya dengan zikir di hati.

“andai rindu dan cinta meruntun hati, lekas-lekaslah enti berwudhu’, bukalah mashaf dan bacalah dengan sekhusyuknya. Kerana itu bukanlah kerinduan yang halal untuk kita, bahkan syaitan yang cuba memesong hati agar ikatan kita mendasari nafsu yang merosakkan”

“ ana faham, insyaAllah.”

Sekadar itu. Hanya sekadar itu saya membalas. Kelu berkata tanda ada hati yang sedang berbicara. Namun ia tidak terlafaz pada bibir yang tekekang untuk bersuara. Duhai adam, andai kau tahu segunung syukur kupanjatkan atas lamaranmu, betapa hadirmu bagai bulan yang menyimbah gelap bumi di malam hari.

Dan nikmat tuhan yang mana yang kamu dustakan!

Saya berlalu ke bilik air untuk berwudhu’. Sesekali dingin air yang mengalir menyumsum ke dalam tulang mengaliri hati setenang aliran Nil mengutus Musa ke mahligai Firaun, lantas bayi mungil itu mengukir sejarah agung menundukkan seorang Thaghut yang menyesatkan. Tuhan, andai saya adalah ibu Musa, maka nikmat Tuhan mana yang saya harus dustakan!

2 rakaat saya tunaikan solat syukur. Ya Illahi, akanku penuhi tempoh pertunangan ini sebagai persediaan terakhir untuk membina sebuah baitul muslim bersama seorang lelaki yang akanku persembahkan segala ketaatan, agar kecintaan yang berbuah-buah ranum dalam cinta buat suami yang bakal kami lahirkan zuriat yang menjadi kader-kaderMu kelak.

Sungguh Illahi, impianku agar aku bisa menghadiahkan kepadaMu seorang lagi Salehuddin Al-Ayubi, seorang lagi Al-Farouq yang memimpin dunia, seorang lagi Al-Siddiq yang hatinya lembut mengasihi seluruh insan, seorang Muaz bin Jabal yang menjadi kerinduan kekasihMu, Muhammad. Maka kurniakanlah aku suami seperti Zubair bin Awwam sebagaimana Umar mengagumi anaknya kerana didikannya. Ya Illahi, kau peliharalah diri dan hati aku dan dia dari pesongan nafsu yang mengundang laknatMu hingga akhirnya kau tarik kembali semanis-manis nikmat ini.

Mata saya semakin sarat dengan air mata. Gentarnya andai nikmat ini adalah ujian untuk saya memiliki cintaNya.

Saya bangun dan duduk di birai katil, lalu mencapai diari . Bagaimana akhirnya saya menerima dirinya, membuat keputusan setelah hampir setahun dilamar. Saya akur, memilih suami bukanlah seperti memilih bunga atau buah. Cukup hanya terpikat dengan tarikan warna luaran lantas kita terus memetiknya.

Sedangkan memilih suami ibarat memilih aqidah, yang nanti bakal menentukan bagaimana akhirnya hayat saya. Sungguh saya tidak mahu menyesal memperhambakan diri pada seorang lelaki yang akan saya persembahkan segala milik diri. Hanya satu yang amat saya harapkan agar lelaki ini bakal memandu langkah saya menjadi tetamu Allah di syurgaNya.Dan Akhirnya kami kembali menyemarakkan segala cinta dan kasih dalam anggun taman syurga.

Saya membuka sehelai demi sehelai tulisan diari. Saya terhenti pada satu halaman yang dakwatnya sudah mengembang. Kesan basah air mata yang entah bila saya tumpahkan.

‘ Tuhan, andai benar satu hari akan kau serahkan diriku buat seorang Adam, biarlah dia seorang yang punya fikrah yang kuat berdakwah, yang tidak redha dengan kemaksiatan, yang lincah mentarbiyyah umat, yang tidak langsung berlengah untuk menyerah harta dan jiwanya pada jalanMu, yang tenaganya tidak sedikit pun berbaki untuk dia mengejar dunia, yang hatinya tertaut pada masjid, yang malamnya hidup untukMu dalam tahajud yang menyuci jiwa, yang apabila aku memandang wajahnya, bertambah-tambah pujianku buatMu, yang apabila melihat akhlaknya, melimpah-limpah kerinduanku pada KekasihMu, dan tidurnya dalam dakap kitab suciMu kerana letih mentadabbur Al-Zikr, yang bibirnya tidak sunyi dari lantunan zikir dan hafazan surah-surah penghibur hati, yang apabila katanya penuh nasihat dan guraunya adalah sedikit kerana gentar akan kematian yang bila-bila masa sahaja menjemput.’

-PD-
inilah isi diari saya lewat 2 tahun yang lalu!

Bukanku mengharap kepada kesempurnaan, tetapi kerana pernikahan adalah saparuh kepada penyempurnaan agama, maka izinkan aku sempurnakan pernikahan ini dengan lelaki persis dengan akhlak KekasihMU..


“ sesungguhnya orang itu tergantung kepada agama temannya. Dan seseorang itu tidak dikenali kecuali dengan melihat temannya.” Ihya’ Ulummudin, Imam Ghazali.

Setelah setahun saya merisik dengan melihat agama rafiknya, menelusuri fikrahnya yang penuh dengan agenda dakwah, yang saya yakini kematangannya dalam agama dapat membawa saya terus menjadi pendampingnya dalam manhaj dakwahnya, dan dengan izin Allah, dengan penuh ketulusan saya serahkan hati ini untuk dia sempurnakan ikatan dengan satu lafaz yang merubah segalanya.

Terima kasih Ilahi kerana mempertemukan saya dengan dirinya!

PERNIKAHAN IBARAT BERBUKA PUASA,LAFAZKANLAH HAJAT JIKA TERASA SUDAH TIBA MASANYA, IAITU SETELAH BEKALAN UNTUK MENAKHODA BAHTERA PERNIKAHAN CUKUP SEISINYA, USAH IA DILAFAZKAN SEAWAL SAHUR, KELAK BASI CINTA DAN RASA LANTAS KAPAL AKAN KARAM KERANA HAMBAR ANGIN CINTA YANG MEMANDUNYA.