CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, June 26, 2008

BILA ISTERI MENGIDAM DELIMA..


Lazuardi langit tidak dapat menenangkan hati si suami. Melihat isteri tercinta dalam sakit terbaring di atas katil. Semestinya ia bukan sakit yang begitu merisaukan tetapi cukuplah kerana cinta yang menggunung buat si isteri, hanya kerana sakit yang sedikit sudah mampu menggundahkan hati si suami mencari penawarnya.

“ habibi..ana teringin hendak makan delima..ana kempunan sangat rasa ni..” suara isteri lemah perlahan.

Suami memandang mata redup si isteri yang meminta belas. Kemudian mata si suami bergenang. Namun ditahannya agar ia tidak merawankan lagi hati isteri yang amat dicintainya. Bukan si isteri tidak mengerti kesempitan hidup mereka, tetapi keteringinannya sudah tidak dapat dibendung lagi. suami menyeluk saku dan mengira tabungannya. Demi isteri, harusku cari kerja yang lebih.

Ya Allah, permudahkanlah aku memenuhi hajat isteriku yang sudah banyak membantuku dalam menyeru agamamu. Apatahlagi dia adalah anak kepada Kekasihmu. Tidaklah sampai hatiku melukai hatinya kerana amat kukhuatir andai aku melukai Kekasihmu.

Esoknya, subuh-subuh metah si suami sudah ke pasar. Mencari kerja tambah jika ada. Cukuplah untuk membeli walau sebelah delima untuk si isteri. Alhamdulillah, dengan bayaran upah menjual di pasar, dapatlah si suami membeli sebiji delima. Tidak dapat terbayangkan girangnya hati suami melayari wajah isterinya yang tersenyum manis ketika dia menghulurkan delima buat si isteri. Jarak rumah yang hanya sejengkal dari pasar terasa bagai berbatu-batu jauhnya untuk bertemu si isteri.

Tiba-tiba dia terhenti. Langkahnya mati seketika melihatkan seorang pak cik tua yang kusut pakainya. Rambut dan janggutnya yang berserabut tidak bercukur menambahkan keadaan daif si pak cik. Pada tangannya terdapat sebuah bekas yang ditadahnya mengemis belas dari pengunjung pasar. Kelihatan juga sekeping roti yang sudah hitam-hitam di tangan kirinya menanti untuk dijamah.

“ tuan, tuan..saya terlalu lapar.” getar suara Pak Cik itu menghibakan hatinya.

Antara isteri di rumah yang sangat mengidamkan delima di tangannya dan seorang pak cik yang akan dibiarkan menjamah roti yang hanya layaknya untuk dijamah ulat. Suara hati mula bertingkah, antara iman dan nafsu. Antara aula dan utama.

Duhai hati yang lembut jiwanya, yakinkah kamu akan balasan jika kamu infak? Yakinkah kamu akan janji Allah yang menguntungkan jika kamu bersedekah?

Kerana itu, si suami melangkah pulang. Agak lambat jalannya kerana mencari jawapan untuk diberikan kepada si isteri. Setelah sahaja sampai di muka pintu, hatinya menjadi sedih. Bukan kerana menyesal kerana sedekahnya sebentar tadi, sedih kerana dia tidak dapat menunaikan hajat isterinya.

“ habibi dah pulang..delimanya ada habibi?” Si isteri seperti yakin bahwa suaminya akan membawakannya delima.

Tidak lekang senyum si isteri menyambut suami tercinta. Namun, dengan segenap kekuatan, si suami membalas senyum bagi mengurangkan gulananya hati. Ah, semestinya ia tidak sampai hati mengecewakan si isteri. Tetapi bagaimana?

Renungan antara mereka terganggu dengan bunyi ketukan pintu. Si suami agak hairan kerana jarang mereka menerima kunjungan ketika waktu matahari memanah begini. Sama-sama mereka menjungkitkan bahu. Suami berjalan menyambut tetamu yang tidak diduga.

“ ahlan, ahlan ya Salman! Jarang benar enta ke sini waktu-waktu begini. Ada apa yang ana boleh bantu?” Suami berjabat tangan menghulur salam.

Dilihat wajah Salman cemerlang dengan cahaya ketenangan. Tambah pula, sedari tadi, tidak lekang-lekang bibirnya mengukir senyum semanis gula buat sahabatnya. Apa gerangan berita yang molek yang dibawa Salman ketika ini?

“ sahabatku, ini untuk enta dan isteri.” Salman menghulur sedulang delima yang mengandungi Sembilan biji semuanya.

“ ah, enta jangan bergurau, jika ianya untuk ana, pastinya sepuluh semuanya.” Sahabatnya begitu yakin membalas.

“ Wah, kenapa enta cakap begitu? Memang sembilan semuanya enta.” Salman bersungguh menduga. Sedikit-sebanyak hatinya agak tergugat.

“ Salman, Allah sudah katakan, setiap satu pemberian akan digandakan sepuluh bukan?” Kali ini Salman terperangkap. Lalu dikeluarkan sebiji delima yang sengaja dibawa sorok ke dalam lengan bajunya.

Apabila Salman sudah kembali, si suami segera mendapatkan isterinya dengan membawa sedulang delima sebagai hadiah daripada sedekahnya tadi. Sememangnya dia tidak menduga begitu langsung sekali Allah mengotakan janjiNya. Bahkan dia tidaklah mengharapkan sebanyak itu ganjarannya biarpun dia yakin benar bahawa Allah tidak akan berbohong.

“ perumpamaan bagi orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui” – (albaqarah:261)

Untuk sahabat semua, kisah ini benar-benar berlaku ketika zaman sahabat. Anda tahu siapa pasangan suami isteri ini? Suaminya seorang khalifah dan isterinya adalah puteri Rasulullah.

Renung-renungkan sejauh mana reaksi kita apabila melihat pengemis. Bukannya suruh disedekahkan sampai satu juta, wang kertas seringgit pun rasakan bagaikan seberat gunung untuk disedekahkan. Bahkan, hendak keluar berkeping-keping duit menonton wayang, beli CD filem terbaru, membeli belah di Mid Valley, bagai ringan pula duit-duit itu semua terbang. wallahu'alam. Peringatan untuk diri saya juga. (,")

Monday, June 23, 2008

FASI MUSLIM vs FASI ALA-ALA


Mungkin daripada tajuk anda sudah dapat menghidu hint untuk entri saya kali ini. Saya merasakan ia memang satu keperluan untuk membincangkan topic ini. Dan sememangnya saya yakin, ada di antara anda pernah terlibat secara serius atau tidak langsung dalam menjadi fasilitator untuk program-program motivasi.

Baru-baru ini juga ketika short semester, saya dijemput untuk memberi talk tentang Palestin di sebuah sekolah menengah agama di Sabak Bernam. Mungkin ini adalah pengalaman pertama saya diundang secara formal oleh sebuah sekolah yang saya tidak pernah kenal. Bukannya apa, sebelum-sebelum ini, pernah juga mengendalikan slot motivasi tetapi ianya berbeza apabila kita sendiri yang menganjurkan program tersebut dan sekali gus menjadi fasilitator untuk progam itu.

Juga, dalam semester kali ini, saya dihantar ke UIA Nilai untuk membuat beberapa penyampaian kepada adik-adik di sana. Boleh dikatakan, sepanjang semester lepas, saya lebih banyak di luar daripada di dalam UIA dan di sinilah saya mula menilai bezanya apabila menjadi Fasilitator Muslim dengan fasilitator biasa.insyaAllah, di sinilah juga saya ingin berkongsi beberapa pengalaman dan mungkin juga tips untuk menjadi fasilitator.

SETTING OTAK

Berbeza sebenarnya mind setting seorang fasi muslim yang faham tarbiyyah, dan fasi muslim yang ikut tarbiyyah. Hah, mengapa pula saya sebut-sebut tarbiyyah ini? Kerana cara pemikiran mereka adalah berbeza. Untuk pembaca yang baru mendengar word tarbiyyah ini, eloklah saya terangkan maksud secara ringkas tarbiyyah, iaitu seseorang yang TERDIDIK dengan pemikiran ISLAM. Ramai juga di antara fasi yang mengikut tabiyyah tetapi belum lagi terdidik dengan cara pemikiran Islam.

Jadi untuk fasi muslim, perkara pertama yang harus di’set’kan dalam fikiran adalah, MASA peserta adalah AMANAH kita. Maksudnya, apabila kita merancang untuk membuat program yang melibatkan mereka, kita harus merancang bagaimana kita harus memberi apa yang sepatutnya mereka dapat daripada program tersebut. Maka dari sinilah, kita harus mengatur modul yang dapat memberi kesan ruhani kepada mereka.

Kedua, ingatkan-ingatkan dalam hati dan kepala, yang kita ini adalah wakil Allah untuk mencari dan seterusnya membentuk peserta agar dapat meningkatkan kualiti Islami dalam diri mereka. Jadi, secara tidak langsung, apabila kita merancang modul program, kita akan terdorong untuk melihat melalui kaca mata Islam akan perjalanan modul tersebut. Lebih-lebih lagi kita akan jadi cerewet untuk memastikan keberkesanan ruhani dalam setiap modul program sebagai matlamat yang terlalu utama. Nah, boleh tanya dalam diri anda, adakah ini yang ada setkan ketika anda menerima tawaran untuk menjadi fasi?

Cukup dua dahulu sebagai praktikal pertama.

MERANCANG MODUL

Ini satu lagi kerja berat dan merangkumi hampir ¾ perjalanan sesebuah program motivasi. Semestinya ia berbeza mengikut tema program motivasi yang akan anda kendalikan. Namun, landmark nya tidak akan berbeza walau jauh bezanya tema sesuatu program. Iaitu SEDIKIT tetapi KUALITI. Beberapa program motivasi yang saya pernah ikuti, kebanyakan kita menumpukan berapa banyak slot yang kita boleh sumbat untuk seharian program. Ada yang ada hati untuk membuat sampai 6,7 slot.

Saya katakan 2 slot pun sudah memadai! Uish, program motivasi apa sehari hanya dua slot. Penat sahaja buat program dan buang masa peserta sahaja. Ha,di sini saya mahu bertanya, mana lagi buang masa jika buat 6,7 slot tetapi dalam keadaan terkejar-kejar masa, kemudian pengisian yang ala kadar kerana memerlukan tumpuan untuk slot yang lain sehinggakan peserta hanya terpinga-pinga dan pulang program dengan otak kosong dan hati kering? Matlamat hanya tercatat dalam proposal untuk menyedapkan mata yang menilai proposal program kita. Sungguh,Ini bukanlah ciri-ciri Fasi Muslim.

Pendek kata jangan GELOJOH untuk berprogram. Kuantiti belum menjamin kualiti. Sebagai contoh, jika anda telah tetapkan ssesuatu slot itu adalah satu jam dan modul yang anda cadangkan memerlukan aktiviti yang bergerak, harus pastikan, banyak peruntukan masa diberikan kepada sesi Resolusi bagi slot tersebut. Bukannya apa, sesetengah program yang saya ikuti menumpukan banyak kepada aktiviti dan sesi resolusi ini kadang menjadi sesi JIKA ADA. Jika ada pun pula, hanya diberi 5, 10 minit dan akhirnya pengajaran yang hendak diiktibarkan tidak sampai pada jiwa peserta. Apa lagi yang namanya selain SIA-SIA sahaja! Pecah amanah juga kiranya.

KETIKA ANDA BERFASI

Beberapa program motivasi yang pernah saya ikuti, kebanyakan fasi lebih banyak beraksi macam sudah tahu semua benda. Apabila tiba slot ceramah atau talk, kita akan lihat fasi-fasi ini akan duduk sekelompok- kelompok di depan atau di belakang dewan. Sementara penceramah lagi-lagi menasihati peserta agar biasakan diri mencatat setiap perkara penting dalam ceramah yang disampaikan.

Percaya atau tidak, kerana mereka melihat fasi-fasi yang duduk-duduk beginilah mengurangkan motivasi mereka untuk mencatat. Jadi, untuk anda yang berfasi, biasakan diri untuk bersama dengan peserta dalam dewan. Duduklah di antara para peserta dan andalah yang memberi contoh dengan mengambil catatan daripada ceramah tersebut. Tidak jatuh standard rasanya sekiranya kita mencatat. Bahkan ia lagi menaikkan kewibawaan kita sebagai memenuhi ciri-ciri orang berilmu. Setia mencatat ilmu!

Juga saya nasihatkan, apabila ada tenggang waktu, ambillah waktu untuk duduk sekejap secara berkumpulan dengan para peserta sebagai medium untuk dakwah fardiyyah. Apa pula dakwah fardiyyah? Iaitu kita dekati para peserta untuk berkenalan secara dekat dan mempertautkan mereka dengan bicara ruhani yang menghidupkan kembali ruh Islam dalam diri mereka. Di sinilah, terujinya kreativiti anda untuk berdakwah.

Ayuh, kita berubah kepada yang ini dahulu.

HABUAN SEBAGAI UMPAN

Saya hargai kreativiti para fasi untuk memotivasikan peserta agar aktif dalam memberi respon dalam setiap aktiviti dengan memberi habuan. Maka, tidak hairanlah jika ianya menjadi klise untuk fasi memberi gula-gula atapun star, ataupun sticker kepada peserta yang aktif. Tapi, awas, jangan sampai apabila ditanya kepada peserta:

“ apa yang kamu dapat dalam aktiviti ini?”

Yakin sekali mereka jawab : “ dapat star!” bukan seorang, hampir separuh juga yang jawab begitu. Ha, siapa hendak jawab? Penat-penat kita jalankan aktiviti dengan matlamat agar mereka dapat belajar sesuatu, tetapi malang dan amat malang, peserta hanya nampak, lambakan sticker yang akan menobatkan mereka sebagai peserta paling aktif, tetapi, pulangannya zero!

Hendak salahkan siapa kalau bukan fasi sendiri yang mengajar mereka begitu. Mungkin silap kita apabila terlalu tekankan dan promote habuan seperti star atau sticker sekiranya mereka aktif. Bahkan sepatutnya, kita harus perjelaskan dengan sejelas-jelasnya, apa yang sepatutnya mereka dapat sejurus habis aktiviti tersebut. Biar sebelum mula slot tersebut lagi, para peserta dapat menyediakan diri kearah matlamat-matlamat tersebut.

Tidak salah dan amat tidak salah untuk memberi habuan. Memang sifat manusia ini inginkan ganjaran sebagai motivasi untuk mereka beramal. Tetapi jangan sampai menjadi penyakit pula dalam program kita yang dinamakan GILAKAN HABUAN. Bersederhanalah sahaja. Saya cadangkan jika anda menjalankan aktiviti secara berkumpulan, cukuplah, anda menampal beberapa kertas manila mewakili setiap kumpulan untuk meletakkan point atau bonus bagi kumpulan yang aktif dan individu yang aktif. Kita dapat kurangkan pergerakan fasi untuk memberi habuan terutama ketika berlangsungnya slot seperti ceramah. Saya lihat ia mengganggu konsentrasi peserta dan penceramah. Di sinilah kualitinya akan meluntur.

HANYA INI DAHULU..

Bukan tujuan saya untuk berlagak serba tahu dalam menjadi fasi. Saya cuba garapkan semua pengalaman saya dengan cuba perbaiki beberapa kekurangan ketika saya menjadi fasi. Saya juga masih baru dalam dunia fasilitator dan sebagai manusia yang masih belajar, seboleh mungkin saya mesti membuat perubahan untuk menjadi fasi muslim.

Buat anda yang sudah serius membuat bisnes untuk projek-projek motivasi, semestinya tamrin untuk fasilitator menjadi core course supaya fasi di bawah company anda benar-benar terlatih sebagai fasi muslim. Kita tidak mahu fasi-fasi yang ala-ala sahaja, kerana kita faham bahawa setiap waktu yang kita ambil adalah AMANAH yang DIPERTANGGUNGJAWABKAN. Apatahlagi jika anda dibayar!

SEMOGA BERJAYA!

Thursday, June 19, 2008

BAITUL MUSLIM


Malam itu saya bermalam di bilik sahabat. Jauh juga dari kolej saya. Hurm, sengaja hendak tukar angin. Utamanya mereka ini adalah sahabat satu tarbiyyah dengan saya. Sedikit sebanyak ia memberi peluang kepada kami untuk terus berbincang agenda-agenda dakwah yang akan datang.

“ izzah dah dapat form baitul muslim?” seorang ukhti bertanya. Suasana rancak berdiskusi tadi, tiba-tiba jadi sepi. Semua mata memandang.

“ belum, err, belum lagi memerlukan ke arah itu kak”. Sekadar-kadar membalas.

“ oh, tunggulah, nanti dah sampai waktunya, ada yang akan bagi form tu”

“ akak dah dapat?” dia geleng tetapi senyum. Akak..akak..

**************************************

Biarlah persoalan tentang proses baitul muslim itu menjadi rahsia dahulu. Selebihnya anda sendiri yang harus mencari supaya ia tidaklah datang daripada satu pihak sahaja.

Baiklah.

Mungkin tulisan saya kali ini lebih terarah kepada beberapa soalan sahabat-sahabat tentang entri-entri saya sebelum ini yang berbaur pernikahan. Bukanlah bererti saya ingin memberi apa-apa hint untuk bernikah tetapi rasa keperluan untuk saya untuk membicarakan hal ini setelah mengikuti halaqah yang topiknya membincangkan, bagaimana membentuk baitul muslim.

Mungkin ada antara kita yang mengatakan:

“ apelah time study nak cakap pasal kahwin-kahwin ni"
Asalnya, saya sendiri tidak juga berminat membincangkan hal-hal begini. Apatahlagi dalam keadaan sekarang yang menuntut saya untuk tumpukan pada impian saya dahulu. Harus diingat, bukan bermakna apabila kita berbicara soal kahwin maka ia menandakan kita dah nak kahwin. Jauh sekali.

Saya memandang segala keburukan sahsiah remaja sekarang adalah berpunca kepada kegagalan sebuah perkahwinan dalam membentuk keluarga yang Islami. Cuba fikirkan sbentar, kita ini jenis yang suka mencari cara mengatasi tetapi gagal menilai punca sesuatu masalah. Puncanya adalah institusi keluarga yang rosak sehingga merosakkan masyarakat.

Setujukah anda saya katakan, bejatnya akhlak anak-anak sekarang kerana anda salah memilih pasangan! Ya, jodoh itu Allah yang tentukan, tetapi apa guna Allah memberi kita akal, agama, dan hati untuk kita pertimbangkan setiap pilihan dalam hidup? Kita berhak untuk memilih, dan usaha serta doa itu mampu mengubah takdir.

Duhai wanita solehah, jawapan dan pilihan di tangan anda. Bukan bererti setiap lamaran yang datang harus diterima, anda berhak untuk memilih si dia yang dapat bersama-sama membentuk baitulmuslim. Jika anda mengimpikan baitulmuslim, saya percaya anda membayangkan sebuah keluarga yang berjemaah dalam solat, sebuah rumahtangga yang diimarahkan dengan tilawah Al-Qur’an, yang seorang isteri menjadi madrasah kepada pembentukan pekerti mulia anak-anak, juga seorang suami yang tegas dalam menekankan hukum-hukum agama terhadap anak-anak.

Adakah dengan wujudnya baitulmuslim sebegini anak-anak akan pandai membuang masa melepak dengan kawan-kawan, senyap-senyap mencuri dan merokok, berlumba haram di jalanan, berhubung mesra dengan pasangan, akhirnya bermalam di disko-disko sambil mabuk sehingga tidak kenal apa itu subuh. Tidak cukup itu, berapa banyak kes-kes bunuh dan rogol secara kejam berbuah-buah di negara kita. Ya, itu berpunca dari awalnya anda gagal dalam memilih pasangan! Tampak remeh bukan? Seakan tiada kaitan?

Saya juga ingin katakan, betapa pentingnya anda memilih mereka yang hidup dalam landasan dakwah, yang masanya tertumpu pada aktiviti dakwah untuk memulihkan umat. Supaya kita akan terus berada dalam suasana kerja para nabi iaitu turun menyeru umat untuk kembali mengenal Tuhan, mengingatkan mereka tentang hakikat kematian, dan memulihkan umat daripada wabak-wabak jahiliyyah yang dahulu memusnahkan tamaddun. Kerana itu saya ingin katakan tidak cukup andai anda memilih dia seorang hafiz, seorang yang selalu berjemaah di masjid, seorang yang berpakaian cukup islamik, tetapi ibadahnya itu hanya untuk dirinya sendiri, sedang pada umat?

Di manakan ciri-ciri khalifah yang Allah maksudkan? Yang menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada kejahatan. Sedang nabi bersabda bahawa agama itu nasihat! Adakah dengan mempertingkatkan ibadah seorang diri anda telah menyempurnakan agama? Maaf, saya tidak mengatakan mereka begini tiada nilai di sisi Allah, bahkan Allah lebih mengetahui setiap bahagian untuk hambanya. Cuma , saya ingin cungkilkan kesedaran kalian tentang kepentingan fikrah dakwah.kepentingan meneruskan kerja para nabi.

Di sinilah saya yakin kepimpinan seorang lelaki dan wanita itu teruji jika mahu memimpin sebuah keluarga. Jika fikrah kita sudah terdidik menjadi sensitif dengan segala maksiat,dan berusaha mencegahnya, secara tidak langsung kita akan teranjur untuk mengutamakan pasangan dan anak-anak agar jauh daripada maksiat. Dari sinilah kita akan membawa mereka mengenal dunia dakwah dan akhirnya jatuh cinta untuk bersama-sama dengan para nabi untuk terus menyelamatkan manusia. Inilah baitul muslim yang dimaksudkan.

Tuesday, June 10, 2008

Jalan-jalan cari WANITA


Baru tadi saya terserempak dengan dua makhluk aneh berbadan manusia di bawah rimbun pokok. Yang seorang bertudung. Seorang lagi berambut bersusuk lelaki.

“wanita! Wanita!” kawan saya menunjuk ke arah dua makhluk aneh itu.

“ alamak, stok habis la..takpe-takpe malam ni kita buat”. Saya sedikit mengeluh. Misi malam tersebut tak menjadi.

*********************************
Mungkin sahabat-sahabat semua tertanya-tanya, apa kerja saya dan kawan-kawan dengan ‘wanita-wanita’ itu? inilah saya ingin perkenalkan kepada anda semua, misi ‘ jalan-jalan cari wanita’. Stok yang saya maksudkan pula adalah ‘ dari wanita untuk wanita’. Jom saya ajar!

BAHAN-BAHAN

1 Batang pen
1 helai kertas (kecil sedikit dari A4)
2/3 Perenggan kata-kata berupa nasihat.( secukup rasa)

Begini. Caranya begitu mudah. Anda tidak perlu mengerah suara. Cukup menggerakkan tangan menulis tidak sampai 10 minit, dan menggerakkan tangan menghulur kertas tidak sampai 10 saat. Untuk apa? Hendak tulis apa?

Untuk mereka yang berhati iman, semestinya iman tidak selesa melihat maksiat menjamu hati. Tetapi,banyaknya hati-hati kita ini setakat tidak redha dalam hati. Bagi kita, kalau tidak mampu hendak tegur guna tangan dan mulut, benci dalam hati itu pun sudah dikira iman. Aish, tak kan hendak pegang title selemah-lemah iman itu sampai dijemput izrael?

Jadi, sebagai manusia yang pantang mencari alasan, pastinya otaknya ligat mencari sebab untuk tetap berdakwah. Bukan mencari sebab untuk takut berdakwah. Alhamdulillah, saya menemui satu cara yang saya fikir agak kreatif untuk ‘menahi munkar’ melalui seorang sahabat yang sangat-sangat saya kagumi fikrah dakwahnya. Mungkin kita ingin menegur pasangan-pasangan maktuwe dan paktuwe yang busy dating, ataupun, gerombolan wanita yang busy buat tayangan baju ala-ala baju budak tadika. Tetapi kerana tidak yakin dan takut akan respon mereka ini, anda batalkan niat anda.

Oleh itu, saya Cuma menyediakan cadangan untuk anda. anda tulislah kata-kata nasihat yang betul-betul lahir dari hati anda. tidak perlu terlalu banyak berdalil. Yang penting hikmah melalui tulisan anda itu tertusuk ke hati mereka. Awas! Jangan cuba-cuba taip! Tulislah dengan tulisan tangan kerana ia melambangkan kejujuran dan keikhlasan anda untuk menasihati. Awas! Jangan guna ayat-ayat mencaci dan kasar! Kata-kata pujian pada awalnya dan kelembutan dalam menasihati itu yang nabi ajarkan pada kita.

Erm.. di sini saya datangkan contoh ‘surat’ yang pernah saya tulis. Mungkin bukan ini adalah yang terbaik. Saya bahagikan audien saya kepada dua kelompok. Pertama, kelompok yang seperti-seperti ‘ustaz dan ustazah’ ( yang saya sudah yakin yang mereka belum berkahwin), manakala kelompok kedua adalah orang-orang ‘biasa’. Harus diingat, tahap penggunaan bahasa dan ayat harus diselaraskan dengan latar belakang audiens, jika tidak mesej kita tidak tersampai kepada mereka.

*********************************
Assalamu’alaikum saudari..

Maaf menganggu waktu sdri. Sebenarnya dari tadi saya asyik memandang sdri. Alhamdulillah, saya lihat sdri memang cantik bertudung litup,dan berbaju kurung. Kurniaan Allah yang Maha Sempurna juga menghadiahkan wajah yang sempurna cantiknya buat sdri. Semuanya lengkap untuk menjadi seorang muslimah. Bahkan sdri jauh lebih sopan pakainya dari wanita-wanita di sekeliling sdri yang berpakaian singkat lagi ketat. Itulah istimewanya sdri.(“,)

Sdri pernah dengar kata-kata ini :

“ jadilah kamu seperti mutiara yang di dasar lautan, biar ia jauh ke dasar dan tertutup tiram, namun nilainya tiadalah tandingan, usah kamu jadi seperti batu di jalanan,begitu murah dan mudah dipijak-pikak orang-orang tanpa sebarang nilai ”

Begitulah letaknya harga seorang muslimah sdri. Prinsip kita, kita bukanlah murah dan mudah untuk didekati mana-mana lelaki. Prinsip kita, kita adalah mawar yang awas dilingkari duri. Namun, jika sekarang sdri sedang bersama lelaki yang jelas-jelas bukan suami sdri, di mana letaknya lagi nilai diri sdri? Haruskah dipersamakan seperti batu tadi?

Saya yakin sdri bukanlah seperti itu. Sdri,apabila menjadi wanita, jadilah mahal untuk lelaki, apabila menjadi wanita, jadilah sombong untuk lelaki, apabila jadi wanita, jadilah yang susah untuk lelaki, kerana itu adalah taraf kita. Yang terpelihara dari yang murah dan mudah.

Sekadar itu sdri. Kerana saya sayangkan sdri yang sama-sama memegang title muslimah, saya mengajak sdri agar jauhilah bicara-bicara fitnah yang akan menimpa sdri. Mata-mata yang melihat keadaan sdri berdua dengan lelaki, sedikit sebanyak akan mengurangkan maruah diri sdri. Sedangkan maruah itu adalah permata seorang wanita. Sdri,maaf jika ada keterlanjuran kata.

-Dari wanita untuk wanita-

( kemudian,lipatkan kertas tersebut, dan bergeraklah mencari ‘wanita’ yang dimaksudkan. Dengan lafaz bismillah, anda hanya perlu tegur dan bagi salam dan hulurkan ‘surat’ tersebut. Kemudian meminta diri. hanya itu!)

********************************
Sekali lagi, sekadar contoh. Ini juga seperti yang diminta oleh sahabat-sahabat KONSIS yang meminta saya untuk memberikan sample. Alhamdulillah, setakat beberapa pasangan yang pernah saya lakukan, ada yang selepas itu terus ‘bersurai’ dari ‘meeting’ penting tadi. Ada pasangan yang mengenali saya, mengirim mesej ucapan terima kasih atas ‘surat’ tersebut.

Bukanlah saya hendak membangga-bangga diri. Hanya ingin membuktikan kepada anda semua, jangan terlalu pesimis dalam buat kerja dakwah. Jika Umar yang bergudang dosanya ketika jahilyyahnya dahulu boleh menjadi semulia khalifah Islam, adakah mustahil untuk seorang manusia yang belum lagi ‘terlalu’ berdosa’ untuk berubah kepada yang lebih baik?

Yakinlah dengan niat kita. Jika bukan sekarang perubahannya, insyAllah, suatu masa, nasihat kita akan menjadi ‘turning point’ baginya untuk berubah.

Yang penting setelah itu, kita banyak-banyak berdoa agar Allah membuka hati mereka ini. Itu sahaja tinggal usaha yang terakhir.

Cubalah dahulu!


P/S : Tidak perlu rasanya untuk memberi kepada pasangannya yang lelaki, kerana kita bermisikan untuk mengislahkan wanita dahulu . Namun, jika anda adalah lelaki, dan anda fikir ianya sesuai untuk berdakwah kepadanya dengan cara ini, amatlah dialu-alukan.

Wednesday, June 4, 2008

ATEH



“ Lepas bengkel kita p rumah ateh nak?” Kak Syu mencelah

Kami angguk. Sayalah yang paling suka sekali. Asyik dengar saja orang cerita pasal ateh, jumpanya belum lagi. apa istimewanya Ateh?

Inilah sebuah pengalaman ‘kehilangan’ saya lebih kurang sebulan yang lalu. Sebenarnya terlalu banyak cerita dan mutiara-mutiara yang saya temui sepanjang ‘kembara’ saya kali ini. InsyaAllah untuk slot kali ini, saya dahulukan kisah ateh. Ya, Ateh.

Selesai sahaja bengkel menulis yang saya hadiri bersama sahabat-sahabat, kami terus konvoi menaiki motor ke rumah Ateh. Di mata ini sudah terbayang-bayang, bagaimana rupanya Ateh, rumahnya, kehidupannya. Debar pun ada juga. Tidak sampai 10 minit, kami telah sampai di hadapan sebuah rumah pangsa yang agak lama binaannya.

“ Mana rumah Ateh?”

“ Tu ha, yang ada papan tutup tu”. Kak Syu menuding.

Mata saya terlekat pada sebuah rumah yang memang nampaknya tidak berpenghuni.

“ Ateh dok dalam tu ke?” Sekadar dalam hati soal saya.

Elok sahaja saya membuka pintu, bersepah kucing dalam rumah ateh. Wah, sayalah orang pertama yang lari keluar. Bukan takut, cuma memang geli.Namun, demi ateh, saya usahakan juga melawan ‘elergi’ saya dengan kucing. Saya mengitari ruang rumah ateh. Longgokan perabot yang lama-lama di suatu sudut. Cuma ada satu kusyen dan satu katil macam di hospital. Ruang tamu rumah agak sempit dengan alas tikar yang bertabur dengan sisa makanan kucing. Saya menginjat memijak lantai. Ya, Allah, baru sedikit apa yang saya lihat ini.

Rumah ateh hanya ada 2 bilik. Ruang dapur yang muat-muat untuk 2 orang, juga bilik air yang juga cukup-cukup sahaja. telinga saya sekarang tertangkap pada suara ateh dari sebuah bilik. Ateh, seorang perempuan tua sekita umur 60an. Yang saya lihat ketika itu dalam keadaan bertelekung sambil memegang Al-Quran di tangannya. Wajahnya lebih-lebih ceria melihat kehadiran kami berempat.

“ Ini siapa namanya?”

“ Saya Nurul ‘Izzah , Teh..’Izzah je ateh panggil k..”

Saya menghadiahkan senyum buat Ateh. Ateh lagi manis senyumnya. Mulalah saya dan ateh bertaaruf. Merungkai sedikit demi sedikit kekekokan antara kami. Untuk sahabat sekalian, ateh sudah bertahun-tahun lumpuh sepenuhnya. Segala makan minum dan mandinya adalah dengan ihsan penduduk flat tersebut. Jika tiada yang datang menjenguk, maka tidak makanlah ateh. Tidak berbasuhlah badan Ateh.

Sahabat semua juga harus tahu, derita hidup ateh ini pernah disiarkan di MHI untuk meraih simpati mereka yang berhati. Mujurlah, ada di antara pelajar-pelajar UIA yang lunak jiwanya dengan saudaranya, mereka mencari Ateh yang kebetulan tinggal tidak jauh dari UIA. Di situlah hidup Ateh mula menjadi perhatian. Bahkan, ia sudah menjadi rutin mingguan untuk rotate jadual menemani ateh. Membersihkan rumah, memasak, grooming diri ateh, bercerita itu dan ini dengan Ateh. Layaknya Ateh ini macam seorang nenek yang begitu ramah dengan cucunya.

“Ateh nak makan, kami beli makan untuk ateh?”.

Ateh menggeleng. Manja Ateh memberitahu kami, dari semalam dia tidak makan apa-apa. Yang terbayang di mata saya adalah nenek saya. Entah dari mana, kasih buat Ateh menyusup-nyusup mengembang dalam hati. Saya letakkan ikan, dalca nenas dan juga nasi putih buat Ateh. Suka sangat saya melihat Ateh menganga mulut menerima suapan saya. Selera benar Ateh sehinga bertambah-tambah ateh makan. Ateh-ateh

“Ateh buat apa dengan buku ni?” saya hairan melihat Ateh seperti mencatat sesuatu dalam sebuah buku tebal.

“ini diari Ateh, ateh tulis semua apa yang Ateh lalui. Ha, macam hari ini, ateh tulislah, hari ini izzah suapkan Ateh, dia sembang-sembang dengan Ateh, lepas tu, Ateh tulis doa sebab dia tolong Ateh.” Ateh galak bercerita dengan senyumnya yang meruntuhkan jiwa saya.

Ateh!

Mata saya hampir berkaca. Saya tahan-tahan juga. Kerana saya datang untuk senyumkan Ateh. Ateh cakap lagi, diari itulah nanti yang akan menghiburkan sunyinya. Yang membawanya mengimbau hari-hari gembira dalam bab-bab hidupnya. Saya jadi pendengar cerita-cerita ateh yang setia. Aduhai, jika mahu saya ceritakan cerita-cerita Ateh itu, memang seminggu tidak habis.

Lebih kurang lepas asar, bermulalah operasi memandikan ateh. Jujur saya katakan, inilah kali pertama menguruskan orang yang lumpuh sepenuhnya. Ya, memang saya tidak biasa. Anda faham-faham sahajalah, lampin pakai buangnya harus dibersihkan, alas baringnya harus diganti yang baru. Senang cerita, ibarat mahu menyiapkan seorang bayi yang baru dilahirkan.

“Hai izzah, inilah satu latihan untuk masa akan datang, baik belajar dari sekarang.” Begitu hati saya menyuntik semangat.

Ateh ini agak berisi orangnya, sudahlah yang datang semuanya molek-molek sahaja. Boleh kata, hampir patah tulang kami memindahkan ateh. Tapi yang lebih kasihankan adalah Ateh, pastinya terasa sakit berhempas ke kiri ke kanan. Maafkan kami Ateh. Maklumlah, inilah pengalaman pertama kami. Saya mengambil bahagian membersihkan kepala Ateh. Untuk kepala yang agak lama tidak berbasuh, pastinya tebalan kelumumur yang pertama sekali saya kikiskan. Banyak juga kuping-kuping kelumumur kering yang terkumpul dalam besen yang menakung basahan air. Kemudian saya lumurkan syampu dan perapi pada rambut ateh. Wah, wangi-wangi kasturi rambut Ateh.

Hampir 3jam juga barulah kami selesai menyiapkan Ateh seperti ‘orang baru’ . Alhamdulillah, saya teramat senang melihat Ateh rasa segar. Lampin telah berganti, alas tidur semuanya yang baru, kepala sudah berangin, gigi sudah bergosok, bedak juga kami telah sapukan ke muka Ateh. Kemudian dipakaikan Ateh telekung .ateh tidak putus-putus ucap terima kasih. Yang kami amin-aminkan adalah doanya yang lekang-lekang buat kami. Jika tiada apa yang menghalang, mahu sahaja bermalam dengan Ateh, tetapi banyak program yang menanti saya esoknya.

“ Izzah, tinggalkan no telefon ye, tulis kat dinding tu ha”.

Saya mencatat di dinding besar-besar. Sebelah Ateh telah disediakan telefon. Senang-senang Ateh boleh terus call kalau ada hendakkan apa-apa. Sisi kiri Ateh juga kami telah sediakan sepinggan makanan untuk Ateh sementara menunggu sahabat-sahabat yang lain pula datang. Saya menyalami dan mencuimi ateh. Semacam mahu tinggal jauh pula rasanya. Sebak itu jangan dikata, tetapi sekadar membeku dalam dada. Kami kemudian tinggalkan Ateh kembali keseorangan..


P/S : bagi siapa yang berkenan untuk bersama kami berkhidmat untuk Ateh, ayuh, saya alu-alukan. Hadith Nabi pernah menyebut " barangsiapa yang tidak mengasihani, maka dia tidak akan dikasihani"