CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, June 4, 2008

ATEH



“ Lepas bengkel kita p rumah ateh nak?” Kak Syu mencelah

Kami angguk. Sayalah yang paling suka sekali. Asyik dengar saja orang cerita pasal ateh, jumpanya belum lagi. apa istimewanya Ateh?

Inilah sebuah pengalaman ‘kehilangan’ saya lebih kurang sebulan yang lalu. Sebenarnya terlalu banyak cerita dan mutiara-mutiara yang saya temui sepanjang ‘kembara’ saya kali ini. InsyaAllah untuk slot kali ini, saya dahulukan kisah ateh. Ya, Ateh.

Selesai sahaja bengkel menulis yang saya hadiri bersama sahabat-sahabat, kami terus konvoi menaiki motor ke rumah Ateh. Di mata ini sudah terbayang-bayang, bagaimana rupanya Ateh, rumahnya, kehidupannya. Debar pun ada juga. Tidak sampai 10 minit, kami telah sampai di hadapan sebuah rumah pangsa yang agak lama binaannya.

“ Mana rumah Ateh?”

“ Tu ha, yang ada papan tutup tu”. Kak Syu menuding.

Mata saya terlekat pada sebuah rumah yang memang nampaknya tidak berpenghuni.

“ Ateh dok dalam tu ke?” Sekadar dalam hati soal saya.

Elok sahaja saya membuka pintu, bersepah kucing dalam rumah ateh. Wah, sayalah orang pertama yang lari keluar. Bukan takut, cuma memang geli.Namun, demi ateh, saya usahakan juga melawan ‘elergi’ saya dengan kucing. Saya mengitari ruang rumah ateh. Longgokan perabot yang lama-lama di suatu sudut. Cuma ada satu kusyen dan satu katil macam di hospital. Ruang tamu rumah agak sempit dengan alas tikar yang bertabur dengan sisa makanan kucing. Saya menginjat memijak lantai. Ya, Allah, baru sedikit apa yang saya lihat ini.

Rumah ateh hanya ada 2 bilik. Ruang dapur yang muat-muat untuk 2 orang, juga bilik air yang juga cukup-cukup sahaja. telinga saya sekarang tertangkap pada suara ateh dari sebuah bilik. Ateh, seorang perempuan tua sekita umur 60an. Yang saya lihat ketika itu dalam keadaan bertelekung sambil memegang Al-Quran di tangannya. Wajahnya lebih-lebih ceria melihat kehadiran kami berempat.

“ Ini siapa namanya?”

“ Saya Nurul ‘Izzah , Teh..’Izzah je ateh panggil k..”

Saya menghadiahkan senyum buat Ateh. Ateh lagi manis senyumnya. Mulalah saya dan ateh bertaaruf. Merungkai sedikit demi sedikit kekekokan antara kami. Untuk sahabat sekalian, ateh sudah bertahun-tahun lumpuh sepenuhnya. Segala makan minum dan mandinya adalah dengan ihsan penduduk flat tersebut. Jika tiada yang datang menjenguk, maka tidak makanlah ateh. Tidak berbasuhlah badan Ateh.

Sahabat semua juga harus tahu, derita hidup ateh ini pernah disiarkan di MHI untuk meraih simpati mereka yang berhati. Mujurlah, ada di antara pelajar-pelajar UIA yang lunak jiwanya dengan saudaranya, mereka mencari Ateh yang kebetulan tinggal tidak jauh dari UIA. Di situlah hidup Ateh mula menjadi perhatian. Bahkan, ia sudah menjadi rutin mingguan untuk rotate jadual menemani ateh. Membersihkan rumah, memasak, grooming diri ateh, bercerita itu dan ini dengan Ateh. Layaknya Ateh ini macam seorang nenek yang begitu ramah dengan cucunya.

“Ateh nak makan, kami beli makan untuk ateh?”.

Ateh menggeleng. Manja Ateh memberitahu kami, dari semalam dia tidak makan apa-apa. Yang terbayang di mata saya adalah nenek saya. Entah dari mana, kasih buat Ateh menyusup-nyusup mengembang dalam hati. Saya letakkan ikan, dalca nenas dan juga nasi putih buat Ateh. Suka sangat saya melihat Ateh menganga mulut menerima suapan saya. Selera benar Ateh sehinga bertambah-tambah ateh makan. Ateh-ateh

“Ateh buat apa dengan buku ni?” saya hairan melihat Ateh seperti mencatat sesuatu dalam sebuah buku tebal.

“ini diari Ateh, ateh tulis semua apa yang Ateh lalui. Ha, macam hari ini, ateh tulislah, hari ini izzah suapkan Ateh, dia sembang-sembang dengan Ateh, lepas tu, Ateh tulis doa sebab dia tolong Ateh.” Ateh galak bercerita dengan senyumnya yang meruntuhkan jiwa saya.

Ateh!

Mata saya hampir berkaca. Saya tahan-tahan juga. Kerana saya datang untuk senyumkan Ateh. Ateh cakap lagi, diari itulah nanti yang akan menghiburkan sunyinya. Yang membawanya mengimbau hari-hari gembira dalam bab-bab hidupnya. Saya jadi pendengar cerita-cerita ateh yang setia. Aduhai, jika mahu saya ceritakan cerita-cerita Ateh itu, memang seminggu tidak habis.

Lebih kurang lepas asar, bermulalah operasi memandikan ateh. Jujur saya katakan, inilah kali pertama menguruskan orang yang lumpuh sepenuhnya. Ya, memang saya tidak biasa. Anda faham-faham sahajalah, lampin pakai buangnya harus dibersihkan, alas baringnya harus diganti yang baru. Senang cerita, ibarat mahu menyiapkan seorang bayi yang baru dilahirkan.

“Hai izzah, inilah satu latihan untuk masa akan datang, baik belajar dari sekarang.” Begitu hati saya menyuntik semangat.

Ateh ini agak berisi orangnya, sudahlah yang datang semuanya molek-molek sahaja. Boleh kata, hampir patah tulang kami memindahkan ateh. Tapi yang lebih kasihankan adalah Ateh, pastinya terasa sakit berhempas ke kiri ke kanan. Maafkan kami Ateh. Maklumlah, inilah pengalaman pertama kami. Saya mengambil bahagian membersihkan kepala Ateh. Untuk kepala yang agak lama tidak berbasuh, pastinya tebalan kelumumur yang pertama sekali saya kikiskan. Banyak juga kuping-kuping kelumumur kering yang terkumpul dalam besen yang menakung basahan air. Kemudian saya lumurkan syampu dan perapi pada rambut ateh. Wah, wangi-wangi kasturi rambut Ateh.

Hampir 3jam juga barulah kami selesai menyiapkan Ateh seperti ‘orang baru’ . Alhamdulillah, saya teramat senang melihat Ateh rasa segar. Lampin telah berganti, alas tidur semuanya yang baru, kepala sudah berangin, gigi sudah bergosok, bedak juga kami telah sapukan ke muka Ateh. Kemudian dipakaikan Ateh telekung .ateh tidak putus-putus ucap terima kasih. Yang kami amin-aminkan adalah doanya yang lekang-lekang buat kami. Jika tiada apa yang menghalang, mahu sahaja bermalam dengan Ateh, tetapi banyak program yang menanti saya esoknya.

“ Izzah, tinggalkan no telefon ye, tulis kat dinding tu ha”.

Saya mencatat di dinding besar-besar. Sebelah Ateh telah disediakan telefon. Senang-senang Ateh boleh terus call kalau ada hendakkan apa-apa. Sisi kiri Ateh juga kami telah sediakan sepinggan makanan untuk Ateh sementara menunggu sahabat-sahabat yang lain pula datang. Saya menyalami dan mencuimi ateh. Semacam mahu tinggal jauh pula rasanya. Sebak itu jangan dikata, tetapi sekadar membeku dalam dada. Kami kemudian tinggalkan Ateh kembali keseorangan..


P/S : bagi siapa yang berkenan untuk bersama kami berkhidmat untuk Ateh, ayuh, saya alu-alukan. Hadith Nabi pernah menyebut " barangsiapa yang tidak mengasihani, maka dia tidak akan dikasihani"

7 Pendapat:

Anonymous said...

salam ya ukht..tggu ana blk..nk join..insyaAllah..

NuRizZ said...

to nurilahi

ahlan2..
ana memang tunggu nt nih..
sama2 kita bekerja..
kita hidup untuk org lain..
bukan semata-mata diri kita..

Unknown said...

salam perjuangan...

subhanallah...masih ada lagi jiwa2 yang sedia berbakti untuk merek2 yg memerlukan...

BTW, xde yg ikhwah leh tlg ke?

repair rumah ke contohnye?

NuRizZ said...

mungkin ada
tetapi ia di luar pengetahuan saya.

jazakallah

Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

aslm wbt

ukhti lokasinya di mana?

NuRizZ said...

wa'alaikumsalam

maaf lewat..
dekat taman melati
dekat belakang lrt tu..
dekat flat sri kedah..
kat situ bnyak kedai nasi kukus..

Nurulhuda Mustapakamal said...

subhanallah...
masih ada insan2 yg sudi menolong...
sayu ana baca entri akak...
semoga ana diberi kekuatan utk membantu saudara seislam kita yang lain...