CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, August 20, 2007

MENULIS?SAYA CUBA JAWAB



Salam bertemu kembali untuk semua. Sudah lama sebenarnya laman ini kesepian atas beberapa masyaqah yang sememangnya tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah, masih dipanjangkan umur untuk saya berkongsi rasa dan cerita dengan anda. Untuk entri kali ini saya sebetulnya agak terpanggil untuk berbicara serba sedikit tentang dunia penulisan.

Sebenarnya begini. Ini adalah badi yang saya perolehi daripada majlis pertemuan mantan MPR (Minggu Penulis Remaja) baru-baru ini. Biarpun singkat namun semangat mereka ini yang istiqamah dalam menulis, cukup memberi suntikan untuk saya menghidupkan kembali hasrat yang lama terkandas. Cuma pada hari tersebut, saya sedikit terkedu juga apabila ada yang bertanya pada saya tentang bagaimana untuk hendak menulis. Sungguh, terasa segan juga untuk menjawabya kerana saya bukanlah orang yang tepat dan layak untuk ditanya.
Namun sekadar ilmu yang ada dan beberapa bacaan yang saya lakukan, suka sekali untuk saya berkongsi dengan anda yang berhasrat untuk mengenali dunia penulisan.

TULISLAH APA YANG ANDA TAHU

Mengapa perlu susah untuk menulis? Tulislah apa sahaja yang anda tahu. Tidak perlu sehingga anda tahu bagaimana untuk membedah pesakit baru anda dapat menulisnya tentang ilmu tersebut. Andai hari ini anda mengetahui cara-cara untuk membuat kek lobak merah yang paling mudah melalui kawan-kawan, tulislah mengenainya. Bahan yang kita nampak remeh tapi percayalah ada yang berminat untuk mengetahuinya.

Andai anda baru ingin menapak ke dunia penulisan, jangan letakkan matlamat yang sukar untuk dicapai. Contohnya ‘saya mahu menulis di suatu ruangan khas dalam majalah Millenia’. Bukannya ia mustahil, namun biarlah kita bermula dari bawah tetapi hasilnya kelihatan. Cadangan saya, anda boleh bermula dengan mewujudkan blog anda sendiri. Blog anda adalah milik anda, dan anda berhak untuk mengisinya mengikut citarasa dan gaya anda tersendiri. Di situlah ladang untuk anda semai pengetahuan atau pengalaman anda. Syaratnya, elakkan daripada menyiarkan wacana yang ‘kering’! maksud saya yang tiada pengajaran untuk pembaca blog anda.

Setelah biasa menulis,dalam masa yang sama risik-risiklah majalah-majalah yang anda rasakan bersesuaian dengan kecenderungan bahan penulisan anda. Belum cuba belum tahu! Yang penting, jangan pisahkan mata anda dengan bahan–bahan ilmiah untuk hidupkan pemikiran anda.

PENULIS BAGI RAKAN

Saya percaya, setiap antara kita mempunyai kawan-kawan yang mahir dalam sesuatu bidang. Atau anda mengenali beberapa individu yang pakar dalam lapangan ilmu tertentu. Sebagai contoh, kawan anda ini seorang yang aktif mengembara dari satu Negara ke Negara yang lain. Maka, jangan sia-siakan mereka ini. Kutiplah pengalaman-pengalaman mereka ketika di luar Negara dan tulislah mengenainya. Letakkanlah diri anda sebagai medium penyampai ilmu pada khalayak luar.

Sebagai contoh yang lain, ibu saudara anda mungkin seorang doktor perubatan ataupun jururawat. Maka, anda sebenarnya telah mempunyai sumber untuk bahan penulisan anda dengan bertanya tentang dunia perubatan melalui mereka . jadi, sebetulnya tiada alasan untuk sesiapa yang mengatakan ‘saya tak tahu hendak tulis apa’ dan ‘ saya tak tahu hendak cari di mana’. Pada saya, kalau hendak seribu daya, tak hendak banyak pula dalihnya.
Sekadar ini dahulu untuk entri kali ini. Jika diizinkan Allah, saya akan menyambung tip-tip penulisan yang seterusnya dengan membawakan kisah Lee Beadling , A Wanted ‘Doctor’

P/S : Untuk anda yang ingin meneruskan bacaan mengenai dunia penulisan, bolehlah rujuk buku ‘ Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas karangan Zamri Mohammad , terbitan PTS.

1 Pendapat:

Zamri Mohamad said...

Terima kasih kerana membaca Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas.

Saya amat menghargai sokongan yang diberi.

Segala maklum balas selepas pembacaan, komen dan kritikan boleh dimaklumkan pada bila-bila masa.

ZAMRI MOHAMAD