
Maaf jika kalian semua dapati saya menulis tentang ini. Lagi-lagi kisah begini. Saya hanya mahu kogsi, mahu luah, mahu menjentik hati kalian agar bersama-sama merasai apa yang saya lalui. Jika kalian tahu, bagi penulis itu, pembacalah adalah segala-galanya. Apatahlagi pembaca yang mahu berkongsi pandangan.
Begini ceritanya.
Saya diundang ke majlis berbuka puasa yang agak ‘grand’ bersama pegawai-pegawai kelas atasan. Dianjurkan oleh sebuah badan yang membawa misi yang islamik, membuat kerja-kerja yang islamik, dan menyebar ilmu-ilmu ukhrawi. Ya, mudah-mudahan. Saya memilih untuk menjadikan badan ini sebagai sebuah platform untuk saya menggiatkan lagi kerja-kerja dakwah. Ya, mereka menawarkan itu pada saya.
Majlis bermula. Seorang akhi mengalunkan ayat-ayat Allah yang terlalu suci untuk dicemari, terlalu mulia untuk direndahi. Dengan gemersik taranum yang menyentuh hati, ayat itu mengajak untuk kita berpuasa supaya taqwa itu bercambah dalam diri. Berpuasalah hamba-hambaKu, moga kamu menjadi orang yang muttaqin. Ah, gelaran apa yang lagi kita inginkan? Muttaqin di mata Allah!
Tidak cukup itu, pihak majlis mendedahkan misi dan aktivitinya yang sarat dengan citra-citra dakwah, yang membawa mesej keislaman yang membuatkan saya rasa beruntung berada di sini. ( hanya waktu itu saja yang saya rasakan). Disuguh lagi dengan ucapan-ucapan pemimpinnya yang memperjelaskan fungsi dan matlamat badan tersebut supaya mata dan telinga yang hadir berasa percaya dan yakin untuk teruslah bersama mereka untuk sama merealisasikan matlamat yang tercatat dalam buku tetamu di atas meja.
Inilah baru tiba kisahnya.
Kisah yang sebenarnya membuatkan saya tidak lalu untuk menulis kerana saya harus bayangkan kembali perisitiwa ‘ngeri’ ini. Ia berlaku ketika majlis tersebut. Lagi setengah jam mahu berbuka rasanya. Slide show di skrin tertulis ‘signature dance’. Saya dan sahabat menoleh.
“ dance?”
“ entah, biar betul?”
“ releks, releks, kot-kotla gimik ” Saja mahu memujuk hati. Mungkin gimik rasanya, Ramadhan macam ini, tak kanlah hendak buat kerja-kerja buruk macam ini.
Ah, tidak sampai sejarak dua nafas. Saya menoleh ke atas pentas apabila muzik rancak mula membingit telinga. Ala-ala disco begitu. Kemudian beberapa susuk tubuh manusia yang terdiri daripada beberapa lelaki dan perempuan terkedek-kedek berlari di atas pentas. Kemudian berhenti. Seiring lagu, dan gelek yang terhinjut-hinjut, terkinja-kinja seperti sesak nafas, segerombolan mereka membuat tarian. Dengan pakaian yang ketat lagi sendat mempersembahkan sebuah tarian ‘jelek’ zaman jahiliyyah. Mungkin tepat lagi zaman Firaun.( maafkan saya kerana harus perincikan gaya persembahkan mereka kerana saya mahu beritahu bahawa ini bukan persembahan biasa)
Saya dan sahabat berpandangan. Dahi sudah kerut sejuta mencantumkan kening. Telinga saya sudah kebas. Mata ini lagi-lagilah mahu tersembul. Saya lihat jam, sekejap lagi mahu berbuka. Jika boleh dilihat hati sudah rentung agaknya kerana api marah sudah membakar. Saya tidak senang duduk. Saya mengitari reaksi hadirin. Mungkin saya tidak dapat selami apa gelojak hati mereka. Tetapi semua nampaknya seakan redha. Saya percaya ada juga yang tidak redha dalam hati. Ah, dalam hati, apa ingat Islam itu boleh sampai kepada kita kalau para sahabat asyik redha dalam hati tengok benda jahil depan mata.
Saya buntu. Dalam keadaan begitu apakah mungkin saya bangun dan melaung ketidakpuasan hati agar mereka berhentikan segera tarian jelek itu. Ah, ‘Izzah! Kenapa masih tidak kuat? Kenapa masih takut? Saya jadi terlalu marah dengan diri. Mana semangat untuk tegakkan yang benar. Sungguh! Saya mengutuki hati. Mata saya liar mencari di mana PA system pentas yang boleh membuatkan saya menyelinap dan matikan segala fungsi PA ketika itu. Saya tidak dapat idea. Saya melihat sahabat saya telah bangun meninggalkan kerusinya. Saya tahu benar, dia telah tidak sanggup menghadap kebatilan depan mata. Saya menurutinya. Mungkin kami boleh lakukan sesuatu.
“ Iz?” Dia hilang kata apabila saya memandangnya. Saya menggenggam telapak tangannya.
“ Akak, apa ni? Tak faham! Bukan kita datang majlis berbuka puasa ke? Ke salah majlis or salah hari kita ni?” Saya melampias kebingungan yang berserabut dalam kepala.
Matanya telah merah bergenang air mata. Tahukah kalian, di dalam dewan yang berprestij itu ada berapa ramai lelaki yang berkopiah, bersongkok, ah, juga ada yang berjubah. Lagaknya macam syeikh-syeikh besar. Ada juga muslimat yang bertudung besar menonton acara jahiliyyah di depan mata. Tidak kurang yang saya kenal aktif membuat kerja-kerja dakwah di luar. Apa yang mereka lakukan di situ? Lagi-lagi saya harapkan para jemaah lelaki. Entah mengapa saya sudah hilang langsung hormat pada ‘jemaah’ ini apabila hanya tahu jadi patung batu. Aduhai, maafkan saya, mana kelakian yang dibanggakan?
“ cukuplah kalau Umar atau Abu Bakar yang ada dalam dewan ni, pasti mereka pantas menghunus pedang kerana terlalu ghirah dengan Islam. Ini tarian yang menghina Ramadhan, yang layaknya dilakukan oleh mereka yang nak jatuhkan Islam. Ni siapa mereka yang di atas pentas itu? Bertudung lagi semuanya!”
Saya tidak dapat lagi menjaga ayat. Ini bukan tempatnya untuk menjadi sopan mengatur ayat. Ya Allah, apa yang ingin kau uji sekarang ini? Keberanian akukah? Aku sedang gagal sekarang. Saya menarik lengan sahabat saya menuju ke pintu masuk dewan. Di situ ada sekumpulan komiti program. Mungkin kami boleh cuba yang ini dahulu. Kami menghampiri salah seorang mereka. Ya, kami nyatakan rasa tidak puas hati dan meminta mereka supaya memberi arahan untuk matikan saja tarian itu.
“ Entah, kami pun terkejut. Masa rehearsal kami tak datang tengok.” Balasnya.
Huh, ini bukan alasannya tidak tengok rehearsal. Masa hendak approve program lagi perlu semak betul-betul tentative program. Bukan ‘pakai’ approve sahaja. Kalau sudah dalam tentative itu letak signature dance’, perlu tanya dulu apa jenis dance itu.( kalau hendak ikutkan, kalau sudah ada word ‘dance’ itu, awal-awal lagi haramkan saja persembahan itu). Kalau pula hanya sebut persembahan saja dalam kertas kerja, tiada spesifikasi, perlu tanya dulu, apa jenis persembahan.
Jika belum ada perancangan, perlu follow up sampai ke lubang cacing supaya tiada benda yang pelik-pelik muncul ketika waktu kejadian. Ini perkara basic bagi mereka yang suka berprogram. Entah mengapa saya perlu ajarkan di sini. Pokoknya, saya mahu ingatkan, bukannya kita tidak tahu. Kadang-kadang perangai endah tak endah itu yang menjadi punca.
“ akak, boleh tak minta siapa-siapa komiti yang boleh hentikan sekarang persembahan ni. Nanti burukkan nama badan ini juga nanti.”
“ dah bos tak kata apa-apa pun.” Itu jawabnya.
Kami rasakan bagai mahu pitam. Sudah berbinar-binar mata. Mujur lagi masih bernyawa. Dalam pada itu, segerombolan mereka di atas pentas masih terlompat-lompat melenggok lentok tubuh. Bayangkan berapa lama mereka menjamukan mata-mata dan hati-hati orang yang berpuasa dengan tarian mereka. Setelah itu, tahu apa yang kami terpandang pada sekumpulan komiti itu tadi? Datang salah seorang daripada mereka dari hadapan pentas mendekati mereka dan membuat aksi gelek pula dan sekumpulan mereka pun ketawa terkekeh-kekeh meraikan penghinaan ke atas sebuah bulan yang bernama Ramadhan yang telah Allah janjikan sebagai sebaik-baik bulan.
Apa yang kami berdua boleh lakukan? Kami melangkah dengan tangisan hati yang merintih supaya Allah mengampunkan kami atas kelemahan kami yang tidak dapat hapuskan kebatilan. Kami telah ‘relakan’ Islam dicemar begitu biar dalam keterpaksaan yang Allah saja yang tahu. Kami tidak mahu beralasan ini sahajalah usaha kami. Maafkan kami Rasulullah, umatmu masih lemah meneruskan perjuangan yang sungguh-sungguh kau perjuangkan.
p/s : Mungkin antara pembaca yang merasakan saya seolah-olah menggemburkan ‘amal’ yang saya lakukan. Percayalah, saya mengerah untuk mencari cara penulisan yang dapat memikat pembaca agar dapat menyelami mesej yang ingin saya sampaikan. Tidak lebih daripada itu.