CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, July 29, 2007

OHH..TIANGGA LAMPUSTA!


Hari ini saya agak kepeningan menyiapkan tugasan Islamic Legal System yang diberikan oleh pensyarah. Apatahlagi ia perlu disiapkan dalam Bahasa Arab kerana jurusan saya bukanlah major dalam bahasa tersebut seperti mereka yang sememangnya mengambil jurusan Bahasa Arab. Walaubagaimanapun, saya akan berusaha untuk menyiapkannya sebaik mungkin. Mujurlah ketika ini saya berada di rumah, maka dapatlah merehatkan minda dengan mengusik adik saya yang bongsu.

Cuma rasa pening saya agak terubat apabila ayah saya menghulurkan sehelai keratan akhbar untuk menghiburkan waktu studi saya.

“akak, cuba baca yang ni, bolehla hilang sikit rasa tension tu”. Ayah saya sudah tersenyum-senyum

Terus saya kerutkan dahi. Baca akhbar boleh hilangkan tension? Selepas habis membaca, hampir ketawa saya dibuatnya. Mari! Saya ingin berkongsi dengan anda ceritanya. Mungkin ada yang sudah terbaca.

Begini.

Ini satu kisah seorang mahasiswa UPM, yang mengambil jurusan agrikultur( tekaan saya melalui apa yang diceritanya). Sewaktu menuntut dahulu, sekumpulan pelajar dibawa bersiar-siar di sekitar kawasan UPM untuk mengenali lebih dekat akan tumbuh-tumbuhan ornamental (tumbuhan perhiasan). Daripada acacia mengium hinggalah livistonia chinensis. Mereka ini dibimbing oleh seorang pegawai pertanian di situ dan diterangkan nama-nama saintifik untuk setiap tumbuh- tumbuhan.

Oleh kerana mereka harus mengingat kesemua nama jenis tumbuhan itu, masing-masing khusyuk menyalin setiap apa yang disebut pegawai tersebut. Sehinggakan kebanyakan mereka hanya main ‘taram’ sahaja mengeja nama-nama tumbuhan tersebut. Yang penting ada bunyinya.

“ini namanya casuarinas equisetifolia atau pokok Rhu. Yang di sebelah sana pula TIANGGA LAMPUSTA.” Kata pegawai berkenaan.

Kelihatan semua pelajar dari tadi asyik menunduk mencatat nama-nama tumbuhan yang disebutkan sehingga tidak sempat menoleh melihat fizikal tumbuh-tumbuhan tersebut. Mengangguk-angguk pula tanda buat-buat faham. Maklumlah takut terlepas pula menulisnya.

“tiangga lampusta? Pokok apa tu?” Tanya seorang rakan mereka.

“TINGGA LAMPUSTA tu adalah tiang lampu. Bukannya pokok. Itulah,kamu pun main tulis sahaja”. Dengan selamba pegawai itu menjawab.

Sekumpulan mereka terus sahaja ketawa tak henti-henti apabila mendengar jawapan pegawai berkenaan.

PENGAJARAN

1) Jangan main tulis sahaja nota, perlu lihat dan faham apa yang ingin anda tulis.
2) Jangan mudah percaya pada orang! Perlu bertanya apabila anda rasakan maklumat yang anda terima itu adalah pelik. Apatahlagi terma-terma yang anda tidak biasa dengar.

p/s: tulisan kali ini sekadar untuk merehatkan minda. insyaaLLAH, saya akan siapkan entri seterusnya mengenai 'public speaking' dalam masa terdekat ini.=)

0 Pendapat: