CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, October 14, 2008

MAAFKAN AKU TUHAN


Assalamu'alaikum, Salam Eid Mubaarak buat semua. InsyaAllah, untuk susulan entri yang seterusnya, saya akan sirikan sebuah cerpen yang saya tulis bagi mengisi kesibukan saya menghadapi final exam tidak lama lagi. Agak tidak sempat untuk saya garapkan idea-idea untuk dikongsi bersama kalian semua. Mudah-mudahan, ada sesuatu yang boleh kalian iktibarkan daripada cerpen ini yang saya adaptasikan daripada sebuah kisah yang benar-benar berlaku.

SELAMAT MEMBACA! =)

Oleh : Nurul 'Izzah Zainol

Cinta itu perang. Perang yang hebat dalam rohani manusia. Bila jiwa yang suci beroleh kemenangan , kelak akan didapati seseorang yang tulus ikhlas, luas faham, sabar dan tenang hati. Jika ia kalah , ia akan didapati seorang yang putus asa , sesat dan lemah hati. Bahkan kadang-kadang hilang kepercayaan pada diri. ~hamka~

Naurah!

Dirimu tahu, cinta itu terlalu suci. Tempatnya hanya layak berteduh pada hati-hati yang tahir. Jauh daripada segala palitan dosa yang membutakan setiap hati yang dirasuk cinta yang bertuankan nafsu.Aduhai hati! Bagai tasik yang tersirat segala macam isi di dasarnya.

“ Kenapa kau perlu gadaikan akidahmu?”

“ Tidaklah sampai ke situ aku fikir Rif, aku percayakan ketulusan hatinya untuk mendekati Islam, bukankah dakwah itu kewajipan setiap antara kita.”

Naurah!

Aah! Kau bukannya perempuan yang tidak mengerti tipu daya si kafir. Bukan dulu kau yang aktif dalam gerakan memburu murtad di daerahmu. Bicaramu galak menghentam rancangan kotor gereja berjaya menyelamatkan beberapa orang azhariah kita yang hampir layu dihisap cinta kumbang-kumbang kafirun itu. Aku ingat lagi, kau berhempas pulas siang malam menyiapkan risalah-risalah untuk memancing kembali hati-hati mereka yang hanyut dijaring gagak-gagak hitam itu. Kau akhirnya dituduh ekstremis, hingga digantung studimu. Namun kau masih tega dengan manhajmu, katamu, selagi mana hati ini disimpul dengan satu syahadah yang sama, kau tidak akan berhenti menyerah keringat dan nyawamu demi Islam! Aah, Naurah! Hebat peganganmu!

Aku mengerling ekor mata bundarnya. Pandangannya tertunduk ke permaidani di kamar kecil kami. Khali. Aku tahu, hatimu pertama kali dirisik cinta daripada lelaki, dirimu terbuai dijirus madah bicara Laila buat Majnun, dirimu sudah mula impikan sebuah Taj Mahal lambang kesucian cinta Shahjahan buat Mumtaz.

“Maafkan aku, aku cuma tak sanggup kehilangan saudara seakidahku lagi.”

Sejujur mungkin kususun kata. Kebimbanganku bukannya tidak berasas. Berapa ramai saudara kita dijerat Barat, lantas sekarang ada yang bangga menjadi aktivis gereja. Bahkan sanggup meludah kepada masjid!

“Kau terlalu pesimis. Salahkah aku untuk beri peluang pada Ellyeash?”

Naurah mencerlung wajahku menanti hujah yang difikirnya pasti positif. Namun aku sepi seketika. Sebijak mungkin aku kumpulkan kata yang paling afdal agar fikirannya tidak muktamad.

“Kadang-kala peluang itulah yang bakal membunuh kita.” Balasku.Ringkas. Mengertilah wahai sahabat!

* * *

Ellyeash melirik ke sampul biru di atas meja pejabatnya. Fikirannya ligat mengatur strategi agar isi dalam sampul itu terus menjadi habuannya. Tetapi, tidak semudah itu!

“Ellyeash.” Pope Olmert merintis kata. Lama disasarnya peluang sebegini. Seusai sahaja perhimpunan gereja sebentar tadi, Pope Olmert pantas mengejar kelibat Ellyeash agar pemuda bermata hijau itu dapat disuguhkan sesuatu. Huh! Dasar Kafir!

“ Bagaimana? Kamu boleh lakukan?” Pope Olmert mencerlung wajah Ellyeash, ada lesung pipit yang terbentuk semulajadi di kedua-dua belah pipinya. Kelihatan Ellyeash buncah dalam membalas soalan yang agak runyam baginya.

“ Tiada apa yang susah Ell, kita pun tahu apa kelemahan orang muda sekarang. Suntik sahaja dengan jarum cinta, pasti terasa gian mereka menagih perhatian daripadamu.” Pope Olmert begitu yakin meredakan gundah yang bergelora dalam hati pemuda harapannya. Secalit senyuman terakam di wajahnya. Ellyeash, pemuda kasanova, sudah dua tahun mengkhianati Islam, kini hatinya kuat ditanggam gereja untuk terus memurtadkan sebanyak mungkin orang Islam. Pakej lengkap sebagai seorang lelaki ‘sejati’ sudah cukup untuk menanarkan setiap mata wanita yang memandangnya.

“ Saya akan cuba, tetapi bagaimana saya harus mulakannya?”

“Ambil ini, untuk harga seorang perempuan Islam” Sampul biru dihulur kemas ke dalam genggaman Ellyeash.

“ Minggu depan kita akan bergerak ke satu kampung. Di sana ramai penganut-penganut Islam yang dungu agamanya. Islam hanya sekadar nama. Kita akan memberi bantuan kebajikan sebaik mungkin kepada semua penduduk kampung. Dalam masa yang sama, sebarkan agama kita, itu misi utama sebenarnya. Murtadkan.” Pope Olmert merendahkan suara pada ayat akhir. Serasa satu arus perasaan yang menyelinap masuk ke segenap urat sarafnya. Rancangan kali ini pasti membuahkan hasil. Bukan susah merasuah mereka dengan hiburan! Cinta apatahlagi!

Ellyeash mengangguk . Keningnya dikerut beberapa kali. Mampukan dia? Memang benar kata Pope Olmert, pemuda Islam ini hanya perlu disuguhkan dengan kebendaan, dicucur dengan hiburan yang mengasyikkan, dibutakan dengan perempuan-perempuan yang berpakaian tidak cukup kain. Hanya itu, akidah mereka terjual !

Ellyeash semakin percaya pada diri. Dipaterikan kasadnya itu agar tidak lekas runtuh ripuk dirayu kewalahan hati.

* * *

Naurah membaringkan diri di atas katil. Semacam ada suatu rasa yang tidak enak menyerbu jiwanya. Mengapa baik benar kumpulan gereja itu menghulurkan bantuan kepada masyarakat kampungnya. Mereka begitu mesra dengan orang kampung dan sering pula mengikuti majlis-majlis agama di surau . Golongan tua yang sakit diberinya rawatan segera dengan menanggung kos perubatan, anak- anak kecil dibelikan barangan mainan yang pastinya membuatkan tawa mereka tak sudah. Tidak lupa dengan golongan remaja,berdarah muda, taksub mencari identiti masing-masing, disuap dengan wang kertas ungu yang berkeping-keping. Bau duit itu yang mereka tagihkan untuk merasai kesenangan hidup. Kini segalanya berada di tangan, mahu ke wayang? Beli arak? Berjudi? Hingga melacur perempuan? Terlalu mudah bagi mereka.

Desah nafas Naurah semakin sempit apabila fikirannya singgah teringatkan mujadalahnya dengan seorang pemuda Kristian yang baginya ada lagak seorang bintang Hollywood. Ellyeash. Unik namanya.

“ Cantik agama Islam ini ya, secantik penganutnya.” Ellyeash mula memasang pukat helahnya. Mudah-mudahan tergoyah juga wanita bertudung litup di hadapannya. Umpan sahaja dengan puji-pujian, perempuan mana yang tidak suka! Bahkan rasa terlambung-lambung di awan putih. Namun Naurah sengaja mematikan deria dengarnya walaupun hati perempuannya sedikit terusik.

“ Benar, Islam satu-satunya agama yang paling sempurna,” Hanya sekadar Naurah membalas. Belum berani dia bertentang mata dengan lelaki itu. Syaitan tidak pernah mengalah!

Ellyeash mengangkat sedikit keningnya, bibirnya mencebik dan terbuhul senyuman nakalnya. Akalnya ligat menyeluruhi watak wanita di hadapannya. Tidak sama dengan wanita-wanita lain. Racangannya harus lebih bijak.

“ Hmm, mengapa ya kamu bertudung? Menutupi hampir seluruh tubuhmu? Tidakkah agamamu menyekat kebebasan dan hak kamu sebagai satu ciptaan yang maha hebat?” Ellyeash sebenarnya agak ruwet dengan jawapan yang bakal dilontarkan Naurah. Wanita itu kelihatan tenang.

BERSAMBUNG....

4 Pendapat:

Anonymous said...

Izzah..adik mempunyai bakat dalam menulis.Boleh akak tahu..adik sudah buat novel ke? Kalau belum berminat tak untuk terbit novel..?

Satu lagi..berkenaan ingin jadi peguam..andai kata ini adalah minat, proceed juga dengan minat ini walaupun sudah jadipeguam nanti ya

NuRizZ said...

assalamu'alaikum.

jazakillah.
erm, sekarang ni saya tengah siapkan novel pertama dengan satu syarikat. InsyaAllah jka tiada halangan.

berkenaan menjadi peguam tu,saya masih berhasrat untuk teruskan minat saya menulis. namun, semuanya bergantung kepada keadaan kerana perjalanannya masih jauh.

kenapa ya? ada apa-apa yang boleh saya bantu?

Zaim Zin said...

Tak sabar nak baca sambungan nya....

Anonymous said...

tensionnya aku. last time buka blog ni