CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, November 16, 2008

MELANGKAHLAH WAHAI AT-TAAIBUUN!


“ Jika hambaKu ini datang menemuiKu dengan dosa sepenuh bumi, maka aku akan datang menemuinya dengan keampunan sepenuh bumi pula”

Bukan sengaja saya quote firman ini. Inilah sebuah catatan peristiwa yang ingin saya bawakan sepanjang 3 minggu saya membiarkan laman blog saya tidak terisi. Walaupun peperiksaan duniawi menuntut komitmen saya, tetapi suatu ujian telah datang meraih perhatian saya untuk mereguk hikmah yang sengaja Allah aturkan.

Ketika inilah saya dipertemukan dengan mereka yang telah jatuh tersungkur dihempap dosa besar, kemudian dengan sisa iman yang masih kasihkan Tuhan, merangkak bangkit menuju illahi. Biar seribu payah bertarung nafsu, biar luluh sumsum mendepani pamitan dunia, mereka dengan jerih menghulur tangan agar disambut cinta Sang Kekasih.

“ ukhti, Allah benar-benar sedang mengujimu. Allah sedang mula mencintaimu, Dia sedang mengambilmu kembali dari rangkul seorang manusia. Sekarang matanya sedang akrab melihat hatimu, adakah kau akan menolak cintaNya hanya kerana mahu mengejar cinta manusia yang kadang mengecewakan. Ukhti, kau harus buktikan pada Tuhan, yang kau sambut cintaNya dengan penuh rindu& syukur. Letakkan tanganmu di dadamu, kemudian bawalah ia ke urat lehermu.Sungguh, Dia telah hampir dalam jiwamu, bahkan lebih dekat dari urat lehermu.”

Mesej sent.

Seusai solat saya melirik mesej yang belum dibaca. Hati saya lalu dihambat debar yang menggila. Melihat namanya sahaja telah mengundang kegundahan yang makin merasuk jiwa. Apa khabar imannya? Apa khabar akhlaknya? Uhh, apa khabar aqidahnya? Hati saya makin runtuh membaca mesejnya. Rintih-rintih suaranya seakan menggamit-gamit telinga. Katanya dirinya amat lemah, dia tidak kuat untuk bertaubat. Bahkan hatinya seakan memanggil-memanggil menyerah pada dosa lalu. Kakinya seakan mahu menapak menurut nafsu agar hati puas menyantap dosa.

Apa yang harus saya lakukan? Andailah waktu itu saya di sisinya, sesaat pun tidak akan saya biarkan dirinya keseorangan. Akan saya hiburkan dengan janji Tuhan yang sentiasa menjanjikan keampunan bagi mereka yang inginkan cintaNya. Akan saya hembuskan kekuatan agar dia bisa teguh mengharungi jerat-jerat iblis agar tidak tewas. Ya Allah, aku sangat mencintainya, payungila dirinya dengan teduh kasihMu. Kerana itu, saya mengirim mesej ini. Ukhti, moga dirimu tahu, Tuhan lebih-lebih lagi menanti cintamu yang telah lama kau khianati untuk seorang Adam.

Oleh itu,

Duhai jiwa-jiwa yang bersih yang telah Allah anugerahkan taubat untuk kalian…kutitipkan kisah ini sebagai sumbu untuk kalian nyalakan sinar seorang muslim yang muttaqin lantas diangkat darjat yang paling tinggi sebagai seorang muhsin di sisi Allah.

Sahabat, kau pernah mendengar kisah seorang hamba Allah bernama Tsa’labah? Subhanallah, kisahnya telah kutemui dalam sebuah buku kecil ‘ kisah orang-orang yang bertaubat’ yang kubawa kemana-mana. pertemuan demi pertemuan dengan mereka yang pernah berbuat dosa besar telah menuntunku untuk lebih menyelami jiwa-jiwa mereka yang mahu bertaubat. Buku ini terlalu banyak mengilhamkanku untukku lebih memahamimu.

Tsa’labah itu adalah seorang pelayan Rasulullah. Suatu hari sahabat, Rasulullah telah menghantarnya ke suatu tempat untuk menyempurnakan sebuah tugasan. Ketika dalam perjalanannya dia telah melintasi sebuah rumah lelaki Ansar. Pada ketika itu, dia terpandangkan aurat seorang wanita Ansar yang berada di dalam rumah tersebut. Maka seketika, rasa takut dan gerun mula menyerbu hatinya. Tsa’labah khuatir jangan-jangan Allah menurunkan wahyu kepada NabiNya atas sesuatu yang dia tidak sengajakan. Justeru, sambil memegang wajahnya, Tsa’labah berlari menuju ke sebuah gua antara Mekah dan Madinah dan masuk ke perut gunung tersebut.

Rasulullah tiba-tiba kehilangan Tsa’labah selama 40 hari. Setelah itu, Jibril telah datang menemui Rasulullah dan memberitahunya bahwa Allah berkirim salam kepadanya dan mengkhabarkan bahawa salah seorang pemuda dari umatmu sedang berada di sebuah perut gunung, memohon keampunanKu. Tanpa menunggu lagi, Rasulullah telah menghantar Umar dan Sulaiman ke gunung tersebut dan membawa Tsa’labah kembali kepada Rasulullah.

Kedua-duanya pergi mencarinya dan terjumpa seorang pengembala bernama Dzuhafah. Lalu ia bertanya,:

“ Adakah kamu melihat seorang pemuda yang bernama Tsa’labah di sekitar gunung ini?

“ Mungkin kamu sedang mencari seseorang yang lari dari azab neraka?

“ Bagaimana kamu mengetahui tentang itu?”

“ Kerana jika malam tiba, ia akan keluar dari tempat persembunyiannya sambil meletakkan tangan di kepalanya dan berseru:

“ Wahai, mengapa tidak Engkau cabut sahaja rohku, dan cabut sahaja jasadku dari kumpulan roh dan jasadku. Mengapa Engkau biarkan aku sendiri?’”

Lalu pada malam itu mereka pergi menanti di pintu gua tempat Tsa’labah berdiam. Apabila tibanya malam mereka melihat sepertimana yang diceritakan Dzuhafah. Umar segera mendatangi dan memeluknya. Seiring itu, Tsa’labah dengan sendu bertanya:

“ Apakah Rasulullah telah mengetahui dosaku?”

“ Aku tidak tahu. Tetapi semalam Rasulullah menyebut-nyebut namamu dan meminta kami mencarimu.”

“ Hai Umar, janganlah kamu membawaku menemui Rasulullah kecuali dia sedang solat.” Pinta Tsa’labah sesunguh-sungguhnya.

Mereka sampai ke masjid ketika subuh berkumandang. Umar dan Sulaiman terus memasuki saf solat sementara Tsa’labah tiba-tiba pengsan apabila mendengarkan ayat-ayat yang dibacakan Rasulullah. Setelah Rasulullah memberi salam, baginda terus menggerakkan Tsa’labah dan dia tersedar.

Mengapa kamu menghilang wahai Tsa’labah?”Tanya Rasulullah dengan penuh kasih.

“ Kerana dosaku wahai Rasulullah.”

“ Mahukah kamu jika aku tunjukkan satu ayat yang apabila kamu baca akan menghapuskan seluruh dosamu?”

“bacalah!”

“ Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.!”

“ Dosaku lebih besar ya Rasulullah.” Lirih suara Tsa’labah apabila mendengar ayat yang dibacakan Rasulullah.

“Tidak Tsa’labah. Kalam Allah lebih besar”.

Kemudian Rasulullah memerintahkannya untuk pulang ke rumah dan diberitakan bahawa Tsa’labah telah menderita sakit selama 8hari. Dia hampir saja mati atas dosa yang dilakukan. Dengan segala sifat kasih-sayang beginda, Rasulullah pergi menziarahinya dan baginda mengangkat kepala Tsa’labah dan meletakkan di pangkuannya. Setelah itu, Tsa'labah menarik kembali kepalanya dari pangkuan Rasulullah.

“Mengapa kamu menarik kepalamu dari pangkuanku hai Tsa’labah?” Tanya Rasulullah bingung.

“ Wahai hati dan diri yang bersih, kepalaku penuh dosa-dosa”

“ Tsa’labah, apa yang kamu keluhkan?” Soal Rasulullah melihat tindakannya begitu.

“ Seakan seekor semut berjalan di antara tulang, daging dn kulitku.”

“ Apa yang kamu ingin minta wahai Tsa’labah?”

“keampunan dari Tuhanku” Suaranya telah hampir tidak kedengaran.

Maka setelah itu, Jibril pun turun dan mengatakan :

“Ya, Muhammad, Tuhanmu berkirim salam untukmu, dan ia berfirman : Jika hambaKu datang menemuiKu dengan dosa sepenuh bumi, maka katakanlah, Aku akan datang menemuinya dengan keampunan sepenuh bumi pula”

Maka setelah dibacakan kepada Tsa’labah, dia terus berteriak kuat dan meninggal ketika itu juga.

Setelah kejadian itu, Rasulullah memerintahkan untuk memandikannya dan mengkafankannya. Setelah baginda selesai mensolatkannya, Rasulullah pergi berjalan dengan berjinjit di atas jari-jari kakinya menghantarkan jenazah Tsa’labah ke perkuburan. Setelah Rasulullah mahu pulang, orang-orang bertanyakan akan perbuatannya berjalan berjinjit.

Maka sabda Rasulullah :

“Demi Dzat yang mengutusku sebagai Nabi! Aku tidak mampu berjalan di bumi secara sempurna kerana banyaknya malaikat yang datang untuk mengiringi jenazah Tsa’labah.”

Lihatlah sahabat! Inilah sebuah kisah seorang yang begitu menyesali dosa yang dilakukannya dan telah Allah muliakan jasadnya dengan mengirim selautan malaikat untuk mengiringi jenazahnya. Lihatlah juga bagaimana kasihnya Allah kepada hambaNya dengan membersihkan seluruh jasad dan hati seorang hamba yang berdosa dengan siraman keampunanNya. Kalian tidak terkecuali untuk menjadi sesuci Tsa’labah. Hanyalah kalian perlu bertaubat! Dia tidak minta lebih daripada itu. Selangkah kalian mendekatiNya, seribu langkah Allah berjalan mendekatimu! Itulah tanda cinta Allah kepadamu.

6 Pendapat:

Anonymous said...

siapa muslimah sebelum muslimah...
siapa perindu sebelum perindu...
siapa dia perafa' doa...
kepada Dia pengampun dosa...

telah dia sambut cintaNya...
air mata...
membelai rintih sendu tangis...
hidupnya...matinya...imannya...
sudah temui...
jalan kembali...


-MaTa AiR sYuRgA-

NuRizZ said...

salsabila..

Tuhan tidak pernah meninggalkan kita..
kita aja yang selalu meninggalkan Tuhan..
tuhan selalu merindu kita..
kita aja yang hilang peduli.
mencari cinta manusia yang amat menyakitkan..
sedang Tuhan adalah penghibur,pengasih,pencinta yang tiada gantinya..

kembalilah kepadaNya..
Dia terlalu menantimu

Anonymous said...

Salam alayk..

Allah berfirman:
"maka Dia mengilhamkan kepadanya (jln) kejahatan dan ketakwaannya. Sungguh beruntung org yg menyucikannya(jiwa itu) dan sggh rugi org yg mengotorinya"(As-SYAms 8-10)..

Rebutlah hidayah yg diberikan utk kembali padaNya..Sungguh, Tuhanmu itu sgt menyayangi hambaNya..

"dan jika syaitan dtg menggodamu, maka berlindunglah kpd Allah. Sungguh Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui"-(AL-Araf:200)

Wallahualam

Jolynn said...

Sometimes when I'm lost... I feel like there is hope when I remember Allah and His promises. =D

Anonymous said...

tensionnya aku tgk golongan nihhh

Unknown said...

Assalamualaikum, barakallahu fiiki..

Ana tak mahu memperpanjangkan kalam (just direct to the point)...

Artikel yang dikirimkan sememangnya banyak memberi manfaat. Cuma kalau boleh enti kena menyelidik balik kisah-kisah yang terdapat di dalam sesuatu buku jika kisah tersebut berkenaan sahabat dan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Ana tidak mengatakan bahawa semua kisah adalah salah tetapi ia adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk memastikan kesahihan berita yang disampaikan tersebut. Andaikata cerita tersebut salah maka kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyebarkan berita-berita palsu meskipun kita hanya menukilkan apa yang termaktub di dalam buku.
(Na'uzubillahi min zaalik...)

Akhir kalam, sukalah ana memetik satu pepatah yang berguna untuk difikirkan "Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik"... Wassalam