CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, November 20, 2009

SEDIKT KASIH SAYANG SUDAH CUKUP...


Dewan graduasi seperti peti beku bagi saya. Dinginnya mencucuk-cucuk sampai ke tulang belulang tanpa belas. Saya mematah-matahkan jemari yang sangat lenguh setelah 3 jam menulis tanpa henti. Hanya mendongak beberapa kali demi melihat jam yang berbaki. Setelah kertas jawapan dikutip, saya menangguh gerak apabila melihatkan teman di hadapan yang berstatus adik seperti gelisah. Wajahnya pucat tanpa darah dengan mata sembap mungkin tidak cukup tidur atau semalaman berendam ai mata. Barangkali!

Saya menegur. Dia bukan teman jauh-jauh tetapi agak dekat dengan kehidupan saya. Kepedulian ini lebih-lebih meluap.

“ Nur, Nur Ok? Dia menoleh. Suasana khali. Sunyi. Hanya tinggal matanya yang sedang berbicara.

“ Ok kak, cuma tak dapat fokus sangat kali ini.”

“ Sakit? Atau ada apa-apa masalah?” Saya seakan tidak sabar. Sepertinya bukan masalah biasa. Hanya menduga.

Dia diam lagi. Gerak bibirnya beberapa kali dimatikan. Hampa apabila gelengan yang kerap saya terima. Jemarinya saya genggam dan mata saya terus menggeledah kejujuran di matanya.

“ Akak, saya..saya..akak janji dulu ini cerita antara kita.” Saya sudah agak. Riak di wajah terkecuali jika mahu berselindung.

“ Tunang saya..yang di Mesir tu..” Belum sempat dia menghabiskan ayat, saya memintas.

“ Jap, jangan kata putus?” Saya betul-betul meneka dalam yakin. Tidak tahu kenapa sampai ke situ telahan saya.

“ Ya kak, hanya dengan satu SMS dan tiada panggilan yang bersambut bila kami semua menuntut sebabnya.”

Ya Allah, seakan jam dunia berhenti berdetik seluruhnya. Baru sahaja 3 bulan lepas saya melihat seri wajah teman saya berjubah putih bersih bersarungkan cincin lambang perjanjian dua hati yang mahu bernikah nantinya. Sempat juga saya merasa iri apabila melihat wajah tenang tunangannya yang bergelar alhafiz bakal berangkat ke bumi anbiya. Keputusan keluarga masing-masing untuk mengikat mereka berdua sebelum berangkatnya si lelaki sekan-akan tepat tapi tidak mengena.

Perbualan saya dan dia panjang lagi sebenarnya. Tidak mungkin semuanya saya turunkan di sini. Saya masih memujuknya untuk bersangka baik dan mencari apa hikmah yang Allah mahu kita fikirkan. Cuma, saya terkilan dengan beberapa perlakuan si lelaki apabila ditanya apa sebabnya mahu meminta untuk diputuskan, dia mahukan teman saya setuju dulu untuk putus sebelum dia memberitahu. Pelik. Adabkah ini?

SEDIKIT KASIH SAYANG SUDAH CUKUP…

….apa yang kita perlukan banyak timbang rasa. Saya meminjam semula kata-kata Puan Ainon ini di blog seorang penulis ( studiomuslim.com). Mulanya saya tidak dapat mengaplikasi apa yang dimaksudan oleh sebaris ayat yang cukup ‘exhaustive’ bagi saya. Sehinggalah hari itu, saat mendengar luahan sang teman. Saya sangat akur sungguh-sungguh. Jika manusia mensyaratkan sebuah komitmen itu harus bertunjangkan kasih-sayang semata, dengan tanpa rasa tanggungjawab, dia akan bebas menurut rasa yang pudar kasih sayang itu untuk melepaskan diri dari sebuah komitmen. Alasan mentah seseorang yang hanya mampu berfikiran singkat.

Ya, sungguh benar. Agak mustahil untuk kita memberikan setiap kasih sayang yang maksima untuk semua komitmen yang kita terima. Kadang-kadang ia berjalan dengan rasa tanggungjawab yang lebih dari rasa cinta itu. Kerana unsur hati manusia ini tidak selalu setia. Dia akan berbolak balik, mengikut rentak nafsu yang selalunya terdorong oleh kehendak memenuhi keselesaan peribadi bukan orang lain di bawah tanggungjawab kita.

Tetapi, kerana rasa yang kerap berubah inilah, seorang manusia adil sangat perlukan akal yang tahu bertimbang rasa, juga hati yang mahu merasa hati-hati orang lain. Timbang rasalah perasaan orang lain saat mahu mengambil keputusan atau tindakan. Timbang rasalah dengan melihat keterlukaan satu hati berbanding sepuluh hati yang lain yang mungkin tidak akan memaafkan kita. Timbang rasalah pengorbanaan yang orang lain berikan di atas sebuah perjanjian untuk sama-sama bertanggungjawab. Ketepikanlah rasa hati yang dikatakan sudah pudar kasih- sayang jika kita memahami bahawa bertanggungjawab memenuhi janji itu lebih utama dari rasa yang selalu dimain nafsu.

Kerana kematangan seseorang itu diukur bukan dengan rasa yang abstrak itu, tetapi kebijakannya menilai segala kesan tindakannya dengan mengabaikan KEHENDAK peribadi dan mengutamakan keperluan orang lain. Tetapi andai mahu berkeras juga…

INILAH ADAB YANG DIKUBURKAN

Orang saleh tanpa adab seakan rumah tanpa atap. Tidak berguna bahkan menanti masa diroboh ribut. Adab selalunya dipandang sebagai satu bab asing dalam hidup kerana kita selalu membahas hukum halal haramnya sesuatu. Asal halal sudah cukup. Sebagai contoh, seorang soleh yang makan berdiri, secara hukumnya tidak berdoasa atau haram. Belum ada juga hukum khas yang mengatakan makruh atau harus. Tetapi secara adabnya, ia sepatutnya menjadi haram dalam konteks bukan fiqh.

Tidak kisah kalau kita punya alasan yang maha benar untuk menarik diri dari sebuah tanggungjawab. Tidak kisahlah kalau mahu juga mengatakan :

“Hati saya sudah tiada di situ untuk mencintai tanggugjawab saya.”( walau ini amat bahaya)

Tetapi beradablah agar orang dapat memahami alasan kita. Ya, dalam beberapa hal, kita punya alasan yang kukuh dan ada kebaikannya untuk semua orang. Tetapi beradablah supaya orang lebih tidak berasa hati. Memang pekara yang paling mustahil adalah mahu menjaga hati semua orang. Tetapi dengan adab, orang akan mahu menghormati tindakan kita biar ia membekas luka. Sungguh ‘general’ penjelasan saya kerana jika mahu fokuskan, saya mahu kaitkan dengan situasi cerita di atas akan adab mahu meminta putus pertunangan. Tetapi bukan ini tujuan saya, kesedaran adab yang menjadi sendi sepasang kaki untuk bergerak perlu wujud di mana-mana. Sehingga adab memberi salam sekalipun.

TAK SERUPA TAPI SAMA…

Ia sepatutnya tidak berlaku. Tetapi ia boleh terjadi apabila manusia membahaskan adab dan hukum dalam kelas yang berasingan. Saya terkesan dengan sebuah drama bertajuk tidak serupa tetapi sama di TV3 minggu lepas. Jika saya menjadi juri, saya memberi taraf lima bintang. Secara ringkas, ia adalah cerita dua buah keluarga dengan yang pertama sosial cara hidupnya dengan dunia tanpa batasan lebih tahu menjaga adab dan memelihara hubungan dengan orang lain daripada sebuah keluarga orang soleh pada penampilannya tetapi tidak soleh pada amal dan adabnya apabila suka meludah di sana sini dan membuang sampah merata-rata, dengan maki hamun siang malam dan sehingga tahap bergaduh parang dengan jiran-jiran di kampung. Juga bekerja sambil lewa di pejabat dengan tiada adab menghormati pelanggan dan teman-teman sekerja.Tetapi apabila membahas bab hukum dan teori akidah, ibadah, akhlak, sirah dan sebagainya seakan sepuluh kali khatam.

Hairan.

Tak serupa cara hidup tetapi mungkin sama nilainya manusia sebegini di sisi Allah. Keluarga yang pertama mungkin dimurka Allah kerana melanggar hukum, sementara keluarga si soleh dimurka kerana melanggar adab. Jika menurut saya yang mana yang lebih berat ‘masalahnya’, saya memilih keluarga si soleh kerana agama yang ada sepatutnya sudah mampu mengurus adab dirinya tetapi kerana ia bukan dihayati tetapi sekadar dibanggai, inilah masalah yang lebih berat apabila ada yang mengatakan :

“ Buat apa nak jadi orang alim baik-baik, banyak yang buruk lagi perangai dari orang jahil.”

Siapa mahu jawab apabila masyarakat melihat si soleh dan si jahil sama sahaja!

p/s : kepada pembaca sekelian yang merasakan saya seperti suka bersangka buruk kepada si soleh, saya menganjurkan untuk kalian membezakan bedanya bersangka buruk dengan merenung dan menilai. Merenung dan menilai untuk pembaikan bersama saya kira sangat penting dengan menghindari bersangka buruk apabila kita juga merenung mungkin kita juga punya ciri yang sama seperti ‘si soleh’ tersebut.

Wallahu’alam.

6 Pendapat:

zahrana said...

salam, kef hal ukht...kangen banget sama kmu. sekembali dari tanah jawa byk santapan ruhani yang saya kutip, bukan hanya kenangan indahnya tmpt orang malah keletah manusia juga.

pagi hari ke-5 dari 3hari lawatan yang berbaki, tas teman saya dicuri orang ketika menunngu di lobi hotel. tapi yg menyedihkn kami, tidak ada seorang pun dari 2 org pensyarah pengiring yg mengambil tggjwb untuk menguruskan si teman yg kesusahan, malah semuanya ditolak mentah2 kepada pemandu pelancong dari awal sampai akhir. tidak ada pujukan menenangkan dari 2 pensyarah wanita yang masing2 berusia hampir separuh abad, mereka malah sibuk bershopping dengan kredit card, membebel tak sudah dan mengumpat-ngumpat dihadapan pelajar tanpa segan silu. perkatakan yang diucapkan terhadap pelajar dihadapan pensyarah dan pelajar asing juga tidak dijaga, hingga ada teman pelajar yang tersinggung dan berasa maruah kami dijatuhkan tanpa rela. kami berada di indonesia tapi situasi yang kami hadapai: "malaysia ganyang malaysia!"

mengenangkan tingkah laku 2 pensyarah itu, sampai2 saya jadi hairan dan malu untuk mengakui kami dari Universiti Islam Antarabangsa.apa yang saya dan teman-teman alami sepanjang lawatan amat-amat kami kesali, marah bercampur geram dan hilang sudah segunung rasa penghormatan yang kami tamankan bagi mereka yang kami gelar pendidik. kami tidak menyalahkan mereka 100% kerana menjaga 22 pelajar dinegara asing memang perkara yang sangat susah, tapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita melepaskan tggjwb semata-mata kerana susah yang menimpa. apakah betul jika kita meninggalkan agama saat kita berasa ianya sangat berat?

saya membuat kesimpulan: adab tidak datang dengan title doctorate waimma apa pun lapangan ilmu yang diceburi. adab saya kira punyai falsafah yang mirip dengan ikhlas...datangnya dengan pemahaman dan penghayatan yang jujur dan benar. agama seseorang yang hakiki terpancar dari cerminan akhlaknya, dan adab umpama perhiasan yang menambah kehalusan akhlak dan budi pekerti seorang manusia, selayaknya kehalusan adab sopan dan budi pekerti semakin terpancar seiring peningkata usia, kerana dengan pengalaman dan kematangan... seseorang itu akan terdidik untuk menimbang perasaan orang sekeliling dan natijah bagi setiap kata-kata dan perbuatannya. apalagi bagi seorang pendidik yang seharusnya memberi teladan yang baik untuk dicontohi...

wallahu3alam.

zahrana said...

p/s: i lost ur fon no...again huhu. plish do contact me. syukran.

ummu-nisaa' said...

salam
moga shbt iz tu tabah.
erm,mudahnye sang lelaki tadi putuskan pertunangan.
Kalaulah dia selami dulu betapa hancurnya hati sang perempuan sebelum dia bertindak demikian... kan lebih beradab namanya.
Mengapa mudah sgt baginya kehilangan rasa kasih terhadap sang perempuan?

wildan said...

teruskan prjuangan..salam alaik..
jemput k blog sy..

Anonymous said...

salam ukhti izzah.terima kasih krn x jemu mendidik umat dengan isu yang sy kira sgt penting ttp sudah diremehkan oleh kebanyakan org Islam. ya...isu adab. barangkali semua sudah lupa utk menjadikan Rasulullah SAW sbg suri tauladan y sgt ideal. Saidina A'isyah telah mengatakan akhlak Rasulullah SAW ibarat cerminan dari Al-Quran. sgt indah. seolah2 baginda adalah Al-Quran yg hdup yang mampu mjadi perantara rahmat ALLAH ke sluruh alam. Subhanallah...berbalik kpd kisah putus tunang td sy kira tindakan si lelaki memg kurg adabnya.jika beradab dia mestilah bersua muka dan mengadakan meja bulat bersama tunangan n ahli keluarganya. namun begitu, sy bpendapat bhw kita perlu menyelidik masalah yang sdg dihadapi oleh si lelaki tersebut. byk kemungkinan2 yang kita x sangka ianya berlaku spt sakit dalaman, kronik n sebagainya. fahami juga naluri lelaki, mereka xkan mahu utk menceritakan segalanya. dan nasihat sy pada teman ukhti, hadapilah ragam dan pasngan anda (bg y dah berkahwin) dgn bijaksana. kdgkala pihak lelaki sengaja ingin melihat n menguji emosi wanita.adakah masalah ini ditangani dengan emosi semata atau dengan neraca dan pertimbangan akal dan rohaninya...fikirkanlah...

::muslihah zaki:: said...

alhmdulillah atas perkongsian ukhti..

adab itulah keindahan islam...

persangkaan buruk sesama Muslim adalah satu musibah...

dan bersangka buruk pada ssuatu yang tak pasti betul sangat tidak adil pada seseorang...

:) moga-moga Allah hadirkan keikhlasan ht kpd kita smua...

slmt mjaga adab..

kdg2 terlajak kata, susah nak tarik balik..sebb berurusan dgn mnusia ni kdg2 kompleks...

mohon dijauhkn dr emosi ...

syg krn Allah~