CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, December 9, 2007



Sesak juga Main Auditorium semalam gara-gara satu forum yang hangat dihebah-hebahkan seminggu yang lalu. Ya, forum, “kita semakin kejam. Kenapa?”. Saya amat tertarik dengan promosi yang dilakukan apatahlagi saya mengambilnya sebagai satu bonus kerana forum tersebut sedikit sebanyak berkaitan dengan undang-undang jenayah.

Saya mungkin terlewat kerana saya ada pertemuan yang lain pada malam itu, namun saya rasa masih belum terlambat untuk mengikuti diskusi tersebut. Antara panel yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan audien adalah bapa kepada adik Nurin Jazlin, seorang mangsa pembunuhan kejam yang pernah menggemparkan negara pada Ramadhan yang lalu. Mudah-mudahan arwah adik Nurin Jazlin berada dalam rahmatNya.

FORUM YANG GAGAL!

Saya berterima kasih kepada pihak penganjur atas inisiatif untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang dunia kekejaman yang berlaku di Malaysia sekarang. Tetapi ada satu perkara yang saya amat kesali, forum malam semalam gagal mencapai matlamatnya. Membicarakan tentang peranan polis, fungsi penjara, pengalaman dan perasaan bapa nurin bukanlah jawapan yang tepat kepada tajuk forum “kita semakin kejam. Kenapa?”
ya, tiada masalah untuk membincangkan tentang peranan polis, penjara, masyarakat sekeliling dan sebagainya. Namun jika antara yang diberikan sebagai saguhati kepada hadirin adalah sebuah majalah yang galak mendedahkan sumber-sumber seks, gambar-gambar remaja serta artis yang miskin dan fakir pakaian,malahan tidak cukup dengan tulisan-tulisan yang boleh mendorong kepada syahwat yang sedia dihuni syaitan, apalagi guna forum pada malam itu? Sedangkan punca kepada jenayah rogol dan bunuh adalah berpunca daripada sahsiah individu yang hilang sifat kemanusiaan kerana kerja media yang rakus merosakkan anak-anak muda sekarang?

Ibarat seorang yang menutup rambutnya kerana aurat tetapi betis kaki suka ditayang-tayang. Begitulah saya cuba analogikan forum pada malam itu! Apa yang saya cuba sampaikan adalah, punca yang seharusnya kita halakan adalah kerja media. Bukan kerjanya menghasut remaja untuk berpakaian bebas yang merangsang nafsu lantas mendorong jiwa manusia bertindak seperti binatang sehingga sanggup merogol dan membunuh manusia dengan kejam. Bukan juga menulis sesuatu yang mendesak syahwat mencari ruang untuk memburu mangsa yang tidak bersalah sebagai makanan nafsu mereka. Sayangnya dan teramat sayang, begitulah media mencari makan. Mengharapkan majalah mereka laris lantas dijaja maruah anak-anak muda yang bejat akhlak sebagai hidangan mata dan hati.

JANGAN CAKAP..

…nak hapuskan jenayah kalau masih beranak pinak majalah sebegini. jangan bermatian berjuang memperkenalkan death penalty kepada perogol kalau majalah hiburan murahan begini terus mendapat lesen membanjiri pasaran. Jangan sibuk-sibuk hendak perketat undang-undang bagi mengurangkan jenayah andai rancangan-rancangan perosak minda dan agama bebas ditayangkan tanpa tapisan. Mengapa sibuk hendak mengatasi masalah sedang punca kepada masalah terus-terus kita sokong!

Sebagai seorang muslim,kita seharusnya tidak redha dengan fenomena sebegini. namun, tidak ramai antara kita yang mampu untuk mengeksperesikan ‘ketidak redhaan’ kita kepada pihak yang bertanggungjawab. Cukupkah setakat redha dalam hati jika mahu suara ketidak puas hatian kita diambil kisah? Saya juga akur, usaha saya menulis kritikan ini adalah suatu usaha yang amat sedikit.
Harapan saya semoga tulisan saya mampu menjentik iman para pembaca untuk kita sama-sama berfikir apakah tindakan yang lebih berkesan untuk mempengaruhi pihak yang bertanggungjawab mengurus media agar lebih cenderung kepada Islamic view. Sungguh-sungguh saya harapkan penyatuan usaha begini.Apalagi tugas kita kalau bukan sebarkan yang makruf dan memerangi yang mungkar?

KESIMPULAN

Sedikit nasihat untuk sesiapa yang menganjur program, juga kepada sesiapa yang bekerjasama menganjur program agar tapislah dan suntiglah dahulu segala bahan yang ditawarkan. Tidak semua segala yang percuma itu harus kita terima walaupun penganjur bermurah hati menajanya. Gunalah akal yang matang serta fikrah Islam yang ada untuk melihat segala tawaran yang datang sebagai pandangan seorang ISLAM bukan seorang yang sekular ataupun liberal.

“jika kita tidak mampu memberi masin pada ikan, janganlah pula menjadi langau kepadanya ”

1 Pendapat:

AQIDAH WA FALSAFAH said...

DICIPTAKAN KEJAHATAN ITU UNTUK ALLAH MEMPERKENALKAN KEBAIKANNYA. BAGI YANG SEDAR KEBAIKAN ALLAH TENTU AKAN MENGEJARNYA, NAMUN BAGI YANG LEKA TENTU MABUK DENGAN KEJAHATAN YANG DISANGKA BAIK..