Buat saudara sepupu saya yang telah kembali ke rahmatullah semalam, Abang Zaid. Arwah merupakan pelajar perubatan di UMS dan baru berusia awal 20-an. Moga rohnya di tempatkan bersama orang-orang beriman..Al-Fatihah.
juga buat saudara sepupu saya yang kini terlantar di hospital Ampuan Rahimah, Klang, Abang Zharif, setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika melakukan operasi kastam semalam. Mudah-mudahan beliau lekas sembuh.
Tuesday, December 18, 2007
BELANGSUNGKAWA..
Ditulis oleh NuRizZ at 6:09 PM 0 Pendapat
Sunday, December 16, 2007
KERANA SYAHADAH AKU DAE'I
“ duhai sahabat, aku rindukan gerak bibirmu yang basah dengan kalam yang penuh peringatan, aku rindukan wajahmu yang bersih dan tenang yang mengingatkan aku kepada wajah ahli-ahli syurga, dan aku mengimpikan agar kita bisa berpimpinan menelusuri jalan dakwah dan tarbiyyah sehinggalah nafas yang terakhir "
EPILOG
“ erm, tengoklah, ana macam banyak sikit kerja hari ni, apa-apa nanti ana inform enti balik”.
Saya pujuk-ujuk hati bersangka baik. Mungkin lepas itu dia punya tugasan penting untuk disiapkan. Namun sebagai saudara seusrah, ikatan akidah yang ada ,sedikit sebanyak menjentik hati saya tentang perubahan sahabt ini. Safiya, bukan orang biasa. Alhamdulillah, latarbelakang agamanya cukup mantap. Pernah diasuh dan terdidik di sebuah sekolah agama yang terkenal dengan melahirkan pelajar-pelajar aktif berdakwah. Apatahlagi dengan penampilannya bertudung litup dan dia jugalah yang mula mengajak saya beusrah. Katanya tarbiyyah ini macam nasi, sehari tak makan tak senang perut.
Safiya!
Hinggalah suatu hari..
“ iz, ana nak keluar usrah, ni bukan tempat ana “ gemuruh darah saya mendengarnya dan saya berusaha mencari secebis ketenangan agar amarah saya tidak menguasai emosi.
TARBIYYAH DAN FUTUR
Tulisan kali ini adalah berdasarkan catatan pengalaman. Lama juga saya mengambil masa untuk menulis tentang tarbiyyah dan futur ini kerana ingin mencari hikmah yang sesuai bagi menasihati sahabt-sahabt yang sudah tergelincir daripada jalan tabiyyah, futur. Jika anda pernah berusrah, munkin anda pernah melalui situasi di atas atau pernah mendengarnya.
1) Seorang sahabat mengirim mesej mengajak kita ke suatu ceramah agama atau penyampaian tazkirah, namun kita tidak mengendahkannya kerana malas ataupun dirasakan tidak penting. peliknya, kita lebih suka hadiri gathering ataupun perjumpaan yang duduk sembang-sembang,ketawa-ketawa. Lebih-lebih lagi bila berikhtilat lelaki dan perempuan.
2) Kita diajak untuk bersama-sama qiamullail berjemaah di masjid. Namun kita berasa teramat berat dan memilih untuk bersedap-sedap di atas katil.
3) Kita diajak untuk menyertai usrah dan menghulurkan bantuan dalam aktiviti dakwah, namun kita beralasan dengan banyak komitmen lain seperti study atau ‘bisnes’ yang seakanlebih menguntungkan kita.
4) Seorang sahabat mengajak kita berpuasa esok namun kita beralasan nanti sakit perut dan susah hendak study. Tetapi sebenarnya, hati ini terlalu taksub hendak makan.
5) Jika dahulu kitalah yang mengimarahkan surau dan masjid, tetapi sekarang hendak berdiri dalam satu saf untuk berjemaah sudah terasa liat untuk melakukannya. Apatahlagi suka-suka pula solat dihujung-hujung waktu kerana dapat terus tunggu waktu solat yang seterusnya
6) Jika dahulu dalam sehari kita rajin membaca al-qur’an, paling kurang satu muka. Namun lama-lama kita sudah asyik dengan buku-buku 'sampingan', komik dan main games, itukan lebih menyeronokkan kita daripada menghadap al-qur’an.
7) Apabila orang menasihati kita atau bercakap sikit tentang bab agama, kita sudah berasa mual dan tidak enak. mulanya tidak mahu jadi jumud sangat, biar nampak selamba asalkan perkara yang wajib dalam agama kita masih buat. Sudah yakinkah dengan hanya amalan wajib kita dapat masuk syurga Allah?
8) Kehidupan kita semakin tidak terurus dan menjadi lagha. Terlalu banyak ketawa dan senda gurau yang berlebihan . Jarang sekali kita mengeluarkan kata-kata yang bermanfaat menasihati sahabat-sahabat.
9) apabila kita dirisik cinta si dia, kita mula menjadi lemah kerana melayan si dia. Tidak kiralah mesej mahupun telefon. Hingga nikmat ukhuwah dengan sahabat sendiri terasa pahit tetapi ukwah dengan si dia kita labelkan inilah ukhwah fillah. Cinta islamik ini saudara!
10) Kita sudah mula berasa malas dan tidak serius dalam pelajaran. Tutorial dan assignment sering diambil remeh dan hati terasa berat untuk mengulangkaji pelajaran. Kemudian, sudah mula berfikir bagaimana dapat ponteng kelas.
KEMBALILAH SAHABAT..
Kita bukanlah malaikat yang sentiasa tetap level imannya. Saya juga pernah goyah dengan ujian-ujian dunia. Namun, jika kita terus memilih untuk terus futur dan tidak mahu berubah, tiada siapa yang dapat membantu diri kita lagi.
Ditulis oleh NuRizZ at 6:08 PM 10 Pendapat
Sunday, December 9, 2007
Sesak juga Main Auditorium semalam gara-gara satu forum yang hangat dihebah-hebahkan seminggu yang lalu. Ya, forum, “kita semakin kejam. Kenapa?”. Saya amat tertarik dengan promosi yang dilakukan apatahlagi saya mengambilnya sebagai satu bonus kerana forum tersebut sedikit sebanyak berkaitan dengan undang-undang jenayah.
Saya mungkin terlewat kerana saya ada pertemuan yang lain pada malam itu, namun saya rasa masih belum terlambat untuk mengikuti diskusi tersebut. Antara panel yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan audien adalah bapa kepada adik Nurin Jazlin, seorang mangsa pembunuhan kejam yang pernah menggemparkan negara pada Ramadhan yang lalu. Mudah-mudahan arwah adik Nurin Jazlin berada dalam rahmatNya.
FORUM YANG GAGAL!
Saya berterima kasih kepada pihak penganjur atas inisiatif untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang dunia kekejaman yang berlaku di Malaysia sekarang. Tetapi ada satu perkara yang saya amat kesali, forum malam semalam gagal mencapai matlamatnya. Membicarakan tentang peranan polis, fungsi penjara, pengalaman dan perasaan bapa nurin bukanlah jawapan yang tepat kepada tajuk forum “kita semakin kejam. Kenapa?”
Ibarat seorang yang menutup rambutnya kerana aurat tetapi betis kaki suka ditayang-tayang. Begitulah saya cuba analogikan forum pada malam itu! Apa yang saya cuba sampaikan adalah, punca yang seharusnya kita halakan adalah kerja media. Bukan kerjanya menghasut remaja untuk berpakaian bebas yang merangsang nafsu lantas mendorong jiwa manusia bertindak seperti binatang sehingga sanggup merogol dan membunuh manusia dengan kejam. Bukan juga menulis sesuatu yang mendesak syahwat mencari ruang untuk memburu mangsa yang tidak bersalah sebagai makanan nafsu mereka. Sayangnya dan teramat sayang, begitulah media mencari makan. Mengharapkan majalah mereka laris lantas dijaja maruah anak-anak muda yang bejat akhlak sebagai hidangan mata dan hati.
JANGAN CAKAP..
…nak hapuskan jenayah kalau masih beranak pinak majalah sebegini. jangan bermatian berjuang memperkenalkan death penalty kepada perogol kalau majalah hiburan murahan begini terus mendapat lesen membanjiri pasaran. Jangan sibuk-sibuk hendak perketat undang-undang bagi mengurangkan jenayah andai rancangan-rancangan perosak minda dan agama bebas ditayangkan tanpa tapisan. Mengapa sibuk hendak mengatasi masalah sedang punca kepada masalah terus-terus kita sokong!
Sebagai seorang muslim,kita seharusnya tidak redha dengan fenomena sebegini. namun, tidak ramai antara kita yang mampu untuk mengeksperesikan ‘ketidak redhaan’ kita kepada pihak yang bertanggungjawab. Cukupkah setakat redha dalam hati jika mahu suara ketidak puas hatian kita diambil kisah? Saya juga akur, usaha saya menulis kritikan ini adalah suatu usaha yang amat sedikit.
KESIMPULAN
“jika kita tidak mampu memberi masin pada ikan, janganlah pula menjadi langau kepadanya ”
Ditulis oleh NuRizZ at 6:25 PM 1 Pendapat
Saturday, December 1, 2007
DEAN LIST ATAU DEEN LIST?
Bangga bukan apabila kita dinobatkan sebagai pelajar dean list? Mana tidaknya, antara ratusan pelajar yang menuntut dalam fakulti tersebut, kita Berjaya menggondol title dean list. Apatahlagi, ianya menjadi satu tradisi di fakulti undang-undang UIA, kesemua pelajar dean list bagi setiap semester akan dianugerahkan sijil penghargaan oleh dekan di hadapan semua pelajar baru. Wah! Sudah pastinya mereka menjadi pujaan pelajar-pelajar baru ini.
DEEN LIST?
“ deen list macam mana? dapat?”
Aduh, bagaimana pula hendak mendapat deen list yang ini? Kalau orang bertanya kita bagaimana boleh dapat dean list, mungkin ada antara kita yang boleh senaraikan hampir semuka kertas tips-tips kejayaannya.
- baca topik sebelum ke kelas
- tumpu perhatian ketika lecturer mengajar
-buat note lepas habis lecture
-buat discussion dengan kawan-kawan
-aktif dalam kelas dan rajin bertanya pada yang arif
Hah, itu baru sedikit yang saya berikan. Mungkin anda yang lebih cemerlang, mampu memberikannya lebih. Menjadi seorang yang cemerlang dalam pelajaran menjadi tuntutan dalam Islam. Sehingga Rasulullah bersabda :
“ barangsiapa inginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa inginkan akhirat maka hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa inginkan kedua-duanya hendaklah dengan ilmu”
Begitu sekali Islam mengagungkan ilmu! Sehingga lahirnya ilmuan-ilmuan Islam yang cukup ternama dengan kesemua lapangan ilmu. Tidak kira ilmu perubatan, matematik, fizik, juga lapangan ilmu fiqh, hadith, tasawuf dan sebagainya. Siapa yang tidak kenal dengan Ibnu Sina,Ibnu Rushd, Al-Farabi, Al-Biruni, Al-Razi, Al-Ghazali, Ibnu Taimiyyah,Ibnu Qayyim dan ramai lagi ilmuwan islam yang lain. Mereka ini bukan sahaja layak dinobatkan dean list tetapi juga mereka sangat unggul dalam deen list.
Namun, apa yang menyedihkan sekarang ini, ramai yang berkejar-kejaran ingin mendapat dean list tetapi tercicir dalam mendapat deen list. Kita bertungkus lumus dari pagi hingga ke malam menghadap buku. Boleh dikatakan kita adalah tetamu tetap perpustakaan. Buku apa yang kita tidak pernah baca, hampir kesemua tulisan ‘author’ kita hafal. Tinggal lagi soalan peperiksaan tidak keluar semua topic, jika tidak segala macam ilmu dapat dimuntahkan. Wah, tahniah saya ucapkan kepada mereka ini kerana mempunyai stamina study yang begitu hebat.
NAMUN SAYANGNYA..
Mana hilangnya stamina untuk skor deen list? Jika solat lima waktu tidak pernah cukup sehari, jika Al-Qur’an sudah berhabuk terperosok di dalam almari, jika majlis agama dianggap tempat membuang masa, jika hati terasa lelah untuk membuat ibadah , maka kitalah orang yang paling gagal dalam hidup. Adakah kita fikir Tuhan yang memberikan kejayaan dalam pelajaran adalah berbeza daripada Tuhan yang kita memohon doa dalam solat?
“ janganlah kamu bersedih hati sedang kamu adalah orang yang paling tinggi darjatnya sekiranya kamu orang yang beriman”- al-tanzil-
Begitu Allah mengangkat darjat orang yang teguh imannya! Jadi, adakah janji Tuhan sebegini adalah dusta?
Apa yang lebih menyedihkan saya apabila seseorang yang mengikut tarbiyah dan usrah, masih lagi beralasan ‘hendak studi’ bagi meminta excuse untuk tidak hadir usrah. Adakah janji Allah untuk merahmati mereka yang menghadiri majlis ilmu adalah janji yang palsu juga? Adakah ada Tuhan lain yang memberi rezeki kepada mereka?
Firman Allah :
“ walau berkumpulnya seluruh umat di alam ini untuk memberi kebaikan padamu, maka ianya tidak akan berlaku melainkan dengan keizinanNya”
Mungkin ada juga yang mempersoalkan :
“dia tu tak lah alim pun, tapi asyik skor dean list je”
Anda pernah mendengar kisah Firaun? Kisah Qarun? Begudang-gudang harta dan kemegahan Allah kurniakan kepada mereka sedangkan mereka kufur dengan nikmatnya . Namun Allah masih jua melimpahkan mereka dengan harta dan kekayaan. Inilah istidraj! Nikmat yang diberikan kepada mereka untuk lebih menyesatkan lagi mereka. Nauzubillah!
Mudah-mudahan kita dijauhkan oleh daripada golongan yang disesatkan dengan nikmatnya.
“dan kami pecahkan mereka di dunia menjadi beberapa golongan ; di antaranya adalah golongan yang soleh dan golongan yang sebaliknya, dan kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran- al-a’raf: 168
KESIMPULAN
Andai ingin dianugerahkan dean list biarlah juga kita cemerlang untuk mendapat deen list. Masih ramai mereka yang baik agamanya namun masih cemerlang dalam pelajaran. Inilah contoh nikmat yang Allah anugerahkan buat mereka yang syukur dengan pemberiannya. Namun andai anda masih belum Berjaya, berusahalah untuk memperoleh deen list kerana anda lebih Berjaya daripada mereka yang cemerlang dalam pelajaran tetapi gagal mendapat tempat dalam menempah syurgaNya!
Moga Allah juga menganugerahkan deen list kepada kita! (",)
Ditulis oleh NuRizZ at 1:44 AM 10 Pendapat
Monday, November 19, 2007
PERLUKAH TELEFON?
“ Maaf, battery hp saya dah nak habis ni”
“ maaf, saya tengah drive, tak dapat nak cakap”
“ maaf, line maxis tak clear kat sini”
Maaf kepada sesiapa yang bukan muhrim yang menelefon saya kerana saya harus menipu dengan ayat-ayat begini. Sebetulnya saya tidak selesa menerima panggilan yang saya rasakan tidak penting daripada mana-mana lelaki. Mungkin silap saya juga kerana tidak bertegas dari awal kerana saya tidak tahu hendak mula dari mana. Jadi saya cuma berdalih-dalih begini. Mulanya saya hanya ingin memberi hint yang saya tidak suka dengan panggilan mereka, namun kelihatan, saya harus berterus terang yang saya sememangnya tidak suka menerima panggilan lelaki kecuali ianya merupakan kecemasan.
ADA BENDA NAK BINCANG
Ada yang menelefon kerana ada perkara yang ingin dibincangkan. Banyaknya tentang bab-bab agama, isu-isu hukum terkini yang dibahaskan. Memang tidak dinafikan saya agak tertarik sekiranya ada yang ingin berbahas tentang hal-hal sebegini. Cumanya, saya tidak merasakan medium telefon adalah yang paling sesuai untuk berhubung sebegini. Seboleh mungkin kita cuba elakkan daripada berhubung suara kerana masih ada emel atau blog yang saya rasakan lebih bersih. Kita lebih bebas untuk mengutarakan pendapat dan lebih mudah difahami.
Percayalah, syaitan tidak mudah mengalah! Sebijak mana kita ingin mempercantikkan alasan untuk berhubung namun kelicikan syaitan tiada tandingan. Sedikit demi sedikit dia akan pesongkan niat dan melayarkan kita dengan rasa asyik ketika berhubung suara.
“ janganlah kamu melembutkan suara kepada mereka yang sedia dengan penyakit pada hati”- al-tanzil-
SEKADAR BERBUAL
“ada apa telefon?”
“saje je nak sembang dengan awak”
Maaf sekali lagi. Alasan yang paling tidak munasabah jika mahu menelefon. Mungkin saya agak tidak kisah jikalau lelaki ‘ tepi jalan’ yang berkata sedemikian. Namun, apa yang agak mengecewakan saya adalah mereka yang berkopiah, berjubah dan belajar agama yang berkata begitu. Benarlah apa yang dikatakan saudara saya :
‘orang yang tahu hukum tidaklah sama dengan orang yang faham hukum’
Mari kita ingatkan kembali hadith ini :
"Telah tertulis atas anak Adam akan nasibnya daripada zina akan bertemu. Maka kedua mata, zinanya adalah memandang. Kedua telinga, zinanya adalah mendengar. Lisan, zinanya adalah berkata. Tangan, zinanya adalah menyentuh. Kaki, zinanya adalah berjalan. Dan zinanya hati adalah ingin dan angan-angan. Maka akan dibenarkan hal ini dengan kemahuan, atau didustakannya!"
(HR Muslim, dari Abu Hurairah)
Telah jelas hukum bahawa setiap indera kita andai tidak dijaga akan membawa kepada zina. Sedangkan hati yang tidak mampu bersuara dan bergerak juga mampu menyumbang kepada zina. Dahulu, saya pernah mengenali seorang lelaki dan saya memilihnya untuk menjadi teman hidup. Kemudian ada seseorang yang bertanyakan kepada saya kenapa saya harus memilih dia. Jawapan saya :
“ sebab dia tak suka call dan tak suka jumpa, selebihnya sangat subjektif ”
Saya pernah ingatkan beberapa kali kepada kawan-kawan dan adik-adik saya agar jangan mudah terpengaruh dengan penampilan luar seseorang. Lihat bagaimana pergaulannya dengan perempuan. Jikalau dia berani membelakangkan hukum, kita punya akal untuk mempertimbangkan yang baik dan yang buruk. Sebetulnya, pakaian yang kita pakai harus mengingatkan bagaimana kita harus berakhlak. Jika tidak ia akan mendatangkan fitnah. Namun, nasihat saya, elok dahulu kita saling sedarkan antara satu sama lain tentang kesalahan yang tidak sedari ini. Mudah-mudahan masing-masing dapat berubah.
“ berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat untuk orang lain” – al-‘ala: 10-
KESIMPULAN
Pesan saudara saya lagi :
“ nurul,dalam hidup ini ada 2 golongan manusia,manusia biasa dan yang luar biasa.Manusia biasa ini manusia yang hidup dengan mengutamakan perasaannya daripada hukum yang dia ketahui,manusia yang kedua adalah manusia yang mengorbankan perasaan seorang manusia biasa untuk memilih jalan yang Allah redhai..terpulang pada diri nurul untuk menjadi manusia yang bagaimana..”
Mudah-mudahan Allah akan selalu menyertai kita dalam setiap perbuatan kita.
p/s : tulisan kali ini adalah ingatan untuk diri saya juga kerana saya juga sedang dalam proses perubahan. Tidak juga saya khususkan untuk muslimin tapi juga untuk muslimah.ingatlah,Tidak semua manusia yang sempurna dalam setiap perkara dan kita juga janganlah harapkan kepada kesempurnaan orang lain. Sebaliknya, saling ingat-mengingati itu yang perlu kita jadikan amalan.
Boleh rujuk entri-entri yang lebih menarik, risalah vs cinta dan sebelum mahu kahwin di http://www.studiomuslim.com/
Ditulis oleh NuRizZ at 5:38 PM 2 Pendapat
Sunday, November 18, 2007
PUISI BERITA MINGGU
saya dedikasikan puisi ini setelah saya selami rasa duka seorang isteri yang tabah menghambakan diri kepada seorang suami kerana cinta. Namun..suaminya adalah....PENOMAD CINTA
(buat dia yang berpindah dari wadi ketandusan)
Dia penomad cinta
Menyangkar aku dalam jeriji kesetiaan
Menghampar jagat kisah derita
Dalam keruh kolam-kolam dusta
Membunuh nyalinya sukma
Dalam hiris sembilu janji
Dia penomad cinta
Yang telah menjajahi setiap ruang hati
Memahat lirik-lirik nyanyian kecintaan
Mabuk dalam nanar rindu
Dari sumur tandus kepeduliaan
Dia penomad cinta
Yang merayu sebutir simpati
Untuk menambat nama dalam agenda hayatku
Kala jiwaku menyerah
Dia ibarat bara yang menyengat
Membakar nafas kasih
Yang mengakar dari pohon perkasihan
Duhai penomad cinta
Aku adalah perempuanmu
Yang kau pinjam senyumnya
Dan tega kau lunasi dengan jerih perpisahan
Dia penomad cinta
Yang telah kukirim wajahnya
ke pusara kenangan
UIAM,Gombak
Berita Minggu 18.11.2007
Ditulis oleh NuRizZ at 5:06 PM 1 Pendapat
Tuesday, November 6, 2007
BOLEH JADI HAKIM?

Alhamdulillah, agak lama juga saya tak sempat hendak melawat blog sendiri. Musim peeperiksaan akhir semester kali ini agak menuntut saya untuk lebih focus pada ulangkaji. Apatahlagi semester ini ada 8paper yang harus saya duduki. 3 paper untuk Civil Law, 3 paper Syariah Law, 2 paper Compulsory Course. Sementara ini hanya tinggal 1 lagi paper pada hari Sabtu ini iaitu Contract Law. Mudah-mudahan ada rezeki saya dalam ibadah menuntut ilmu ini.
Untuk entri kali ini saya agak berminat untuk berkongsi pendapat tentang isu yang agak panas sekarang. Kebetulan isu ini menjadi salah satu topik penting dalam subjek syariah yang saya ambil dan yang paling menariknya, ia menjadi salah satu soalan final baru-baru ini. Untunglah bagi siapa yang ambil peduli! (“,)
NAMPAKNYA SAYA BOLEHLAH JADI HAKIM
Andai saya adalah daripada golongan liberalisme, sekularisme atau feminisme, mungkin saya bermati-matian berebut untuk jadi hakim wanita. Sengaja saya tidak meletakkan golongan kafir kerana mereka ini memang sudah langsung tidak berpegang dengan I’tikad islam. Tapi yang separuh-separuh islam ini yang cuba masuk islam secara separuh dan membuat ‘kitab’ sendiri yang lebih sesuai pada zaman sekarang
TERUKNYA WANITA DULU
Jika kita lihat hikmah perutusan Rasulullah kepada seluruh umat manusia sebagai seorang rasul, secara jelas dan terangnya kita dapat melihat kedudukan wanita telah diangkat setaraf dengan lelaki. Jika dahulu, wanita ibarat barang dagangan yang boleh dijual- beli, menjadi barang gadaian, barang untuk lunas hutang, barang untuk tebusan, sehingga menjadi satu aib bagi sesebuah keluarga yang dianugerahkan bayi perempuan.
Teringat saya akan suatu kisah pada zaman jahiliyyah. Sepasang suami isteri dianugerahkan anak perempuan yang sangat comel berkulit putih kemerahan. Bermata bulat dan irisnya bewarna coklat berkaca dengan lentik bulu mata yang pekat hitam.Mereka bertahan untuk membesarkan anak mereka sehinggalah umur anaknya 3 tahun dan akibat tidak tahan dengan cemuhan masyarakat sekeliling, si ayah bertekad untuk membunuh anaknya. Dan pada suatu hari..
“ayah sedang buat apa?” ayahnya hanya diam. Dilihat ayahnya tekun menggali tanah. Anaknya masih berlari-lari mengelilingi ayahnya sambil terkinja-kinja ketawa. Sempat lagi si anak bermain sorok-sorok di belakang ayahnya sedang ayahnya masih terus memperdalamkan tanah.
Dan satu ketika, si anak datang membuang sisa tanah yang terlekat pada janggut ayahnya sambil menghulurkan senyum yang paling indah. Tiba-tiba hati ayah amat terusik dan terus bergenang air mata. Namun, untuk mengelakkan rasa simpati yang semakin menguasai diri, dia tanpa belas menghumban anaknya yang baru mengusap janggutnya ke dalam tanah dan lekas-lekas ditimbusnya sehinggalah jerit tangis si anak hilang tenggelam .
Jadi, sehingga begitu taraf wanita direndahkan. Namun kita syukur sekarang, kita sudah dapat melihat majoriti wanita yang berkhidmat untuk masyarakat, sebagai pendidik, doktor, peguam, tidak kurang ada juga yang menjawat jawatan sebagai pengarah bagi satu syarikat. Jika dilihat dari segi taraf pendidikan, wanita sudah mula mempelopori ¾ daripada jumlah pelajar di univesiti. Begitu islam memuliakan wanita.
BOLEHKAH WANITA JADI HAKIM
Apa pula kata Al-Tanzil?
“ lelaki adalah pemimpin kepada wanita, kerana Allah telah melebihkan mereka daripada sebahagian lain, kerana mereka telah menafkahkan sebahagian kekayan mereka”
Perkataan qawwamun telah digunakan untuk merujuk kepada lelaki adalah pemimpim dalam keluarga. Allah melantik kaum adam kerana kelebihan fizikal dan keteguhan hati untuk mendepani segala cabaran yang hebat. Bukan bererti wanita dikatakan lemah tetapi, hakikat yang tidak dapat ditolak bahawa wanita tidak mampu menguruskan hal rumahtangga seorang diri apatahlagi apabila ia menuntut kepada keupayaan fizikal yang tinggi. Lebih-lebih lagi, untuk wanita mendepani segala macam bahaya dalam masyarakat yang kadang-kadang boleh melemahkan wanita sekiranya wanita diangkat menjadi pemimpin. Mainan emosi yang pelbagai yang telah dianugerahkan Allah boleh menggugat kewibawaan wanita ketika menjadi ketua kepada orang bawahan.
Apa pula kata hadith?
“ tidak akan beruntung sesuatu kaum itu apabila pemimpinnya adalah seorang wanita” ( HR Bukhari)
Sebab wurud hadis ini adalah apabila Rasulullah mendengar tentang penyerahan kuasa Parsi kepada puteri Kisra yang bernama Buran untuk memerintah Parsi. Maka terus Rasulullah bersabda seperti riwayat hadith di atas. Jadi kita dapat melihat bagaimana Rasulullah memandang hukum mengangkat wanita sebagai pemimpin.
Apa pula kata sejarah Islam?
Cuma pernah suatu ketika di Mesir telah berkuasa seorang ratu yang bernama Syajaratuddur dari dinasti Mamalik yang tunduk pada Khalifah Abasiyyah ketika di bawah Khalifah Al-Muntashir Billah iaitu saat Sultan Malikus Salih meninggal dunia dan pemerintahan diserahkan kepada Syajaratuddur. Namun setelah mendengar peristiwa ini, khalifah terus mengirim surat kepadanya dan bertanyakan, adakah di Mesir sudah tidak ada lelaki? Jika benar tiada maka akan kukirim lelaki dari Baghdad untuk menjadi pemimpin di Mesir. Maka setelah itu Syajaratuddur terus berundur diri dan menyerahkan permerintahan kepada Emir Ezzedin yang selepas itu menikahinya.
Maka, jelas dalam perjalanan sejarah Islam tiada rujukan yang mengisahkan mana-mana wanita diangkat menjadi pemimpin.
Apa pula kata ilmuan Islam?
1) Mengikut Jumhur ulama’ (syafiah, hanbali, malikiah) adalah haram melantik wanita menjadi hakim.
2) Pendapat Hanafiah adalah harus melantik hakim wanita kecuali dalam pengadilan hudud dan qisas. Hal ini kerana tidak boleh melantik seseorang untuk menjadi hakim yang lemah penyaksian mereka dalam hukum hudud dan qisas.
3) Pendapat Syaz Ibnu Jarir Attabari dan Ibnu Hizam dan mazhab Zahiri mengharuskan wanita menjadi hakim dalam apa jua perkara.
KESIMPULAN
Kita diberi pilihan untuk beramal dengan mana-mana pendapat tetapi tidak harus taqlid. Haruslah kita tahu hujah-hujah yang rajih untuk kita aplikasikan dalam sistem undang-undang Negara kita dengan mengutamakan pandangan Islam ke atasnya.
Jadi bagi pendapat saya, andailah Malaysia akhirnya membenarkan wanita untuk menjadi ketua hakim, perlulah disyaratkan pula bahawa wanita itu tidak boleh berkahwin. Cuba anda bayangkan, apa akan berlaku sekiranya wanita itu mengandung, ditambah pula alahan yang teruk dan emosi yang sangat ‘vulnerable’, kemudiannya setelah bersalin perlu berkurung dalam pantang selama 2bulan. Itu untuk wanita biasa, tetapi yang jenis lemah badannya, barangkali boleh cuti sehingga setengah tahun.
Jadi, adakah kes-kes yang bertimbun harus ditangguhkan sehingga wanita itu pulih seperti biasa? Maka banyaklah pihak yang teraniaya tidak mendapat pengadilan sedangkan kehadiran ketua hakim itu adalah menjadi syarat utama untuk memberi penghakiman. Kalau mungkin pun berlaku, kita boleh menerima wanita menjadi pembantu hakim-hakim lelaki bukan menjadi ketua atau kita sekarang sesuai untuk beramal dengan pendapat hanafiah?
Persoalannya, bersediakah wanita untuk tidak berkahwin sedangkan hal itu menjadi sunnah Rasulullah dan perkahwinan itu menjadi separuh kepada sempurnanya agama seseorang kerana hanya semata-mata ingin mengejar untuk menjadi hakim?
Ditulis oleh NuRizZ at 11:24 PM 2 Pendapat




